Jom Follow.....

Saturday, August 27, 2011

Apabila Komunis Mendapat Sanjungan Berbanding Dengan Mangsa Kekejaman

Hari ini, berita di salah sebuah akhbar terkemuka telah melaporkan satu lagi berita sensasi. Berita berkenaan salah seorang timbalan presiden parti yang baru menang bertanding telah membuat kenyataan kontroversi. Kenyataannya yang menuduh bahawa askar-askar yang menentang Parti Komunis Malaya(PKM) bukan pejuang sebenar.

Merujuk kepada peristiwa di Bukit Kepong, beliau telah memetik bahawa seoarang lelaki Melayu yang berstongkol dengan PKM dalam serangan itulah pejuang sebenar.Beliau juga berikrar akan mengubah sejarah negara jika pembankang berjaya memerintah Malaysia nanti. Namun kenapa beliau tidak berfikir kenapakah seorang sahaja lelaki melayu yang sanggup bersetongkol dalam kejadian berkenaan yang turut membunuh secara kejam keseluruhan keluarga mangsa? Kenapa beliau tidak mahu menurut dan memahami kalam Allah yang sering berulangkali menyeru agar kita terus berfikir?

Namun bagi penulis, apakah beliau telah lupa bahawa PKM menerusi bintang tiga juga telah membunuh ramai orang-orang Islam. Selain itu, lihatlah di negara-negara yang ditadbir komunis di mana Al Quran dibakar, umat Islam dilarang berpuasa dan mengamalkan ajaran Islam. Tontonlah rancangan Jejak Rasul di mana memaparkan kisah negara-negara Islam yang baru mencapai kemerdekaan dari era Soviet Union sudah mula mengecapi kenikmatan di mana masjid-masjid mula dibina semula dan azan-azan sudah mula berkumandang secara bebas dan merdeka, yang mana sebelum ini mereka dinafikan terus hak berkenaan.

Kalau kita mengiktiraf Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Dato Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Tok Kenali  dan sebagainya sebagai pejuang kemerdekaan itu sememang amat wajar. Parti Komunis Malaya bukanlah pejuang kemerdekaan tetapi adalah salah satu pihak yang bakal menjadi penjajah yang mana telah gagal merampas kuasa pemerintahan daripada British. Jika kita merujuk subjek sejarah di Malaysia, peranan dan sumbangan nasionalis seperti Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestamam, Ishak Hj Muhammmad(Pak Sako), Dr. Burhanuddin al Helmy dan lain-lain tokoh yang dilabel dari puak kiri tetap juga diiktiraf. Malah sumbangan tokoh-tokoh bukan Melayu seperti Tan Cheng Lok, V. Sambanthan dan lain-lain lagi turut diberi pengiktirafan.

Ini telah membukyikan bahawa bukan sahaja perananan dan sumbangan pemimpin UMNO seperti Dato Onn, Tunku Abdul Rahman yang diberikan penghormatan, tetapi tokoh-tokoh lain yang bukan daripada parti berkenaan juga turut diiktiraf. Kita tidak faham, pengiktirafan yang bagaimana lagi yang  puak-puak berkenaan mahu? Adakah mereka mahu Chin Peng dan PKM dinobatkan sebagai tokoh kemerdekaan Malaya manakala Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman sebagai penderhaka kepada negara?

Jika benar sekalipunpun ada pihak yang mengiktiraf tokoh tertentu yang menyertai PKM di dalam tulisan tertentu, ianya mungkin di atas peranannya meniupkan semangat nasionalisme di kalangan orang Melayu dan bukan di atas penglibatannya di dalam PKM lebih-lebih lagi di dalam Peristiwa Bukit Kepong. Sama seperti pihak lain yang banyak terlibat di dalam perjuangan meniupkan semangat nasionalisme Melayu untuk bangkit menentang British namun penglibatan beliau dengan PKM tidak sesekali diiktiraf di dalam sejarah Malaysia sebagai perjuangan menuntut kemerdekaan.

PKM tidak berniat pun untuk membantu orang Melayu dan kaum lain untuk menjatuhkan pemerintahan British di Tanah Melayu dan seterusnya menyerahkan kuasa pemerintahan kepada para nasionalis Melayu yang menyokong atau mendapatkan pertolongan PKM untuk menjatuhkan pemerintahan British. Sebaliknya mereka hanya mengeksploitasi dan mempergunakan perasaan benci yang amat sangat di kalangan nasionalis Melayu untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh komunis di kalangan rakyat tempatan khususnya di kalangan orang Melayu dan seterusnya mengambil alih pemerintahan Malaya daripada British sama ada secara baik atau kekerasan. Setelah itu PKM akan mentadbir Malaya menggunakan sistem komunis yang berasaskan ideologi mereka sendiri.

Jangan kita jadi buta mata dan hati kerana nikmat dunia yang sedikit dan kerana hendak mendapatkan sokongan.  Jangan perkecilkan undi umat-umat islam di negara ini dengan cara menghiris perasaan mereka kerana hendak mendapat undi golongan yang lain. Bersyukurlah dengan nikmat Allah, jika kita tidak bersyukur, sesungguhnya azab Allah amat pedih. Namun begitu penulis memanjatkan doa pada akhir-akhir Ramadhan ini agar hati kita semua tidak dibutakan oleh Allah S.W.T. dalam mencari keredhaan dan kebenaran.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...