Jom Follow.....

Friday, April 27, 2012

Lancarkan BERSIH Di Tanah Suci Satu Tindakan Keterlaluan

6 Jamadilakhir 1433

Berita satu kumpulan umat manusia melancarkan kempen bersih di kota suci umat Islam adalah satu tindakan keterlaluan dan memalukan umat Islam. Menurut laporan BERNAMA , diifahamkan Masjid Nabawi di Madinah, dan Masjidilharam di Mekah dijadikan tempat pelancaran Bersih 3.0 itu.

Maka sudah terbuktilah bahawa ada dikalangan umat Islam kini semakin bertuhankan kepada demokrasi acuan Barat. Persoalan yang perlu direnungkan adakah himpunan BERSIH 3.0 ini selaras dengan kehendak Islam atau sebaliknya? Biarpun penulis menghormati pendapat ulamak yang berada di pihak pakatan Pembangkang di Malaysia, penulis tidak dapat menerima rasional hukum menghalalkan perhimpunan ini oleh mereka.

Tambahan lagi ada juga dikalangan ulama dikalangan pembangkang sendiri dan yang berkecuali di arena politik tanahair turut menolak perhimpunan berkenaan atas hujah bahawa ianya diketuai oleh pemimpin yang tidak beriman, mempromosikan liberalisma, pro-murtad dan kegiatan seks songsang serta bebas. Justeru itu kempen berkenaan di sana dilihat sebagai satu penghinaan keatas ajaran Islam yang sebenarnya.

Penulis akan menyokong jika perhimpunan berkenaan dibuat bagi menuntut agar dikaji semula bagi mengembalikan sistem cara pemerintahan mengikut Islam dan menghapuskan sistem demokrasi acuan barat yang kini makin dilihat telah banyak mengucar kacirkan negara-negara Islam. Maka dengan itu bagi perhimpunan BERSIH 3.0 ini,  penulis menjatuhkan hukum HARAM ke atas diri atau tubuh penulis yang dipinjamkan oleh Yang Maha Esa ini untuk menyertainya.

Wallahualam.

Thursday, April 26, 2012

Masa Untuk Bermuhasabah

5 Jamadilakhir 1433

Apabila kita diuji, maka naluri kita seakan secara automatik akan bermuhasabah. Ujian adalah salah satu daripada proses untuk mengesahkan sama ada kita ke syurga atau neraka. Apabila aku diuji dengan masalah kesihatan yang teruk sebelum ini, ianya membuka dimensi baru bagi diri ini melihat kehidupan dengan perspektif yang lebih luas dan berbeza-beza. Terima kasih Ya Allah, kerana mengembalikan nikmat kesihatan  kepadaku.Tiap kali masalah mendatang selepas ini, ianya tidak dapat dibandingkan dengan masalah kesihatan. Ini adalah nikmat yang tidak terbatas yang dikurniakan oleh Allah di dunia ini kepada manusia.

Muhasabah diri merupakan salah satu proses yang berkesan bagi menjadikan diri kita sebagai seorang yang lebih beriman pada yang Maha Esa.Pemimpin dan rakyat di negara ini juga perlu bermuhasabah sentiasa.Abaikan sikap ego dan takbur dari segi kekuasaan dan ilmu agama yang tinggi. Kita lihat bahawa sejarah telah membuktikan bahawa kebanggan terhadap kekuasaan menyebabkan jasad Firaun tidak mahu diterima bumi.

Ketakburan Iblis terhadap kealiman, kewarakan ilmu yang beliau ada telah menyebabkan dia telah dihalau dan dilaknat oleh Yang Maha Esa. Sejarah -sejarah ini sebenarnya tidak melupakan kita tetapi kita sering melupakan sejarah. Senario terkini politik negara Malaysia atau mana-mana negara di dunia sekarang ini juga tidak melepaskan kita daripada isu-isu sebegini. Kekuasaan politik dan kebendaan seolah-olah disembah tidak henti-henti sehinggakan kita tidak lagi peduli akan kemaslahatan umat. Kita makin jauh dari kebenaran. Ketua makin diangkat dari kalangan mereka-mereka yang tidak beriman dan dikelirukan dengan sokongan golongan-golongan  dari kalangan kita yang berperwatakan warak.

Kita mudah lemah dan terpedaya bila mana ada dikalangan mereka-mereka yang tidak beriman ini mula memetik ayat-ayat Allah di dalam ceramah mereka. Kita mula terpedaya apabila ada dikalangan mereka-mereka ini mula masuk ke dewan utama solat masjid atau surau tanpa menutup aurat.Bukankah mereka ini tidak layak memakmurkan masjid-masjid Allah? Alasan berdakwah kepada mereka perlulah dibuat secara ikhlas dan bukannya dengan niat matlamat menghalalkan cara.

Ada dikalangan kita juga sanggup berguling ditengah jalan bagi mempertahankan ketua-ketua ini, tetapi makin menikus dan menghina pihak-pihak atau bekas pemimpin kita sendiri yang cuba mempertahankan Islam hanya disebabkan pihak berkenaan tidak sependapat dengan mereka  lagi. Senario semasa ini menuntut kita semua bermuhasabah dan kembali kepada ajaran Islam sebenar dan mengabaikan hawa nafsu dan bisikan syaitan. Kita tiada pilihan.Masa untuk bermuhasabah...

Wallahualam

BERSIH Tidak Adil

5 Jamadilakhir 1433

KUALA LUMPUR 26 April,2012 - Seorang ahli Dewan Negara mewakili pembangkang menggemparkan sesi persidangan dewan apabila secara terbuka membantah penganjuran perhimpunan Bersih 3.0 yang akan diadakan di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Ketika bangun membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, ahli Dewan Negara berkenaan, Senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang juga Naib Pengerusi DAP menyatakan pendirian tersebut berdasarkan pengalaman serta pemerhatian beliau terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara.

“Pada prinsipnya demonstrasi jalanan saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja dan tinggal di banyak negara, semua demonstrasi kononnya mula dengan aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi perang.

“Saya secara rekodnya, saya bantah, tak sokong bersih," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di lobi Parlimen, beliau menjelaskan bantahan itu adalah atas dasar pengalaman peribadinya apabila melihat banyak demonstrasi aman bertukar ganas.

