Jom Follow.....

Saturday, August 27, 2011

Selamat Tinggal Ramadhan Tahun Ini 1432 Hijrah

Dalam diam tak diam kita telah hampir sampai ke penghujung Ramadhan pada tahun ini. Sudah semestinya pelbagai kenangan pahit dan manis berlaku di pelbagai peringkat semasa kita mengharungi bulan yang mulia ini. Ada beberapa peristiwa yang seakan-akan menunjukkan beberapa petunjuk dan peringatan kepada manusia-manusia yang beriman. Ianya mungkin berlaku pada peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan sekalian alam. Ianya hanya dapat difahami bagi mereka-mereka yang beriman dan mahu berfikir.

Bagi yang telah pergi menyambut seruan Ilahi dan mereka-mereka yang beriman dan beramal soleh, berakhirnya atau berpisahnya Ramadhan adalah sesuatu yang amat memilukan. Semoga kita semua berkesempatan bertemu lagi Ramadhan pada tahun-tahun yang mendatang. Semoga kita sentiasa berpegang teguh pada semangat persaudaraan dan kesatuan pada jalan Ilahi.  Ameen...

Wallahualam.

Seruan Menegakkan Keadilan & Kebenaran

Allah S.W.T. telah berfirman dalam surah An-Nisa', ayat 135 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang sentiasa menegakkan keadilan, lagi menjadi saksi(yang menerangkan kebenaran) kerana Allah, sekalipun terhadap diri kamu sendiri, atau ibubapa dan kaum kerabat kamu.

Kalaulah orang(yang didakwa) itu kaya atau miskin (maka janganlah kamu terhalang daripada menjadi saksi yang memperkatakan kebenaran disebabkan kamu bertimbang rasa) kerana Allah lebih bertimbang rasa kepada keduanya. Oleh itu janganlah  kamu turutkan hawa nafsu supaya kamu tidak menyeleweng dari keadilan.

Dan jika kamu memutarbelitkan keterangan ataupun enggan(daripada menjadi saksi), maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."

Wallahualam

Apabila Komunis Mendapat Sanjungan Berbanding Dengan Mangsa Kekejaman

Hari ini, berita di salah sebuah akhbar terkemuka telah melaporkan satu lagi berita sensasi. Berita berkenaan salah seorang timbalan presiden parti yang baru menang bertanding telah membuat kenyataan kontroversi. Kenyataannya yang menuduh bahawa askar-askar yang menentang Parti Komunis Malaya(PKM) bukan pejuang sebenar.

Merujuk kepada peristiwa di Bukit Kepong, beliau telah memetik bahawa seoarang lelaki Melayu yang berstongkol dengan PKM dalam serangan itulah pejuang sebenar.Beliau juga berikrar akan mengubah sejarah negara jika pembankang berjaya memerintah Malaysia nanti. Namun kenapa beliau tidak berfikir kenapakah seorang sahaja lelaki melayu yang sanggup bersetongkol dalam kejadian berkenaan yang turut membunuh secara kejam keseluruhan keluarga mangsa? Kenapa beliau tidak mahu menurut dan memahami kalam Allah yang sering berulangkali menyeru agar kita terus berfikir?

Namun bagi penulis, apakah beliau telah lupa bahawa PKM menerusi bintang tiga juga telah membunuh ramai orang-orang Islam. Selain itu, lihatlah di negara-negara yang ditadbir komunis di mana Al Quran dibakar, umat Islam dilarang berpuasa dan mengamalkan ajaran Islam. Tontonlah rancangan Jejak Rasul di mana memaparkan kisah negara-negara Islam yang baru mencapai kemerdekaan dari era Soviet Union sudah mula mengecapi kenikmatan di mana masjid-masjid mula dibina semula dan azan-azan sudah mula berkumandang secara bebas dan merdeka, yang mana sebelum ini mereka dinafikan terus hak berkenaan.

Kalau kita mengiktiraf Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Kenali  dan sebagainya sebagai pejuang kemerdekaan itu sememang amat wajar. Parti Komunis Malaya bukanlah pejuang kemerdekaan tetapi adalah salah satu pihak yang bakal menjadi penjajah yang mana telah gagal merampas kuasa pemerintahan daripada British. Jika kita merujuk subjek sejarah di Malaysia, peranan dan sumbangan nasionalis seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammmad(Pak Sako), Dr. Burhanuddin al Helmy dan lain-lain tokoh yang dilabel dari puak kiri tetap juga diiktiraf. Malah sumbangan tokoh-tokoh bukan Melayu seperti Tan Cheng Lok, V. Sambanthan dan lain-lain lagi turut diberi pengiktirafan.

Ini telah membukyikan bahawa bukan sahaja perananan dan sumbangan pemimpin UMNO seperti Dato Onn, Tunku Abdul Rahman yang diberikan penghormatan, tetapi tokoh-tokoh lain yang bukan daripada parti berkenaan juga turut diiktiraf. Kita tidak faham, pengiktirafan yang bagaimana lagi yang  puak-puak berkenaan mahu? Adakah mereka mahu Chin Peng dan PKM dinobatkan sebagai tokoh kemerdekaan Malaya manakala Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman sebagai penderhaka kepada negara?

Jika benar sekalipunpun ada pihak yang mengiktiraf tokoh tertentu yang menyertai PKM di dalam tulisan tertentu, ianya mungkin di atas peranannya meniupkan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu dan bukan di atas penglibatannya di dalam PKM lebih-lebih lagi di dalam Peristiwa Bukit Kepong. Sama seperti pihak lain yang banyak terlibat di dalam perjuangan meniupkan semangat nasionalisme Melayu untuk bangkit menentang British namun penglibatan beliau dengan PKM tidak sesekali diiktiraf di dalam sejarah Malaysia sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan.

PKM tidak berniat pun untuk membantu orang Melayu dan kaum lain untuk menjatuhkan pemerintahan British di Tanah Melayu dan seterusnya menyerahkan kuasa pemerintahan kepada para nasionalis Melayu yang menyokong atau mendapatkan pertolongan PKM untuk menjatuhkan pemerintahan British. Sebaliknya mereka hanya mengeksploitasi dan mempergunakan perasaan benci yang amat sangat di kalangan nasionalis Melayu untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh komunis di kalangan rakyat tempatan khususnya di kalangan orang Melayu dan seterusnya mengambil alih pemerintahan Malaya daripada British sama ada secara baik atau kekerasan. Setelah itu PKM akan mentadbir Malaya menggunakan sistem komunis yang berasaskan ideologi mereka sendiri.

Jangan kita jadi buta mata dan hati kerana nikmat dunia yang sedikit dan kerana hendak mendapatkan sokongan.  Jangan perkecilkan undi umat-umat islam di negara ini dengan cara menghiris perasaan mereka kerana hendak mendapat undi golongan yang lain. Bersyukurlah dengan nikmat Allah, jika kita tidak bersyukur, sesungguhnya azab Allah amat pedih. Namun begitu penulis memanjatkan doa pada akhir-akhir Ramadhan ini agar hati kita semua tidak dibutakan oleh Allah S.W.T. dalam mencari keredhaan dan kebenaran.

Wallahualam.

Friday, August 26, 2011

Isu Lynas : Syabas Kepada Dr. Che Rosli Che Mat.

