Jom Follow.....

Wednesday, January 18, 2012

Persatuan Ulama Malaysia Sambut Baik Penubuhan Institut Wasatiyyah

24 Safar 1433

KUALA LUMPUR, 17 Jan , 2012- Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Selasa menyambut baik penubuhan Institut Wasatiyyah di negara ini atas inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setiausaha Agungnya Dr Mohd Roslan Mohd Noor berkata penubuhan institut itu dapat dimanfaatkan bagi meneguhkan kedudukan Islam serta menonjolkan Islam sebagai ajaran yang lengkap, bersifat pertengahan dan tidak ekstrem.

"Dalam keadaan negara-negara Islam dilabel sebagai negara pelampau dan sebagainya, penubuhan institusi ini adalah tepat pada masanya dalam menjulang semangat maqasid syariah serta Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Najib mengenai penubuhan itu, yang bertujuan memupuk sifat kesederhanaan dan keseimbangan dalam semua aspek kehidupan.

Mohd Roslan berkata penubuhan institut itu merupakan langkah terbaik untuk memastikan semua idea wasatiyyah diaplikasikan dalam bentuk tindakan yang praktikal.

"Institut itu wajar berperanan sebagai institusi berautoriti dalam menjawab segala salah faham pemikiran yang timbul akibat serangan pelbagai gagasan pemikiran ekstrem dan bercanggah dengan Islam," katanya.

Beliau berkata institut itu juga akan menempatkan segala khazanah berkaitan wasatiyyah dalam kitab-kitab turath dan juga dalam koleksi akademik semasa yang akan diterjemahkan dalam bentuk penggubalan dasar serta pentadbiran negara.

"Persatuan bersedia untuk memberikan input dan bekerjasama dengan kerajaan dalam memastikan objektif penubuhan institut ini terlaksana dengan jayanya," katanya.


 Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...