“Sekiranya sesuatu berlaku, siapa yang akan bertanggungjawab? Penganjur dan individu terlibat tidak akan berada di sana. Siapa yang akan menjaga mereka yang terkorban dan mengalami kecederaan?

“Matlamatnya adalah untuk menyalahkan pihak berkuasa dan ini adalah tidak adil," tegasnya.

Maklumat lanjut :UTUSAN ONLINE

Wednesday, April 25, 2012

Tahniah Kepada Penjawat Awam

4 Jamadilakhir 1433

Tahniah penulis ucapkan kepada para penjawat awam Malaysia yang mula menikmati kenaikan gaji yang mana difahamkan melalui media massa ianya akan bermula pada bayaran gaji pada bulan ini(betulkan fakta ini, jika silap). Justeru itu, disamping tumpang gembira, sebagai pekerja swasta, penulis berharap agar tiada di kalangan mana-mana peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang dan perkhidmatan.

Ini adalah kerana penulis nak bagi tahu kepada peniaga, tak banyak sangatpun jumlah kakitangan kerajaan berbanding dengan jumlah rakyat Malaysia. Maka sikap hendak menaikkan harga sewenang-wenangnya adalah tidak wajar sama sekali.

Wallahualam

Monday, April 23, 2012

TIBAI Pulak Dah?

2 Jamadilakhir 1433

Macam-macam hal suasana politik di Malaysia sekarang ini. Bermacam-macam slogan yang diwujudkan bagi perang saraf , yang mana kadangkala menyakitkan hati parti dan lawan mereka, malahan kadangkala menggelikan juga hati para bakal-bakal pengundi yang nak memangkah undi pada PRU yang dijangka semakin dekat. Pada mulanya wujud  slogan "ABU" yang bermaksud Asalkan Bukan UMNO, kemudian diikuti dengan "ABAI" yang merujuk kepada Asalkan Bukan Anwar Ibrahim.

Terkini pula ialah "TIBAI" yang merujuk kepada gelaran kepada seseorang pemimpin utama pakatan pembangkang. Nak tahu  maksudnya, bolehlah "google"kan di internet. Penulis tak gamak nak tulis sendiri di sini. Apapun penulis ucapkan selamat berkempen kepada semua rakyat Malaysia.Asalkan Jangan Gaduh, Udahle...AJAGU.."Peace ..no war"

Wallahualam

Sunday, April 22, 2012

Cerita Kekejaman Ibu Tiri Kini Adalah Mitos Semata-mata?

30 Jamadilawal 1433

Berita tentang seoarang bayi yang kini kritikal terlantar koma di hospital seolah-olah mengesahkan bahawa cerita berkenaan ibu tiri yang kejam adalah mitos semata-mata. Jika pada tahun lepas kita dikejutkan dengan kejadian seorang kanak-kanak yang maut disepak di padang permainan oleh "boyfriend" ibunya, kini kita dikejutkan lagi dengan kejadian seorang bayi yang menjadi mangsa kekejaman "boyfriend" ibunya pula. Berita ini boleh dirujuk di Kosmo Online.

Sebenarnya kekejaman kini bukannya datang daripada ibu tiri, tetapi datangnya daripada bukannya juga dari bapa tiri, tetepi"boyfriend" ibunya yang juga merupakan bakal bapa tiri kanak-kanak yang terkapai-kapai disebabkan mangsa penceraian kedua ibubapa mereka. Kalau dah jadi bapa tiri, entahlah, makin teruk agaknya. Agaknya berapakah pula bilangan kes-kes rogol dan penderaan oleh bapa-bapa tiri nanti?

Jika ibu tiri, penulis yakin takkanlah dia tergamak lakukan perkara sedemikian, walaupun drama-drama di Malaysia ini memaparkan kekejaman mereka. Rupa-rupanya kita ditipu oleh drama-drama yang ditayangkan yang mana ianya mungkin dibuat mengikut selera penerbit sahaja.

Wallahualam.

Saturday, April 21, 2012

Talian Internet Kembali Pulih: Terima Kasih TM

30 Jamadilawal 1433

Sedar tidak sedar rupa-rupanya akses kepada internet seakan telah menjadi elemen penting selain daripada air dan elektrik. Penulis merasakan demikian apabila berlakunya gangguan kepada capaian internet di rumah. Anak-anak yang selalunya berehat dirumah dengan menonton kartun-kartun di youtube mula meragam disebabkan gangguan berkenaan.

Penulis mengucapkan terima kasih kepada penyedia khidmat internet TM kerana mengambil masa yang begitu pantas menyelesaikan masalah berkenaan. Penulis hanya baru terbaca SMS pemberitahuan sebentar tadi dan SMS berkenaan telah dihantar kira-kira hanya 2 jam selepas laporan dibuat semalam. Terdapat juga 'missed call" mungkin daripada TM. Disebabkan keletihan penulis tertidur dan tidak perasan makluman berkenaan. Insyalaalah, aktiviti di alam siber selepas ini akan berjalan seperti sediakala.

Wallahualam.

Wednesday, April 18, 2012

Liga Perdana Inggeris (EPL) Bakal Boleh Ditonton Di Semua Saluran TV Di Malaysia

27 Jamadilawal 1433

TANJUNG MALIM 18 April , 2012 - Mulai 1 Mei ini, semua rancangan sukan termasuk Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak lagi dimonopoli oleh televisyen tertentu tetapi boleh disaksikan di stesen-stesen televisyen lain di negara ini.

Maklumat lanjut: UTUSAN ONLINE

Tuesday, April 17, 2012

Mana Ada Batu Ajaib?

26 Jamadilawal 1433

Penulis rasa kesianpun ada, rasa sedihpun ada dan kelakarpun ada bila mendengar ada pihak di Malaysia yang tertipu oleh warga asing dek kerana percayakan batu ajaib. Nampak gayanya makin banyak rakyat Malaysia yang dijangkiti penyakit sama ada penyakit gila kuasa politik ataupun gilakan kuasa magik, termasuklah taksub kepada cerita-cerita hantu yang tak mengembangkan minda.Nampaknya macam ada korelasi, disebabkan senang ditipu, maka tak hairanlah dalam politikpun ramai dikalangan rakyatpun nampak seolah senang ditipu oleh ahli-ahli politik. Contohnya ada dikalangan segelintir umat Islam sanggup melaungkan takbir di ceramah-ceramah yang penceramahnya yang pandai berkata-kata tetapi tidak beriman.