Penulis agak ketinggalan dengan isu Lynas sebelum ini. Kerana kurang pengetahuan, penulis berpendapat biarlah pihakyang ahli atau pakar membuat analisa dan siasatan.Namun begitu penulis amat tertarik bila salah seorang Ahli Parlimen Pembangkang sendiri iaitu Dr. Che Rosli Che Mat yang membuat kenyataan dalam isu berkenaan. Kenyataan beliau amat berlawanan dengan apa yang disensasikan oleh pihak pakatan politik yang beliau sendiri anggotai. Ianya dibuat selaras dengan kepakaran yang beliau miliki dan memiliki kelayakan PhD dalam bidang berkenaan.

Mungkin beliau sudah tidak tahan terhadap adanya aspek-aspek kebatilan dalam pensensasian dan pemanipulasian dalam isu berkenaan untuk kepentingan politik pihak tertentu. Jika ini benar, penulis mengucapkan syabas kepada beliau kerana berani berkata benar walaupun pahit untuk ditelan. Beliau telah mengambil risiko yang besar kemungkinan tidak terpilih lagi menjadi calon pada PRU akan datang. Tapi penulis yakin beliau lebih rela meninggalkan nikmat dunia yang sedikit berbanding di akhirat.

Wallahualam

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1432Hijrah

Sempena menjelang Hari Lebaran yang tak berapa hari lagi ini, penulis ingin mengucapkan Selamat Hari  Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin jika ada sebarang keterlanjuran jari yang membuat coretan di laman-laman penulis yang mungkin membuatkan ada pihak yang merasa tidak selesa.

Bersamalah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi atas sambutan kemenangan setelah selesai menempuhi dugaan di Bulan Ramadhan. Semoga kita semua dikurniakan rahmat, diampunkan dan dijauhi daripada api neraka. Bersyukurlah kita dengan nikmat-nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Esa kepada semua manusia dan makhluknya.

Harap kita akan dapat lebih aktif ziarah menziarahi di alam maya ini, selepas bercuti panjang kerana buat masa kini mungkin kita dan rakan-rakan mempunyai akses internet yang amat terhad. Mungkin boleh baca, tetapi tak dapat berinterkasi atau melawat seperti biasa disebabkan masalah berkenaan.

Akhir kata, tidak lupa jua ingatan agar kita bersama-sama berhati-hati di jalan raya. Salam ukhuwah dan persaudaraan dari nukilan hati serta sanubari buat semua.

Wassalam.

Dari Bancik

Tuesday, August 23, 2011

Doa Mantan Si Anak Yatim

Ya Allah
RamadhanMu bakal meninggalkan kami

Dengan rasa kesayuan dan kesedihan di hati kami

Menunggu kedatangannya di lain tahun di lain hari  yang tiada pasti

Oleh itu,  kami mengharap rahmatMu wahai Ilahi

Ampunilah dosa kami

Ampunilah dosa kedua ibu bapa kami yang telah pergi

Ampunilah dosa saudara seibubapa dan saudara pertalian kami yang telah pergi

Ampunilah dosa sahabat-sahabat atau hambaMu yang pernah membantu kami

Yang pernah membantu dan menjenguk kami di kala Ramadhan-ramadhan sebelum ini

Semasa kami memerlukan pembelaan di sana sini

Kami yang dulunya menyambut Ramadhan dalam suasana yatim yang suasana kehidupannya sakit tidak terperi

Yang mana mereka rata-rata sekarang tidak lagi berpeluang menikmati RamadhanMu pada  kali ini

Ampunilah dosa-dosa mereka ini

Jauhilah kami semua dari nerakaMu Ya Rabbi

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, Melihat,Pemaaf, Pengasih dan Menyayangi

Tempatkanlah roh mereka semua bersama orang-orang beriman di sisiMu Ilahi

Di alam yang kekal abadi

Monday, August 22, 2011

Taddabur Al-Quran

Tujuan Al-Quran diturunkan adalah untuk ditaddaburkan ayat-ayatnya dan diambil pengajaran serta dijadikan panduan dalam kehidupan manusia. Sebagaimana dalil firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

"(Al-Quran) ini adalah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu Wahai Muhammad),-Kitab yang banyak faedah dan manfaatnya, untuk mereka yang memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatNya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar"- As Saad:29

Tadabbur bermaksud berfikir dan merenung serta memahami ayat-ayat Al-Quran untuk mengetahui segala makna dan hikmah mencakupi seluruh perintah dan laranganNya.

Menurut Saidina Ali bin Abi Tholib, "Wahai pembawa Al-Quran(pembaca dan penghafal) atau wahai pembawa ilmu! Beramallah kamu dengan Ilmu, maka sesungguhnya orang yang berilmu itu ialah orang yang beramal dengan apa yang dia tahu."

Kata Hassan Al-Basri, "Tidaklah mentaddabur ayat-ayat itu melainkan dengan mengikutinya".

Manakala Abu Darda pernah berkata kepada seorang bapa yang anaknya menghafal al-Quran, "Semoga Allah mengampunkan anak kamu serta mengasihaninya. Sesungguhnya dia belum menghafal Al-Quran sehinggalah dia memahami dan beramal dengan ayat-ayatnya".

Sumber-Diari Orang-orang Yang Beriman (Ditulis oleh abd muein b. abd rahman)

P/s: Penulis mendapat hadiah Diari ini daripada rakan penulis. Sekadar menyampaikan semula sebahagian daripada maklumat yang ada di laman ini.

Wallahualam

Saturday, August 20, 2011

Pening Raya: Dahulukan Dulu Sepuluh Malam Terakhir

Tentu ramai dari kita yang sedang pening apabila masuknya sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan. Masing-masing sedang sibuk dalam membuat persiapan untuk keluarga terutama karenah anak-anak yang seolah dah tak sabar-sabar nak meraikan kedatangan Aidilfitri. Yang si isteri mungkin sibuk tentang kuih raya manakala si ayah pula sibuk menghantar kenderaan untuk diselanggarakan.

Kesemuanya adalah penting. Namun penulis percaya, jika diuruskan secara sistematik kita akan mampu menempuhi situasi ini dengan baik. Apatah lagi dekat dekat raya ini, banyak gedung beli belah memperkenalkan jualan murah. Tapi kita jangan lupa juga jualan murah yang dijanjikan dari Allah S.W.T. yang ada pada bulan Ramadhan ini sahaja. Buat satu amalan sahaja pahalanya berlipat kali ganda. Jika kita berniat bershopping untuk kebaikanpun, penulis percaya akan dapat ganjaran pahala disamping ibadat-ibadat khusus yang lain.

Penulis cadangkan pada waktu siang kita selesaikan keperluan dunia kita, manakala pada malam hari kita dahulukan tumpuan kita untuk mencari keredhaan Ilahi pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Yang dulu kita dahulukan yang dah mudah, kita permudahkan lagi dan jangan menyusahkan.Semoga kita semua sentiasa dinaungi rahmatNya. Renung-renungkan...

Wallahualam.

Gaza Diserang Di Kala Kita Menyambut Ramadhan Al Mubarak

Bernama melaporkan pada 19 Ogos 2011 bahawa peserta rombongan Ramadhan di Gaza(RADIG2)  kelolaan Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dikejutkan dengan letupan kuat yang menggegarkan hotel yang mereka menginap di tengah tengah bandaraya Gaza pada jam pagi waktu tempatan. Letupan kuat itu berlaku akibat serangan udara tentera Israel ke atas Gaza di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Rombongan berkenaan ke Gaza untuk program kemanusiaan di sana dan majlis perasmian Masjid An-Nasr di Beit Hanoun di utara Gaza yang jaraknya hanya kira-kira satu kilometer dari sempadan Gaza-Israel. Masjid yang dibina semula itu adalah sebahagian daripada hasil dana yang telah dikumpulkan oleh MAPIM sebagai salah satu projek pemulihan Gaza oleh rakyat Malaysia. Semua ahli rombongan berkenaan buat masa kini dilaporkan dalam keadaan selamat.

