Jom Follow.....

Friday, September 30, 2011

Laksanakan Sahaja Hudud -Najib

Utusan Malaysia melaporkan pada hari ini bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar kerajaan Pas Kelantan meneruskan hasrat perlaksanaan undang-undang hudud.Najib berkata, Pas sepatutnya berhenti menyalahkan pihak lain terutamanya UMNO sebaliknya meneruskan hasrat perlaksanaan undang-undang hudud itu kerana ia telah lama diperjuangkan.

"Kita nak (mahu) tengok serius atau tidak serius (Pas) dalam isu ini kerana ia bukan perkara baru tapi lama dahulu Pas sudah menyebut untuk melaksanakan undang-undang hudud," tegas beliau.

Penulis berpendapat inilah masanya Pas membuktikan keikhlasannya untuk melaksanakan undang-undang berkenaan. Apatah lagi, Perdana Menteri telah memberikan lampu hijau. Cuma beberapa aspek masalah teknikal perlulah diselesaikan dengan duduk berbincang dengan kerajaan pusat. Jika tak dapat laksanakan kesemua, laksanakan dahulu secara berperingkat.Ini penting kerana Pas telah berjaya memerintah dua negeri Janganlah angkuh tidak mahu duduk semeja dengan saudara seagama berbincang tentang perpaduan atau perlaksanaan hudud tetapi hanya mahu duduk berbincang tentang wang royalti sahaja.

Dengan kenyataan Najib berkenaan, maka janganlah jadikan pelbagai alasan dan menyalahkan orang lain jika parti berkenaan tidak dapat melaksanakan undang-undang berkenaan.

Wallahualam

Sumber: Utusan Malaysia

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=1001&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm

Thursday, September 29, 2011

"A" Bukan Segalanya

Kebelakangan ini berita tentang sekolah yang menghalang segelintir pelajar bermasalah daripada mengikuti peperiksaan adalah amat menyedihkan. Ianya berlaku di sekolah-sekolah di luar bandar. Isu seperti ini sebenarnya tidak perlu timbul. Pihak pentadbir sekolah jangan pentingkan "Penanda Aras Prestasi" atau "KPI" sekolah semata-mata.

Apa yang penting ialah kepuasan hati.Kita perlu cuba sedaya upaya mendidik pelajar sebagaimana yang kita mampu. Mungkin sekolah yang kita pimpin tidak mendapat habuan di dunia, tetapi bayangkan berapa manisnya jika kita fikirkan bahawa, disebabkan pelajar tersebut mendapat kesemua E dalam mata pelajaran, ianya mana tahu mungkin menjadi lonjakan besar kesedaran pada beliau untuk terus berusaha pada masa akan datang? Pelajar berkenaan masih berpotensi untuk menyumbang sesuatu yang positif kepada agama, bangsa dan agama jika kita sama-sama memainkan peranan memberikan perhatian. Yang pandai perlu dibijakkan, yang kurang pandai dipandaikan dan yang masih tidak pandai terus diberi bimbingan tanpa jemu.

Ini berlaku pada penulis. Penulis sering datang ke sekolah, namun penulis tidak pandai mana semasa belajar di sekolah rendah. Penulis banyak memberontak di dalam hati oleh kerana ada segelintir guru yang sering memanggil anak-anak murid dengan perkataan bodoh, lembu dan sebagainya. Ada yang mengajar secara acuh tak acuh, mungkin tidak suka diletakkan di sekolah berkenaan.Tetapi alhamdulillah kebanyakan  guru-guru bersifat ikhlas yang memberi motivasi kembali kepada pelajar.Tambahan lagi, ibubapa di luar bandar amat memberi harapan kepada guru-guru untuk mengubah nasib keluarga mereka.

Semasa mengambil keputusan Penilaian Darjah 5, penulis tidak tahu mengapa guru penulis ketika itu, Cikgu Ahmad ketika itu yang merupakan guru kelas mengajak penulis mengambil keputusan peperiksaan di Sekolah Pusat di Sungai Acheh. Kami ketika itu hanya bersekolah di sekolah cawangan sahaja di Sungai Bakau. Nama glamor cikgu tersebut di kampung ketika itu ialah Cikgu Mat "Tonggek". Tapi gayanya, fullamak, kemas orangnya.Adalah menjadi lumrah di kampung penulis ketika itu, nama glamour lebih diingati oleh orang-orang kampung. Jika orang luar mencari sesiapa di kampung dengan menyebut nama sebenar, alamatnya sampai malamlah baru jumpa.

Berbalik daripada cerita tadi, dengan tak tahu kenapa, penulis terus sahaja mengikutnya membonceng  menaiki motorsikal Vespa ke sekolah pusat. Padahal dia tak berapa rapat dengan penulis.Apabila keluar sahaja dari bilik pejabat sekolah, Cikgu Mat terus sahaja memberi keputusan peperiksaan kepada penulis dengan wajah yang sedikit kekecewaan. Namun dengan nada suara yang lembut, cikgu Mat hanya berkata "Menyesalpun tiada guna lagi..!, belajarlah lagi dan terus berusaha". Bila dilihat keputusan penulis  hanya mendapat satu A sahaja. Tetapi kesan di hati ialah, hati penulis terus bergemuruh memberontak untuk ingin dan terus berusaha.Peristiwa berkenaan menjadi salah satu titik tolak dan lonjakan kepada diri penulis  untuk terus berusaha.

Kebanyakan sekolah diluar bandar jarang mendapat guru-guru yang terlatih. Namun guru-gurunya berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik, terutamanya para guru sandaran. Kementerian pula hendaklah berlapang dada dengan mengakui bahawa , dengan terlalu bergantung kepada KPI sebagai penunjuk araslah yang telah menyebabkan hal seperti ini berlaku. Penulis bersetuju, kerana penulis adalah salah seorang yang terlibat dalam merangka program ini di salah sebuah syarikat di sektor swasta. Sistem ini boleh memberikan kemudaratan jika ianya tidak dilaksanakan secara seimbang atau "balance". Oleh itu sistem ini tidak boleh dilihat secara total untuk diberikan penarafan ke setiap sekolah. Elemen seperti tanggungjawab sosial juga perlu diberi penilaian yang sewajarnya.

Dari sudut pengajaran dan pengalaman penulis, walaupun tidak berjaya mendapat semua "A" di dalam peperiksaan tersebut penulis alhamdulillah kini dapat melayari blog bersama rakan-rakan semua. Jika tidak dibenarkan mengikuti peperiksaan, penulis mungkin terpaksa berhenti sekolah disebabkan malu, tertekan , hilang keyakinan diri dan sebagainya. Ketika itu, penulis mungkin tidak mampu memiliki atau tahu menggunakan teknologi seperti ini.

Bersamalah kita memikirkannya. Wallahualam.

Monday, September 26, 2011

Doa Mohon Kebenaran

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan agamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya  dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisi-Mu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku".

Al-Israa' : Ayat 80

Sunday, September 25, 2011

Andai Malam Ini.....

Sedang penulis memandu pulang ke rumah dari balik beraya sebentar tadi, penulis telah terdengar sebuah lagu yang telah diputarkan di radio berfrekuensi 91.5 di Lembah Klang. Lagu yang pernah menjadi bahan motivasi dan inspirasi kepada penulis semasa zaman remaja dan pabila berada di kala duka dalam meneruskan kehidupan.

Sudah lama penulis tidak mendengar lagu ini. Namun berkumandangnya semula lagu berkenaan di telinga sebentar tadi telah menyebabkan penulis mencari laptop dan mencarinya semula di laman Youtube. Liriknya amat menyentuh hati terutama di bahagian "Andai malam ini...." yang amat menggerunkan jiwa. Sebak mengenangkan dosa-dosa yang kita sering ciptakan di muka bumi.

Apapun, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada HairiAhmad yang telah berjaya mencipta dan memuatkan klip video yang menarik berlatar belakangkan lagu ini di Youtube. Penulis juga terhutang budi kepada pencipta lagu dan penulis lirik lagu berkenaan. Walaupun ramai pihak yang tidak bersetuju keberkesanan menyampaikan dakwah melalui lagu, tetapi penulis adalah salah seorang yang berjiwa sentimental yang cepat menangkap maksud di setiap lirik lagu, terutama yang liriknya bercorak ketuhanan.Penulis banyak tersedar dan mudah mengingati terhadap sesuatu berpandukan lirik-lirik lagu yang bercorak sedemikian.Penulis telah mendapat banyak mendapat manfaat daripada lagu-lagu bercorak sedemikian.