Berbalik pada bab batu ini, di dalam Islampun telah menegaskan bahawa mempercayai kekuasaan selain Allah S.W.T. adalah suatu bentuk penderhakaan yang besar ke atasNya. Apabila kita derhaka, maka musibahnya ialah kerugian di dunia dan akhirat. Maka kesimpulannya di sini, mana ada batu ajaib di zaman moden ini? Kalau batu itu ajaib, sah-sah sudah tentu pihak berkenaan tak akan jual kepada mana-mana pihak Nampaknya kita mudah ditipu lagi... .

Wallahualam

Monday, April 16, 2012

Penubuhan IKSIM Tepat Pada Masanya

25 Jamadilawal 1433


KUALA LUMPUR 16 April, 2012  – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menubuhkan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) bagi menangani cabaran dan ancaman yang menggugat akidah umat Islam di negara ini termasuk berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penubuhan institut itu sudah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja dan dijangka beroperasi hujung tahun ini.

“Kita sedang mencari tempat dan dana bagi memulakannya yang dijangka pada tahun ini kerana tidak memerlukan modal yang besar. IKSIM akan menjadi badan yang akan memikirkan pendekatan untuk menghadapi serangan terhadap Islam pada masa akan datang seperti isu LGBT,” katanya.

Maklumat lanjut:UTUSAN ONLINE

PTPTN: Pulangkan Sahaja ! Jangan Berdemonstrasi

25 Jamadilawal 1433

KUALA LUMPUR 16 April , 2012 – Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pelajar yang mahu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan sepatutnya memulangkan pinjaman mereka atau tidak mengambil pinjaman itu, bukan mengadakan tunjuk perasaan di jalan raya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, mereka yang mencadangkan agar kerajaan menghapuskan PTPTN pula perlu mencari jalan untuk memberi bantuan kewangan kepada pelajar berkenaan.

Kata beliau, penghapusan PTPTN akan memberi kesan bukan saja terhadap kos pendidikan, tetapi juga dalam pengagihan kemudahan yang turut memberi manfaat kepada golongan berada.

“Kalau anda hapuskannya, anda perlu menggantikannya dengan yang lain, yang mungkin melibatkan kos lebih besar, contohnya memberi pendidikan percuma kepada setiap orang. Dalam hal ini, golongan kaya juga akan menikmatinya,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Maklumat lanjut: UTUSAN ONLINE

Katakan Tidak Kepada Campurtangan Luar

25 Jamadilawal 1433

Berita bahawa ada pihak-pihak yang berpolitik di Malaysia mendapat tajaan dan sokongan dari badan-badan tertentu atau negara tertentu(negara luar) mengundang ketidakselesaan bagi diri penulis.Sesungguhnya jika dilihat pada sejarah lampau, sebarang campurtangan dari negara luar seringkali dibuktikan dengan tujuan ada udang sebalik batu.

Didalam cabaran persaingan ekonomi global yang semakin sengit, sebarang ketidakstabilan di sesebuah negara bakal memberi kelebihan kepada negara yang lain. Apa yang mampu penulis lakukan ialah sebagai rakyat Malaysia yang sayangkan keamanan dan kesejahteraan ialah dengan menasihati diri sendiri agar menjauhi daripada sebarang tindakan yang bakal menyusahkan ramai orang.

Penulis juga menyeru agar kita sebagai rakyat Malaysia menolak sebarang campurtangan pihak luar  dalam menentukan hala tuju negara ini sama ada dalam bentuk kewangan ataupun sokongan. Biarlah segala macam perbezaan pendapat dikalangan rakyat di negara ini diselesaikan sesama sendiri Kita tak mahu menang sorak kampung tergadai.
.

Wallahualam

Sunday, April 15, 2012

Aku Dan Puteri Nastasea

24 Jamadilawal 1433

Ketika penulis sedang menulis thesis malam ini, tiba-tiba tertonton bahagian akhir rancangan mentor yang menampilkan Rahmat dari kumpulan Mega yang menyanyikan lagu "takdir dan waktu" dan "bayangan gurauan".Dengan tak semena-mena maka terimbau semula kenangan masam manis di zaman remaja. Apapun selain daripada dua lagu di atas, lagu berjudul "puteri natasia" amat digemari penulis. Tak tahu kenapa, mungkin melodinya yang menyebabkan penulis sering rasa "senang" , namun bab liriknya tiada ada apa-apa makna bagi penulis.

Layan...



Wallahualam

Kenyataan Tun Mahathir Berkenaan Asal Usul PTPTN

24 Jamadilawal 1433

Tun Dr Mahathir pada hari ini membuat kenyataan tentang asal usul Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional PTPTN yang kini dipolitikkan oleh seseyengah pihak. Maklumat lanjut boleh dirujuk di URL berikut: http://www.bernama.com/bernama/v6/newsindex.php?id=659199

Sudah menjadi lumrah bahawa sejarah tidak melupakan kita sebaliknya kita yang sering sering alpa dan melupakan sejarah.

Wallahualam

Saturday, April 14, 2012

Remaja Ditikam Sehingga Mati-Penjenayah Semakin Berani

23 Jamadilawal 1433

Mungkin sudah takdir dan ajal bagi seorang remaja perempuan yang ditikam sehingga meninggal dunia ketika ke pasar malam malam semalam. Namun kejadian ini menunjukkan sesuatu perlu dilakukan kerana kejadian jenayah dilihat sudah sampai ke tahap yang sanggup dilakukan secara terbuka. Kejadian sedih ini telah dilaporkan di Buletin 1.30 di TV3 sebentar tadi. Mangsa dilaporkan menjadi mangsa keadaan kerana penjenayah tersilap dalam sasaran sebenar.

Namun,begitu kejadian ini menuntut agar kita sentiasa berhati-hati dalam semua keadaan. Namun punca permasalahan sebegini juga elok direnungkan bersama.

Wallhualam

Siapakah Asalnya Di Belakang Penubuhan PTPTN?

