Jom Follow.....

Thursday, June 30, 2011

Rawatan Gigi Menggunakan Paku

Pada suatu ketika dulu, semasa aku kecil ada satu rawatan alternatif yang menggunakan paku untuk mengubati sakit gigi. Pada masa berkenaan, bilangan klinik gigi adalah amat terhad. Oleh yang demikian, rawatan sedemikian adalah amat penting bagi pesakit.

Ianya menggunakan kertas, pelapik kayu, paku dan penukul. Perawat akan menulis sejenis tulisan yang seakan berbentuk tulisan jawi di atas kertas dan kemudian paku diketuk dengan penukul di sudut-dudut tertentu di tulisan berkenaan dengan beralaskan pelapik kayu.

Paku akan diketuk di setiap sudut tulisan berkenaan seolah memalam gigi sebenar.Ianya dilakukan berterusan sehingga pesakit merasakan sakit gigi dah hilang.Namun amat menghairankan aku rata-rata  rawatan berkenaan agak berkesan di mana sakit gigi pesakit berjaya sembuh.

Namun begitu hanya Allah S.W.T. yang lebih mengetahui disebalik segala apa yang berlaku. Oleh itu, jangan dibiarkan hidup kalian semua diselubungi misteri.

@MyBancik

Wednesday, June 29, 2011

Harimau Malaya Menewaskan Taiwan 2-1

Harimau Malaya telah berjaya menewaskan Taiwan(Chinese Taipei) dengan jaringan 2-1 sebentar tadi pada perlawanan pertama peringkat awal kelayakan Piala Dunia yang akan datang.Walau bagaimanapun bekalan 2 gol dilihat masih belum selesa buat skuat Harimau Malaya.

Namun begitu, kita harapkan agar pada perlawanan timbal balas nanti di tempat lawan, pasukan Harimau dapat mengaum dengan lebih kuat lagi.

Syabas.

@MyBancik

Salam Kedamaian Untuk Rakyat Malaysia

Akhir-akhir ini suasana suhu politik negara kembali panas. Ini disebabkan gara-gara penganjuran suatu perhimpunan di ibu negara yang dijadualkan pada 9 Julai 2011 akan datang.Namun aku beranggapan ianya tetap  mempunyai agenda politik pihak yang tertentu.

Namun yang bakal menjadi mangsa kerugian dan korban ialah orang-orang awam yang tidak berdosa yang mencari rezeki di ibu kota. Ianya sedikit sebanyak menyebabkan banyak pihak yang utama. Adakah ini yang ingin diperjuangkan untuk rakyat apabila ramai rakyat pula yang teraniaya. Bila masanya kita nak fokus untuk memajukan diri, organisasi dan negara, jika setiap bulan, saban hari kita asyik disogokkan dengan rethorik politik?

Perhimpunan berkenaan bertujuan kononnya menuntut proses pilihanraya yang adil. Bagiku , setakat ini, bersyukurlah kerana pihak yang berseteru dengan kerajaan sedia ada tetap berjaya menawan 5 negeri pada pilihanraya yang lepas. Jangan disamakan keadaan negara ini bersamaan dengan negara-negara di timur tengah. Situasi di sana jika kita merujuk kepada sesiapa yang pernah ke sana, keadaannya boleh digambarkan bagaikan langit dengan bumi.

Oleh yang demikian, bersamalah-samalah  kita bermuhasabah dan berlapang dada. Berpeganglah kita pada tali Yang Maha Esa dan janganlah kita berpecah belah. Menuntut sebarang perubahan melalui perhimpunan adalah jalan yang amat kurang bijak. Ingatlah, bukan majoriti yang menyokong pembangkang dan bukan semua pula yang menyokong kerajaan.Kesimpulannya menyertai perhimpunan ini hanya membazirkan sumber-sumber yang ada disebabkan kerosakan-kerosakan kemudahan awam yang bakal berlaku. Yang menjadi mangsa ialah wang rakyat yang terpaksa diguna untuk tujuan pembersihan dan pembaikan semula.

Lebih baik sumber-sumber berkenaan digunakan untuk perang clik  clik..di alam maya bagi melepaskan geram. Itu lebih mendamaikan.

Tuesday, June 28, 2011

Wasiat Seorang Ayah

Semasa memandu ke tempat kerja tadi aku terdengar seorang pakar motivasi bercerita sesuatu di salah sebuah stesen radio.Ianya berkisar tentang seorang ayah telah berwasiat kepada 2 orang anak lelakinya sebelum beliau meninggal dunia. Si ayah adalah seorang saudagar yang berjaya dan kaya.