Penulis tabik "spring" kepada peserta rombongan yang berani ke sana. Didoakan salam kesejahteraan kepada mereka serta umat Islam di seluruh dunia. Salam persaudaraan dan kesatuan umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Kita di Malaysia haruslah bermuhasabah, bersyukur,bersatu padu dan memperkuatkan diri dari segenap asper agar kita dapat membantu saudara-saudara kita di tempat-tempat lain. Apatah lagi Hamas dan Fatahpun sudah boleh berdamai, inikan pula kita di Malaysia.

Kepada yang bersemangat menghadiri perhimpunan-perhimpunan tanpa permit di Malaysia, penulis menyeru dan cadangkan tenaga berkenaan lebih baik dan produktif dicurahkan untuk misi kemanusiaaan di sana. Sesungguhnya janji Allah adalah benar. Mungkin suatu hari nanti munculnya cahaya dihujung jalan buat umat Islam semua.Kita akan sambut kemenangan dan tiada lagi rasa kebimbangan,keluh kesah dan  ketakutan. Adakah kita tidak mahu berfikir?

Wallahualam.

Ramadhan Berlalu Tanpa Henti

Semakin sayu bila mengenangkan Ramadhan semakin berlalu tanpa henti. Malam ini kita akan menempuhi sepuluh malam terakhir yang rata-rata para ulamak menyatakan atau meramalkan bahawa Malam Lailatul Qadar akan berlaku di antara salah satu malam berkenaan. Malam yang fadhilatnya menyamai seribu bulan  beribadat atau bersamaan dengan lapan puluh tiga tahun empat bulan.

Namun, apakah kita dilimpahi rahmatNya, dihapuskan dosa dan dijauhi dari api neraka. Sesunggungnya semua itu hanya diketahui oleh Allah S.W.T. Tiada siapa yang sepatutnya boleh mendakwa bahawa seseorang itu diterima atau ditolak amalannya. Apa yang penting sebagai seorang mukmin, kita hanya mampu berusaha, berdoa dan bertawakkal.

Dari sudut hati ini, penulis hanya mampu berserah agar segala amal ibadat kita semua diterima olehNya dan apa yang penting sentiasa mendapat keampunan dan dilimpahi rahmatNya. Tanpa rahmatNya kita tak akan kemana-mana. Janganlah kita berputus asa dari rahmat yang Maha Esa.

Wallahualam

Thursday, August 18, 2011

Simbah Asid - Masyarakat Dan Pihak Berkuasa Digesa Lakukan Sesuatu

Hati penulis hari ini terasa terguris bila melihat liputan utama di Utusan Malaysia yang memaparkan mangsa terbaru simbah asid. Ini kerana abang sulung penulis iaitu Bancak telah kembali ke hadrat Ilahi pada tahun lepas disebabkan musibah yang sama.

Mangsa terbaru seperti yang dilaporkan , iaitu "Mohd. Rafie Abdul Latiff, 27, disimbah asid oleh seorang lelaki tidak dikenali, ketika berada di dalam keretanya, di kawasan tandas awam berhampiran Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi, 8 Ogos lalu.Menceritakan kembali kejadian itu, Mohd. Rafie berkata, semasa insiden dia berada di tempat duduk penumpang dan sedang menunggu seorang rakannya yang ingin menggunakan tandas awam.
“Seorang lelaki tidak dikenali secara tiba-tiba membuka pintu kereta sebelah pemandu lalu menyimbah cecair dipercayai asid ke arah saya.
“Mujurlah rakan saya yang mendengar jeritan mengambil air dari tandas dan menyimbah untuk meringankan kesan,” katanya lagi.- Utusan Malaysia

Persoalannya, apa dah jadi dengan masyarakat Malaysia?Kita sering memperjuangkan dan berbalah tentang kepentingan politik yang seolah-olah tak akan ada kesudahan, sedangkan banyak isu-isu seperti ini yang memerlukan perhatian semua pihak. Pihak berkuasa dan keselamatan seharusnya tidak diganggu dan dibebankan dengan isu-isu yang tidak mendatangkan produktiviti.

Mungkin tidak penting bagi sebahagian kita kerana ianya tidak pernah kena pada batang hidung masing-masing. Bagi penulis dan keluarga-keluarga mangsa yang pernah mengalaminya, ianya merupakan salah satu tragedi yang menyayat hati.

Wednesday, August 17, 2011

Salam Nuzul Al-Quran

Salam Nuzul Al Quran penulis ucapkan kepada saudara-saudara sekalian yang beragama Islam serta orang-orang yang beriman. Penulis bukanlah alim ulama atau pakar motivasi dan dalam bercakap tentang Islam secara terperinci atau bukanlah bercita cita untuk menjadi ulama, tetapi penulis sentiasa berazam untuk menjadi mukmin yang sejati, dan kekal sebagai insan biasa , insyaallah.

Apa yang diharapkan, sempena hari baik dan bulan baik ini, bahkan pada hari ini yang dinamakan Nuzul Al Quran pula, maka sama-samalah kita bermuhasabah diri kita. Berbalik kepada Nuzul Al Quran ini, hati penulis tercuit dengan isu larangan bacaan Al-Quran menerusi pembesar suara di Pulau Pinang. Ianya setelah beberapa hari ini isu berkenaan mendapat perhatian di media-media masa di negara ini. Sempena bulan baik , bagi penulis larangan seperti ini sewajarnya tidak perlu dikeluarkan, memadailah dengan nasihat semata-mata. Isu ini juga sewajarnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak sama ada dari pihak pemimpin dan penyokong parti pembangkang di negeri berkenaan(BN) atau parti pemerintah(Kerjasama DAP, PKR dan PAS dll.).

Penulis bukannya nak cari salah sesiapa di sini, tetapi penulis gagahi juga untuk bersuara untuk menegur yang termampu kepada pihak-pihak yang mempunyai kuasa. Penulis sebagai orang biasa hanya mampu menegur melalui  menulis di blog ini, tak lah seperti orang biasa pada zaman khalifah Umar Al Khattab (Khalifah Ar Rasyidin yang ke 2 yang dikenali sebagai amat garang)yang sanggup bersuara sambil mengangkat pedang berikrar akan membetulkan Saiyidina Umar jika beliau melakukan kesilapan atau kebatilan.

Rentetan daripada isu berkenaan , banyak juga pihak-pihak berkepentingan menerusi laman-laman blog mereka, akhbar-akhbar tertentu yang telah memetik hadis, ayat-ayat Al Quran bagi menguatkan hujah mereka bagi menyokong larangan berkenaan sambil membuat tuduhan ke atas pihak lawan. Manakala pihak lawan pula mempertahankan langkah berkenaan dengan mengatakan langkah berkenaan seolah-olah ada campur tangan politik pihak yang memusuhi Islam dan sebagainya.