23 Jamdilawal 1433

Sudah menjadi prinsip dalam penulisan blog ini bagi mencari kebenaran atau melontarkan persoalan untuk direnungi bersama dan dicari fakta-fakta lanjut untuk diadili. Terkini ialah isu berkenaan demonstrasi meminta penghapusan  tabung PTPTN yang dijadikan perkara utama .Bagi penulis isu ini dibangkitkan bagi mendapat "kredit" menjelang pilihanraya umum(PRU) yang akan datang yang dijadualkan bila-bila masa sahaja. Ketuanya pula mungkin berpeluang menjadi calon pada PRU nanti setelah direhatkan daripada menyembung pelajaran oleh universiti yang beliau belajar. Namun penulis berharap agar mahasiswa-mahasiswi bersikap lebih rasional dalam hal ini. Menghapuskira pinjaman berkenaan sesungguhnya bakal melibatkan hak orang lain yang lebih memerlukan bantuan kewangan daripada kerajaan.

Kemudahan pinjaman PTPTN sebenarnya bukan sahaja dinikmati oleh anak-anak golongan pertengahan, tetapi juga layak dimiliki oleh golongan kaya. Sebaliknya bagi golongan miskin pula, selalunya saluran keutamaan ialah kepada anak-anak orang miskin sama ada di peringkat kerajaan atau badan-badan korporat.

Namun begitu dalam usaha berdemonstrasi bagi menyokong penghapusan dana berkenaan, tidakkah mahasiswa dan mahasiswi ketahui atau ingin mengetahui siapakah gerangan orang yang menubuhkan tabung berkenaan?Penulis tak nak menuduh sesiapa di sini, tetapi meminta  mahasiswa dan mahasiswi bersikap "educated" sedikit dalam mencari fakta dan lebih rasional kepada siapa yang perlu disalahkan dalam hal ini.

Penulis adalah salah seorang yang memprotes semasa fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)dalam memberi penajaan kepada pelajar universiti dipindahkan kepada tabung berkenaan, semasa penulis bergelar mahasiswa. Tetapi apa boleh buat, pada masa berkenaan, saluran media perdana telah dikuasai oleh seseorang pemimpin tertentu yang pernah menjadikan akhbar-akhbar perdana sebagai bahan propaganda beliau dalam menumbangkan timbalan perdana menteri ketika itu. Setiap kali dihantar artikel di ruangan forum, jangan haraplah akan disiarkan terutama isu-isu yang melibatkan kepentingan pemimpin tertentu. Masa itu facebook dan blog, ataupun internet pun belum ada lagi. Siapalah kita untuk pendapat kita didengari.

Penulis adalah antara "batch" terakhir dalam menerima penajaan atau pinjaman boleh ubah daripada JPA, sebelum fungsi pemberian pinjaman diambil oleh tabung berkenaan selepas beberapa tahun kemudian. Fungsi JPA kemudian  hanya dihadkan kepada pemberian biasiswa sahaja kepada pelajar cemerlang. Terdetik juga di hati apalah yang akan jadi pada adik-adik dan anak-anak kita pada masa akan datang, yang mana sudah tentu mereka bakal menghadapi cabaran yang lebih hebat dalam mendapat peluang melanjutkan pelajaran. Penulis tidak berapa pasti sama ada skim pinjaman boleh ubah masih ada dilaksanakan/dipraktikkan  di tabung berkenaan.

Jika fakta yang penulis utarakan ini didapati ada asasnya, kepada siapakah demonstrasi berkenaan wajar ditujukan? Penulis kagum dengan Datuk Sri Najib, kerana beliau tidak-sewenang-wenangnya menunding jari  kepada pihak yang melakukan kesilapan di masa lampau yang melibatkan parti pemerintah yang beliau warisi pada hari ini.Banyak perkara yang perlu beliau lakukan untuk memperbetulkan kelemahan-kelemahan di zaman lampau mengikut kesesuaian masa.Namun bagi menghukum beliau seorang dalam hal ini amat tidak adil tambahan orang yang menjadi saingan beliau bagi merebut jawatan Perdana Menteri sekarang ini juga banyak terlibat dalam menentukan dasar yang ada sekarang. Penulis tinggalkan semua persoalan ini untuk difikirkan bersama untuk kemaslahatan Umat Islam dan bangsa Malaysia.

Wallahualam

Friday, April 13, 2012

Menyampaikan Maklumat Secara Bertanggungjawab

22 Jamadilawal 1433

Dalam kita menulis di media sosial sehari-hari, kadangkala kita mungkin terlepas pandang sesuatu perkara. Ianya melibatkan kesahihan maklumat yang disampaikan sama ada dari segi berita atau cerita. Harus diingat apa yang ditulis di alam siber ini bakal diakses tanpa batasan oleh para pelayar internet setiap masa selama 24 jam sehari secara tanpa batasan dan post anda mungkin kekal selagi ada hayat dunia ini.  Bayangkanlah juga, jika berita atau pengetahuan yang diletakkan di blog-blog atau di media sosial yang lain, jika dapat dimanfaatkan oleh orang yang lain, dan diniatkan pula untuk mendapat keredhaan Ilahi semata-mata, maka insyaallah ganjaran pahala yang tak terbatas juga bakal menjadi habuan kita.

Namun, bayangkan juga jika maklumat yang disampaikan ada berunsurkan fitnah, maka malapetaka lah juga yang bakal menanti kita. Oleh yang demikian, penulis menasihatkan diri penulis dan pembaca yang lain, di kala keterujaan menulis, agar sentiasa berhati-hati dalam setiap aspek penulisan.Antara cadangan atau tip yang boleh dipertimbangkan ialah dengan tidak meletakkan nama orang yang berkenaan (jika melibatkan isu -isu individu) atau meletakkan kenyataan seperti "jika berita ini benar", sebelum membuat ulasan peribadi. Selamat mencuba..

Wallahualam

Kenapa Perlu Menghina?

21 Jamadilawal 1433

Berita berkenaan beberapa pemimpin politik yang mengejek-ngejek semasa istiadat pertabalan Yang Dipertuan Agong amat mendukacitakan. Ini kerana, sebagai rakyat Malaysia yang berpaksikan perlembagaan sedia ada, perkara sebegini tidak perlu berlaku. Sebaiknya kita perlu berpegang, "di mana bumi dipijak, di situlah langit dijunjung". Jika merasakan negara ini tidak sesuai dengan jiwa, mereka boleh menyerahkan kerakyatan dan mencari negara-negara lain yang lebih aman dan secocok dengan citarasa mereka.

Dalam laporan sebuah akhbar perdana di Malaysia hari ini, seorang petugas perubatan yang turut serta dalam istiadat pertabalan Yang di-Pertuan Agong XIV, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara semalam menzahirkan rasa kecewa terhadap beberapa pemimpin politik yang didakwanya mempersenda dan mengejek Raja-raja Melayu.