Mungkin juga selama ini kita tidak terfikir, kenapa agak ramai pencipta lirik dan lagu bercorak demikian pulang menghadap Ilahi secara tiba-tiba dan dengan mudah sahaja. Andai malam ini suatu peringatan, bersyukurku pada Ilahi, Andai malam ini.......

Wallahualam

Doa Untuk Ibu Bapa

Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah(untuk mereka dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil"

Al-Israa': Ayat 24

Segmen Terbaru Di myBancik

Mulai hari ini satu segmen baru bakal diperkenalkan di blog ini sebagai salah satu daripada koleksi penulis dan turut dipaparkan untuk dikongsi dengan pembaca yang lain. Koleksi ini ialah berkaitan doa-doa yang terdapat di dalam Al-Quran yang pernah penulis temui.

Namun begitu, bagi pembaca yang masih belum dapat memahami, diharapkan dapatlah anda merujuk kepada alim ulama yang muktabar untuk penjelasan lanjut.Diharapkan segmen ini dapat memberikan manfaat kepada penulis dan para pembaca yang melayari blog ini.

Wallahualam.

Friday, September 23, 2011

Benarkan Sahaja Hudud Dilaksanakan Di Kelantan

Cabaran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap kerajaan Kelantan baru-baru ini agar Hudud dilaksanakan telah menarik perhatian penulis. Beliau sebelum ini meminta Menteri Besar Kelantan memperkenalkan hukum hudud di negeri itu sekarang memandangkan belieu tidak lagi menjadi perdana menteri yang dahulunya dianggap menghalang hasrat kerajaan negeri itu melaksanakannya.

Tambah beliau,"Saya bukan perdana menteri dah, pasal apa tak laksanakannya(hudud)? Pi la tanya Najib(Perdana Menteri sekarang), kot dia nak bagi..ni dia(Menteri Besar) dok salahkan saya kononnya pasai saya, tak dapat laksana hukum berkenaan".

Namun begitu, menurut mStar hari ini "Pelaksanaan hukum hudud di Kelantan boleh disekat dengan adanya Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1995 pindaan (1984) yang mengehadkan bidang kuasa perundangan kerajaan negeri.

Menurut pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Shamrahayu Ab. Aziz, di bawah akta ini mana-mana kesalahan jenayah yang memperuntukkan hukuman denda kurang daripada RM5,000, penjara tidak melebihi tiga tahun dan sebatan tidak melebihi enam kali boleh disekat dengan menggunakan akta berkenaan.

“Dalam kes ini, hukum hudud tidak boleh dilaksanakan selagi akta ini wujud. Akta ini diluluskan oleh Parlimen, jadi mana-mana undang-undang negeri yang bercanggah dengan akta ini akan terbatal secara sendirinya.

“Berdasarkan jadual 9, senarai 2, butiran 1 Perlembagaan Persekutuan ia memberi kuasa kepada kerajaan pusat untuk menetapkan bidang kuasa perundangan kerajaan negeri,” katanya kepada mStar Online pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan oleh Menteri Besarnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mengulas lanjut, Shamrahayu yang juga pakar perlembagaan berkata, sekiranya kerajaan Kelantan masih mahu melaksanakan hukum hudud mereka perlu memohon kepada Parlimen untuk memansuhkan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah).

“Jika di lihat daripada sudut perundangan kerajaan Kelantan memang tidak boleh laksanakan hudud, kerana badan perundangan negeri tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Hukum hudud juga termasuk di bawah akta ini. Justeru, adalah lebih baik untuk kerajaan negeri merujuk kepada pakar undang-undang terlebih dahulu sebelum mereka mahu melaksanakannya,” katanya."

Penulis berpendapat sudah tibalah hukum berkenaan dibiarkan agar dilaksanakan di negeri berkenaan. Lagipun jumlah komposisi penduduk berkenaan hampir keseluruhannya beragama Islam dan bidang kuasa agama adalah terletak di pihak kerajaan negeri. Bagi kerajaan persekutuan yang diketuai UMNO, biarlah dan janganlah dihalangi usaha Pas di Kelantan untuk melaksanakan hukum berkenaan. Buat sahaja kenyataan "Itu bidang kuasa kerajaan negeri". Langkah berani ini perlu dilakukan memandangkan akta ISApun kerajaan sudah berani nak hapuskan. Lagipun isu hukum ini telah menjadi halangan utama perpaduan di antara dua parti politik yang berteraskan Agama Islam dan Kaum Melayu. Kerajaan pusat dan BN pula sebaliknya lebih fokus kepada usaha menaikkan pendapatan rakyat dan menyelesaikan masalah negara yang lebih besar serta meningkatkan perpaduan sesama parti dan parti komponen sekarang. Biarkan Pas dan Pakatan pembangkang nak lakukan inisiatif berkenaan, walaupun mereka sedang bercakaran di media-media sekarang ini.

Jika ini dapat dilakukan, penulis percaya ianya akan memberi demensi baru dalam segi sikap berpolitik dikalangan orang Melayu yang mewakili etnik majoriti di negara ini. Namun penulis juga berharap pusingan 360 darjah ini  tidak berpusing sekali lagi apabila selepas tamatnya pilihanraya umum akan datang nanti.Ini kerana pada Muktamar Pas sebelum ini, resolusi hukum berkenaan seolah-olah sudah terkubur dan digantikan dengan istilah berkebajikan. Namun sebagai umat Islam, penulis bersyukur dengan perubahan mendadak ini dan semoga adanya Istiqamah selepas ini dan bukannya hanya bermusim. Namun, kita tunggu dan lihat babak-babak seterusnya.

Wallahualam

Malaysia Tidak Perlukan Jawatan Perdana Menteri Ke 2

Buletin 1.30 TV3 sebentar tadi melaporkan timbulnya usul untuk mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri Ke 2. Ianya dicadangkan agar jawatan tersebut diberikan kepada parti komponen BN di kalangan Sabah dan Sarawak.Bagi penulis isu ini tidak perlu dilayan kerana sistem yang ada sekarang ini sudah memadai buat masa kini.

Ahli-ahli politik di negara ini perlu dikawal nafsu gilakan kuasa bagi mengekalkan keamanan yang ada sekarang ini. Jika dibenarkan, apa pula kata parti komponen lain di Semenanjung? Buat masa ini, di Borneo, hanya Sabah yang berpeluang untuk menjadi timbalan Perdana Menteri disebabkan UMNO telah mempunyai sayap di sana. Namun penulis percaya, jika ada yang berkaliber, mereka juga boleh menjadi ahli UMNO di cawangan-cawangan di Semenanjung.

Namun begitu, penulis melihat masing-masing kini hendak menunjukkan taring disebabkan pilihanraya yang suhunya semakin panas. Namun begitu, nafsu gilakan yang tidak terbatas  ini perlu juga dikawal dikalangan ahli-ahli politik negara ini agar keamanan dan kesejahteraan rakyat terus terbela. Lihat sahaja negara-negara yang bergolak sekarang ini, yang puncanya disebabkan negara-negara berkenaan mempunyai nafsu yang tidak berperikemanusiaaan.

Wallahualam.

Thursday, September 22, 2011

Basikal "Racing" Ubah Suai Sendiri

Sekarang ini, anak-anak muda atau remaja semakin meminati basikal yang tidak mempunyai brek dan dijual dalam bentuk pelbagai warna yang menarik. Di taman-taman penulis, basikal berkenaan semakin bertambah dan sering ditunggangi di taman-taman perumahan atau di taman-taman rekreasi. Seperti mana kenyataan penulis sebelum ini, untuk mendapatkannya hanya perlu ada wang sahaja.

