Jom Follow.....

Tuesday, May 21, 2013

MAS Pamer Layanan Mesra Ala Malaysia Tanpa Sempadan

12 Rejab 1434

Penerbangan Malaysia (MAS) memberi layanan di luar perkhidmatan mereka dengan membantu menyediakan semua prosedur bagi membawa pulang dari Vietnam seorang rakyat negara ini bersama bayi perempuan berusia 14 bulan, yang dihalang menaiki pesawat tambang murah.

Izan Suhaila Mohd Ali, 36, dan Mariam Sofea Mohd Reza dihalang menaiki pesawat tambang murah itu di Lapangan Terbang Ho Chi Minh pada Sabtu malam selepas bayi perempuan berkenaan disyaki mempunyai simptom penyakit berjangkit.

Ketua Pegawai Eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya berkata petugas MAS membawa Mariam Sofea berjumpa seorang doktor kerana langkah itu adalah prosedur standard untuk semua penumpang yang memiliki simptom penyakit berjangkit bagi memperoleh sijil layak menaiki pesawat.

Ini bagi memastikan tidak ada penumpang yang mendatangkan risiko kesihatan kepada penumpang lain, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata doktor kemudian mengesahkan bayi itu tidak lagi dijangkiti dan sudah melepasi tempoh inkubasi manakala bintik hitam di tubuh Mariam Sofea sebenarnya keruping.

"Sejurus selepas itu, MAS membantu menyediakan dokumen perjalanan untuk Izan, Maryam Sofea dan dua lagi saudara mereka. Mereka ditempah untuk penerbangan MH759 yang berlepas dari Ho Chi Minh semalam agar tidak perlu lagi bermalam di sana sekali gus terpaksa berbelanja lebih," katanya.

Ahmad Jauhari berkata petugas MAS dari Saigon turut menghantar keluarga itu ke lapangan terbang dari hotel mereka, dan apabila tiba di lapangan terbang, pasukan perkhidmatan di situ sudah bersedia dengan semua dokumentasi yang diperlukan bagi memastikan daftar masuk pantas.

"Seorang petugas diarah mengiringi keluarga itu bagi pemeriksaan Imigresen dan Kastam. Ini penting kerana terdapat persoalan berhubung cop dalam pasport mereka berikutan insiden hari sebelumnya," katanya.

Izan dan keluarganya berjaya menaiki penerbangan MH759 dan berlepas dari Saigon ke tanah air pada 4.40 petang.

Ahmad Jauhari berkata pihaknya gembira pasukan petugas MAS di Saigon memberi layanan mesra 100 peratus ala Malaysia dalam situasi ini.

Beliau berkata keupayaan pasukan itu bertindak di luar tugas mereka perlu dipuji, dan turut membanggakan mereka tidak melanggar mana-mana peraturan dalam prosedur standard.

"Saya secara peribadi ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua petugas yang terlibat secara langsung dalam kes ini," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, May 13, 2013

Perpaduan Perintah Allah

4 Rejab 1434

Seruan perpaduan antara UMNO dan Pas wajib disahut para pemimpin kedua-dua parti itu kerana merupakan perintah Allah SWT selain sunah Rasulullah SAW.

Bekas Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata, pemimpin kedua-dua parti terutamanya Pas tidak boleh menafikan seruan itu kerana terdapat ayat-ayat al-Quran yang mengajak umat Islam ke arah tersebut.

Selain itu, menurut beliau, terlalu banyak hadis yang memerintahkan umat Islam bersatu.

Malah, katanya, Pas sendiri tidak boleh lari daripada menerima perintah itu kerana Perlembagaan parti berkenaan jelas menyatakan hukum tertinggi dalam pegangan Pas ialah kitabullah (al-Quran), sunah Rasulullah, ijmak ulama dan qias.

"Sekiranya Pas benar-benar merujuk al-Quran dan hadis sebagai sumber hukum tertinggi, pemimpin-pemimpin Pas wajib menerima seruan perpaduan ini.