Maka apakah, ini semakin jelas bahawa sudah ada usaha-usaha pihak yang tertentu yang cuba mengadu domba , menghina dan cabar mencabar antara satu sama lain. Apakah keharmonian negara selama ini perlu dibiarkan untuk dirosakkan oleh mereka-mereka ini? Tepuk dada, tanya iman.

Wallahualam

Thursday, April 12, 2012

Laksa Beras Sungai Bakau Kini Di Sungai Buloh

21 Jamadilawal 1433

Penulis hari ini telah tersempak dengan sebuah gerai laksa di Sungai Buloh, berdekatan Masjid Bandar Baru. Mulanya penulis rasa macam kenal aje kelibat salah seorang peniaga berkenaan. Rasanya macam Pak Teh Azmi, adik kepada Ak'(Pak Ishak, Imam yang menjual laksa beras di Sungai Bakau , di Kampung Penulis).Penulis agak was-was pada mulanya kerana imej beliau sekarang semakin warak berbanding semasa penulis kecil dahulu, ditambah dengan jambangnya yang tebal, ala-ala orang tabligh.

Bila pergi dekat gerai berkenaan, bau kuah laksapun mula tertusuk dihidung , macam kenal aje baunya dan ianya  meyebabkan penulis semakin yakin. Mulanya beliau tidak kenal penulis. Apabila penulis memperkenalkan, penulis ini siapa , anak siapa dan asal dari mana, barulah Pak Teh kenal.Maklumlah dah lama beliau merantau di sini berbanding dengan penulis.Selepas itu barulah beliau kenal  sebab abang ipar penulis mempunyai hubungan kekeluargaan dengan beliau.

Penulis begitu teruja lantaran kerana dah lama tak pekena kuah laksa dari Sungai Bakau. Imam Ishak pun khabarnya dah tak meniaga lagi di sana. Patutlah setiap kali pulang ke kampung , penulis sudah tidak nampak lagi kelibat gerai bermotosikal yang menjual laksa beras di sana.

Namun alhamdulillah, kalau nak lepas gian selera laksa berkenaan lepas ni, penulis tak perlu balik kampung lagi. Kat Sungai Buloh pun ada ..Hu..Hu..

Wallahualam

p/s : penulis siap dapat free lagi cucoq udang  mee rebus dari Pak Teh untuk diletak dalam laksa. Pak Teh kata, orang kat sini tak makan laksa dengan cucoq.Itu sebab dia tak letak. he.he.. Hidup cucoq...cucoq forever, dulu ,kini dan selamanya..

Wednesday, April 11, 2012

Gempa Bumi Di Sumatra, Tiada Tragedi Yang Tak Diingini, Alhamdulillah

20 Jamadilawal 1433

Alhamdulillah, walaupun negara dikejutkan dengan kesan gegaran kuat dari negara jiran semalam, tiada kejadian yang tak diingini yang dilaporkan berlaku setakat ini. Semalam, satu gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter melanda luar pantai Sumatera, petang ini mencetuskan panik di kalangan penduduk, yang bergegas keluar dari kediaman masing-masing bimbang tsunami pada 2004 berulang.

Suasana cemas ini turut dilaporkan berlaku di sekitar pantai barat semenanjung Malaysia seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak terutama di kawasan yang berada di tepi-tepi laut apabila amaran tsunami dikeluarkan.Namun begitu ,amaran Tsunami telah ditarik balik pada pukul 10 malam semalam, kata Jabatan Mateorologi Malaysia (JMM).Namun, para penduduk dinasihatkan menjauhi kawasan pantai buat sementara waktu sebagai langkah berjaga-jaga.

Wallahualam

Gempa Bumi Kuat Gegar Aceh, Gegaran Dirasai Di Semenanjung Malaysia

20 Jamadilawal 1433

Bernama telah melaporkan di KUALA LUMPUR, 11 April ,2012- bahawa beberapa negeri di pantai barat Semenanjung Malaysia merasai gegaran ekoran gempa bumi kuat berukuran 8.7 pada skala Richter di Acheh, Sumatera Utara Indonesia pada Rabu.

Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran kepada orang ramai menjauhi kawasan pantai di Kedah, Perlis, Langkawi, Pulau Pinang dan Perak yang berpotensi berlakunya tsunami.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Azizan Ismail ketika dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan berkata gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

Gegaran dirasai kira-kira pukul 4.50 petang.

Beliau berkata pihak bomba dari lima balai di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur bergegas ke beberapa kawasan yang merasai gegaran itu selepas menerima maklumat dari orang ramai.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan kira-kira 4.47 petang mengenai gegaran yang dirasai di beberapa tempat seperti Ampang dan Jalan Tun Razak.

Dalam pada itu, warga kerja di bangunan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut merasai gegaran yang berlaku selama kira-kira 10 minit.

Di KANGAR, gegaran kecil turut dirasai di beberapa lokasi di Perlis, antaranya di Flat Seri Sena di Kampung Bakau yang menyebabkan penghuni flet 12 tingkat itu meninggalkan kediaman mereka dan berkumpul di tempat letak kereta bangunan itu.

Petugas di Bangunan KWSP yang turut menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan turut merasai gegaran kecil selama beberapa minit.

Di SELANGOR, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima lebih 30 panggilan daripada orang awam berhubung gegaran yang mereka dirasai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan pertama pada 4.48 petang daripada orang awam di sekitar kawasan Ampang.

"Panggilan turut diterima daripada penduduk awam di Kajang, Klang, Petaling Jaya, Puchong, Shah Alam, Semenyih, Sabak Bernam, Tanjong Karang, Pandan dan Damansara," katanya ketika dihubungi Bernama.

Di PULAU PINANG Dua gegaran dirasai sekitar George Town, Balik Pulau, Bayan Lepas, Batu Feringghi, Teluk Bahang, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Kepala Batas dan Nibong Tebal.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Azmi Tamat berkata pihaknya menasihati pengunjung supaya tinggalkan kawasan pantai manakala nelayan diminta agar tidak turun ke laut bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Tinjauan Bernama di sekitar pusat bandar mendapati orang ramai yang berada di pusat beli belah seperti Komtar, Prangin Mall dan 1st Avenue bertindak mengosongkan premis apabila merasai gegaran selama lima minit itu.