Namun tren berkenaan juga pernah berlaku semasa penulis berusia remaja. Namun. tiada basikal yang dijual sebegitu rupa. Namun "design" seperti itu juga sudah berada di dalam kepala kami. Apa yang kami lakukan ialah dengan mengubahsuai basikal bergalang. Oleh kerana tiada alat ganti yang sesuai di bahagian "handle", kami terpaksa meluluskan "handle" yang sedia ada sendiri, sama ada dengan mengetuk atau diluruskan dengan mengepitnya di celah-celah dahan pokok mempelam .

Piring di bahagian engkol serta spokket di rantai akan diganti dengan alatganti yang terdapat pada basikal "racing" di pasaran ketika itu. Proses mengecat dilakukan sendiri dengan menggunakan cat "spray" sahaja.Untuk membolehkan proses mengecat, kesemua komponen perlulah diasingkan terlebih dahulu dan badan asal basikal galang tersebut perlulah dibersihkan dengan menggunakan kertas pasir.

Setelah selesai proses mengecat, setiap komponen baru akan dipasang semula. Namun , kami tak lupakan aspek keselamatan, di mana brek dan lampu masih menjadi komponen wajib basikal berkenaan. Walaupun serba kekurangan, kami masih berupaya mencapai cita-cita kami untuk memiliki basikal yang boleh bergerak laju. Namun, niat kami bukan untuk berlumba atau menunjuk, tetapi sering digunakan untuk cepat sampai ke sekolah dengan selamat atau ke program ko-kurikulum yang jaraknya lebih kurang 11 kilometer dari rumah. Penulis terpaksa berbuat demikian, oleh kerana masalah yang sering dihadapi dengan operator bas yang enggan membenarkan menaiki bas jika kita berada di sesi persekolahan yang berlainan. Basikal berkenaan amat membantu kerana penulis boleh pulang untuk makan tengahari dan ke sekolah semula dengan basikal untuk aktiviti ko-kurikulum.

Namun, bila fikir-fikir kembali bila sesekali pulang ke kampung, penulis seakan tidak percaya bahawa penulis pernah mengayuh basikal dalam jarak berkenaan setiap hari pada suatu ketika dahulu. Rasanya dah tak mampu kut.. sekarang ni.


Wallahualam.

Tuesday, September 20, 2011

Akukah Yang Sentiasa Alpa ?

Akukah yang sentiasa kealpaan?

Dalam menyusur perjalanan

Mencari keredhaan Tuhan

Tuhan yang Maha Esa , Yang Maha Pengampun


Akukah yang sedang kealpaan?

Kadangkala aku hilang tujuan

Dalam mencari keredhaan Tuhan

Yang mungkin terselindung dalam bayangan


Akukah yang masih kealpaan?

Menuju ke destinasi perjalanan

Dalam mencapai cita-cita dan tujuan

Untuk kehidupan yang abadi dan berkekalan


Sunday, September 18, 2011

Kenangan Bermain Senapang Berpeluru Bemban

Ketika ini penulis sedang menghadiri sesi program akademik di salah sebuah resort di tepi pantai di Sungai Besar Selangor. Setiap unit resort ini berada di atas pantai yang berselut, namun suasana tepi laut ini amat mengujakan. Terdapat juga gelanggang "pin ball" yang disediakan bagi pengunjung-pengunjung yang berminat di kawasan ini.

Setakat ini penulis juga masih belum berasa teringin ataupun belum pernah  untuk mengikuti sama permainan berkenaan. Mungkin juga kerana penulis pada zaman remaja atau kanak-kanak dahulu sudah puas bermain permainan perang-perang dengan menggunakan senapang yang dibuat daripada kayu dan menggunakan batang pokok bemban yang dipotong kecil-kecil sebagai peluru. Getah yang tebal digunakan sebagai pelibas untuk melancarkan pelulu di muncung senapang kayu tersebut . Namun sakitnya tidak terkata jika tembakan sasaran terkena pada badan-badan bahkan sampai menggeliat menahan kesakitan.

Dalam serba kekurangan, anak-anak atau budak-budak kampung ketika itu terpaksa menggunakan sumber sedia ada yang terhad untuk bermain. Sesungguhnya para remaja atau kanak-kanak ketika ini amat beruntung, kerana semuanya sudah tersedia. Cuma sediakan wang sahaja untuk bermain bagi mendapatkan kelengkapan permainan dan sewa kawasan untuk bermain.

Wallahualam

Friday, September 16, 2011

Jalur Gemilang Pula Hendak Ditukar

Apa dah jadi dengan ahli-ahli politik Malaysia masa kini? Baru sahaja berikrar nak ubah sejarah ikut selera mereka, terkini nak diubah pula jalur gemilang, kononnya warnanya menerupai parti lawan mereka. Penulis nak tanya, nak ubah ke ciri macam mana? Nak ubah bercirikan bintang tiga ke?

Sebenarnya penulis yakin dan percaya, yang beliau maksudkan dan paling benci ialah mungkin simbol bintang dan bulan sabit yang menandakan Islam sebagai agama rasmi di Malaysia. Untuk mengaburi mata, beliau mengatakan jalur gemilang seolah-olah meniru bendera Amerika Syarikat. Malangnya  bagi rakyat Malaysia yang mempunyai pembangkang yang tak boleh diharapkan. Kita harapkan agar pembangkang memperjuangkan untuk mengimbangi kerajaan sedia ada serta melakukan penambah baikan  agar kerajaan sedia ada tidak melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya. Tetapi kita mempunyai pembangkang yang sentiasa mempunyai sifat prejudis,seolah-olah mereka sahaja yang betul,memberi petunjuk dan tingkah laku yang mahu undur kebelakang dan merosakkan perpaduan rakyat.

Jika kita mempunyai pemimpin-pemimpin politik bermentaliti macam ini di semua peringkat, maka lama kelamaan hancurlah negara. Bila satu pihak berkuasa, ubah sejarah dan macam-macam lagi. Kemudian ,bila pihak lain pula berkuasa, ubah semula. Tapi yang pastinya mereka tidak akan ubah bagi meletakkan Islam ke tempat yang tertinggi, kerana mereka hanya mahukan nikmat dan kekuasaan dunia sahaja. Slogan bersama Islam sanggup pula diubah kepada berkebajikan. Tidakkah slogan itu seolah-olah  sama dengan slogan "loteri kebajikan masyarakat"? Apakah pejuang-pejuang sekarang sudah tidak yakin dengan nama Islam?

Tak apalah, buatlah sesuaka hati korang, tetapi penulis juga mempunyai kuasa . Namun penulis hanya mampu mempunyai kuasa mengundi. Semestinya penulis akan memilih pihak yang menyeru kepada persaudaraan umat dan tidak menjadikan syaitan dan golongan kafir harbi sebagai kawan rapat.Semestinya penulis tidak akan disia-siakan pada kali ini. Semboyan sudah mula berbunyi.


Takbir.....Allahuakbar

Wednesday, September 14, 2011

Basikal Tua

Menunggang basikal tua adalah salah satu kenangan yang tak dapat penulis lupakan. Penulis tidak pernah terfikirpun untuk menunggangnya semasa zaman kanak-kanak disebabkan galangnya yang tinggi dan mempunyai pelantar yang besar. Ianya sering digunakan oleh bapa penulis untuk mengangkut padi dan barangan-barangan tertentu sebelum arwah memiliki motorsikal. Apabila motorsikal mengambil alih peranannya, basikal berkenaan berkenaan hanya terbiar dibawah rumah dan penulis hanya menaiki basikal yang lebih kecil.

Namun selepas bapa meninggal dunia dan motorsikal yang ada digunakan oleh abang penulis yang belajar di tempat lain, penulis terpaksa membaiki semula basikal tua berkenaan. Walaupun sudah lama, namun kualiti besi kelulinya dan buatan jenama yang terkenal ketika itu iaitu "Releight" membolehkannya terus bertahan. Penulis menggunakan basikal berkenaan ketika turun ke sawah atau ke laut. Ianya juga digunakan untuk mengangkut tong membanting padi beserta layarnya ke kawasan sawah-sawah yang berada agak jauh dirumah. Yang hebatnya ia juga boleh digunakan untuk mengangkut baja atau padi.