Si ayah berwasiat agar anak-anaknya berpegang kepada dua perkara apabila dia sudah tiada. Yang pertama ialah anak-anaknya tidak boleh menuntut atau menagih hutang manakala yang kedua ialah mereka tidak boleh kena cahaya apabila berulang alik dari kediaman dan tempat kerja.

Dengan takdir Ilahi, tak lama kemudian, si ayah meninggal dunia. Maka dengan itu kedua-dua anak beliau dengan sedaya upaya menjalankan amanat ayah mereka. Namun begitu tak lama selepas itu dua keadaan berbeza telah berlaku. Anak yang bongsu semakin lama kehidupannya semakin susah manakala bagi anak sulung pula perkara yang sebaliknya telah berlaku.

Ibu mereka yang masih hidup mengambil peluang bertanya kepada anakya yang bongsu apabila menziarahi anaknya. "Ibu lihat , hidup kamu semakin hari semakin susah nak. Apa sebenarnya sedang berlaku?" Tanya si ibu. Si anakpun menjawab, "Sebenarnya aku semakin susah kerana terpaksa menunaikan wasiat ayah. Ayah berpesan agar aku tidak menuntut dan menagih hutang. Maka modalku makin berkurangan disebabkan aku tidak menuntut hutang. Ayah juga berpesan agar aku tidak terkena cahaya terik matahari semasa ke tempat kerja. Maka perbelanjaan harianku terpaksa ditambah disebabkan terpaksa menaiki kenderaan walaupun jarak rumah dan tempat kerja tidak jauh. Si ibu berlalu dengan sedih dan menuju ke rumah anaknya yang sulung.

Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat kehidupan anaknya yang sulung semakin kaya. Bertanyalah si ibu kepada anaknya yang sulung bagaimana anaknya yang seorang ini semakin mewah hidupnya.Berkatalah si anak bahawa dia hanya menunaikan wasiat yang telah ditinggalkan oleh si ayah, sama yang diceritakan oleh adik bongsunya.

Berkata si anak kepada ibunya , "Oleh kerana aku  tidak dibenarkan menuntut dan menagih hutang, maka aku tidak membenarkan urusniaga jualan secara hutang. Maka dengan itu aliran tunai perniagaanku semakin kukuh dan modal makin berkembang". "Adapun amanat kedua yang tidak membenarkan aku terkena cahaya matahari, maka aku terpaksa keluar sebelum matahari terbit dan pulang apabila matahari terbenam. Maka dengan itu , perniagaanku mempunyai kelebihan kerana beroperasi awal dari yang lain dan ditutup lewat dari yang lain. Maka dengan itu pelangganku makin ramai disebabkan masa perniagaanku yang lebih panjang dari pesaing-pesaing yang lain".

Pengajaranya dari kisah ini ialah setiap isu jika dilihat dari sudut positif bakal membuahkan suatu penyelesaian yang boleh memberikan hasil yang positif. Setiap kelemahan pasti mencetuskan suatu kekuatan. Suatu ancaman berupaya menghasilkan sesuatu peluang. Apa yang penting ialah mencuba dan terus mencuba.Nasihat ini untuk diriku juga...

@MyBancik

Monday, June 27, 2011

Impian Anak Jalanan

Setiap insan mempunyai impian untuk hidup dengan lebih selesa. Oleh sebab itu daripada kecil mereka pasti mengimpikan suatu kehidupan yang lebih baik dari apa yang dikecapi.Akhir-akhir ini begitu banyak polemik yang timbul dari segi menuntuk hak dan mempertikaikan hak yang lain

Ini termasuklah dari segi pemberian biasiswa. Walaupun golongan sebangsa mereka tersenarai antara individu yang terkaya di negara, namun agak jarang mereka yang telah menjadi "tycon"  menghulurkan bantuan biasiswa kepada bangsa mereka sendiri. Maka dengan itu kerajaanlah yang menjadi mangsa untuk mendapatkan bantuan berkenaan.

Oleh kerana keengganan mereka yang dah kaya untuk menunaikan tanggungjawab sosial, maka eloklah dikaji semula peluang perniagaan dan lesen yang diberikan kepada individu-individu yang tertentu.Tak guna kerajaan berbudi kepada si tangkai jering. Mereka tidak menyumbang apa-apa kepada negara melainkan begitu opportunistik terhadap peluang perniagaan dan peluang untuk menjadikan mereka lebih kaya lagi.