Tinjauan di Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi pula mendapati anggota keselamatan iaitu polis serta bomba menjalankan rondaan manakala kawasan pantai lengang.

DI KEDAH Gegaran dirasai penduduk di sekitar Alor Setar, Langkawi, Kulim dan Baling.

Tinjauan Bernama di Alor Setar mendapati orang ramai berkumpul di luar bangunan sebaik merasai gegaran itu.

Petugas Bernama di pejabat Biro Kedah turut merasai gegaran selama hampir dua minit bermula kira-kira 6.45 petang.

Di Langkawi, kakitangan dan tetamu hotel bergegas keluar sebaik gegaran dirasai manakala Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengarahkan pelancong supaya menghentikan semua aktiviti di laut.

Ketua Balai Bomba Langkawi Yaakob Hassan berkata pihaknya belum menerima aduan mengenai kejadian yang tidak diingini ekoran gegaran tersebut namun bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan buruk.

Di PERAK Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan antaranya Parit Buntar, Kamunting, Ipoh, Seri Manjong, Bidor, Bagan Serai dan Teluk Intan.

Di JOHOR Gegaran dilaporkan di Hotel Puteri Pacific Hotel dan flat Seri Impian di Johor Baharu dan Hotel Katerina di Batu Pahat.

Di TERENGGANU Beratus-ratus penghuni flat Ladang Gemilang di Kuala Terengganu bergegas menyelamatkan diri apabila kediaman mereka bergegar pada 4.30 petang.


Sumber-BERNAMA

Penulis menyeru agar kita semua mendoakan agar kita dan semuanya berada dalam keadaan yang selamat hendakNya.

Wallahualam

Kenapa Rahsiakan Kunjungan?Ada Udang Dalam Mee Ke?

19 Jamadilawal 1433

Berita kunjungan ahli-ahli parlimen utama parti pemerintah di negara jiran terletak di selatan Semenanjung secara rahsia ke Pulau Pinang baru-baru ini seharusnya mencetuskan kecurigaan ke atas rakyat Malaysia. Berita ini telah mendapat laporan di salah satu akhbar utama negara ini. Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, sudah semestinya segala bentuk kemakmuran di negara ini bakal mendatangkan kebimbangan dan kelebihan dalam daya saing di mana-mana negara jiran. Begitu juga sebaliknya, jika berlaku ketidakseimbangan, negara-negara tertentu bakal mendapat kelebihan.

Sudah masanya parti yang menguasai negara ini atau rakyat negara ini melakukan yang sama kepada pihak pembangkang di negara berkenaan.Masa untuk menghormati ada kalanya perlu ada had tertentu. Penulis melihat perkembangan ini sebagai salah satu cubaan mencabuli kehermatan kedaulatan negara ini.Akhir-akhir ini banyak petunjuk yang semakin jelas bahawa semakin banyak unsur hasutan dari negara luar ke atas keselamatan dan ketenteraman sedia ada di negara ini.Apakah kita harus membiarkan sahaja situasi ini sampai tahap bak  nasi sudah menjadi kerak? Penulis lontarkan persoalan ini untuk renungan bersama.

Wallahualam

Tuesday, April 10, 2012

Bersih 3.0 Yang Remeh Temeh

19 Jamadilawal 1433

Rasa yang makin meluat timbul di dalam diri ini apabila mendengar ada pihak yang mahu menganjur perhimpunan yang kononnya Bersih buat kali ke 3 di ibu negara hujung bulan ini. Nampaknya penulis terpaksa mengambil cuti sekali lagi bagi mengelakkan kesesakan jalan raya yang teruk. Kalau tidak alamatnya makan asap la di jalan atau di lebuh raya disebabkan kesesakan tersebut.

Bagi penulis , perhimpunan berkenaan tidak perlu. Bersih sangatkah hati dan tindakan mereka yang menganjurkan perhimpunan berkenaan?. Antara sebab-sebab penulis tidak bersetuju ialah:

1. Ianya menyusahkan orang ramai yang hendak mencari rezeki dan menjejaskan para peniaga.
2. Ianya bakal mengundang risiko keselamatan dan adu domba di kalangan umat Islam dan rakyat Malaysia.
3. Ianya hanya merupakan propaganda politik pihak tertentu yang amat gilakan kuasa.
4. Ianya tidak mencerminkan gaya politik secara Islam
5. Dan lain-lain lagi.

Jika sebelum ini, ada dikalangan rakan mereka yang menganjurkan perhimpinan ini yang telah telah menghalang perarakan Maulidurrasul di negeri yang mereka perintah, penulis berpendapat, perhimpunan seperti ini sepatutnya langsung tidak perlu kedengaran.Jika sebelum ini ada pihak kerana hendak mandapat keuntungan politik sanggup menghalalkan cara  bagi menyokong tindakan rakan-rakan itu , dengan mengeluarkan fatwa bahawa perarakan Maulidurrasul adalah bidaah, apa pulak hukumnya perhimpunan ini?Penulis tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama.

Jika isu murtad dikatakan tidak penting dan ianya tanggungjawab kerajaan pusat menanganinya, kenapa pulak mereka sanggup berguling di jalan raya bagi mempertahankan rakan-rakan pemimpin bukan Islam mereka yang selama ini banyak membuat kenyataan mencabar hak dan kepentingan Islam dan meremehkan isu murtad.

Penulis berharap kita semua diberikan hidayah oleh Allah S.W.T. agar memikir semula sedalam-dalamnya sebarang tindakan kita. Ini kerana kita tidak mampu lagi mempunyai para Pak Pandir di negara ini yang asyik bersorak tetapi kampung mereka targadai.

Wallahualam

Selamat Bercuti Sempena Pertabalan Yang Dipertuan Agong Baru

19 Jamadilawal 1433

Selamat bercuti diucapkan kepada semua penduduk dan rakyat Malaysia sempena pertabalan Yang Dipertuan Agong yang baru yang bakal dilaksanakan di Istana Jalan Duta esok 11 April 2012 bersamaan dengan 19 Jamadilawal 1433 Hijrah.. Semoga dengan pemerintahan baginda dapat meningkatkan kemakmuran negara Malaysia ke peringkat yang lebih baik lagi. Semoga negara Malaysia ini terus dirahmati Yang Maha Esa dan dibawah lindunganNya dari sebarang kejadian-kejadian yang tidak diingini.