Penulis di sini hanya ingin dan mampu menyeru, agar isu ini tidak dipanjangkan. Penulis cadangkan, tarik balik sahaja larangan berkenaan dan gantikan sahaja dengan garis panduan yang lebih berhikmah. Lagipun , penulis tidak nampak sangat rasional larangan berkenaan jika :

1. Bacaan berkenaan hanya dilakukan sementara hendak menunggu azan berkumandang. Setidak-tidaknya para jemaah berdekatan dapat mengagak bahawa berapa lama yang mereka ada untuksampai ke surau dan masjid untuk bersama-sama melakukan solat berjamaah.
2. Atas alasan bahawa hak pihak yang menunaikan sembahyang lebih penting, penulis berpendapat memang benar namun penulis meminta agar tiada larangan diberikan jika bacaan dibuat sebelum waktu waktu sembahyang. Jika selepas sembahyang, penulis berpendapat ianya mungkin masuk akal kerana mungkin ada para jemaah yang mungkin baru menunaikan sembahyang dan bacaan tersebut(jika ada) perlu diperlahankan atau tanpa menggunakan pembesar suara. Apa yang menjadi persoalan, apakah tazkirah subuh dikecualikan oleh pihak berkenaan yang rata-rata menggunakan pembesar suara? Apakah ini tidak mengganggu?
3. Menggunakan pembesar suara yang berkualiti  yang mana bunyinya agak selesa untuk didengari serta mengelakkan pembesar suara yang sudah pecah "sound system"nya.
4. Rata-rata masjid, muazzinnya berselawat menerusi pembesar suara sebelum azan,apakah ini juga dilarang?
5. Hujah yang menyatakan bahawa mereka-mereka yang sakit dan kanak-kanak akan terganggu dengan bacaan Al Quran amat dangkal kerana sebagai seorang yang beriman kita patut lebih menggalakkan orang-orang yang sakit mendengar bacaan Al Quran, sekurang-kurangnya mereka diberitahu dan kita semua diberitahu bahawa kita akan kembali kepada Allah yang Maha Esa bila sampai masanya. Anak-anak kecil perlu didedahkan dengan bacaan Al Quran daripada hiburan-hiburan konsert, pesta yang melaikan dan karaoke-karaoke di kelab-kelab malam yang semakin berleluasa dan terbuka. Lagipun, rata-rata rumah di kota telah menggunakan penyaman udara dan bunyinya juga sudah perlahan untuk sampai ke telinga.
6.  Dan lain-lain lagi yang boleh kita renungkan bersama.

Anak-anak muda kita akhir-akhir ini semakin menghadapi cabaran identiti yang maha hebat. Sekurang-kurangnya dengan memperdengarkan bacaan Al Quran ini dapat menyampaikan kepada para mereka-mereka yang mungkin menjauhi masjid selama ini agar diperingati bahawa Al Quran perlu dirujuk sebagai sumber maklumat utama.Mana tahu ianya bakal melembutkan hati-hati mereka.Ianya adalah salah satu usaha dakwah Ahli Jawatankuasa Kariah untuk menyampaikan kalimah Allah di muka bumi ini.

Isu seperti ini sudah tidak perlu diperdebatkan secara meluas. Umat Islam yang dipimpin umara dan ulama sepatutnya memberi tumpuan kepada permasalahan yang lebih penting yang semakin menghimpit umat Islam akhir-akhir ini dan bersiap sedia menghadapi cabarang yang mendatang yang semakin getir. Jika masih tidak berkesudahan, maka kesimpulannya, berjayalah rancangan pihak-pihak tertentu yang ingin memecahkan kesatuan umat Islam di negara ini dan di serata dunia.Ketidakstabilan ini juga bakal menyebabkan ketidakstabilan negara jika tidak diurus secara bijak dan tempiasnya juga bakal melanda golongan-golongan bukan Islam

Oleh yang demikian, penulis menyeru agar isu-isu seperti ini perlu diselesaikan secara berhikmah dan para alim ulama juga perlulah berlapang dada duduk semeja berbincang dan bukannya memberikan reaksi segera  dan berbeza-beza di media massa tanpa mendalami punca sebenar permasalahan berkenaan. Bila dah cakap, dan seluruh negara dah tahu,nak betulkan kembali kenyataan , akan adanya atau timbul rasa malu pula.

Sekian, Salam Nuzul Quran dari penulis. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahualam

Sunday, August 14, 2011

Lapan Kalimah Pusaka

Antara pesanan Lokman Al-Hakim kepada anak-anaknya. "Wahai anakku! Sepanjang hidupku, aku hanya dapat memilih 8 kalimah dari pusaka para nabi-nabi. Katanya :

1. Apabila engkau mengerjakan sembahyang, beribadahlah kepada Allah S.W.T. maka jagalah sebaik-baik fikiranmu.
2.Apabila berada di rumah orang lain, hendaklah kamu menjaga pandangan matamu.
3.Apabila kamu berada di tengah-tengah majlis, hendaklah kamu menjaga lidahmu (perkataanmu).
4. Apabila engkau hadir dalam jamuan makan, hendaklah kamu menjaga perangaimu.
5.Ingatlah kepada Allah S.W.T.
6.Ingatlah akan mati.
7. Lupakanlah budi baikmu terhadap orang lain.
8. Lupakanlah semua kesalahan orang lain terhadap dirimu.

Wallahualam.

Meriam Di Bulan Puasa

Ketika penulis remaja, penulis juga seperti kanak-kanak lain juga teringin hendak bermain mercun. Namun atas kekangan bajet, penulis terpaksa beralih kepada alternatif lain. Pada masa berkenaan karbait , iaitu sejenis bahan bakar yang digunakan untuk nyalaan pelita dan memeram buah mempelam masih lagi murah dan senang diperolehi.

Maka dengan adanya bahan berkenaan, penulis beralih kepada permainan meriam. Namun dikawasan penulis, buloh besar susah didapati dan terpaksalah kami menggunakan gelong paip terbuang atau tin susu. Namun ketika berkenaan, sering tersiar di kaca TV tentang kemalangan akibat bermain meriam buloh. Yang menariknya ketika bermain , langkah keselamatan tetap diambil perhatian. Kayu penyucuh meriam dipastikan panjangnya sekurang-kurangnya 3 meter ke  atas.

Selain itu, tin-tin susu yang disusun dipastikan agak dalam dibenam ke dalam tanah selut liat dan ditindih dengan batu diatasnya untuk mengelakkan susunan tin berkenaan terburai. Kami akan berbalas tembakan bunyi, yang mana yang paling kuat akan merasa berbangga dan puas.

Namun begitu, permainan meriam ini seolah telah pupus dan penulispun dah tak berminat nak hidupkan semula.Mungkin bahan karbait juga susah hendak diperolehi lagi dan mahal agaknya.Namun begitu, elok juga, kerana generasi sekarang mungkin tidak bersedia dengan itu semua, memandangkan bermain mercun kecilpun dah tercedera. Apatah lagi dengan meriam berkenaan.

Saturday, August 13, 2011

Barangan Pasar Semakin Mahal

Pada minggu lepas penulis ke pasang borong pada hari minggu untuk mendapatkan barangan keperluan dapur. Selalunya stok dibeli untuk sepanjang minggu. Namun begitu, rata-rata ikan-ikan yang dijual mencatatkan kenaikan harga di antara 20 peratus hingga 50 peratus jika dibandingkan sebelum Ramadhan.

Mungkin inilah agaknya masa keemasan bagi peniaga menaikkan harga barangan berkenaan, maklumlah bulan puasa katakan. Namun seorang peniaga sambil mempromosikan ikan-ikannya seolah membuat provokasi bahawa harga akan naik lagi kalau tak beli hari berkenaan.