Biarlah peluang perniagaan diberikan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memandangkan GLC selalunya perlu akur terhadap dasar kerajaan dalam menunaikan tanggungjawab sosial. Maka kerajaan boleh terus memberikan tumpuan kepada golongan susah ataupun yang layak untuk mendapat platform bersaing yang sama rata dengan golongan yang sudah mampu. Semua golongan termasuk anak jalanan inginkan masa depan yang cemerlang. Semoga kita semua diberi pedoman.



@MyBancik

Sunday, June 26, 2011

Aku Dan Sawah

Bila terbaca salah satu blog rakan follower yang berkisahkan bendang di Kedah, aku teringatkan kembali masa kehidupan lampau. Aku memang berasal dari keluarga petani yang menjadikan bendang dan sawah sebagai mata pencarian. Dari kecil lagi aku bergelumang dengan bendang. Nak tak nak semasa kanak-kanak, apabila dah berumur 10 tahun mula ke bendang membantu ibu bapa kesawah. Paling tidakpun, tukang menyibuk atau manggagau ikan.

Aku pernah menangis apabila padi yang sedang ranum dan hanya tunggu dituai tumbang dan terendam di dalam air.Penuaian terpaksa dibuat secara manual kerana pada masa itu mesin tidak boleh masuk. Di daerah kerian, pada masa itu saliran tidak begitu baik dan ianya menyebabkan seringkali padi terendam di dalam air. Dalam umur hanya belasan tahun, aku terpaksa menyertai  orang kampung memikul/menanggung guni padi basah sejauh 1 kilometer ke jalan utama. Sedangkan rakan-rakan sebaya di bandar mungkin sibuk mentelaah pelajaran dan menghadiri kelas tambahan.

Lebih amat memilukan , hasil yang dipungut kadangkala tidak dapat menampung perbelanjaan sewaan tanah. Mujur kerajaan ada memberi subsidi. Sedikit sebanyak dapat menyelamatkan keadaan.Dengan itu aku tetap bersyukur lahir di bumi yang bernama Malaysia.

Namun dengan segala kepayahan itu menguatkan aku untuk berubah. Berubah dan berusaha memperbaiki taraf hidup. Dan dengan itu aku tak ingin kembali ke sawah walaupun keadaan penyediaan sawah kini amat jauh mudah dan berbeza.

Aku tak ingin kembali....

Mengapa Kita Sering Bersengketa ?

Mengapa kita sering bersengketa
Di kala dunia semakin tua
Di kala dunia semakin ke penghujungnya
Di mana manusia makin cintakan dunia
Tak kala manusia merasakan mereka akan kekal selamanya di dunia

Mengapa kita sering bersengketa
Kita berani sesama kita
Tetapi akur kepada musuh durjana
Musuh yang terang-terang memperkotak katikkan kita
Mencabar hak-hak dan cara hidup kita

Mengapa kita sering bersengketa
Salam perdamaian dicurigai tanpa disapa
Kawan dianggap lawan
Lawan tak punya iman dipuja disanjung dan didewa

Mengapa kita sering bersengketa
Sedangkan umat kita di serata dunia perlu dibela
Kekecohan umat sering dipinta
Kebinasaan saudara sering dipinta

Wahai Yang Maha Esa
Selamatkan umat ini
Dari kecelakaan dan kecelaan
Dari kebimbangan dan keluh kesah
Perkenankanlah Doa Kami Ya Rabbi

Saturday, June 25, 2011

Kerajaan Perlu Tegas Terhadap Pihak Yang Sering Timbulkan Isu Sensitif

Topik di atas nampak agak keras. Tetapi bagiku ianya amat penting bagi mempertahankan keamanan dan kedamaian negara.Negara akhir-akhir ini acapkali disajikan dengan berita-berita yang meresahkan rakyat. Ianya dibuat oleh pihak-pihak yang mungkin tidak bersyukur dengan apa yang mereka nikmati.

Terbaru ialah desakan segelintir pihak yang mahukan status agama kanak-kanak dihapuskan di sijil pendaftaran kelahiran. Bagiku ini adalah suatu penghinaan yang amat melampau dan tidak sensitif terhadap umat Islam. Bayangkan jika anak-anak kita hanya boleh dikhatankan pada umur 18 tahun. Apa jadi dengan konsep akikah, merotan anak jika tidak mahu bersembahyang setelah berumur 10 tahun dan sebagainya.

