Jom Follow.....

Monday, April 25, 2011

Penulisan Blog Perlu Dilihat Dari Sudut Positif

Merujuk kepada beberapa liputan di beberapa akhbar hari ini, artikel mengenai pandangan kerajaan terhadap penulis blog amat menarik perhatian saya. Para penulis blog sekarang ini tidak lagi dipandang di dalam kontek sebelah mata sahaja. Namun begitu, agak ramai juga yang memandang serong terhadap penulisan blog-blog yang terdapat pada masa kini.

Namun begitu, dari sudut pemerintah, ini adalah platform terbaik untuk mengenalpasti denyut nadi dan keluh kesah masyarakat yang dipimpinnya. Ianya memberi peluang kepada kerajaan bagi mendapatkan maklum balas yang tulen sebelum dasar sebenar dilaksanakan agar kehendak dan keperluan rakyat dapat dipenuhi dengan jayanya, tanpa bergantung kepada laporan yang tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.

Dari sudut ekonomi pula, ianya memberi peluang kepada rakyat marhain(bagi yang kreatif) menambah pendapatan selaras dengan dasar menjadikan rakyat berpendapatan tinggi dengan berkongsi kek kakayaan pengiklanan yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh jutawan-jutawan media yang tertentu sahaja.Dengan mengendalikan blog, ianya secara tak langsung menggalakkan rakyat kita sentiasa berfikir dan berinovasi ketika mengendalikan blog mengikut citarasa mereka sendiri.

Dari segi masalah  kredibiliti berita yang dipaparkan, sebenarnya media arus perdana yang ada sekarang turut mempunyai masalah yang sama. Oleh itu , biarlah pasaran menentukan sendiri kualiti blog-blog yang dipaparkan kerana, golongan yang mengendalikan blog ini, rata-ratanya terdiri dari mereka yang sentiasa berfikir. Justeru itu, pengendali blog perlulah diiktiraf sebagai golongan yang turut mampu memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara.

Kerajaan perlu merangka langkah tertentu agar insentif-insentif tertentu dapat diberikan kepada blog-blog yang sentiasa menjaga kredibiliti terhadap kandungan yang dipaparkan.Dengan itu, masalah kredibiliti kandungan yang dipaparkan sedikit sebanyak dapat diselesaikan.

Tuesday, April 19, 2011

Adakah Anda Seorang Yang Kaya ?

Kadangkala kita selalu terfikir bagaimana hendak menjadi kaya. Rata-rata dikalangan kita sanggup berbuat apa saja untuk menjadi kaya.Kadangkala hinggakan matlamat menghalalkan cara. Kebanyakan definisi kaya dikalangan kita ialah apabila kita mempunyai wang dan harta yang banyak.



Bagaimana pula jika kita mempunyai wang yang banyak, tetapi malangnya tidak dapat menikmatinya kerana sakit atau sebagainya? Jika ini berlaku, ianya tidak akan memberi makna juga kepada kita. Apa yang menarik untuk direnungkan ialah menerusi lirik lagu  "Gali Lubang Tutup Lubang" oleh Saleh Yaakob ini:

Walau makan sederhana
(Makan nasi sambal belacan)
Walau pakai sederhana
(Baju serong pasar malam)
Walau makan sederhana
Walau pakai sederhana
Walau serba sederhana
Asal sihat jiwa raga
Dan juga hutang tak punya…
Itulah orang yang kaya .......


Maka nasihat kepada diriku dan kawan-kawan, bersyukurlah dengan apa yang ada dan sentiasa berusaha tanpa putus asa dan matlamat tidak menghalalkan cara.

Saturday, April 9, 2011

Kerana Cinta Dunia

Kerana cinta dunia
Manusia sering bersandiwara

Kerana cinta dunia
Kita sering berpura-pura

Kerana cinta dunia
Manusia sering mengadu domba

Kerana cinta dunia
Manusia menjadi gila
Gila kuasa, gila pangkat, gila darjat dan segalanya

Kerana cinta dunia
Manusia sering berperang sesama mereka
Nikmat dan kepuasan di alam fana menjadi segalanya
Kertas menjadi raja
Minyak menjadi punca sengketa

Wahai rakan wahai saudara
Ayuhlah kita bersama
MencintaiNya lebih utama
Hidup abadi kekal selamanya


Nukilan spontan pada Hari Rabu, 6 April 2011.Karya pertama.
A Moin Hss

Tuesday, April 5, 2011

Di Mana Lagi Kanak-kanak Kita Hendak Berlindung ?

