Jom Follow.....

Thursday, March 31, 2011

Bukan Kerana Nama

Kenapa aku perlu menulis blog? Itulah pertanyaan yang timbul di benak fikiranku ketika membuat keputusan mencuba menulis di blog. Salah satu desakan utama ialah untuk melepaskan apa jua isu-isu  yang perlu diluahkan. Sebagai contoh, sebelum adanya kemudahan blog agak sukar bagi aku menyuarakan pendapat di ruang-ruang forum di akhbar.

Sekurang-kurangnya dapatlah mengurangkan tekanan-tekanan yang ada di dalam diri sendiri, walaupun kadangkala tulisan yang dipaparkan dalam keadaan syok sendiri.Dalam kata lain.."Suka hatilah nak tulis apapun", "Blog aku..." Asalkan jangan berbentuk kerosakan.

Apa yang penting juga, aku menulis bukan kerana nama.Tapi kerana ingin berkongsi pengalaman yang mana yang baik perlu dijadikan teladan ,manakala yang buruk dijadikan pengajaran.Namun begitu, cabaran utama bila menulis di blog ini ialah untuk memastikan agar tulisan yang  tidak akan menyingung mana-mana pihak.Sesungguhnya, percayalah bahawa papan kekunci yang kita sering taip ini lebih berbahaya daripada senjata pemusnah.

Tuesday, March 29, 2011

Menghadapi Masalah Talian Telefon atau Streamyx?

Jika anda mempunyai masalah berlarutan talian telefon talian tetap atau Streamyx(setelah sekian lama aduan dilakukan dan tiada maklum balas), anda bolehlah email kepada saya di alamat abdmoin@gmail.com. Sila nyatakan nombor talian telefon talian tetap TM, sedikit sebanyak penerangan tentang permasalahan anda dan nombor talian sellular anda untuk dihubungi oleh pihak berkenaan.

Insyaallah dengan izinNya, masalah anda akan cuba dipanjangkan kepada pihak yang berkaitan sebaik mungkin.Bagi masalah talian lain, tak dapat laa penulis nak tolong buat masa kini.

Lempeng ,Tuak(Nira) Dan Rojak Keting di Marang Terengganu

Adalah menjadi kelaziman bagi penulis untuk menjamu selera dengan Lempeng dan Tuak(Nira)  berperisa..Aiskrim apabila berkunjung ke Kuala Terengganu.Tuak ini bukanlah minuman keras seperti difahami oleh kebanyakan orang.Hidangan dua dalam satu itu sudah semestinya. menjadi tradisi jika ke sana. Manakala Lempeng pula dibuat dengan kelapa yang dibakar dalam bentuk bulat macam roti canai. 

Selain itu, penulis juga sekali sekala menikmati tapai pulut yang dibungkus dengan daun sebagai pencuci mulut. Namun , tapai pulut sudah biasa dijamu di marata-rata tempat di Malaysia.

Rojak Keting dan Nira Beraiskrim
Lokasi tempat makan ini berada di kawasan Marang, berhampiran sebuah masjid yang sinonim dengan sebuah parti pembangkang di sini. Baru-baru ini pula ketika penulis berkunjung, kedai makan berkenaan turut juga memperkenalkan menu baru iaitu Rojak Keting. Bahan komponen utamanya ialah daging lembu yang diambil dibahagian keting kaki haiwan berkenaan.Jamuan berkenaan dibungkus di dalam plastik seperti yang dipaparkan di dalam gambar. Rasanya bagi penulis, agak boleh tahan(sebagai bahan cicahan-masam manis) semasa makan dengan lempeng atau roti.

Dengan adanya menu tambahan ini, maka hidangan berkenaan bolehlah dikatakan menjadi menu 3 dalam 1. Jika anda berpeluang ke sana, jangan lepaskan peluang untuk mencuba menu berkenaan. Selamat mencuba....

Sunday, March 27, 2011

Sagon

Penulis amat teruja apabila terlihat bungkusan-bungkusan yang dijual di salah sebuah kedai makan popular di Sungai Buloh pada 13 Mac 2011 yang lalu. Setelah diamatinya, rupa-rupanya bungkusan tersebut adalah sejenis makanan ringan tradisional masyarakat melayu yang dijual pada harga RM 1.20 setiap satu. Ianya kini telah dikomersialkan oleh beberapa pengusaha terutanya di negeri-negeri utara semenanjung.Semestinya penemuan ini mengingatkan penulis semasa zaman persekolahan dahulu di mana makanan ringan ini sering disediakan ibu pada waktu-waktu petang. Kadangkala penulis membawa ke sekolah sebagai makanan ringan.