Sebagaimana yang dipetik di Utusan Malaysia 25 Jun 2011 Tun Dr Mahathir berkata "Umat Islam perlu bertegas mempertahankan peraturan Jabatan Pendaftaran Negara(JPN) yang memberikan ruang kepada mereka untuk menetapkan status agama anak dalam dokumen kelahiran iaitu sebagai  penganut Islam". Tambah beliau, langkah itu bertujuan memastikan umat Islam tidak terpengaruh dengan sebarang pihak trend pihak tertentu yang mahukan anak yang baru dilahirkan tidak ditentukan status agama, sebaliknya membiarkan ia menjadi pilihan sendiri apabila dewasa.

Dengan tegas beliau berkata "Itu adalah adat kita.Mereka tidak boleh mempersoalkannya. Anak kita mesti beragama Islam. Beliau mengulas kenyataan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang yang bukan Islam yang disiarkan dalam sbuah portal berita kelmarin yang meletakkan kesalahan kepada sistem JPN kerana telah menentukan anaknya sebagai Budha sedangkan beliau meletakkan status anaknya sebagai " belum ada agama". Tambah ADUN itu lagi "Ini adalah semangat 1Malaysia dan harus digalakkan. Generasi akan datang kita seharusnya mempunyai kebebasan untuk menentukan bangsadan agama mereka sendiri".

Namun aku hairan, pihak yang sering berdemonstrasi membantah konsert artis-artis sebelum ini tidak pula berdemo membantah cadangan ini. Kenapa mereka ini pula nak sokong perhimpunan haram yang diketuai oleh individu yang pernah mengutarakan cadangan yang sama.

Bagiku benarlah sabda Rasulullah S.A.W bahawa umat akhir zaman seumpama buih-buih dilautan dan bak kata salah seorang pemimpin parti politik, semangat bagai "Umpama Buih Pepsi Cola".

Kerajaan pula, jangan laa lembik sangat....

@MyBancik

Thursday, June 23, 2011

Bolasepak:Malaysia Tewaskan Lubnan 2-1

Tahniah diucapkan kepada skuad bolasepak Olimpik Malaysia yang telah berjaya mengalahkan pasukan Lubnan dengan agregat 2-1 sebentar tadi pada pusingan kedua kelayakan bola sepak Olimpik di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam ini.

Skuad negara membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi Mohd Irfan Fazali dan gol kedua oleh Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-41.Dengan keputusan berkenaan, saya ingin mengucapkan tahniah kepada skuad negara.

Insentif Poligami & Kelab Taat Suami

Kedua-dua topik berkenaan telah menggamatkan suasana di negara ini baru-baru ini. Bermula dengan penubuhan Kelab Taat Suami, kini sebuah negeri telah mengutarakan cadangan pemberian insentif kepada para lelaki yang mengishtiharkan kepoligamiannya. Mungkin niat terhadap cadangan ini adalah baik, namun dari segi praktikalnya masih boleh dipertikaikan.

Kalau dari segi ikut keperluan, masih banyak lagi yang perlu diberi keutamaan terhadap belanjawan yang diperlukan untuk tujuan tersebut. Antaranya bantuan kepada anak-anak yatim, kemudahan jalan raya, bekalan air, orang kurang upaya dan sebagainya. Adakah keperluan berkenaan telah dipenuhi.

Tambahan lagi, rata-rata yang berpoligami ini adalah dikalangan orang-orang yang telah berada. Apakah adil jika insentif kewangan diberikan kepada golongan ini? Namun pemberian insentif yang bukan berbentuk kewangan mungkin boleh dipertimbangkan seperti penganugerahan sijil penghargaan daripada Menteri Besar dan sebagainya.

Bagi Kelab Isteri Taat Suami pula , aku amat menyokong jika niat penubuhannnya untuk mendapat keredhaan Ilahi. Memang amat dituntut agar para isteri taat kepada suami, tetapi tidak semestinya taat agar suami boleh berpoligami sesuka hati. Aku amat setuju agar suami disajikan layanan kelas pertama, tetapi janganlah menggunakan istilah pelacur kelas pertama. Lagipun ,akupun sendiripun tak tahu macam mana layanan pelacur kelas pertama. Mungkin ini hanya kiasan dan diharapkan agar para wanita tidak mudah melatah dengan kenyataan pihak berkenaan.