Namun, pada zaman sekarang, basikal rata-rata dipamerkan sebagai barangan mewah dan hanya digunakan untuk tujuan rekreasi semata mata. Mungkin disebabkan sudah puas menaiki basikal semasa remaja yang mana kadangkala penulis terjatuh ke dalam parit bersamanya(accident la tu..), penulis buat masa kini sampai sekarang masih tidak teruja untuk mengikuti trend berkenaan. Mungkin penulis masih tidak dapat melupakan basikal berkenaan yang juga merupakan teman setia, sehati sejiwa penulis. Penulis lebih selesa menaiki basikal di gym-gym(gymnasium) daripada menunggang basikal sekarang. Itupun dah lama tak pergi gym dah disebabkan kekangan masa.

Tapi sayang , basikal berkenaan tidak dapat disimpan sebagai musium disebabkan ianya telah dicuri oleh penagih-penagih dadah di kampung(agaknya). Namun memori penulis bersamanya terus kekal dalam ingatan.

Wallahualam..

Tuesday, September 13, 2011

Lagu Terpanjang Yang Pernah Aku Dengar

Ketika aku membelek Youtube, aku terjumpa clip lagu ini. Lagu bertajuk "Citarasa" dendangan Amir dan Uks yang pernah menjadi siulan aku pada zaman remaja dahulu. Aku memang suka menjadikan lagu-lagu yang kena liriknya dengan aku sebagai sumber motivasi dan pengubat hati. Selain daripada berusaha, berdoa dan bertawakal, hati ini juga perlu dihiburkan dengan mendengar lagu.


Lagu ini adalah lagu yang paling panjang dan santai yang pernah aku dengar. Aku sanggup menghimpun duit untuk mendapatkan album berkenaan dek kerana lagu berkenaan jarang diputarkan di radio-radio. Mungkin lagu berkenaan tidak mendapat tempat di hati penerbit atau juruhebah, ataupun terlalu panjang untuk disiarkan.Tapi sayang, tape berkenaan kepunyaan aku ini kini telah hilang.

Terima kasih kepada pencipta lagu ini, iaitu Shaari Amri dan kumpulan UKs. Dari sudut positif, kalian telah diciptakan oleh Allah S.W.T untuk menghiburkan insan-insan seperti penulis dan yang senasib dengannya. Ianya sedikit sebanyak memberi motivasi kepada kami di kala ditimpa kekecewaan dalam perjalanan memburu cita-cita.

Terima kaseeehhhhh....

Kita Akan Dijemput Pulang

Walau berkuasa manapun , kita akan pulang

Walau kita kaya sebanyak manapun, kita akan pulang

Walau sebijak pandai manapun, kita akan pulang

Walau disanjung setinggi manapun, kita akan pulang

Walau berpengaruh sebanyak manapun, kita akan pulang

Walau sekuat manapun, kita akan pulang

Kita hanya musafir

Yang didatangkan hanya sementara

Menghunikan alam

Dan pasti akan dijemput untuk pulang

Dijemput pulang

Kepangkuan Yang Maha Agung dan Yang Maha Esa

Sunday, September 11, 2011

Penilaian Bagi Kelayakan Sesuatu Bantuan Perlulah Lebih Menyeluruh

Negara pada bulan Ramadhan yang lepas telah dikejutkan dengan pemberian bantuan oleh pihak gereja kepada golongan Islam di Lembah Kelang yang telah mencetuskan polemik hebat di negara ini.Namun sebagai seorang yang bertanggungjawab, isu seperti ini perlu dilihat dari segi pelbagai sudut dan cabaran masa kini.

Dari segi individu yang berpegang teguh kepada agama Islam, isu menerima bantuan daripada pihak yang tidak sepatutnya, yang berniat hendak memesongkan kita perlulah ditolak walaupun kita mengalami kesusahan yang Maha Hebat. Penulis pernah mengalami keadaan berkenaan semasa kanak-kanak dan remaja, namun penulis pernah makan nasi dengan kicap sahaja ataupun seekor ikan sepat masin setiap hari apabila pulangnya dari sekolah.

Di sekolah pula penulis hanya minum air paip ketika waktu rehat semasa hendak mengerjakan sembahyang zohor. Waktu rehat digunakan untuk mengulangkaji pelajaran sahaja. Pada waktu citi atau selepas pulang daripada sekolah, penulis ke sawah, jika tidak ada kokurikulum dan pada masa itu penulis terpaksa mencari ikan-ikan untuk dijadikan lauk atau bekalan ikan masin dan sebahagiannya besarnya digunakan untuk dijual bagi menampung belanja persekolahan.

Bukannya bantuan tidak dipohon. Malangnya apabila dipohon, penilai atau jurunilai melihat rumah yang ditinggalkan oleh arwah bapa penulis yang agak besar dan bersambung dengan sebuah rumah pusaka nenek penulis. Memanglah rumah itu besar, tetapi arwah tidak meninggalkan sawah atau tanah yang banyak untuk bekalan kami. Rumah berkenaan hanya dibina berdasarkan tanah pusaka yang beliau telah jual, dan beliau selama ini mencari pendapatan dengan menyewa sawah orang lain dan berniaga membeli padi di sekitar kampung.

Setelah beliau sakit dan lumpuh, segala hasil perniagaan yang dikumpul selama ini telah dijual bagi membiayai rawatan beliau.Apa yang tingal hanyalah rumah yang agak besar ketika itu yang telah dibina ketika beliau masih sihat. Apakah kami anak beranak hendak makan papan-papan rumah berkenaan? Apa yang malang, setelah bapa meninggal dunia, pegawai yang membuat penilaian telah membuat keputusan bahawa kami anak-anak yatim yang seramai 5 orang  ini tidak layak mendapat sebarang bantuan. Lebih menyedihkan ada pihak yang masih suami isteri dan sihat , walaupun mungkin menampakkan mereka susah telah mendapat bantuan. Pendapatan sebulan kami pada waktu berkenaan secara purata ketika itu  pada awal 1990 an hanya berjumlah RM 120 sebulan hasil dari mengerjakan sawah, bagi seorang ibu menyara 5 tanggungan anak. Itupun kalau hasil padi menjadi. Penulis pernah menangis teresak-esak dihujung sawah apabila melihat padi dimakan tikus, ditenggelami air atau dimakan langau(sejenis serangga). Hancurnya hatiini hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui dan penulis redha dengan ketentuannya.

Alhamdulillah, penulis akhirnya mendapat bantuan biasiswa kecil persekutuan setelah mendapat anugerah pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang. Itupun penulis anggap anugarah Ilahi dan berkat doa sebagai anak yatim, sedangkan bapa meninggal hanya 3 bulan sebelum penulis  menghadapi peperiksaan berkenaan.Ianya berlaku apabila penulis menolak untuk dicalonkan menyertai program pertukaran pelajar antara Semenanjung dan Sabah atas alasan tidak mampu. Oleh yang demikian. Guru HEP Puan Che Chik Che Kechil ketika itu telah berjanji untuk menolong penulis dan alhamdulillah ianya berjaya. Terima kasih cikgu. Setidaknya, wang berkenaan, penulis hanya gunakan untuk membayar yuran SPM dan membeli buku-buku rujukan sahaja.Tak ada gunakan untuk beli top up "hp" macam para pelajar sekarang ini.

Namun begitu, dengan kuasa Allah, maka pada masa itulah berlakunya pula transformasi ekonomi yang dilakukan oleh bapa pemodenan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana lebih banyak kilang-kilang di Prai mula dibuka. Nagara mula bergerak dari zaman pertanian ke zaman perindustrian. Maka ibu, penulis yang sudah berusia pertengahan  40-an ketika itu telah berpeluang bekerja di sana. Bayangkanlah selepas subuh ibu telah keluar dan pulang pula pada waktu maghrib. Terpaksa meninggalkan bayi kecil yang berusia hanya 8 bulan di rumah dikalangan abang dan kakaknya . Kami bergilir menjaga kerana sekolah berlainan sesi. Penulis pula terpaksa ambil tugas disawah oleh kerana ibu keluar bekerja. Dengan kerja itulah ,dapatlah tambahan lagi pendapatan sekitar RM 150sebulan pada ketika itu. Walaupun ramai yang sudah tidak mengenang jasa Tun, ada pula mengagungkan pula komunis(dengan izin),tetapi aku aku tetap mengenang beliau sebagai salah seorang yang membantu kami secara tidak langsung dengan memberikan dan mewujudkan peluang pekerjaan dek kerana pimpinan beliau, walaupun ada kalanya aku tidak bersetuju dengan beberapa kenyataan beliau. Setidak-tidaknya aku dan adik beradik yang lain tidak terjerumus dalam kancah kekufuran dek kerana kemiskinan atau kekufuran, walaupun kisah pendakwahahan ke agama lain turut gempar/berlaku di Parit Buntar pada ketika itu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Namun ibu telah membuat keputusan menghantar adik bongsu kami ke sekolah asrama anak yatim di Pulau Pinang ketika umurnya meningkat 7 tahun. Bukannya tidak boleh duduk belajar di rumah, namun disebabkan abang-abang dan kakak sudah berhijrah dan berlajar tinggi, dan takut dipengaruhi gejala dadah yang amat hebat di kampung.