Bahan utamanya tak silap penulis ialah tepung beras, kelapa parut , gula dan garam.Campuran ini perlu digoreng dalam jangkamasa tertentu sehingga timbulnya aroma yang menyedapkan.

Namun begitu, terdapat pantang larang utama ketika memakannya, iaitu kita dilarang bercakap ketika menikmatinya. Jika tidak, tersemburlah tepung-tepung diudara jika kita bercakap.Cara bungkusannya juga agak ringkas, iaitu sama ada kelongsongnya dibuat dengan kertas berbentuk kon atau hanya dengan memasukkannya ke dalam kelongsong aiskrim plastik panjang.

Penulis yakin makanan ringan tradisi seperti ini lebih selamat dari kandungan bahan-bahan yang tidak menyihatkan seperti yang ada pada kebanyakan makanan-makanan ringan yang lain. Jika aspek pembungkusan dan promosi yang agresif dilakukan, penulis yakin makanan ini akan dapat dikomersialkan bukan hanya di dalam negara bahkan di luar negara juga.

Saturday, March 19, 2011

Bercakap Dengan Jin

Apabila melihatkan rata-rata drama atau filem di Malaysia menjadikan cerita seram sebagai tajuk utama, penulis tercuit kisah-kisah lampau.Teringat ketika dahulu semasa kecil, penulis sering mengikuti suatu bahan bacaan yang mengaitkan kisah seram yang bertajuk "Bercakap Dengan Jin". Nama penulis juga agak ringkas iaitu Tamar Jalis.

Semasa menulis artikel ini, penulis cuba carian google dengan menggunakan nama penulis buku berkenaan. Rupa-rupanya rata-rata kisah siri Bercakap Dengan Jin juga telah diblogkan di http://tamarjalis.blogspot.com/. Sekurang-kurangnya dapat juga membaca siri berkenaan kembali memandangkan koleksi penulis sudah musnah dimakan anai-anai atau dibuang semasa penulis melanjutkan pelajaran. Apa yang nak ditulis di sini bukan berkaitan dengan kisah yang dipaparkan dalam siri berkenaan, tetapi apa yang pernah dialami oleh penulis sendiri.

Bercakap dengan Jin sebenarnya tidak asing bagi penulis kerana penulis pernah berpeluang berbuat demikian. Mereka juga dibahagikan kepada dua golongan iaitu yang beriman dengan Allah dan Rasul dan tidak kurang juga dari golongan yang kufur. Jin dari golongan kufur perlu dijauhi sama sekali kerana mereka sudah semestinya akan mendatangkan mudarat terhadap kehidupan didunia dan akhirat. Penulis mulanya agak kurang yakin adanya golongan ini , namun apabila penulis meminta mereka kejutkan penulis bangun subuh, perkara berkenaan benar benar berlaku.Selain dari itu setelah melalui ilmu yang diperolehi, memang di dalam Islam telah menerangkan kewujudan golongan berkenaan.

Penulis juga pernah mengirimkan agar mereka mencari batu delima dari Mekah ketika mereka menunaikan umrah, dan dengan keizinan Allah, mereka telah menunaikan janji apabila mereka pulang dari menunaikan Umrah. Caranya, biarlah menjadi sebahagian rahsia dalam hidup penulis sendiri.

Mereka juga pernah mengajar beberapa petua atau ayat-ayat penerang hati dari sumber Al Quran dan Sunnah dalam usaha berjaya dalam pelajaran. Selain daripada itu air jampi dan kismis menjadi santapan penulis terhadap tujuan dan usaha yang sama.Namun begitu, apa yang menjadi anjakan paradigma terhadap penulis berlaku apabila penulis pernah gagal dalam suatu peperiksaan ketika berumur 11 tahun. Peristiwa ini berlaku ketika peperiksaan semakin hampir. Arwah ayah penulis menegur kerana penulis  tidak mengulangi pelajaran kerana perasaan yang begitu yakin akan dapat mengharungi peperiksaan. "Rilek la bapak.." kata penulis bila bapa menegur kealpaan penulis.Bapa penulis hanya tersenyum sinis melihat gelagat penulis ketika itu.