Peringatan ketaatan kepada suami adalah penting, agar keharmonian rumahtangga dapat dikekal dan dipertingkatkan. Dalam suasana mengejar kebendaan dan kerjaya yang semakin kompetitif ,rata-rata masyarakat mula mengabaikan tanggungjawab masing-masing, baik suami ataupun isteri. Apa yang penting perlu ada keikhlasan dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

Tuesday, June 21, 2011

Persepsi Baru Dunia Blog

Persepsi aku terhadap dunia blog semakin berubah. Sebenarnya aku sudah mula berblog sejak sekitar tahun 2008 lagi. Namun ianya hanya menjurus kepada pengumpulan artikel yang aku baca dari akhbar-akhbar online dan dari sumber sumber lain. Pada masa itu, aku berfikiran bahawa dunia blog penuh dengan kandungan politik-politik kotor. Rata-rata blog di Malaysia pada awalnya amat dikenali sebagai medan politik yang tidak berkesudahan dan juga ada yang menyajikan dengan kandungan yang menjamu mata.

Namun, sejak akhir-akhir ini semakin banyak blog yang memaparkan kandungan yang menghiburkan dan ianya dipersembahkan dengan pelbagai gaya, intonasi yang berbeza. Masing-masing berlumba dengan menggunakan kreativiti masing-masing. Kandungan blog-blog yang dipaparkan semakin mengalami evolusi yang pantas. Ada yang memaparkan cara-cara berblog, meningkatkan trafik, mendapatkan pendapatan dan sebagainya.

Setelah menggunakan facebook sebelum ini, aku berpendapat bahawa kaedah blog lebih sesuai untuk menyimpan segala khazanah idea yang pernah diperah untuk dipaparkan diblog masing-masing. Bagiku facebook hanya sesuai untuk mencari rakan-rakan lama yang telah terpisah. Agak membosankan kadangkala di facebook, perkara yang amat remehpun hendah dipaparkan seperti nak pergi makan, letih, keluh sana-sini, bahkan kalau boleh nak kentutpun nak diberitahu di facebook. Walau bagaimanapun, ini hanya pendapat aku dan mungkin berbeza di fikiran orang yang lain.

Evolusi pengendalian blog di Malaysia bakal melonjakkan Malaysia sebagai negara berpengetahuan, di mana pengetahuan, pengalaman dan kemahiran dapat dikongsi bersama di alam maya tanpa batasan dan sekatan. Pengetahuan yang dipaparkan, yang telah dikongsi bakal melahirkan satu cetusan idea dan inovasi baru selaras dengan perkembangan masa.Oleh itu, mana-mana pihak tidak perlu bimbang dengan evolusi yang sedang berkembang pantas ini.


@MyBancik

Monday, June 20, 2011

Dedaun Masa

Ada sebuah cerita atau riwayat yang menyatakan bahawa sebuah pohon yang paling besar di bawah Arsy yang mana daunnya itu, bilangannya sama banyak dengan bilangan makhluk yang diciptakan olehNya(Allah S.W.T.).Jika seseorang itu telah diputuskan ajalnya, maka umurnya boleh dikira 40 hari dari hari yang diputuskan.

Pada masa yang sama, secebis daun yang berkenaan akan gugur dan luruh ke tangan malaikat maut. Apabila daun tersebut diperolehi oleh malaikat maut, maka tahulah dia bahawa beliau telah diperintahkan mencabut nyawa hamba yang tertulis pada daun berkenaan.

Nama orang yang tertulis pada daun tersebut dikenali sebagai mayat di langit, walaupun ianya masih hidup di dunia dalam tempoh 40 hari.Sesungguhnya hidup ini adalah suatu ujian, perjuangan untuk hidup bahagia yang kekal abadi

Wallahualam.


@MyBancik
Nota:

Untuk mendapat kepastian bagi sesiapa yang berminat dalam kisah ini, silalah merujuk kepada para alim ulama yang muktabar bagi memastikan kesahihan riwayat kisah ini dari sudut pandangan Islam.

Sunday, June 19, 2011

Balada Seorang Ayah

"Bang, anak-anak kita nak balik!". Kata si ibu kepada si ayah. Si ayah hanya tersenyum sumbing apabila mendengar kata-kata si ibu. "Untunglah awak, anak-anak dan cucu-cucu kesayangan awak tu dah nak balik! Baiklah demam awak tu nanti. Tak la awak tu asyik terbaring aje". Balas si ayah kepada si ibu yang sebelum ini asyik berbaring kerana tidak berapa sihat.