Namun, semuanya tidak menjadi penghalang kepada penulis untuk mengejar cita-cita. Namun penulis menyeru kepada institusi-institusi Islam, kurangkan berpolitik , bersengketa, caci mencaci dan bekerjalah lebih keras bagi memajukan umat.Banyak lagi insan-insan seagama yang memerlukan bantuan. Isu masalah kemiskinan,sosial, penceraian, pendidikan perlulah juga terus  diperjuangkan dan diperhebatkan lagi langkah mencari penyelesaian. Tingkatkan tahap pemikiran di kalangan warga kerja bagi membolehkan kita berfikir dengan lebih baik dalam membuat keputusan dan waras serta berhikmah bagi menyemarakkan lahi  syiar Islam di negara dan seluruh dunia.

Desakan kepada kerajaan bukanlah hanya untuk isu-isu pilihanraya semata-mata, tetapi dari sudut-sudut lain juga.Ingatlah bahawa jawatan yang kita pegang ini adalah suatu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Wallahualam

Anak Yatim Dipinggirkan Berakhirnya Ramadhan

Terdapat satu artikel yang telah dipaparkan pada Utusan Malaysia hari ini yang mana kebanyakan daripada masyarakat Malaysia mula meminggirkan anak-anak yatim sejurus berakhirnya Ramadhan. Jika pada bulan puasa berkenaan, jadual anak-anak yatim amat padat, perkara yang sebaliknya berlaku dibulan-bulan lain.

Bukan hendak mencari salah, mana-mana pihak, namun sebagai masyarakat yang perihatin, kebajikan anak-anak berkenaan haruslah dipelihara melangkaui bulan berkenaan selaras dengan tarbiah yang kita perolehi semasa bulan tersebut.

Dari segi hakikatnya , anak-anak yatim adalah golongan yang perlu dibantu dan dilindungi sepanjang masa. Malangnya sumbangan kewangan serta makanan kepada mereka pada bulan-bulan lain ada ketikanya tidak mampu meneruskan kelangsungan hidup golongan itu.Ini termasuklah dari segi sumber kewangan bagi membiayai yuran pelajaran, persekolahan, kelas tembahan, pengajian Islam, keperluan IT dan sebagainya.

Pihak berkuasa seperti lembaga zakat perlulah lebih proaktif dan sentiasa turun padang dalam menilai kebajikan salah satu daripada asnaf ini. Apa yang lebih menyedihkan, ada dikalangan anak-anak yatim yang mengambil keputusan terus tinggal bersama keluarga terus tercicir daripada menerima bantuan berkenaan. Ini pernah dialami oleh penulis sendiri semasa berada pada zaman kanak-kanak.

Wallahualam.

Banjir Semakin Buruk Di Perlis

Benama dan Utusan Malaysia Online telah melaporkan bahawa Keadaan banjir di Perlis bertambah buruk dengan jumlah penduduk yang dipindahkan meningkat kepada lebih 300 orang daripada lebih 90 buah keluarga berbanding 100 orang semalam.

Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Perlis berkata, mereka ditempatkan di 10 pusat pemindahan banjir iaitu lima di kawasan Padang Besar, tiga di Kangar dan dua di Arau.Sementara itu, dua buah sekolah ditutup hari ini akibat banjir iaitu Sekolah Kebangsaan Padang Melangit dan Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis Ir. Nishad Mohamed berkata, hujan lebat luar biasa menyebabkan banjir sejak semalam.

Sumber - Bernama & Utusan

Kita berharap agar mangsa bersabar menghadapi musibah berkenaan.Kita berdoa agar keadaan akan kembali ke sediakala dengan secepat mungkin.

Friday, September 9, 2011

Memunggal Burung

Kegiatan memunggal burung burung liar sering dilakukan oleh remaja-remaja atau orang dewasa di kampung-kampung. Di kampung penulis pada ketika zaman dahulu , ketika zaman kanak-kanak ,ianya adalah salah satu kegiatan memburu burung burung liar apabila habisnya musim mengetam padi dan sawah-sawah sudah mula dipenuhi dengan rumput-rumput menerong yang agak tinggi.

Burung-burung diburu dengan kayu(sebagai alat punggal) yang diraut sehinga menjadi seperti selinder sebesar 10 atau 20 sen dan sepanjang 1 depa. Kaedah ini digunapakai bagi mereka yang tidak mempunyai senapang untuk berburu. Alat punggal ini dibuat dengan kayu nibong atau kayu-kayu yang lain yang agak sesuai. Kayu berkenaan dipuggal/dibaling (orang utara kata "punggai")kepada burung-burung sebaik sahaja pemburu terserempak dengan mereka. Jika terkena binatang berkenaan akan terus disembelih untuk memastikan kehalalannya untuk dimakan atau sebelum ianya mati.

Antara burung-burung yang menjadi mangsa ialah burung gelam, wak-wak dan lain-lain lagi. Namun sekarang ini, binatang berkenaan telah dikategorikan binatang yang terlindung oleh akta(tak silap penulis) hidupan liar. Kegiatan ini agak popular oleh kerana pada masa itu, sajian seperti ayam masih dikategorikan sebagai makanan mewah. Ayam pada masa tersebu hanya disajikan pada hari raya atau terpaksa tunggu pada majlis-majlis kenduri kahwin. Oleh yang demikian , kegiatan ini dapat membolehkan penduduk kampung berpeluang menjamah lauk-lauk yang lebih istimewa.

Namun, penulis pernah mencuba aktiviti ini, tetapi malangnya penulis tak pernah langsung berjaya mendapat sebarang tangkapan. Sipi-sipi terkena hasil adalah.... Terpaksalah penulis terima hakikat bahawa penulis tidak cukup baik/terlatih untuk kegiatan berkenaan.Namun kegiatan berkenaan seoalah-olah pupus pada masa sekarang selaras dengan peredaran masa dan kepupusan binatang-binatang buruan terbabit. Rumput-rumput menerongpun tak silap penulis dah makin pupus dan hanya dijadikan hiasan kolam-kolam mewah di kediaman-kediaman di bandar.

Wallahualam

Thursday, September 8, 2011

Muak Dengan Politik Tidak Berkesudahan

Aku semakin muak dengan politik yang tidak berkesudahan di Malaysia. Masing-masing nak tunjuk hebat, kononnya mereka-mereka mendapat sokongan rakyat. Kalau mereka yakin mendapat sokongan kenapa melalak melalut sana sini? Kurangkanlah bercakap kerana jikalau kita makin banyak bercakap makin banyak pula yang silap. Bila dah silap bercakap maka susahlah pula nak tarik balik dek kerana ego dan sebagainya.

Kenapa sesama saudara sering hendak bermusuhan dan bercakaran ? Adalah lebih baik kita mengeratkan tali silaturrahim sesama Islam. Jika tidak mahu bersatu atau bersaudara atas dasar kebangsaan atau kemelayuan, setidak-tidaknya bersatulah pada jalan Allah dan jauhilah perpecahan dan persengketaan. Kenapa asyik menunding jari menyalahkan pihak lain jika kita ditimpa musibah tertentu? Kenapa kita tidak bermuhasabah diri kita atas kelemahan kita?Kenapa nak angkat musuh Islam sebagai rakan karib oleh kerana salah faham, perbezaan pendapat  dan dendam sesama saudara seagama sebelum ini? Sedangkan salam persahabatan yang dihulurkan oleh sesama muslim ditolak mentah-mentah.