Terasa kecewa dan amat marah hati ini bila mana penulis mendengar kisah pelajar yang baru berusia 7 tahun dipukul sampai koma dan meninggal dunia oleh guru. Diberitakan bahawa kejadian berkenaan berlaku, bila pelajar berkenaan dituduh mencuri hanya beberapa ringgit.Namun begitu, wajarkah pelajar yang belum akil baligh itu diperlakukan sedemikian rupa?Persoalannya, kawasan manakah yang selamat bagi kanak-kanak sekarang? Lebih mengecewakan , kejadian ini berlaku disebuah institusi pembelajaran agama di sebuah negeri di utara Malaysia.

Saban hari kita mendengar kanak-kanak didera dan diculik di mana-mana.Sekurang-kurangnya di institusi yang menjadikan agama sebagai teras utamanya , ia sepatutnya menjadi benteng terakhir tempat yang paling selamat untuk dihuni atau bagi tujuan pembelajaran. Namun begitu , penulis terasa amat hampa bila kejadian malang ini berlaku juga di institusi berkenaan.

Siasatan perlu dilakukan secara menyeluruh agar keadilan dapat ditegakkan walaupun ianya bakal melibatkan implikasi politik.Pengurusan sekolah berkenaan perlu mengambil tindakan drastik agar hanya guru-guru yang layak dan terlatih sahaja diambil berkhidmat serta menjalani tapisan yang ketat sebelum diterima berkhidmat di institusi tersebut.

Guru-guru yang hanya menjadikan kerjaya guru sebagai pilihan terdesak perlu diketepikan, sebaliknya hanya mereka yang mempunyai minat yang mendalam sahaja yang diberikan keutamaan untuk berkhidmat. Ini penting bagi memastikan kejadian yang amat malang ini tidak berulang kembali pada masa depan.

Penulis juga berpendapat agar pelajar-pelajar sekolah agama perlulah diambil dari mereka yang mempunyai IQ dan EQ kelas pertama kerana merekalah yang bakal menjadi ulama pewaris Nabi dan bukannya diambil daripada mereka yang gagal melanjutkan pelajaran di sekolah-sekolah kebangsaan atau dikalangan yang tidak mempunyai pilihan yang lain untuk melanjutkan pelajaran.


Akhir kata, Al Fatihah kepada pelajar berkenaan.

Monday, April 4, 2011

Hasil Negara Bocor

Ketika penulis berusaha mengisi borang cukai pendapatan, tiba-tiba timbul rasa terkilan di hati bila mengikuti liputan media masa di negara ini memaparkan kes yang melibatkan kerugian mencecah berbilon ringgit Malaysia yang melibatkan aspek percukaian di salah sebuah agensi kerajaan sejak beberapa hari lalu. Jika amaun berkenaan dapat dikutip oleh kerajaan, mungkin cukai yang perlu penulis bayar dapat diturunkan lagi oleh pihak kerajaan.Saban tahun, cukai individu yang ditanggung amat memeritkan jika dibandingkan kos sara hidup yang semakin tinggi.

Sesungguhnya kejadian seperti ini amat mengecewakan kerana berdasarkan laporan media, jumlah berkenaan juga mampu menampung subsidi kerajaan kepada rakyat selama 2 tahun. Namun begitu, penulis berharap siasatan dapat dilakukan dengan seadilnya agar tiada pihak yang teraniaya. Aspek pemantauan di seluruh agensi kerajaan perlu diperhebatkan agar hasil dan perbelanjaan awam dapat diuruskan dengan sebaiknya. Dengan itu, kekayaan negara dapat diagihkan kepada rakyat dan dapat dikongsi bersama dengan seadil-adilnya.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...