"Mereka perlu membuang segala ego dan dendam terhadap UMNO demi melaksanakan perintah Allah. Ingatlah, pemimpin-pemimpin dan ahli-ahli UMNO adalah orang Islam yang wajib kita anggap mereka sebagai saudara seagama," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas desakan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa supaya agenda perpaduan orang Melayu dan umat Islam menerusi 'lapangan' kerjasama UMNO dan Pas diteruskan bagi memastikan bangsa serta agama Islam dapat diperkasa sepanjang zaman.

Nasharuddin turut mengajak pemimpin Melayu Islam menginsafi realiti masa depan bangsa dan agama yang kini mula dirobek pihak-pihak tertentu.


Maklumat lanjut : Utusan Online

Terimalah Takdir

4 Rejab 1434

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menasihatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) sebagai ketentuan takdir.

Menurut beliau, tindakan Anwar mengetuai siri bantahan dan perhimpunan seperti yang dilakukannya sekarang hanya akan menjadikan negara ini tidak aman, malahan mendorong perpecahan lebih besar dalam kalangan rakyat.

Katanya, sebagai rakyat di sebuah negara mengamalkan sistem demokrasi, Anwar perlu menganggap kekalahan tersebut sebagai percaturan yang telah ditentukan Allah.

''Dia (Anwar) kata mahu demokrasi dan kalau begitu kena terimalah keputusan itu, kenapa nak bantah? Pada saya, sebenarnya bukan kerana soal demokrasi tapi dia (Anwar) buat (bantahan) kerana tak suka kerajaan, itu saja.

''Nasihat saya satu sahaja. Mereka kena terima benda ini sebagai takdir. Dah tak boleh menang, nak buat macam mana? Kalau diikutkan rasa tak puas hati begitu, sampai bila negara boleh aman, akhirnya jadi bergaduh nanti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Harussani mengulas tindakan Anwar menghasut rakyat mengadakan perhimpunan termasuk di Stadium Petaling Jaya di Kelana Jaya, Selangor Rabu lalu bagi membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13.

Menurut beliau, rakyat telah membuat pilihan dengan memilih kerajaan Barisan Nasional (BN) mentadbir negara dan semua pihak termasuk pembangkang patut menghormatinya.

Beliau berkata, tindakan Anwar itu hanya akan menyebabkan keamanan negara tergugat dan menjadi mangsa ialah rakyat yang tidak bersalah.

''Ini sebenarnya bukan politik sahaja tapi taksub perkauman. Bila kehendak sendiri tak tercapai yang jadi mangsa rakyat. Mereka ikut sertai dia (Anwar) membantah supaya dapat jajah kita, hapuskan Perlembagaan tapi rancangan mereka tak jadi begitu, ini yang mereka marah.

''Mereka undi Melayu langsung tidak, kita pula tolong mereka kalahkan Melayu. Tetapi tetap kalah dan bila begitu, (masih) kata (pilihan raya) tak betul," katanya.

Beliau turut melontarkan pertanyaan tentang kehendak sebenar pembangkang.

''Saya juga tak faham apa mereka (pembangkang) ini nak sebenarnya apabila pada masa sama Dewan Ulama Pas pula buat keputusan meminta semua kepimpinan pembangkang menerima keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13," katanya.


Sumber: Utusan Online 





Wednesday, May 8, 2013

Isu Serangan Penceroboh Pengganas Sulu Belum Berakhir?

28 Jamadilakhir 1434

Cubaan kumpulan pengganas Sulu menceroboh kawasan pantai timur Sabah belum berakhir ekoran penahanan dua buah bot dinaiki sekumpulan 25 lelaki yang membawa bersama pelbagai senjata oleh pihak berkuasa Filipina di perairan Simunul berdekatan negara jiran itu pada Ahad lalu.

Ketika ditahan pada pukul 3 pagi itu, dua buah bot yang menggunakan enjin sangkut tersebut masing-masing membawa seramai 12 dan 13 penumpang.

Pulau Simunul yang terletak kira-kira 144 kilometer dari Semporna, Sabah merupakan salah satu lokasi yang menjadi kawasan persembunyian dan pencerobohan puak pengganas Sulu yang sebelum itu menawan Kampung Tanduo di Lahad Datu.