Sumbangan kita sebagai rakyat marhain adalah dengan mengekalkan keharmonian antara satu sama lain dan mengelakkan sebarang bentuk persengketaan.

Wallahualam

Monday, April 9, 2012

Tunaikanlah Janji, Jangan Berbohong

18 Jamadilawal 1433

Barang siapa yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji, maka dia tidak layak menjadi pemimpin. Itu adalah kriteria yang penulis pegang bagi membuat keputusan mengundi pada pilihanraya yang akan datang. Walau bagaimana sekalipun alasan yang diberikan, bagi penulis, matlamat tidak menghalalkan cara.

Ini termasuklah dari kalangan pemimpin yang menganggotai parti yang mendakwa memperjuangkan Islam. Jika apa yang dikata tidak dikota dan tindakan tidak sama dengan apa yang dijanjikan, maka ianya juga boleh dianggap melanggar prinsip berkenaan dan perlu diketepikan. Yang benar tidak boleh dicampuradukkan dengan yang batil.

Jika tidak ada mana-mana pemimpin yang menepati sebenarnya kriteria yang dikehendaki sekalipun, maka penulis akan memilih pihak yang paling kurang ,mendatangkan kemudaratan kepada umat. Namun begitu, jika sekiranya sikap suka berbohong sudah ada pada pemimpin-pemimpin tertentu, maka ianya sudah jelas menunjukkan kepimpinan mereka-mereka yang berkenaan boleh dipertikaikan dan tidak boleh diterima pakai.

Wallahualam

Bolasepak : Jangan Salahkan Penonton Jika Stadium Kosong

18 Jamadilawal 1433

Meluat !Meluat! Meluat! apabila mendengar berita berkenaan krisis kepimpinan pengurusan Bolasepak Malaysia. Bagi penulis isu berkenaan amat remeh dan telah banyak masa, tenaga,wang dan emosi dihabiskan dalam menangani isu berkenaan. Malang sekali apabila negara jiran sudah mampu menawarkan kontrak jutaan ringgit kepada pemain, pengurusan bolasepak di Malaysia masih di takuk lama.

Apa yang pasti sebagai peminat, penulis amat berasa kecewa. Bubarkan sahaja persatuan sedia ada dan biarlah sukan berkenaan diuruskan oleh bekas-bekas pemain sahaja.Jika tidak, jangan salahkan penonton dengan tuduhan tidak patriotik dan sebagainya jikalau stadium kosong apabila melibatkan perlawanan pasukan negara di masa akan datang. Dalam hal ini, siapa yang tak patriotik? Bukankah pemimpin persatuan berkenaan yang asyik bercakaran, mementingkan diri sendiri dan gilakan kuasa yang bersikap tidak patriotik? Memang sahlah di Malaysia sekarang , semuanya hendak dipolitikkan.


Wallahualam

Saturday, April 7, 2012

Terima Kasih

16 Jamadilawal 1433

Penulis ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para pengunjung yang telah berkunjung ke blog ini. Penulis akan sedaya upaya membalas kunjungan rakan-rakan yang telah meninggalkan jejak mereka sama ada di ruangan komen atau di chatbox.

Penulis juga selalunya membalas jejak dengan mengkelik iklan-iklan di blog kepunyaan mereka, jika ada. Namun kadangkala agak sukar bagi yang tidak mempunyai chatbox atau ruangan komen yang memerlukan pengesahan kata atau simbol-simbol tertentu.Oleh yang demikian, jejak tak dapat ditinggal.

Apapun diharapkan setiap pengunjung akan mendapat manfaat apa yang ada di laman ini. Yang baik boleh dijadikan tauladan dan yang tak baik dijadikan pengajaran. Yang baik juga datangnya dari yang Maha Esa dan yang lemah adalah kelemahan penulis sendiri.

Terima kasih semua dan teruskan kunjungan dan mengeratkan hubungan sesama kita di alam siber ini.

Wallahualam

Friday, April 6, 2012

Dialah Kekasihmu

15 Jamadilawal 1433

Jika engkau merasakan dirimu diketepikan
Ketahuilah bahawa Dia sentiasa bersamamu
Jika engkau merasa kesunyian
Dialah yang sebenarnya senantiasa menghiburmu

Jika engkau merasakan bahawa dirimu tidak dihargai
Ketahuilah bahawa Dia sentiasa menghargaimu
Jika engkau merasakan dirimu tidak dicintai
Dialah yang Maha mengasihimu

Jika engkau merasakan dirimu tidak disanjungi
Ketahuilah bahawa Dia sentiasa memuliakanmu
Jika engkau merasa miskin dan hina
Dialah yang menunggu agar engkau meminta kepadaNya

Jika engkau merasakan bahawa dirimu melakukan dosa dan merintih serta menyesalinya
Ketahuilah bahawa Dia sentiasa mengampunimu
Jika engkau bersedih, orang tersayang meninggalkanmu
Dialah yang akan menyambut kembalimu kepadaNya bila sampai akhir hayatmu

Dialah sebenarnya kekasihmu
Kekasihmu itu kembali kepadamu atas RahmatNya atas jiwamu yang tenang.

Thursday, April 5, 2012

Buka Mata Buka Hati

14 Jamadilawal 1433

Suasana politik umat Islam di seluruh dunia ketika ini boleh dikatakan amat suram bak mendung meliputi alam.Peperangan berlaku di sana sini di mana darah saudara seislam telah dihalalkan untuk dibunuh sesama sendiri dek kerana berebut kemuliaan di dunia. Lebih malang musuh sendiri semakin disanjung. Fatwa dikeluarkan sewenang wenangnya bagi menghalalkan cara.Ternyata umat Islam telah jatuh dalam suasana adu domba.

Tak kurang hebat juga suasana yang berlaku di negara ini. Sahabat-sahabat yang berjuang demi Islam dahulunya kini berseteru. Ada yang telah disingkirkan dari jemaah. Caci mencaci sesama sendiri kini menjadi santapan harian. Musuh semakin dilihat menjadi idola dan dilihat benar belaka. Nasihat dan rintihan pengikut dipandang sepi oleh para pemimpin yang makin gilakan kekuasaan. Nasihat dan teguran dibalas dengan tohmahan bahawa suara-suara kecil ini adalah dari hasutan pihak lawan.