"Ishh ! Ke situ pulak abang ni. Anak cucu kita nak pulang, sepatutnya awak turut sama rasa gembira.., bukannya memperli saya. Hah! Mula la tu nak menyakitkan hati saya..". Si ayah yang dimamah usia hanya menggelengkan kepala bila mendengar kata si ibu tadi.Di fikirannya hanya terdetik bahawa isterinya sudah tentu bertambah sibuk nanti melayan kedatangan anak-anak, menantu dan cucu-cucunya nanti.

"Apa lagi awak tunggu bang? Pergi la ke pasar untuk dapatkan barangan basah untuk disediakan juadah makanan nanti!". Kata si ibu. "Ye la, tapi takkan dengan air liur aje? Saya ni mana ada wang sekarang ni. Semalam saya baru aje habiskan beratus ringgit untuk kereta antik saya tu..".Balas si ayah. Wang bulanan pencennya baru dihabiskan untuk membetulkan kereta usangnya yang rosak.

"Haah ! Itulah awak, boros aje..Cuba lihat si Abu jiran kita tu, dah bersara pun masih mewah. Lihat macam saya ni, simpanan saya masih banyak lagi, rumah ni pun saya beli.. Awak ada apa? Kalau awak tak puas hati dengan saya, awak cari la anak dara ke, ibu tunggal ke, awak beri borang poligami kepada saya akan tamdatangan dan saya yakin tak siapa pun ingin kat awak tu.! Nah ambik ni..!"Si ayah hanya tersenyum pahit. Di dalam hatinya , alangkah bahagianya jika borang  tersebut diberikan kepadanya pada 20 tahun yang lalu. Jadi lesen besar buatnya.

"Ye la.., anak-anak kesayangan awak tu, bila balik tu, hanya hulurkan wang kat awak aje, saya ni tak ada siapa pedulikanpun!" Balas si ayah. Kali ini, hati si ayah terasa terguris. Selalunya si ayah tidak ambil peduli sangat kata-kata berkenaan. Si ayah tak pernah merungut tentang pengorbanannya selama ini.

Selalunya bila ada wang, si ayah akan berbelanja dan mendapatkan barangan & makanan yang beliau suka. Setiap kali anak-anak balik, si ayah akan mengeluarkan wang perbelanjaan untuk melayan kedatangan mereka. Namun anak-anak hanya sering menghulurkan wang kepada si ibu sahaja.Selama ini si ayah tak pernah ambil pusing sangat dalam hal ini. Ini kerana si ibu sering beri perhatian kepada anak-anak sedangkan si ayah terpaksa beralah. Si ayah akan berseorangan di rumah bila si ibu menjaga anak-anak dan menantu yang baru bersalin. Keadaan si ibu akan bertambah sibuk jika 4 orang anak menantunya bersalin dalam tempoh setiap tahun. Si ayah terpaksa beralah dan terpaksa tinggal dirumah seorang diri.

Semasa dalam perkhidmatan dahulu, si ayah juga terpaksa beralah di sebabkan si ibu berpangkat lebih tinggi. Si ayah sering ditinggalkan bila si ibu terpaksa bertugas di luar atau apabila si ibu terpaksa bertugas lepas waktu pejabat. Si ayah terpaksa menguruskan hal anak-anak. Bukannya si ayah tak mampu mendapat kerjaya yang tinggi, tetapi si ayah lebih suka mengambil pendekatan mengutamakan keluarga dan mengamalkan kehidupan yang seimbang di antara keluarga dan kerjaya. Oleh yang demikian, dek kerana sikap beralah oleh si ayah, si ibu mempunyai peluang yang lebih baik dari segi kerjaya.

Dari segi pemilikan harta, bukannnya si ayah tidak mahu membeli rumah, tetapi segala pendapatannya selama ini rata-rata hanya disalurkan untuk perbelanjaan keluarga dan pendidikan anak-anak sehinnga ke menara gading seramai 6 orang.  Kesemua anak-anaknya berpendidikan peringkat ijazah ke atas. Dalam melayan perasaan, si ayah dengan perlahan ke pasar mendapatkan barangan keperluan yang diminta si ibu tadi. Dalam perjalanan pulang, si ayah singgah sekejap masjid berdekatan untuk bersolat Zohor. Selepas solat tiba-tiba si ayah terserempak dengan seorang pemuda yang tampan dan pemuda itu sambil tersenyum manis dan bersalam erat dengan si ayah. Selepas bersalam dan berpaling semula, pemuda berkenaan tiba-tiba hilang.Si ayah amat terkejut dan mengambil keputusan untuk pulang terus semula ke rumah.