Sumber berkata, pemeriksaan pihak berkuasa negara Filipina ke atas kedua-dua buah bot tersebut menemui pelbagai jenis senjata api termasuk 15 laras raifel, lima laras senapang M-14 serta sepucuk pistol jenis Colt.

Turut dirampas 75 butir bom tangan.

Sumber itu berkata, kumpulan 25 lelaki yang dipercayai dalam rancangan menceroboh Sabah diketuai oleh Haji Asak Alimuddin seorang lelaki berpangkat kolonel dalam pasukan Black Panther Briged. Dikatakan Black Panther Briged merupakan salah sebuah pasukan elit dalam pasukan tentera Sulu.

Kolonel yang berusia 50-an itu turut dikatakan mempunyai pertalian darah dengan Pemimpin Puak pengganas Sulu, Jamilul Kiram III.

“Haji Asak bersama anak-anak buahnya masih disiasat bagi mengetahui rancangan kumpulan itu yang dikhuatiri mahu menceroboh Sabah,” kata sumber itu dengan memberitahu kumpulan itu masih ditahan di kepulauan Jolo dekat Sulu.

Maklumat lanjut: KOSMO Online 

Calon Tunggal BN Yang Menang Di Nibong Tebal Akan Teruskan Projek Transformasi

28 Jamadilakhir 1434

Gelaran 'calon tunggal Barisan Nasional (BN) yang terselamat' di kawasan Nibong Tebal memang wajar diberi kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh Datuk Mahmud Zakaria, berikutan peristiwa yang dialaminya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Pada pilihan raya itu, beliau ditentang calon PKR Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai CheguBard, dan calon PAS Mohd Yusni Mat Piah.

Mahmud berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2008 itu dengan 808 undi majoriti, setelah memperoleh 6,891 undi.

Bagaimanapun, rakannya, calon bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal Datuk Zainal Abidin Osman, calon bagi kerusi DUN Sungai Bakap Mohd Foad Mat Isa dan calon bagi kerusi DUN Jawi Tan Cheng Liang, kesemuanya kalah kepada calon Pakatan Rakyat (PR).

Mahmud, 64, mengaku pertandingan itu amat sengit baginya kerana terpaksa berdepan dengan CheguBard, yang terkenal dengan kepetahannya berceramah, di samping merupakan anak buah kesayangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada mulanya, kami bimbang kerana, walaupun beliau kalah pada pilihan raya umum dahulu, CheguBard dikenali di seluruh negara sebagai penceramah hebat. Kami juga menyangka bahawa oleh kerana beliau baru berusia 35 tahun, pengundi muda tentu cenderung untuk memilihnya.

"Bagaimanapun, andaian kami meleset kerana di kawasan luar bandar seperti Tanjung Berembang, Sungai Setar, Sungai Acheh dan Sungai Bakau, kebanyakan pengundi muda memberi undi kepada saya," katanya.

Anwar mempertahankan keputusan parti itu meletakkan CheguBard bertanding di kerusi berkenaan, walaupun mendapat tentangan PAS, hingga menyebabkan berlakunya pergeseran antara dua parti dalam pakatan pembangkang itu.

Pergeseran ini memberi kelebihan kepada Mahmud, yang mendapat sokongan kuat daripada peringkat akar umbi hingga memberi kemenangan kepadanya untuk penggal kedua berturut-turut.

Mahmud berkata beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat setempat dengan melaksanakan projek transformasi yang telah dirancang.

Antara rancangan beliau untuk penduduk Sungai Acheh ialah meningkatkan hasil padi kepada lebih enam tan sehektar bagi setiap petani.

Maklumat lanjut: BERNAMA

P/s: Bancik dahulunya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Cawangan di sungai Bakau, walaupun menetap di Sungai Bakau di sebelah negeri Perak.

SPR Bidas Pihak Enggan Terima Kekalahan Dalam PRU 13

28 Jamadilakhir 1434

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof membidas pihak-pihak yang enggan menerima kekalahan pada pilihan raya ke-13 (PRU13), yang sebaliknya menyalahkan pihak lain dengan membuat pelbagai tuduhan tidak berasas.

