Jom Follow.....

Sunday, October 13, 2013

Kerajaan Malaysia Menang Rayuan, Herald Dilarang Guna Kalimah Allah

9 Zulhijjah 1434

The Herald, penerbitan mingguan Katolik dilarang daripada menggunakan kalimah Allah.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan membuat keputusan sebulat suara di sini Isnin untuk membenarkan rayuan kerajaan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2009 yang membenarkan penerbitan itu menggunakan kalimah "Allah" untuk merujuk kepada "Tuhan".

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali yang mempengerusikan panel tiga anggota hakim berkata ia dianggap dapatan mahkamah bahawa Kementerian Dalam Negeri tidak bertindak dalam apa-apa cara yang mewajarkan campur tangan badan kehakiman mengenai keputusannya melarang penerbitan itu menggunakan kalimah Allah.

"Mengenai keterangan di hadapan kita juga kami berpuas hati bahawa bahan rujukan yang mencukupi telah dipertimbangkan oleh menteri (dalam negeri) dalam melaksanakan tugas dan kuasa berkanun mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984," katanya.

Beliau berkata ia juga penghakiman mahkamah bahawa keadaan yang ditetapkan oleh Kementerian Dalam Negeri dalam permit penerbitan Herald melarang The Herald daripada menggunakan kalimah "Allah" tidak melanggar mana-mana hak perlembagaan gereja.

"Ia merupakan dapatan bersama kami bahawa penggunaan nama "Allah" bukan sebahagian daripada kepercayaan dan amalan agama Kristian," kata Hakim Apandi yang membaca ringkasan keputusan itu.

Dua lagi hakim dalam panel itu ialah Datuk Abdul Aziz Abd Rahim dan Datuk Mohd Zawawi Salleh.

Pada 16 Feb, 2010, Ketua Paderi Gereja Roman Katolik Tan Sri Murphy Pakiam memfailkan permohonan semakan kehakiman menamakan Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan sebagai responden, menuntut antara lain, perisytiharan bahawa keputusan kementerian melarang penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan The Herald adalah tidak sah.

Penerbitan mingguan itu yang diterbitkan dalam empat bahasa, telah menggunakan kalimah 'Allah' untuk merujuk kepada "Tuhan" dalam edisi bahasa Malaysia, khusus untuk penduduk di Sabah dan Sarawak.

Pada 31 Dis, 2009, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan keputusan Kementerian Dalam Negeri melarang The Herald menggunakan kalimah itu adalah salah di sini undang-undang, tidak sah dan batal.

Sumber berita: BERNAMA

Thursday, October 10, 2013

Ribut Melanda Arafah

6 Zulhijjah 1434

Menurut laporan BERNAMA ,hujan ribut di Arafah petang semalam yang mengakibatkan beberapa buah khemah jemaah Malaysia runtuh tidak menjejaskan persiapan Tabung Haji (TH) untuk urusan ibadah wukuf di Arafah empat hari lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata khemah-khemah yang runtuh itu adalah yang belum siap dipasang dan belum lagi diikat.

Katanya, hujan dan banjir kilat menjelang musim haji adalah perkara biasa dan pengurusan TH sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

"Menjelang musim haji, kedua-dua masjid iaitu Masjidil Haram dan Masjidil Nabawi di Medinah akan mengadakan solat hajat dan berdoa memohon hujan dan hujan menjelang musim haji adalah perkara biasa.

"Berdasarkan pengalaman-pengalaman lepas... Insya-Allah kita akan gunakan pengalaman itu untuk meningkatkan persiapan kita," katanya kepada pemberita di Makkah, Khamis.

Beliau menafikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerajaan Arab Saudi telah menghalang jemaah haji memasuki tanah suci ekoran cuaca buruk dan banjir di Arafah itu.

Jamil Khir berkata semua jemaah haji Malaysia telahpun memasuki tanah suci Makkah dan tiada seorangpun jemaah yang datang melalui TH menghadapi sebarang masalah.

"Ada berita yang saya dengar terdapat jemaah daripada syarikat atau ejen swasta yang tidak diiktiraf dan tidak berdaftar dengan Tabung Haji kini menghadapi masalah visa haji dan mereka tersangkut di lapangan terbang di ibu negara," katanya.

Sementara itu, TH dalam kenyataannya di Makkah berkata dakwaan kononnya Terminal Haji di Lapangan Terbang King Abdul Aziz Jeddah ditutup ekoran cuaca buruk adalah tidak benar.

"Terminal Haji itu ditutup pada Rabu adalah kerana tiada lagi penerbangan haji yang akan mendarat mengikut jadual dan visa haji yang dibenarkan oleh pihak kerajaan Arab Saudi," menurut kenyataan itu.

Kesemua khemah yang mengalami kerosakan telah dibaiki Khamis dan cuaca dilaporkan kembali panas sekali gus akan mengeringkan khemah-khemah yang basah.

Jemaah haji akan memulakan ibadah haji dengan berwukuf di Arafah pada 14 Okt ini.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...