Setelah sampai di rumah, si ayah tak memperdulikan sangat hal berkenaan. Apabila anak menantunya datang, si ayah hanya bermain dengan cucu-cucunya sahaja, manakala si ibu terlalu sibuk melayan anak-anak dan menantunya yang lain.

Di waktu malam, si ayah bermimpi  dengan si pemuda yang pernah beliau temui dahulu. Di samping pemuda yang tampan itu, dia diapit oleh beberapa wanita yang amat cantik yang tak pernah terlintas dari pandangan si ayah. Dalam mimpi berkenaan pemuda berkenaan mengajak si ayah ke suatu tempat dan si ayah diberitahu bahawa wanita-wanita disisinya akan dikahwinkan dengan si ayah. Si ayah menjawab agak mustahil baginya untuk dikahwinkan lagi disebabkan umur beliau dan beliau enggan mengikut mereka.

Tiba-tiba  si ayah mendengar alungan azan dan si ayah baru tersedar bahawa dia rupanya bermimpi. Di waktu pagi , si ayah meminta si ibu untuk menyediakannya kuih seri muka. Si ayah amat teringin hendak memakan kuih berkenaan. "Hah.. !awak pergi dapatkan aje kat kedai di pekan tu. Saya nak ikut anak-anak ke rumah mereka pagi ni.Salah seorang cucu kita tu tak berapa sihat. Tak ada siapa nak jaga, lagipun mak bapaknya tak boleh cuti".

"Hai.. takkan baru sampai dah nak balik dah..!". Balas si ayah kepada ibu. Dalam hatinya, ingatkan hari ini " Hari Bapa, Ahad , 19 Jun " anak-anak nak buat jamuan makan bersama pada tengahari nanti. Ini tidak, selalunya hari ibu sahaja yang disambut oleh anak-anaknya.Setelah rumahnya tiada siapa lagi, si ayah bersiap ke pekan untuk mencari kuih seri muka yang diidamkannya. Selalunya selepas zohor, kuih berkenaan sudah boleh didapati dikedai kopi Pak Ba yang terletak di sebelah masjid.

Apabila sampai di masjid, si ayah terserempak dengan Abu, jirannya. "Aku lihat meriah rumah kau kejap tadi", kata si Abu. Ye lah, anak-anak cucu balik, meriah la , tapi sekarang dah sunyi balik termasuk neneknya sekali ikut mereka,balas si ayah. Isteri kamu pergi ke rumah anak-anak kau lagi ? Tanya si Abu. Kan engkau tu tak berapa sihat? Tanya si Abu dengan perasaan kesal. Huh.. macam tu la nasib kita Sahak.. balas si Abu, yang mungkin mengalami masalah yang sama.Si ayah hanya mengangguk. "Dah lah tu, Zohor dah nak masuk dah..kita ambil wuduk dan sembahyang jemaah" kata Abu.

Seamasa bersujud pada rakaat terakhir sembahyang zohor, dengan tiba-tiba si ayah terasa sesak nafas. Dalam suasana tidak keruan, dengan tiba-tiba, si ayah ternampak pemuda tampan diapit dengan wanita yang cantik sedang melambai, mamanggil dan menyambutnya sambil membawa sedulang emas kuih seri muka yang si ayah idamkan. Si ayah diajak kesuatu tempat yang abadi. Dengan sayup, terdengar terdengar suara si Abu memanggilnya dari belakang berkali-kali dan membaca kalimah dua syahadah. Selepas membalas kalimah berkenaan, dalam terpegun melihat sambutan pemuda dan wanita-wanita berkenaan, si ayah membuat keputusan mengikut mereka. Si ayah tak ingin berpaling lagi.......




Selamat Hari Ayah daripada MyBancik.

Saturday, June 11, 2011

Peristiwa 17 September : Kita Tak Mampu Berbalah Lagi & Katakan Tidak Kepada Perhimpunan Bersih

Hati penulis amat tidak tenteram apabila mendengar berita di Buletin Utama yang menyatakan bahawa parti pembangkang sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan bersih secara jalanan tak lama lagi di ibu negara. Ianya bakal diketuai oleh salah seorang pemimpin yang baru menang pemilihan parti yang dianggotainya baru baru ini. Sudah tentu masjid akan dijadikan kambing hitam bagi memulakan perhimpunan berkenaan. Penulis amat faham, ini adalah strategi mereka yang cuba melibatkan kebanyakan orang awam yang tidak berdosa terjebak sama dan seolah menunjukkan kekuatan mereka dengan menggunakan kehadiran orang awam yang bersembahyang di masjid tertentu.