Tak apa, esok penulis akan ke sana lagi dan nak lihat apa akan jadi dengan harga ikan-ikan berkenaan. namun penulis menukar strategi dengan mengurangkan bilangan berat pembelian jika dibandingkan dengan waktu biasa. Namun begitu, penulis tak dapat bayangkan harga-harga berkenaan apabila menjelangnya Hari Raya dan raya sebulan selepas itu. Diharapkan pihak berkenaan dapatlah memantau harga-harga barangan menjelang musim perayaan akan datang, takut ada yang mengambil untung yang terlalu berlebihan.

Friday, August 12, 2011

Rusuhan Di London- Suatu Pengajaran Berguna

Satu demi satu berita tentang peristiwa yang agak panas dan menyentuh jiwa berlaku pada Ramadhan pada kali ini. Ianya termasuk peristiwa bencana alam, pembunuhan kejam, politik yang tidak berkesudahan dan sebagainya. Ianya seolah memberikan petunjuk kepada golongan yang beriman dan beramal soleh.Tidak ketinggalan peristiwa yang melibatkan juga rakyat Malaysia iaitu peristiwa rusuhan di London yang berlaku beberapa hari yang lepas. Siapa yang menyangka musibah yang sebegitu rupa mampu berlaku di kota berkenaan?

Sedikit sebanyak ianya seolah-olah menunjukkan kebenaran kenapa pihak berkuasa di Malaysia perlu membendung sebarang bentuk perhimpunan sama ada halal ataupun haram. Matlamatnya ialah untuk mengelakkan sebarang segala bentuk kemalangan yang membuka ruang kepada pihak penganjur bertindak membaling batu sembunyi tangan. Lebih memburukkan jika penganjur akan menyalahkan pihak berkuasa dan pemerintah atas kelemahan yang datang dari mereka sendiri dan memberikan kredit dalam menjayakan cita-cita politik mereka yang berteras kepada matlamat menghalalkan cara.

Kesan yang buruk yang boleh kita jadikan pengajaran sehingga kini ialah perang saudara yang masih berpanjangan dan tidak berkesudahan di beberapa buah negara yang berpunca daripada perhimpunan-perhimpunan sebegitu rupa. Apakah kita tidak mahu berfikir dan bersyukur?

Sesunggunhnya benar bahawa Ramadhan adalah bulan Rahmat kepada manusia.

Apabila Nasrudin Diserang Dari Segenap Penjuru Kerana Mempertahankan Akidah

Utusan Malaysia hari ini melaporkan bahawa selepas Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menjadi mangsa kecaman pemimpin-pemimpin tertentu mereka ekoran sokongannya terhadap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memeriksa sebuah rumah ibadat bukan Islam di Damansara Utama baru-baru ini, nasib yang sama dipercayai menimpa Ketua Dewan Pemuda parti politik yang dianggotai mereka. Menurut petikan :

Nasrudin dipercayai menerima kecaman serta tekanan hebat daripada pemimpin mereka terutamanya golongan tertentu iaitu kumpulan yang menyokong pemimpin utama pakatan pembangkang Malaysia.Tindakan itu dilakukan selepas Nasrudin mengeluarkan kenyataan keras kelmarin, bahawa Dewan Pemuda Pusat akan tetap mempertahankan akidah umat Islam daripada dirosakkan, sekalipun dengan darah dan nyawa.

Ia diperkukuhkan lagi dengan status terkini Ketua Dewan Pemuda  itu di laman Facebooknya yang membayangkan beliau sedang ‘diserang’ apabila berkata: “Tidak mudah untuk kita memperjuangkan Islam. Kadang-kadang cabaran dalaman lebih perit dialami berbanding cabaran luaran. Ya Allah, Engkau berilah aku kekuatan,”.

Penulis juga berdoa agar beliau dan semua umat Islam diberikan kekuatan dan kesabaran serta kebijaksanaan dalam menghadapi dugaan pada bulan Ramadhan ini. Terbaru pula isu larangan bacaan Al Quran menerusi pembesar suara waktu subuh di Pulau Pinang, juga bakal memberi satu lagi cabaran kepada beliau untuk menyatakan pendirian. Insyaallah ada jalannya....

Wednesday, August 10, 2011

Membakar Kuih Bahulu Dengan Sabut Kelapa

Alhamdulillah kita sudah sampai ke hari yang ke sebelas dalam berpuasa. Kalau dahulu, semasa kanak-kanak, pada hari ke sebelas ini, bertalu-talu penulis akan bertanya kepada emak tentang penyediaan kuaih raya terutama sekali kuih bahulu. Yang menjadi cabaran utama ialah hendak memukul telur ayam atau itik dengan spring yang mana telur pula dipukul di dalam pasu. Namun, untuk memastikan tidak kepenatan sangat, emak penulis akan mulakan proses penyediaannya seawal selepas bersahur lagi.

Tetapi cabaran yang paling hebat, bukannya memukul telur dan membakarnya, walaupun mata penulis pedih mengharungi asap sabut berkenaan. Cabaran yang paling hebat ialah aroma kuih berkenaan apabila pertama kali diketuk keluar dari acuan buah cermai atau ikan emas. Ketika itu iman penulis ketika berpuasa agak bergoyang seketika.

Ini adalah satu kenangan yang indah ketika berpuasa ketika dahulu. Namun zaman sekarang dah moden dan sabutpun tak dapat diperolehi di bandar. Semuanya pakai ketuhar aje. Yang lebih canggih ialah dengan menggunakan jari telunjuk aje, terus dapat. Namun syaratnya ialah cuma perlu ada wang sahaja.

Umat Wajib Pertahankan Islam - Mufti Selangor Bersuara

Utusan Malaysia hari ini memetik seruan Mufti Selangor kepada seluruh umat Islam. Ianya rentetan daripada kontroversi yang melanda di Selangor beru-baru ini berkenaan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap salah sebuah rumah ibadat bukan Islam baru-baru ini:

KUALA LUMPUR 9 Ogos – Seluruh umat Islam di negara ini diseru supaya bersatu mempertahankan akidah Islam daripada diganggu gugat oleh musuh agama, sekalipun terpaksa menghadapi apa sahaja rintangan.

Mufti Selangor, Datuk Seri Mohd. Tamyes Abd. Wahid (gambar) berkata, adalah menjadi kewajipan ke atas setiap orang Islam untuk mempertahankan akidah kerana maqasid syariah itu tidak boleh dijual beli dengan apa sekalipun, hatta kepentingan politik.Sehubungan itu, beliau menyokong penuh tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang bertindak memeriksa gereja Methodist, kerana percaya ia dibuat berdasarkan bukti terdapatnya usaha memurtadkan umat Islam.

Pada masa yang sama, beliau juga berdiri teguh di belakang Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali yang bertindak mempertahankan tindakan JAIS itu.Menurutnya, orang yang mempertahankan kebenaran Islam seperti Hasan wajib disokong oleh seluruh umat Islam, bukannya dicaci dan dikecam hanya kerana kepentingan politik sempit yang bersifat keduniaan.

“Akidah adalah salah satu daripada maqasid syariah yang wajib dipertahankan oleh setiap yang bergelar Islam. Akidah bukan bahan dagangan politik, ia tidak boleh dijual beli.“Jika ada musuh yang menyerang, kita wajib mempertahankan diri. Begitu juga dalam soal akidah, jika ada musuh agama yang cuba memurtadkan orang Islam, kita wajib bangkit menentang.

