Jom Follow.....

Wednesday, May 8, 2013

Calon Tunggal BN Yang Menang Di Nibong Tebal Akan Teruskan Projek Transformasi

28 Jamadilakhir 1434

Gelaran 'calon tunggal Barisan Nasional (BN) yang terselamat' di kawasan Nibong Tebal memang wajar diberi kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh Datuk Mahmud Zakaria, berikutan peristiwa yang dialaminya pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini.

Pada pilihan raya itu, beliau ditentang calon PKR Badrul Hisham Shaharin, yang lebih dikenali sebagai CheguBard, dan calon PAS Mohd Yusni Mat Piah.

Mahmud berjaya mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada 2008 itu dengan 808 undi majoriti, setelah memperoleh 6,891 undi.

Bagaimanapun, rakannya, calon bagi kerusi Parlimen Nibong Tebal Datuk Zainal Abidin Osman, calon bagi kerusi DUN Sungai Bakap Mohd Foad Mat Isa dan calon bagi kerusi DUN Jawi Tan Cheng Liang, kesemuanya kalah kepada calon Pakatan Rakyat (PR).

Mahmud, 64, mengaku pertandingan itu amat sengit baginya kerana terpaksa berdepan dengan CheguBard, yang terkenal dengan kepetahannya berceramah, di samping merupakan anak buah kesayangan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada mulanya, kami bimbang kerana, walaupun beliau kalah pada pilihan raya umum dahulu, CheguBard dikenali di seluruh negara sebagai penceramah hebat. Kami juga menyangka bahawa oleh kerana beliau baru berusia 35 tahun, pengundi muda tentu cenderung untuk memilihnya.

"Bagaimanapun, andaian kami meleset kerana di kawasan luar bandar seperti Tanjung Berembang, Sungai Setar, Sungai Acheh dan Sungai Bakau, kebanyakan pengundi muda memberi undi kepada saya," katanya.

Anwar mempertahankan keputusan parti itu meletakkan CheguBard bertanding di kerusi berkenaan, walaupun mendapat tentangan PAS, hingga menyebabkan berlakunya pergeseran antara dua parti dalam pakatan pembangkang itu.

Pergeseran ini memberi kelebihan kepada Mahmud, yang mendapat sokongan kuat daripada peringkat akar umbi hingga memberi kemenangan kepadanya untuk penggal kedua berturut-turut.

Mahmud berkata beliau akan terus berkhidmat kepada masyarakat setempat dengan melaksanakan projek transformasi yang telah dirancang.

Antara rancangan beliau untuk penduduk Sungai Acheh ialah meningkatkan hasil padi kepada lebih enam tan sehektar bagi setiap petani.

Maklumat lanjut: BERNAMA

P/s: Bancik dahulunya bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh, Cawangan di sungai Bakau, walaupun menetap di Sungai Bakau di sebelah negeri Perak.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...