Bila peperiksaan datang menjelma, memang petua dan penerang hati berkesan iaitu manakala minda dan idea penulis terang benderang, dalam keadaan tanpa idea untuk menjawab soalan. Ini disebabkan kurangnya membaca dan membuat latihan.Selepas tamatnya peperiksaan , penulis dengan kecewa meluahkan persoalan kepada bapa atas apa yang berlaku. Dengan tenang dan tersenyum bapa penulis membalas lebih kurang begini" Kalau hang makan kismis berlori-lori , minum air jampi berbotol-botol sampai kembung sekali pun, tetapi dalam keadaan masih tidak mahu membaca buku atau mengulangkaji.. tak akan ada maknanya". Minta tolong dengan jinpun...., depa nak boleh buat apa? Tambah beliau lagi.Penulis dengan kecewapun berkata " Kalau Bancik Dapat A (Dalam hati 5 A laa..) , bancik nak minta kita buat kenduri kesyukuran dan sebagai  tanda berserah kepada Yang Maha Esa.

Apabila keputusan peperiksaan dikeluarkan, memang cerah dan terang sekali lagi, penulis hanya dapat 1A sahaja. Yang lain ikut turutan B,C, D, yang merupakan suatu kombinasi huruf yang menarik. Tetapi yang mengejutkan bapa penulis tetap hendak meneruskan niat membuat kenduri kesyukuran. Rupanya bagi beliau ketika itu, 1A amat bermakna bagi beliau. Habis dicanangkan kepada rakan-rakannya yang hadir pada majlis berkenaan tujuan diadakan pada masa sesi doa selamat. Penulis pada ketika itu terasa amat malu dibuatnya serta hanya mampu tersenyum kelat sahaja. Mulai dari itu, penulis tak menoleh ke belakang lagi terpaksa belajar sedaya upaya agar sejarah tidak berulang kembali....

Jus Kurma

Jus kurma adalah salah salah satu minuman yang penulis amalkan untuk mengekalkan kecergasan badan. Selain daripada penyediaannya yang agak mudah, ianya menggunakan bahan asli dan tanpa melibatkan campuran bahan pengawet dan sebagainya.Antara bahan yang penulis gunakan dalam penyediaannya ialah buah kurma, madu lebah, susu cair dan tidak dilupakan bahan utamanya ialah air . Buah kurma yang telah diasingkan daripada bijinya perlu dikisar(menggunakan blender) bersama air panas agar ianya mudah hancur.

Kisaran tersebut kemudiannya dicampur dengan air masak yang telah sejuk sebelum dicampur dengan madu lebah beserta susu cair.Kuantiti campuran bergantung kepada citarasa masing-masing. Minuman ini disyorkan agar diamalkan sama ada diwaktu pagi atau pada sebelah malam.

Setakat ini, petua ini memberi kesan yang positif kepada penulis. Dengan amalan ini, penulis tak perlu mengambil ubat ubatan "supplement" untuk mengekalkan kesegaran tubuh badan.Disamping itu dapan mengelakkan memakan jamu-jamu atau makjun yang sememangnya sampai sekarang penulis gagal menelannya, kerana rasanya yang tak menyenangkan. Begitu juga dengan amalan seperti meminum jus pegaga yang mana rasanya juga agak memualkan bila meminumnya.

Bagi penulis kaedah meminum jus kurma ini adalah merupakan kaedah yang paling mudah, ideal dan ringkas untuk diamalkan. Cuma kita perlu rajin sedikit untuk menyediakannya, apatah lagi bahan-bahan seperti buah kurma dan madu lebah pada masa sekarang ini amat mudah didapati di mana-mana. Namun begitu keberkesanannya adalah bergantung kepada tahap kesihatan seseorang itu . Namun begitu, apa yang penting ialah sama ada ianya berkesan atau tidak , atas keizinan yang Maha Kuasa.

Selamat mencuba.

Thursday, March 17, 2011

Seorang Doktor Di Rumah ? Memori Tun Dr Mahathir Bin Mohamad

Seorang Dr Di Rumah . Itu yang dapat penulis menterjemahkan  dari bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia melalui "Google Translate"  dari perkataan "A Doctor In The House" . Ianya merupakan judul sebuah buku yang diumpamakan laris seperti pisang goreng sebaik sahaja dilancarkan di pasaran.Bagi penulis, tanpa sebarang konterversi sekalipun, sambutan buku ini akan tetap laris kerana ianya ditulis daripada pengalaman atau memori penulisnya sendiri iaitu mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia yang ke 4. Kita tak perlu menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan pengalaman seperti beliau, tetapi kita hanya perlu membacanya sahaja untuk merasai sedikit sebanyak keadaan , pengalaman dan sejarah lampau.