Beliau berkata pihak ini sengaja mencari kesalahan orang lain kerana enggan mengaku kekalahan, dan bagi mereka, pihak paling mudah untuk dijadikan 'scape goat' atau kambing hitam ialah SPR, dengan menimbulkan pelbagai persepsi bagi menjejaskan integriti, kredebiliti dan kecekapan badan itu.

Beliau memberi contoh tuduhan mengenai bekalan eletrik yang terputus semasa pengiraan undi dijalankan yang disebar banyak di laman-laman sosial, yang menurutnya selepas disiasat, perkara itu tidak pernah berlaku.

"Mereka nak nampakkan SPR ini tidak ada integriti, tidak 'credible', suka menipu, sehinggakan boleh buat putus bekalan (elektrik), tukar keputusan dalam gelap. Saya rasa cerita yang dibawa ini satu penipuan, pembohongan, dusta yang sangat melampau, sangat keji. Kalau orang Islam yang buat ini dia memang tidak takut dosa besar nampaknya. Sebab bila kita semak semua pihak, soal putus bekalan ini tidak pernah berlaku," katanya pada sidangan media di pejabatnya di sini Rabu.

Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak yang menyebar gambar kononnya pengiraan undi dibuat dalam gelap semasa berlaku putus bekalan elektrik, kerana menurutnya perkara itu tidak pernah berlaku, dan gambar itu mungkin dibuat menggunakan tipu helah kamera.

Abdul Aziz berkata persepsi merupakan mainan penting dalam politik, dan pihak yang kalah biasanya akan berusaha mencipta persepsi bahawa SPR ini satu badan yang tidak berwibawa, tidak berintegriti, sedangkan ia hanya bertanggungjawab menyediakan gelanggang, bukan menentukan siapa yang boleh menang atau kalah.

Beliau memberi contoh kenyataan seorang ahli politik yang secara terangan mendakwa kononnya SPR langsung tidak melaksanakan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya, sedangkan menurutnya sebanyak 19 penambahbaikan diperkenalkan pada PRU13 berasaskan kepada cadangan jawatankuasa ini.

Katanya ia boleh dilihat dengan ketara seperti pengenalan dakwat kekal, tiada tempoh bantahan, calon tidak boleh berundur, undi awal, dan banyak lagi, namun persepsi SPR tidak membuat penambahbaikan tetap cuba dibangkitkan ahli politik itu semata-mata untuk menjejaskan integriti dan kredibilitinya.

Abdul Aziz berkata dakwat kekal diperkenalkan bagi mengelak pemilih mengundi lebih dari sekali, walaupun dalam sejarah negara ini tidak pernah dibuktikan ada orang yang mengundi lebih dari sekali, namun SPR tetap menerima cadangan penggunaan dakwat itu secara positif.

Bagaimanapun menurutnya ada pihak sebaliknya sengaja cuba menjejaskan integriti SPR, berusaha sedaya upaya dengan pelbagai cara untuk menghilangkan kesan dakwat itu, semata-mata untuk menimbulkan keraguan orang ramai.

Namun menurutnya SPR tetap akan menerima segala teguran, mengkaji segala laporan daripada pelbagai pihak berhubung penggunaan dakwat kekal itu dan akan berusaha menambah baik aspek penggunaan dakwat kekal itu pada pilihan raya akan datang.

Merujuk kepada tohmahan mengenai kewujudan pengundi hantu, Abdul Aziz berkata beliau merasa kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang terlalu bertindak mengikut emosi sehingga bukan sahaja menimbulkan kekecohan, malah beliau difahamkan ada juga pemilih yang dihalang dari menunaikan tanggungjawab mengundi, semata-mata kerana rupa parasnya tidak seperti rakyat tempatan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Bantahan Terbuka, Perhimpunan Tidak Bantu Pilihan Raya Diadakan Semula

28 Jamadilakhir 1434

Sebarang bantahan terbuka atau perhimpunan tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya umum atau mengakibatkan ia diadakan semula, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebaliknya calon atau mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah.

 "Dengan itu barulah boleh diadakan pilihan raya semula, tetapi jika dibuat perjumpaan atau perhimpunan seperti malam ini, yang saya pun tak tahu apa maksud dia, sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa yang boleh mengakibatkan pilihan raya diadakan semula," katanya .

Maklumat lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...