Bersatulah kita semua dan kembalilah kepada Al Quran dan Sunnah agar kita semua mendapat keredhaan Ilahi. Sesungguhnya dunia ini hanyalah sementara.

Wallahualam.

Tuesday, September 6, 2011

Kenali "Taut"

Ketika balik beraya dikampung baru-baru ini, penulis terkenang salah satu aktiviti yang penulis suka lakukan semasa zaman kanak-kanak dan remaja, sebaik melalui kawasan sawah padi.Aktiviti berkenaan ialah memasang "taut" di batas-batas sawah.Taut adalah salah satu alat pancing yang paling santai dan paling penulis gemari pada suatu ketika dulu. Yang menghairankannya, hanya ikan haruan sahaja yang menyambarnya apabila dikenakan umpan. Umpan yang digunakan ialah anak-anak ikan sepat yang di"tangguk" atau di"tangkoi" di sawah-sawah atau di parit-parit.

Taut disediakan dengan menggunakan bilah batang-barang buloh yang diraut dengan halus di bahagian hujungnya. Mata kail kemudiannya diikat dengan tali tangsi atau yang sesuai pada hujungnya.Pentingnya batang buluh diraut sehingga nipis atau halus di bahagian hujung bilahan buloh ini  agar tangkapan dapat hidup dan masih bergerak di dalam air walaupun setelah tersangkut pada mata kail setelah membaham umpan yang disediakan. Panjang taut ini sekitar antara satu meter atau sedepa tangan manusia.

Di setiap pangkal taut akan disediakan ikatan penyangkut agar mata kail dapat disangkut dengan rapi secara melengkung dan tersusun bilamana ianya tidak digunakan atau disimpan. Ikatan pengangkut tersebut dibuat dengan menggunakan tali rafia atau dawai halus.

Pemasangan selalunya dilakukan pada waktu petang selepas asar.Taut dibenam di pinggir batas sawah (yang padinya sedang membesar)dan anak-anak ikan kemudian dicakuk dengan mata kail serta dibiarkan berenang di dalam air sawah dalam keadaan dicengkam mata kail. Renangan anak-anak ikan di setiap taut itu bakal menarik perhatian ikan-ikan haruan.Apabila telah selesai pemasangan taut-taut berkenaan penulis akan kembali ke rumah terlebih dahulu. Jika bernasib baik , ada taut yang telah tersangkut dengan ikan haruan. Sebelum senja penulis akan datang semula untuk melihat hasil tangkapan.Ada yang terkena, ada yang tinggal mata kail dan ada juga taut yang berjaya dilarikan oleh ikan haruan. Setelah mengenakan umpan semula dan memungut hasil tangkapan, penulis pulang ke rumah sebelum senja. Ada rakan-rakan yang rajin akan menyuluh hasil pada waktu malam.

Tetapi penulis lebih suka datang semula pada waktu pagi atas faktor keselamatan,sama ada dari segi mengelakkan binatang berbisa seperti ular ataupun makhluk-makhluk halus. Bila datang waktu pagi, paling kurang mesti ada punyalah hasil tangkapan ikan haruan yang kena pada mata kail.Itu sebab penulis suka teknik ini kerana ianya lebih santai dan penulis boleh mengulangkaji pelajaran pada waktu malam dengan tenang dan nyaman bila beradu.Penulis kurang suka memancing kerana masa yang banyak perlu digunakan untuk menggunakan kaedah berkenaan. Antara teknik lain yang penulis suka bila menangkap ikan ialah menggunakan pukat, menimba parit sampai kering, menjala  dan menggagau. Mudah dan santai bukan?

Namun itu semua tinggal kenangan sahaja. Penulis berasa simpati kepada anak-anak penulis yang tidak dapat merasa pengalaman ini oleh kerana rata-rata parit-parit disekitar rumah dikampung telah cetek dan tertimbus. Kasihan pula bila melihat mereka cuba memancing di parit yang ikannya dah kurang.Ikan haruan pula agak sukar diperolehi di sawah oleh kerana penggunaan mesin bajak dan penggunaan racun untuk pertanian. Selain daripada itu anak-anak ikan juga tidak dapat membiak dengan sempurna lagi.

Maka dengan itu terpaksalah penulis menggunakan teknik terbaru dalam mendapatkan ikan. Ianya dengan menggunakan kaedah jari telunjuk. Menunjukkan sahaja di pasar-pasar dan keluarkan wang untuk pembayaran. Kemudian bawa balik. Paling hebat tunjuk sahaja di gerai-gerai nasi campur , bayar dan makan terus.Habis cerita......

Monday, September 5, 2011

Biarlah Urusan-urusan Tertentu Ditadbir Oleh Yang Ahlinya(Pakar)

Penulis bertekat ini adalah entri terakhir penulis untuk memberi komen isu kontroversi terkini berkenaan sejarah Bukit Kepong di dalam blog ini. Utusan Malaysia pada hari ini telah memetik bahawa timbalan presiden sebuah parti berkenaan yang telah menimbulkan kontroversi itu, telah menggunakan buku  Pengukir Nama Johor yang diterbitkan Yayasan Warisan Johor (YWJ) pada 2004 bagi menyokong kenyataannya. Namun laporan di akhbar berkenaan menyatakan bahawa kandungan  buku tersebut  tidak menyatakan pihak yang disanjungnya sebagai pejuang kemerdekaan tetapi mengajak rakyat menilai siapa sebenarnya individu tersebut. Menurut akhbar berkenaan:
Editor buku tersebut, Prof. Datuk Abu Bakar A. Hamid yang membidas kenyataan kontroversi itu turut menegaskan bahawa "beliau-timbalan presiden parti berkenaan" tidak layak menentukan siapa pejuang kemerdekaan negara yang sebenar kerana beliau bukan orang yang arif dalam bidang sejarah.
"Biarlah ahli sejarah yang arif dalam bidang sejarah menentukan siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan negara. Sebagai politikus tidak layak mencampuri hal-hal sejarah kerana dia bukan orang yang arif dalam bidang itu. Ini kerana apabila orang yang bukan arif bercakap tentang sejarah, ia akan mengelirukan pemikiran masyarakat.
"Sebenarnya isi kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang ditulis Ismail (Adnan) yang telah meninggal dunia tiga tahun lalu mengajak pembaca berfikir siapa sebenarnya"individu berkenaan" yang terlibat dalam peristiwa berdarah Balai Polis Bukit Kepong 61 tahun lalu, sama ada hero atau pengkhianat negara?" katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.


Sebagai mengakhiri kupasan isu ini di blog ini, penulis berpendapat biarlah urusan tertentu dijalankan oleh ahli-ahlinya. Jika nak berlaku juga, penulis kenalah terima hakikat dan redha bahawa ianya merupakan salah satu tanda bahawa kiamat semakin hampir.


Wallahualam.

Sudah Sudahlah - Tak Perlu Berdebat

Hari ini berita di sebuah akhbar telah memaparkan rancangan debat yang dirancangkan untuk menegakkan apa yang patut dalam isu terkini yang panas berkaitan siapa hero , siapa pengkhianat dalam sejarah Bukit Kepong. Ianya bakal diadakan diantara Ketua Pemuda sebuah parti dan Timbalan Presiden sebuah parti.

Bagi penulis, kedua dua individu berkenaan telah melakarkan sejarah pernah menjadi liabiliti kepada parti masing-masing. Sudah-sudah le tu, banyak lagi perkara berfaedah yang boleh dilakukan oleh mereka berdua. Penulis cadangkan apa kata kedua-dua individu berkenaan menyertai misi kemanusiaan di Semenanjung Gaza atau melancong sambil berdebat di Bandar Mogadishu, Somalia? Mana tahu, bila pulang nanti akan berubah menjadi sahabat karib dunia akhirat di antara keduanya?

"Peace, no war.."