Namun begitu, penerbitan buku ini tetap menjadi konterversi kerana beberapa pihak yang dikaitkan dalam kisah yang dipaparkan dalam buku berkenaan merasa kurang senang dengan apa yang ditulis.Tetapi penulis tetap menganggap isu seperti ini sudah menjadi lumrah di dalam masyarakat dan mereka yang terlibat berpeluang menyanggah atau memberi penjelasan di mana-mana media masa atau medium komunikasi di negara yang mengamalkan demokrasi terpimpin seperti Malaysia ini.

Ianya mengulangi peristiwa di mana buku tulisan Tun yang bertajuk "Dilema Melayu" atau " Malay Dylemma" yang mana ianya juga turut mengundang konterversi pada masa yang lampau sehinggakan penerbitannya diharamkan di Malaysia. Kebimbangan terhadap kemungkinan penerbitan buku ini bakal mendapat injuksi mahkamah atau pengharaman daripada mana-mana pihak telah menyebabkan ulat-ulat buku berpusu-pusu mendapatkannya sebagai koleksi bacaan peribadi. Yang positifnya pula ialah, selain daripada ulat buku seperti ulat-ulat daun dan lain-lain lagi turut juga cuba mendapatkannya.

Penulis juga menghadapi kesukaran mandapatkan buku tersebut kerana buku berkenaan telah habis dijual apabila penulis berkunjung ke MPH pada 13 Mac 2011 yang lalu, selepas tak sampai seminggu rasanya selepas dilancarkan.Terpaksalah tempahan dibuat dan penulis diberitahu bahawa pihak pengedar akan menghubungi penulis jika stok buku berkenaan sudah sedia untuk diambil. Nampaknya bukan sahaja iPad 2 yang laris dijual baru baru ini, buku terbaru Tun Dr Mahathir juga berjaya mewujudkan phenomena yang sama.

Namun begitu phenomena seperti ini perlu dilihat dari segi positif kerana kita dapat lihat bahawa pola pembacaan rakyat Malaysia sudah mula berubah daripada terlalu berbentuk hiburan kepada kandungan-kandungan yang lebih berat dan berkualiti. Sebelum ini kita hanya mendengar novel-novel seperti "Harry Porter" sahaja yang laris, tetapi Tun Dr Mahathir sekali lagi telah membuktikan bahawa yang rakyat "Malaysia Boleh" berubah. Malaysia Boleh!

Saturday, March 12, 2011

Kelapa Oh Kelapa

Kelapa adalah salah satu komoditi pending dalam kehidupan masyarakat kita. Tanaman yang mempunyai seribu macam kegunaan ini agak sinonim dengan kehidupan masyarakat Melayu dan Malaysia.Namun begitu komoditi ini juga tidak terlepas dengan isu naik turun harga bergantung kepada musim-musim tertentu terutama yang melibatkan perayaan di negara ini.

Harga kelapa parut buat masa kini berada di antara RM 1 hingga RM 2 bergantung kepada dimana ianya diperolehi. Jika di pasar-pasar tani kita masih boleh mendapat harga RM 1 bagi setiap biji yang diparut. Tetapi di kedai-kedai runcit pula, harganya boleh mencecah RM 2 sebiji di sekitar lembah Kelang.Teringat pada zaman sekitar 26 tahun yang lampau, ketika penulis berumur 12 tahun, kelapa yang dijual kepada peraih cuma berharga antara 6 hingga 12 sen sebiji bagi kelapa gambut manakala bagi kelapa botak pula hanya dapat dijual tidak lebih daripada 5 sen sebiji.