Hak dan kepentingan agama semakin dijadikan pertaruhan. Ada yang sanggup menyabung nyawa demi mendapat sokongan peti undi. Tetapi memandang sepi bila mana isu murtad dan kepentingan lain diratapi oleh umat dan pengikut setia selama ini.

Ya Allah berikanlah kekuatan kepada kami semua. Satukanlah hati kami pada jalanMu.Jauhilah kami dari perpecahan. HambaMu ini adalah insan kerdil yang tak mampu mengumpulkan beribu pengikut untuk mengaminkan doa ini. Tetapi hambamu ini yakin bahawa Engkau Maha mendengar rintihan ini. Sesungguhnya Engkau tidak menyalahi janji. Ameen.

Wallahualam

Cinta Ibu Bapa

13 Jamadilawal 1433

Berita tentang remaja lari rumah seolah seakan-akan menjadi isu bermusim. Yang menjadi lebih malang , isu penculikan juga mengalami keadaan yang sama. Seolah tiada tindakan konkrit dan jangkamasa yang panjang bagi membendung gejala berkenaan.

Namun bagi penulis, bagi isu seperti remaja lari rumah perlu diberi perhatian oleh kesemua masyarakat. Lebih-lebih lagi bagi yang lari mengikut pendatang -pendatang tanpa izin atas nama cinta dan sebagainya.Yang melibatkan penduduk tempatan pula selalunya melibatkan duda atau suami orang.Ironinya, keluarga mana yang tidak akan mengongkong jika anak-anak mereka dipengaruhi oleh pendatang-pendatang berkenaan atau pihak luaran? Maka jika ini berlaku sudah semestinya konflik keluarga akan berlaku.Malaysia perlu menguatkuasakan atau mengadakan undang-undang bagi menghalang mana-mana pihak yang melarikan remaja bawah umur daripada keluarga mereka.

Kepada anak-anak remaja, anda perlulah menilai kasih sayang sebenar. Kasih sayang ibu bapa tidak akan terputus jika dibandingkan dengan kekasih hati yang anda cintai. Mungkin baru-baru kenal, anda akan melihat wajah kekasih anda bak bagaikan seperti Amithabachan, tetapi lama-lama anda akan dapati ianya akan kelihatan macam belacan. Ataupun kecantikan buah hati anda dilihat seolah-olah seperti Kajol, tetapi lama-lama anda mungkin kojol disebabkan tingkah lakunya menyakitkan hati. Kekasih anda bila-bila masa boleh menceraikan anda atau meninggalkan anda. namun , hubungan ibu dan bapa akan terus kekal ke akhir hayat di dunia dan akhirat.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam membuat keputusan dalam hidup.

Wallahualam

Tuesday, April 3, 2012

Kayapun Susah Juga

12 Jamadilawal 1433

Penulis turut bersimpati dengan berita penceraian salah seorang penyerang bolasepak terkenal di Malaysia pada masa kini. Difahamkan beliau adalah  yang pertama menjadi jutawan disebabkan ikatan kontrak beliau dengan sebuah kelab di luar negara baru-baru ini.

Agak sayang, kerana kejayaan berkenaan tidak selari dengan kebahagiaan rumah tangga beliau. Apalah guna wang berjuta jika anak-anak terpaksa dibahagikan kasih sayang disebabkan penceraian ibu bapa? Penulis berharap dan mendoakan agar pemain berkenaan dan pasangan berbaik semula demi kebahagiaan anak-anak mereka. Sesungguhnya ini bakal menjadi pengajaran bagi diri penulis dan para pembaca yang lain.

Menguruskan isteri atau wanita serta anak-anak bukan mudah seperti kita bermain bola. Wanita tidak dijadikan dari tulang kaki atau tangan untuk ditangankan, sebaliknya dijadikan dari tulang rusuk yang berdekatan dengan hati lelaki untuk dilindungi dan disayangi.

Jika diberi pilihan dengan harta berjuta-juta dan kasih sayang keluarga, apakah pilihan kita? Penulis tingalkan persoalan ini untuk renungan semua.

Wallahualam

Sunday, April 1, 2012

Nak Buat Seminar Berkenaan Islampun Hendak Dipertikaikan?

9 Jamadilawal 1433

Hati penulis terguris bila mendengar ada pihak bukan Islam mempertikaikan penganjuran seminar berkaitan Islam di Johor seperti yang dilaporkan di Utusan di KUALA LUMPUR 29 Mac 2012. Hinggakan memaksa menteri berkaitan membuat kenyataan bahawa Seminar pemantapan akidah anjuran Jabatan Mufti Johor dan Jabatan Pelajaran negeri itu Sabtu ini tidak bertujuan menyinggung sensitiviti mana-mana pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, seminar tersebut adalah untuk menjaga kepentingan umat Islam di negeri berkenaan.

“Tanggungjawab menjaga kepentingan umat Islam diletakkan di bawah tanggungjawab majlis-majlis agama Islam negeri dan pelbagai program diatur bagi tujuan tersebut.

“Saya percaya penganjur seminar berkenaan telah mengambil kira tentang semua aspek dan tidak berniat untuk menimbulkan perkara-perkara negatif," jelasnya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Lembaga Tabung Haji (TH) Wilayah Persekutuan di Ibu Pejabat TH di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan portal berita The Malaysian Insider semalam, berhubung kenyataan Moderator Belia Majlis Gereja Malaysia (CCM), Chrissane Chin yang mempertikaikan penganjuran seminar tersebut.

Bagi penulis ini adalah penghinaan kepada umat Islam di Malaysia yang mana termaktub dalam perlembagaan negara yang menyatakan bahawa Islam adalah agama rasmi di Malaysia.Dengan perkembangan ini , Penulis menyeru agar lebih banyak seminar berkenaan diadakan di negara ini. Bersamalah kita berjuang dan bersatu dalam memantapkan akidah di kalangan kita semua.

Wallahualam

Sumber- UTUSAN

Masuk Syurga Hanya Dijanjikan Allah Kepada Manusia Beriman

9 Jamadilawal 1433

YAN, 1 April , 2012- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata masuk syurga hanya dijanjikan oleh Allah swt kepada manusia yang beriman dan bertakwa dan tidak pernah dijanjikan kepada manusia yang menyokong parti politik tertentu.

"Syurga ini bukan milik manusia tetapi milik Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis Ceramah Politik Semasa di Kampung Selengkoh di sini malam tadi.

Sumber: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...