“Lihat bagaimana para sahabat sanggup mati syahid, sanggup diseksa dan sanggup dibunuh demi akidah tetapi untuk menjual agama Allah, mereka tidak sesekali berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai penemuan bukti berbentuk ‘12 soalan kuiz’ mengenai agama Islam pada majlis ‘berbuka puasa’ yang dianjurkan gereja tersebut, Mohd. Tamyes berkata, tindakan JAIS tepat.

Katanya, JAIS tidak bertindak secara semberono jika tiada maklumat lengkap mengenai aktiviti penyebaran agama Kristian kepada orang Islam tetapi malangnya jelas beliau, ada segelintir pemimpin Islam sendiri mempertikaikan tindakan itu. -Utusan Malaysia

Sempena Ramadhan yang mulia ini, marilah kita bersama bermuhasabah diri agar sentiasa dilimpahi rahmat Ilahi.

Tuesday, August 9, 2011

Berpuasa Di Lautan

Satu lagi kenangan yang hendak diabadikan disini ialah di mana ketika zaman penulis dalam keadaan muda remaja pada awal tahun 90 an. Iaitu semasa dibulan puasa dan pada masa yang sama penulis sedang bercuti semester ketika sedang menuntut di ITM Arau. Sudah menjadi kelaziman penulis terpaksa turun ke bendang atau ke laut untuk mencari pendapatan untuk perbelanjaan pelajaran ketika masuk ke semester yang berikutnya. Penulis lebih selesa ke laut atau ke bendang daripada bekerja di kilang-kilang kerana mempunyai lebih masa yang anjal untuk aktiviti yang diranvcang dan bersama keluarga. Lagipun cuti semester yang tak sampai 2 bulan agak terlalu pendek bagi penulis untuk bekerja di kilang.

Bila masa pokok padi sedang membesar, penulis akan turun ke laut. Kawasan penulis turun ke laut ialah di jeti Kuala Sungai Udang( di muara Sungai Kerian),  Seberang Perai Selatan, iaitu berdekatan dengan Sungai Acheh. Namun nak jadikan cerita, pada suatu ketika, cuti semester telah jatuh pada bulan puasa. Bayangkan penulis terpaksa juga turun ke laut untuk mencari rezeki. Dah lah tu, terpaksa mengayuh basikal tua sepanjang lebih kurang jarak antara 8 hingga 10 kilometer setiap hari pada pagi-pagi buta. Apa yang penulis terpaksa lakukan ialah dengan mengambil makanan berat seperti nasidan makan dengan sekenyang-kenyangnya kerana hendak mengekalkan tenaga dalam jangka masa 1 hari berpuasa.

Lagipun kerja sebagai nelayan ini memerlukan tenaga kudrat yang amat kuat deri segi menarik pukat naik ke bot. Pukat yang penulis sering tarik ialah pukat "Kengka". Panjang  pukat ini ialah sekitar lebih kurang 1 kilometer panjang dan memerlukan sekurang-kurangnya minimum 4 orang untuk menaikkannya. Jika bernasib baik, banyaklah tangkapan yang dapat dinaikkan. Jika nasib tak baik, pukat akan tersangkut pada tanah di laut dan memerlukan lebih tenaga untuk menariknya. Bertambah malang lagi ialah bila mana ombak kuat dan angin kencang datang melanda dan tiada tangkapan yang diperolehi. Tetapi, alhamdulillah penulis berjaya berpuasa penuh sebulan walaupun terpaksa menggunakan kudrat tenaga yang banyak bahkan pada satu ketika penulis kelihatan lebih cergas daripada rakan-rakan lain yang tewas berpuasa. Kadangkala penulis akan mabuk disebabkan cuaca buruk dan ombak kuat, penulis masih akan berpuasa. "Taikong" yang bukan Islampun amat terkejut dengan keupayaan penulis untuk terus berpuasa.

Apa rahsianya sehinga penulis mampu bertahan? Rahsianya senang, iaitu penulis sentiasa bariltizam, berdoa ke hadrat Ilahi agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menjalankan kewajipan penulis kepadaNya sedaya upaya penulis. Apalah sangat dengan dugaan ini jika dibandingkan apa yang dialami oleh para zaman sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang terpaksa berperang di bulan Ramadhan. Kadangkala penulis terpaksa bersahur di atas bot apabila "Taikong" membuat keputusan untuk turun ke laut di kawasan "Kompa" iaitu di sekitar perairan Pulau Pinang. Penangkapan dikawasan ini terpaksa dibuat bilamana hasil tangkapan di tempat biasa tidak membuahkan hasil.

Apabila mengenang kembali, penulis seolah tidak percaya bahawa penulis berjaya melepasi salah satu ujian seperti ini dalam hidup penulis.Kepada rakan-rakan yang pernah bersama penulis di kampung Sungai Bakau, sepupu dan sedara mara ,sahabat-sahabat  allayarham ayah penulis,orang-orang kampung yang pernah bertanya khabar, tok guru mengaji yang mengajar mengaji secara percuma, tok guru yang datang menjejaki penulis dan adik hingga ke rumah jika dapati penulis ponteng belajar agama dan sesiapa jua yang berkenaan, penulis hanya mampu berdoa di bulan yang mulia ini agar mereka semua sentiasa dilindungi RahmatNya. Majoriti daripada mereka ini telah terlepas peluang bersama rakyat Malaysia pada Ramadhan kali ini kerana menyahut seruan Ilahi.Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada memori yang manis dan pahit dalam secebis kehidupan penulis. Jika ada masa penulis akan menceritakan sebahagian watak-watak berkenaan dalam bentuk cerpen yang ringkas di laman ini.


Monday, August 8, 2011

Kita Kekenyangan Mereka Kelaparan

Bencana kemarau berterusan selama tiga tahun di Afrika Timur dilaporkan bertambah buruk setiap hari, memaksa penduduk-penduduk di Somalia dan Kawasan Kenya dan Ethiopia lari dari rumah mereka dalam usaha mencari makanan, air dan perlindungan.Memburukkan lagi keadaan, bantuan antarabangsa yang amat terhad serta disekat sepenuhnya oleh Al-Shabaab, sebuah kumpulan pemberontak yang dikaitkan dengan Al-Qaeda yang berjuang bagi menjatuhkan kerajaan peralihan Persekutuan Somalia.

Beribu-ribu dilaporkan telah mati dan berjuta-juta lagi sedang menderita dalam krisis kemanusiaan yang paling teruk di dunia, menurut sumber daripada VoA. Laporan dari dalam Somalia menunjukkan bahawa kira-kira 2,000 pelarian tiba di Kenya dan Ethiopia setiap hari, manakala yang lain terpaksa melarikan diri untuk kemudahan perlindungan di Somalia sendiri, iaitu berhampiran ibu negara di Mogadishu.

Komen Penulis:

Sesungguhnya kita di Malaysia perlu amat-amat beryukur atas nikmat yang kita perolehi setiap hari. Di waktu rata-rata kita kekenyangan ketika berbuka puasa, masih ada ramai insan lain yang kelaparan di atas muka bumi ini disebabkan perebutan kuasa politik di antara pihak yang gilakan kuasa. Sesungguhnya ianya perlu dijadikan pengajaran oleh kita semua.