Sunday, September 4, 2011

Komunis Tetap Musuh Islam- Datuk Harun Taib

Penulis berasa teramat bersyukur atas kenyataan seorang hamba Allah yang merupakan Ketua Dewan Ulama sebuah parti politik kedua terbesar di Malaysia dari kalangan umat Islam. Ianya seperti yang dipetik oleh Utusan Malaysia pada hari ini :


KUALA TERENGGANU 4 Sept. - Setiap ideologi yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam termasuk apa yang diperjuangkan oleh komunis tetap menjadi musuh Islam sampai bila-bila.
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, ideologi yang diperjuangkan itu tetap tidak akan 'mati' walaupun sudah terjalin perjanjian damai antara dua pihak yang bertelagah.

"Apa saja ideologi 'songsang' termasuk komunis bukan datang daripada Allah kerana ia atheis ataupun tiada tuhan untuk mereka sembah.

"Selagi mereka ini tak terima Islam sebagai agama, mereka tetap menjadi musuh Islam sampai bila-bila," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harun berkata demikian secara berhati-hati dan 'berlapik' ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Presiden Pas, dalam ceramahnya di Pulau Pinang bulan lalu yang mengangkat Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai hero dalam tragedi Bukit Kepong.

Beliau yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Terengganu bagaimanapun enggan dikaitkan dengan kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Presiden Berkenaan.

"Saya tak mahu komen pasal itu, saya hormati beliau sebagai Timbalan Presiden Pas, jangan kaitkan saya dengan kenyataan beliau itu," jelasnya.

Sumber-Utusan Malaysia.
P/s : Penulis keluarkan nama pihak yang dikaitkan dalam hal yang negatif dalam isu berkenaan. Cuma mengekalkan nama pihak yang bersikap positif.

Semoga isu ini dihentikan oleh pihak yang berkenaan dengan kenyataan yang telah dibuat oleh salah seorang yang amat berpengaruh didalam organisasi berkenaan. Sudah-sudahlah, jangan dicanangkan lagi untuk menegakkan benang yang basah. Penulis akan tabik hormat mana-mana yang berlapang dada dan mengakui kesilapan jika tersalah cakap.

Adalah lebih baik jika tenaga dan kudrat yang kita ada digunakan bagi memajukan umat dan meningkatkan persaudaraan sesama kita.Wallahualam..

Harapan Di Bulan Kemerdekaan

Setiap orang mempunyai harapan dan cita-cita. Ianya berlainan bergantung kepada suasana persekitaran dan pemikiran setiap individu. Aku juga mempunyai cita-cita dan harapan pada bulan kemerdekaan ini. Antaranya ialah:

1. Aku tak mahu lagi dibelenggu dengan ketidakyakinan diri. Aku tak mahu melihat umat Islam di Malaysia terus dijajah dari segi fizikal, percaturan politik yang tidak bijak serta dari segi pemikiran yang cetek.
2. Aku mahu terus bebas menjalankan kewajipan kepada yang Esa.
3. Aku mahu melihat umat Islam mengamalkan persaudaraan yang erat , bersatu padu dan mengelakkan permusuhan walaupun berlainan pendapat.
4. Aku mahu memajukan diri dan mahu melihat kesemua umat Islam di Malaysia berusaha menjadikan diri mereka yang terbaik.
5.Aku mahu terus melihat rakyat Malaysia hidup dalam harmoni dan mengikis sikap tamak haloba dan berpegang kepada perlembagaan sedia ada.
6.Aku mahu terus melihat Malaysia adalah negara yang paling aman dan makmur.
7. Aku mahu melihat semua rakyat Malaysia berilmu berpengetahuan. Dengan itu segala tindak tanduk rakyat Malaysia akan berdasarkan kepada pertimbangan akal berbanding hawa nafsu.
8. Dan lain-lain yang posiif.

Apa yang penting , aku tak mahu dijajah lagi.

Bulan Kemerdekaan - Seruan Bersatu Padu

Sejak akhir-akhir ini terlalu banyak polemik yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak di negara ini. Ianya bagaikan tidak berkesudahan. Masing-masing mengatakan mereka yang betul dan cuba mentafsirkan mengikut acuan masing-masing dan berdasarkan kepentingan masing-masing. Ada keadaan dimana jika sesuatu perkara tidak menyebelahi pihak yang berkenaan, maka serangan demi serangan kempen dilakukan bagi menegakkan pendapat mereka bahkan sanggup mengadakan demonstrasi dan sebagainya. Yang terbaru sekarang, sejarahpun sudah mula hendak dipertikaikan setelah berpuluh tahun berlalu.

Bagi penulis, isu ini tidak akan berkesudahan. Jika kita ikhlas, kenapa pengkajian sejarah ini tidak dibuat secara berhemah. Kita sudah merdeka dan sememangnya kita sudah mempunyai pakar sejarah tersendiri yang boleh membuat kajian secara terperinci dan secara ilmiah jika adanya penemuan baru.Penulis percaya tak semua pakar sejarah menyokong parti pemerintah. Mereka akan bercakap berdasarkan kepada kajian bebas dan berdasarkan penemuan saintifik jika ada.Lebih baik juga kita memahami lebih mendalam sejarah yang telah diceritakan di dalam Al Quran terhadap umat-umat terdahulu.

Mereka(pakar sejarah), penulis yakin bahawa mereka rata-rata tidak bercakap mengikut gerak hati mereka semata-mata dan atas landasan politik.Mereka bercakap berdasarkan penemuan dan analisa yang mereka lakukan.Mempolitikkan setiap isu atas kepentingan parti atau pihak tertentu tidak akan ke mana dan ianya akan terus mengundang risiko bencana perpecahan umat. Lebih elok jika kita bercakap atau menguruskan sesuatu isu berdasarkan kepada kebenaran dan secara berhemah.Dalam Islam sendiri menggalakkan perpaduan dikalangan umatnya yang dianggap bersaudara. Meninggalkan seruan ini bererti kita meninggalkan salah satu tuntutan Islam.

Sempena bulan baik di Syawal pada kali ini dan selaras juga dengan bulan kemerdekaan negara, penulis menyeru agar semua umat Islam bersatu padu dan menjauhi segala unsur-unsur dan tindak tanduk yang bakal mengundang persengketaan sesama sendiri. Kita tidak mampu berpecah lagi dikala ramai lagi sedara seagama kita di dunia ini yang memerlukan pembelaan.Ingatlah.., perjuangan kita masih belum selesai..

Wallahualam. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Saturday, September 3, 2011

Jangan Kaitkan Rasulullah S.A.W Untuk Menghalalkan Cara

Ini adalah natijahnya bila bercakap tak fikir panjang. Apabila dah tersalah cakap dan hati diselaputi ego dan malu mula menular, maka pelbagai kaedah terpaksa digunakan untuk menghalalkan hujah. Maka ianya terpaksa pula mengheret pihak lain juga untuk menutup malu organisasi yang mereka pimpin.

Menurut Utusan-Terbaru,  seorang Ahli Jawatankuasa Pusat sebuah parti pembangkang,  cuba menidakkan fakta bahawa Mohammad Indera adalah anggota komunis yang bertanggungjawab membunuh 25 anak bangsa sendiri dalam tragedi itu apabila mendakwa pengganas tersebut adalah guru agama.

Beliau  menuduh parti yang mereka musuhi yang melabelkan Mohammad Indera sebagai komunis sedangkan mengikut fakta 'guru agama' itu memang menyokong dan menjadi ahli komunis sehingga diangkat mengetuai Kompeni Pasukan Keempat Parti Komunis Malaya (PKM).

Malah, Pengerusi Lajnah Pendidikan Parti Pusat itu juga secara terbuka mengesahkan bahawa parti itu akan 'mengkaji' semula sejarah negara apabila berkata: "Kita akan mengkaji dan menilai balik sejarah, antaranya kes Mohammad Indera yang akan kita kaji semula."

Sementara itu, dalam usaha mengiktiraf Mohammad Indera, Presidennya pula cuba mengaitkan tragedi Bukit Kepong dengan peristiwa menawan Mekah oleh Rasulullah SAW.

Presiden Parti itu mempersoalkan apakah Nabi Muhammad SAW juga akan diiktiraf sebagai pengkhianat kerana berbuat demikian.

Ini kerana, katanya, Rasulullah SAW menyerang bangsa dan tanah airnya sendiri di Mekah dan kaum Arab yang dipimpin oleh bapa mertuanya, Abu Suffian.