Kelapa gambut ialah kelapa yang dikopek , yang mana pengopek mengekalkan sedikit sabut di atas biji kelapa tersebut. Manakala kelapa botak ialah kelapa yang dibersihkan terus daripada sabut dengan licin yang mana, ianya mungkin mengakibatkan jangka katahanannya semakin kurang.Kelapa botak terjadi disebabkan kesilapan yang berlaku ketika proses mengopek dilakukan.Bayangkan dengan harga yang rendah, amat tidak berbaloi untuk melakukan kerja-kerja mengumpulkannya. Pada masa itu, kelapa muda belum popular lagi. Kelapa muda menjadi mangsa penulis ketika bekalan air dah habis, maka air kelapa muda mula menjadi sasaran menghilangkan dahaga, sehinggakan pada suatu ketika, penulis sanggup mandi dengan air kelapa disebabkan cuaca yang teramat panas.

Kelapa tua juga menjadi mangsa digunakan sebagai pelampung ketika mandi manda di parit-parit yang ada di sekitar kampung. Kadangkala pokok kelapa juga dijadikan pentas terjunan dari aras yang lebih tinggi untuk buat terjunan ketika mandi di parit-parit.

Namun begitu, zaman cepat berlalu, dan kelapa sekarang nilainya agak tinggi dengan kepelbagaian kepenggunaannya serta pertambahan permintaan disebabkan pertambahan penduduk.Tambahan pula air kelapa muda sekarang ini agak tinggi permintaannya.Kenaikan harga makin tidak dapat dibendung apabila lebih banyak kawasan tanamannya telah diganti dengan tanaman lain seperti kelapa sawit dan sebagainya. Faktor kecurian hasil tanaman kelapa memburukkan lagi keadaan disebabkan ciri-ciri hasil tanaman berkenaan yang mudah dicuri oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab pada bila-bila masa termasuk diwaktu malam.

Penulis berpendapat bahawa sudah tiba masanya dasar-dasar tertentu dilakukan agar penawaran bekalan kelapa dapat distabilkan agar pengguna tidak dibebankan dengan kenaikan harga kelapa.Insentif-insentif serta skim galakan perlu diperkenalkan bagi menggalakkan pelaburan di dalam bidang penanaman kelapa bagi memastikan bekalan berterusan pada masa akan datang.Langkah mengimport yang diamalkan sekarang ini didapati kurang berkesan kerana ianya bakal mengakibatkan pengaliran wang keluar jika harga komoditi berkenaan terus meningkat dipasaran antarabangsa.

Bencana Alam Di Jepun

Bumi memberi reaksi lagi. Itulah ungkapan yang dapat aku simpulkan apabila mendapat berita bahawa Jepun dilanda gempa bumi pada sekala Richter 8.9 pada 11 Mac 2011. Pada sekala berkenaan semestinya telah menyebabkan ombak besar setinggi 10 meter dikawasan gempa serta menyebabkan kehilangan harta benda dan jiwa.Diberitakan juga bahawa beberapa pantai dilautan pasifik juga menerima kesan ombak tinggi dek kerana malapetaka berkenaan.

Kejadian gempa ini rasanya tidak berlaku lama setelah sebuah bandar di New Zealand mengalami malapetaka iaitu di bandar Christchurch sebelum ini.Apa yang timbul di fikiran ialah satu persoalan apakah bumi kini semakin tua ataupun uzur?Sebagai salah seorang muslim, kejadian seperti ini adalah merupakan salah satu tanda bahawa dunia kini berada di zaman penghujungnya.

Namun begitu, kita yang berada di Malaysia seharusnya mengucapkan berbanyak ucapan syukur ke hadrat Ilahi  kerana masih terselamat daripada kejadian yang sedemikian rupa. Maka salah satu perkara yang boleh dimuhasabahkan adalah bahawa Allah itu Maha berkuasa,adil dan bijaksana. Apa yang kita miliki adalah pinjaman dariNya semata-mata. Harta benda, nyawa , pangkat dan sebagainya boleh hilang dalam sekelip mata. Semua itu akan dipanggil pulang bila tiba masanya.

Malapetaka ini seharusnya bakal menggugat perkembangan ekonomi Malaysia, di mana Jepun adalah merupakan salah satu rakan utama negara.Menyakitkan lagi, kita juga sedang diancam dengan kenaikan harga petrol dunia disebabkan krisis politik di Timur Tengah yang bakal menguji lagi ketahanan kita.Mujur juga kenaikan harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit memberi kelebihan kepada golongan petani dan pemain industri di sini.

Akhir pena, bersyukurlah dengan apa yang kita ada dan berbuat baiklah semasa hayat masih ada. Ungkapan ini ditujukan terutamanya kepada diriku sendiri.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...