Sunday, August 7, 2011

China Larang Uighur Berpuasa

Dengan tidak disedari penulis tiba-tiba berasa sebak ketika memandu ke pejabat pada pagi tadi apabila mendengar berita di radio IKIM yang mengkhabarkan bahawa masyarakat Islam Uighur di Urumqi didak dibenarkan menunaikan ibadat mereka. Seterusnya penulis bertemu dengan berita lanjut yang dipaparkan di Utusan Malaysia seperti berikut:

URUMQI 7 Ogos - Bulan Ramadan kali ini tidak bermakna bagi masyarakat Islam Uighur di Urumqi, Xinjiang, barat laut China selepas kerajaan mengharamkan mereka menunaikan ibadah puasa, bersolat tarawih atau menjalankan sebarang aktiviti keagamaan.Penganut Islam di Xinjiang dilarang daripada menunaikan ibadah tersebut selepas kerajaan memaksa mereka menandatangani satu 'dokumen' yang melarang mereka daripada berbuat demikian.

Larangan terbaru itu menekankan lagi layanan buruk kerajaan China terhadap penduduk minoriti Uighur yang sering berdepan tindakan keras pihak berkuasa sebelum ini dan dinafikan hak mereka.
Jurucakap Kongres Sedunia Uighur yang beribu pejabat di Munich, Dilxat Raxit berkata, syarikat-syarikat swasta di sini turut menyediakan makanan tengah hari buat pekerja beragama Islam dan mereka boleh kehilangan kerja atau bonus tahunan sekiranya enggan makan.

"Tokoh agama juga boleh kehilangan lesen menyampaikan ceramah sekiranya mereka mengadakan aktiviti keagamaan atau menyeru penganut Islam berhimpun bagi menjalankan kegiatan agama," katanya kepada agensi penerbitan dalam talian, Eurasia Review.Jelasnya, pegawai turut menyasarkan golongan pelajar beragama Islam dengan menyediakan bekalan makanan semasa waktu rehat sepanjang bulan Ramadan.Seorang penduduk Uighur yang enggan dikenali berkata, restoran-restoran di kawasan yang mempunyai ramai penduduk Islam juga diarah menjalankan perniagaan walaupun ketika hari siang.

"Orang ramai juga sukar memasuki masjid untuk bersembahyang. Mereka perlu menunjukkan kad pengenalan diri dan mendaftar jika ingin masuk ke masjid," katanya.Sehari sebelum Ramadan, seramai 18 maut dan 31 yang lain cedera dalam dua pertempuran etnik terbaru di Xinjiang, dua tahun selepas insiden berdarah di wilayah ini mengakibatkan 200 maut sementara 1,700 yang lain cedera.Xinjiang dicemari pergolakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, melibatkan pertempuran antara etnik Uighur dengan kumpulan majoriti China Han di ibu negara, Urumqi pada Julai 2009. - Agensi

Komen Penulis:

Sememangnya kita turut rasa bersedih atas nasib yang menimpa saudara kita di sana. Kita harapkan agar mereka terus tabah. Seharusnya kita disini perlu bersyukur atas nikmat yang dikurniakan oleh Allah, kerana kita tidak dihalang dari mengamalkan pegangan masing-masing. Namun masih ada dari kita yang tidak mahu bersyukur. Seharusnya menjadi pengajaran dan ikhtibar bagi umat Islam di Malaysia agar menghargai apa yang ada dan terus memperbaikinya dengan berpegang teguh serta bersatu padu antara satu sama lain.

Kepada mereka yang masih suka tuang puasa dan beribadat, maka sama-samalah kita menginsafi diri.



Sumber: Utusan Malaysia
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0808&pub=Utusan_Malaysia&sec=Luar_Negara&pg=lu_01.htm

Apabila Dr Hassan Ali Dan Nik Abduh Bersuara

Mingguan Malaysia pada hari ini memetik bahawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat Istiadat Melayu dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, yang tidak disenangi oleh anggota Exco yang lain atas ketegasannya mengenai soal Islam, menegaskan beliau sanggup dipecat demi kepentingan akidah ummah.Beliau dipetik berkata : "Saya sanggup melakukan apa sahaja termasuk menerima kenyataan jika saya diminta melepaskan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri dan apa-apa jawatan sekali pun demi memperjuangkan apa yang saya yakin dapat membantu umat Islam, khususnya di negeri Selangor."

Sementara itu Nik Abduh Nik Abdul Aziz membidas para pemimpin Melayu yang sepatutnya bersatu dalam isu akidah, bukannya melatah sehingga menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu pemeriksaan ke atas sebuah rumah ibadat bukan Islam di Damansara Utama, jika benar tindakan itu dibuat demi menyelamatkan akidah orang Islam.Beliau yang merupakanTimbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, berkata, contoh yang ditunjukkan segelintir pemimpin Melayu dalam isu tersebut adalah tidak betul kerana tegasnya, selaku Muslim adalah wajib memelihara dan mempertahan akidah umat Islam yang lain.

Menurutnya, walau apa sekalipun pendirian politik setiap pemimpin berkenaan, mereka perlu meletakkan kepentingan Islam melebihi segalanya dalam isu berkenaan, kerana tindakan JAIS itu berhubung kait dengan dakwaan berlakunya penyebaran agama Kristian kepada orang Islam."Kalau benar dakwaan itu (penyebaran agama lain) wujud, kita (Pemuda Pas) memandang berat perkara ini kerana selain menyalahi Perlembagaan Persekutuan, ia membabitkan soal akidah. Jadi wajib ke atas semua Muslim termasuk JAIS untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

"Kita kena letak agama di depan. Islam kena melebihi segala kepentingan lain dan adalah tidak betul kalau pemimpin (Islam) tertentu terlalu cepat melatah dalam perkara ini. Sepatutnya kita bersatu dalam soal agama," katanya ketika dihubungi menerusi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Sumber: Mingguan Malaysia 7 Ogos 2011

Saturday, August 6, 2011

Terawikh Pada Zaman Remaja

Tiba-tiba penulis teringat kenangan terawikh sewaktu bulan Ramadhan di zaman remaja semasa berada di kampung penulis di Sungai Bakau. Ketika itu ianya dijalankan sebanyak 20 rakaat dicampurkan 3 rakaat sembahyang witir.Bagi naluri seorang remaja, ianya merupakan cabaran yang amat menarik. Namun begitu imam-imamnya mengetuai dengan pelbagai gaya yang tersendiri. Ada yang terlalu cepat, sederhana dan ada yang perlahan. Tak ketinggalan Tok Bilal yang menceriakan suasana dengan bersemangat melafazkan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. bagi setiap selingan diantara dua rakaat sembahyang berkenaan.Bagi yang tak berkesempatan, mereka akan tamatkan pada rakkat yang kelapan sahaja.

Tazkirah pula dilakukan selepas selesainya sembahyang witir. Yang bagusnya tiada langsung selit menyelit unsur-unsur politik dalam tazkirah berkenaan. Pada asa itu ianya hanya disampaikan oleh Imam masjid berkenaan sahaja (Ustaz Pak Teh Haq- Hj Mohamad Tahir)dan tiada imam "import" untuk menyampaikan tazkirah. Fokus diberikan kepada fadhilat serta menggalakkan para jemaah meningkatkan lagi ibadat pada bulan berkenaan. Selepas selesainya sembahyang dimeriahkan lagi dengan jamuan moreh yang merupakan acara kemuncak bagi sesetengah orang.