"Mekah dibebaskan, Mekah dimerdekakan. Dimerdekakan daripada siapa? Dimerdekakan daripada jahiliah, bukan jahiliah Parsi, bukan jahiliah Inggeris, jahiliah Perancis, jahiliah Cina dan India. Mekah dibebaskan daripada jahiliah Arab, sebangsa dengan Nabi (Muhammad) SAW," jelasnya.

Ia kemudian disusuli dengan kenyataan seorang lagi Ahli Jawatankuasa Parti Pusat berkenaan,  yang seolah-olah 'menghalalkan' pembunuh di Bukit Kepong apabila mendakwa, serangan oleh 200 anggota komunis itu adalah bagi menyerang sarang British.

Jika berita ini benar, komen penulis.., Kenapa nak kaitkan Rasulullah S.A.W. yang mulia dalam kemelut mereka ini? Mengaitkan Rasulullah S.A.W bagi menghalalkan serangan komunis ke atas saudara seagama adalah sesuatu perkara yang tidak dapat diterima akal.Rasulullah tidak bersetongkol dengan orang-orang kafir menyerang saudara seagama. Sebelum menyerang, beliau membuat seruan untuk beriman terlebih dahulu.

Memang mereka bertugas dengan kerajaan Bristish pada masa berkenaan, tetapi kenapa tak serang pejabat-pejabat yang mempunyai orang-orang British?Kenapa anak bini turut dibunuh? Adakah cara berkenaan selaras dengan Islam? Apakah komunis berkenaan akan membenarkan Islam agama rasmi jika mereka memerintah? Apakah azan akan berkumandang, Al-Quran tidak akan dibakar , kita dibenarkan mengamalkan ajaran Islam jika komunis memerintah?

Walaupun penulis hanya  orang biasa, penulis ingin menasihatkan mereka yang berkenaan, yang mempunyai ilmu agama yang tinggi, bukalah semula kitab Al-Quran dan baca terjemahan perlahan-lahan dan fahami maksudnya dari ayat pertama hingga ayat terakhir. Insyaallah mungkin mereka akan menyedari ada perintah dan larangan yang mungkin mereka tertinggal untuk diamalkan.

Wallahualam. Renung-renungkan, selamat beramal.

Mereka Pejuang Sebenar


Utusan Malaysia dan beberapa akhbar lain pada hari ini telah melaporkan bahawa seorang Jurukamera Bernama TV telah meninggal dunia ketika membuat liputan misi kemanusiaan di negara sedang bergolak dengan perang saudara dan kebuluran iaitu di Somalia.

Jurukamera BernamaTV maut


Allahyarham Noramfaizul



KUALA LUMPUR 2 Sept. – Jurukamera BernamaTV, Noramfaizul Mohd Nor, 41, meninggal dunia setelah terkena tembakan curi semasa membuat liputan Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia dan BAKTI di Mogadishu, Somalia, malam ini.

Wartawan BernamaTV, Khairulanuar Yahaya yang turut serta dalam misi itu berkata, kejadian itu berlaku semasa Noramfaizul bersama rakan media elektronik yang sedang menaiki trak dalam perjalanan ke sebuah pusat komersil untuk menghantar berita telah terkena tembakan curi yang mengenai bahunya dan menembusi parunya.

Kejadian itu berlaku pada pukul 10.30 malam waktu Malaysia dan Noramfaizul meninggal dunia semasa menerima rawatan pada pukul 11.07 malam waktu Malaysia (Malaysia lima jam lebih awal dari Mogadishu), katanya.

Khairulanuar seperti dipetik oleh Bernama berkata, tembakan itu ditujukan kepada trak tentera kerajaan yang mengiringi pasukan media dalam liputan berita telah tersasar dan mengena Noramfaizul yang duduk berdekatan tingkap.

Sementara itu, menurut wartawan Utusan Malaysia, Metra Syahril Mohamed yang mengikuti misi kemanusian tersebut ketika dihubungi lewat malam tadi memberitahu, selain jurukamera BernamaTV, jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan (gambar) juga terkena tembakan dan cedera di bahu.

Menurut Metra, mereka ditembak oleh pihak yang tidak diketahui yang dipercayai menyasarkan tentera Kesatuan Afrika (AU).

Tambahnya, kesemua wakil media diarahkan untuk mengemas pakaian dan barang keperluan masing-masing.

Kesemua wakil media yang menyertai misi tersebut pada 28 Ogos lalu dijangka pulang ke tanah air pada 8 September ini dan kemungkinan akan pulang lebih awal malam ini atau esok pagi (waktu tempatan).-Utusan Malaysia

Penulis mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Sesungguhnya bagi penulis beliau adalah pejuang kemanusiaan yang sebenar yang sanggup turun membantu insan dan saudara seagama yang sedang kebuluran. Turun ke sana demi cita-cita untuk menegakkan kebenaran dimuka bumi. Berani mati, tidak cintakan dunia dan bukannya hanya bersemangat melalak, melalut umpama bak bagaikan buih pepsi cola atau buih-buih di lautan.Ini amat berbeza dengan segolongan pihak di Malaysia yang tak pernah bersyukur dan sanggup pula mengagung-agungkan pengkhianat negara yang pernah berlaku kejam dan membunuh insan yang tak berdosa. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allayarham. Ameen...


Thursday, September 1, 2011

Kematian Di Jalan Raya : Kerajaan Digesa Tingkatkan Kualiti Jalan Raya

Saban hari pada sambutan Aidilfitri pada kali ini menunjukkan kes kemalangan maut yang tidak berkesudahan. Kementerian yang bertanggungjawab seolah sudah berputus asa apabila melihat kes kemalangan maut yang seolah tidak  berkesudahan.

Pelbagai kempen telah dilakukan setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran pengguna tentang betapa pentingnya sikap berhati-hati ketika di jalan raya.Ini sudah tentu melibatkan kos yang banyak apabila setiap kali kempen terpaksa dilancarkan. Namun kesan atau keberkesanannya masih belum menampakkan hasil walaupun sebuah institut juga telah ditubuhkan untuk mengkaji aspek keselamatan di jalan raya.

Namun begitu penulis mempunyai kepercayaan yang tinggi bahawa kemalangan maut disebabkan faktor kualiti jalan raya yang ada di Malaysia terutama bukan di lebuhraya di mana kadar penyelengaraannya amat rendah. Kadangkala, bila sebaik sahaja selesai jalan raya baru diturap dengan cantik, masa itulah pula ada pihak yang hendak mengorek semula jalan yang baru diturap tersebut.

Kadangkala, proses penurapan juga tidak dilakukan dengan baik yang mana ianya mungkin menyebabkan jalan berkenaan cepat berlubang. Kebanyakan kemalangan berlaku juga disebabkan pemandu ingin mengelakkan lubang-lubang di jalan raya. Penulis yakin, tidak semua orang hendak mati dengan mudah terutamanya di jalan raya. Mungkin kini tibalah masanya pihak berkenaan melihat pula dari segi kualiti jalan raya yang kita ada sebagai punca utama kemalangan maut. Wang yang digunakan bagi menggerakkan kempen seharusnya pula disalurkan bagi meningkatkan atau menambahbaikkan kualiti jalan raya.

Mungkin faktor ini adalah penyumbang secara tidak langsung. Sebagai contoh, apabila jalan berlopak atau berlubang, kos penyelenggaraan tayar makin meningkat. Kadangkala, pemandu yang telah terlanggar lopak tidak perasan bahawa bahagian tayar di sebelah dalam kenderaan telah terhakis dengan cepat secara dengan perlahan tanpa disedari, akibat ketidak seimbangan tayar.Rata-rata pemandu hanya dinasihatkan agar membuat "servis" di bahagian engin sahaja dan tidak ditekankan pada bahagian tayar. Jika keadaan ini tidak disedari, peluang kemalangan akan berlaku amat tinggi apabila tayar pancit ketika memandu dalam keadaan yang agak laju.

Justeru itu, penulis mengutarakan cadangan ini agar dapat kita semua renung-renungkan bersama. Jika sesuatu inisiatif yang telah dijalankan berkali-kali tetap gagal, kenapa tidak kita mencuba inisiatif lain?

Fikir-fikirkan....

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...