Suasana berkenaan amat bermakna bagi penulis. Rasa-rasa ingin kembali semula pada zaman berkenaan. Terasa kedamaian dan persaudaraan Islam yang amat erat pada ketika itu.Namun, rata-rata imam-imam dan tok bilal berkenaan telah kembali menyahut seruan Ilahi. Semoga roh mereka ditempatkan dikalangan mereka-mereka yang dikasihiNya.

Friday, August 5, 2011

Kehadiran Orang Islam Di Rumah Ibadat Lain Di Bulan Ramadhan

Sekali lagi hati umat Islam dicuit sekali lagi atas berita serbuan pihak berkuasa agama Selangor(JAIS)  terhadap majlis makan malam yang dihadiri oleh orang Islam  di sebuah rumah ibadat bukan Islam Damansara Utama, Petaling Jaya malam tadi.Sumber daripada Utusan Malaysia hari ini menyatakan bahawa BAHAGIAN Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan sepasukan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah rumah ibadat berkenaan di Damansara Utama berdasarkan hasil maklumat yang diterima.

Anggota Penguatkuasaan JAIS bersama anggota polis telah menjalankan pemeriksaan di premis terbabit walaupun dihalang oleh pihak penganjur. Penganjur utama yang dipercayai beragama Islam telah berunding selama hampir satu jam bersama ketua operasi agar pemeriksaan ke atas tempat dan individu tidak dilakukan sehingga majlis tersebut selesai. -Utusan

Penulis tidak dapat komen lebih dalam isu ini, kerana penganjurnya sendiri dipercayai beragama Islam dan apa yang penting biarlah pihak yang berkuasa dan yang mempunyai kuasa mengkaji dan menyiasat apa sebenarnya yang berlaku disebalik isu ini. Dengan bersangka baik, mungkin penganjur majlis berkenaan sedang menjalankan dakwah Islamiah  kepada rakan-rakan mereka di sana .

Apa yang penulis mampu seru disini agar rakan-rakan yang beragama Islam disini mematuhi perintah Allah dan Rasul serta menjauhi laranganNya terutama di bulan yang mulia ini.


Semoga kita semua sentiasa  dinaungi rahmatNya.

Thursday, August 4, 2011

Satu Lagi Tragedi Menyayat Hati Di Bulan Ramadhan

Hari ini kita dikejutkan lagi dengan kisah tragedi pembunuhan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Di Utusan Malaysia hari ini telah melaporkan kisah Timbalan Pengarah Jabatan Veterinar Perak, Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya awal pagi ini dipercayai dibunuh di Ipoh, Perak. Kebetulan kampungnya di Bagan Serai Perak adalah merupakan tempat yang berdekatan dengan kampung penulis iaitu di Parit Buntar Perak.

Yang kedua pula, seperti yang diberitakan di Buletin Utama malam ini ialah berkenaan kisah tragis pembunuhan dua beranak di Ampang yang mana mayat mereka ditemui dikerat-kerat. Seorang ibu yang sedang mengandung dan seorang kanak-kanak dipercayai telah dibunuh dan ditemui di sebuah pangsapuri.

Sesungguhnya kisah seperti ini seolah-olah mengulangi tragedi pembunuhan kejam terhadap seorang jutawan kosmetik dan rakan-rakannya yang berlaku (tak silap penulis) pada bulan Ramadhan tahun lepas. Sememangnya kisah tragis ini menuntut kita semua bermuhasabah terhadap apa yang sedang berlaku di negara ini. Pasukan keselamatan tidak boleh dibiarkan bersendirian mengekang hal-hal jenayah seperti ini. Kita sebagai rakyat marhain juga berperanan dengan memberi sokongan moral kepada anggota-anggota keselamatan dalam mengawal keselamatan negara dan bukannya dimaki,dimusuhi dan dikeji hanya disebabkan menjalankan tugas mereka. Sekurang-kurangnya tahanan yang ditahan dan dibawa ke tempat lain dan diberi sajian buffe jika dibandingkan dengan apa yang diperlakukan oleh polis bantuan di sebuah negeri di utara(diperintah oleh pihak yang sering mengeji polis) yang memijak/menghempap badan, kepala salah seorang peniaga yang membuat bantahan apabila gerai mereka dirobohkan, yang mana tindakan tersebut dilihat lebih kejam dan diluar batas kemanusiaan jika dibandingkan dengan kesalahan mereka.Tindakan tersebut amat jauh beza dengan dasar pemerintahan mereka yang kononnya mengikuti contoh Khalifah Umar Abdul Aziz.

Oleh itu, sumbangan kita yang lebih bererti ialah dengan tidak menambahkan beban mereka dengan sikap bebal tak mengena tempat kita dengan melakukan perkara-perkara yang menyusahkan mereka seperti menyertai perhimpunan-perhimpunan dan menayangkan serta mengeluarkan video-video yang sensasi (tak kiralah pihak di sebelah manapun)  yang mungkin menyebabkan anggota keselamatan hilang fokus untuk menjaga keselamatan negara.

Wallahualam

Monday, August 1, 2011

Air Batu Di Bulan Ramadhan

Bila berpuasa ini sudah semestinya kita tidak dapat lari daripada dahaga. Tambahan pula bila kena pada hari-hari atau musim-musim yang panas terik. Namun pada masa sekarang kemudahan rata-rata sudah lengkap seperti bekalan untuk mendapatkan air minuman yang pelbagai warna dan rasa. Cuma perlu sediakan sahaja wang dan pastikan tidak berlaku pembaziran.

Walau bagaimanapaun bagi yang pernah melalui zaman-zaman sebelum peti ais/sejuk yang rata-rata penduduk Malaysia belum mampu memilikinya, kita pernah menghadapi situasi di mana hendak dapatkan ais batupun amat susah. Ini kerana bekalannya amat terhad sedangkan permintaannya di bulan Ramadhan amat tinggi.Kalau lambat beli, alamatnya terpaksalah berbuka dengan air suam atau air panas  jawabya. Bagi aku yang masih kanak-kanak pada ketka itu, sering menjalankan tugas membeli ais batu ini. Ini kerana aku tidak sangup berkuka dengan air panas. Maklumlah kanak-kanak kan. Aku dengan seberapa daya upaya akan ke kedai awal-awal pada waktu petang untuk memastikan misi berkenaan berjaya.

Yang menariknya ais batu dijual secara batu bata yang panjang, kemudian dijual pada harga 20 sen bagi setiap yang sebesar bata ag telah dipoting. Menariknya, penjual hanya menyimpannya dengan menggunakan serbuk papan atau dibaluti dengan guni padi. Bongkah yang besar itu kemudian dipotong dengan menggunakan gergaji. Walaupun serba kekurangan, bagiku ianya tetap merupakan salah satu kenangan yang terindah dalam hidupku. Aku amat menghargai bila dapat membeli sebongkah ais dan dikenakan dengan cendol atau sirap sarbat.

Cendolpun kena buat sendiri dan tiada dijual dipasar seperti sekarang.Walaupun bentuk cendol yang dibuat sendiri tak secantik seperti yang sedia ada dipasaran pada masa kini, namun aku amat gembira menikmatinya.Nikmatnya susah untuk digambarkan, kerana amat susah hendak diperolehi.Sesunguhnya apa yang kita ada sekarang ini sepatutnya membuatkan kita bersyukur atas nikmat yang Allah S.W.T kurniakan. Semuanya sudah serba serbi mudah dan apa yang penting bagi kita sekarang unuk lebih boleh fokus meningkatkan ketakwaan kita terhadapNya dan elakkan persengketaan sesama saudara Islam.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...