Ini adalah satu bentuk hipokrasi strategi yang amat busuk hati  pihak berkenaan dari  sudut pemikiran dan persepsi penulis.Minta maaf jika penulis sedikit emosional di sini ,memandangkan hati penulis masih terluka dek kekalahan golongan ulama di dalam pemilihan sebuah politik baru-baru ini.Perhimpunan jalanan seperti ini perlu ditentang habis-habisan kerana ianya bakal menyusahkan orang awam. Jalan raya akan bertambah sesak dan mengganggu peluang orang ramai untuk menjalankan tugas, berniaga dan sebagainya.

Cukuplah perbalahan yang masih belum sudah dikalangan negara-negara islam yang lain buat masa kini. Kenapa kita nak tambahkan lagi kesusahan ini. Perbalahan dikalangan negara islam pada masa sekarang ini hanya menguntungkan "suatu bangsa yang sombong dan hina"(SBYSDH) di sisi Allah s.w.t. Perbalahan di negara ini juga hanya akan menguntungkan golongan yang opportunis yang mana partinya adalah serpihan daripada parti yang memimpin sebuah negara yang dulunya pernah bersama negara ini, yang  mana pemimpinnya rata-rata berkiblatkan golongan yang sama iaitu SBYSDH.

Penulis cadangkan agar jika pihak-pihak yang berminat  nak berhimpun sangat, berhimpunlah di stadium-stadium seperti di stadium Shah Alam dan boleh terus bersembahyang Jumaat di sana, memandangkan Selangor telahpun dibawah pemerintahan mereka. Nak panggil pemimpin parti yang berkiblatkan SBYSDH baca khutbahpun... korang punya pasalllah. Janganlah ganggu ketenteraman awam, kerana emosi dan bebanan rakyat pada masa kini sudahpun terbeban disebabkan kegiatan politik yang berlebihan yang seolah tanpa kesudahan sering berlaku dan dimomokkan lakonan mereka di negara ini dengan acapkali.

Ataupun, apa salahnya berhimpun secara maya, kurang-kurangnya boleh juga klik-klik tambahkan pendapatan pengunjung pelayar laman web yang diwujudkan. Dan pihak yang berkenaan boleh ziarah kembali semula dengan klik semula pelawat yang berkunjung.Kaedah ini lebih berfaedah dan lebih berwawasan daripada idea berhimpun secara pengecut di sebalik kehadiran orang ramai di masjid. Sampai masa nanti kita klik la ke peti undi. Kan cara ini lebih aman damai dan tak menyusahkan orang.

Oleh itu penulis merayu agar kita sebagai rakyat Malaysia sama-sama menjaga ketenteraman negara ini. "Peace , no war "Sesungguhnya kita tidak mampu berbalah lagi.

@MyBancik

Friday, June 10, 2011

Manusia Semakin Kejam

Akhir-akhir ini banyak berita-berita tang dilaporkan yang boleh menyentap perasaan kita. Berita uang melibatkan kes jenayah seperti simbah asid, pembuangan bayi dari atas rumah pangsa atau pengsapuri, ragut dan sebagainya. Apa yang terbaru ialah kes rompakan yang melibatkan kesanggupan perompak membakar rumah yang dirompak dengan tujuan menghapuskan bukti.  Ini seperti yang telah dilaporkan di Harian Metro di http://www.hmetro.com.my/articles/4beranaknyarisrentung/Article dan di akhbar-akhbar serta media masa yang lain.

Situasi berkenaan membayangkan bahawa manusia kini semakin kejam. Tiada langsung perasaan simpati di dalam hati sanubari mereka.Jenayah yang mereka lakukan dibuat  tanpa rasa belas kasihan. Sudah sampai masanya juga jika hukuman yang dijatuhkan kepada penjenayah seperti ini juga perlu dibuat tanpa belas kasihan sebagai balasannya. Sudahlah harta benda dirompak serta dirampas, malahan tempat berteduh mangsa juga dimusnahkan dengan dibakar. Alangkah busuknya hati golongan-golongan seperti ini.

Namun, yang menjadi pertanyaan ialah siapakah yang empunya engkaranya dalam kes jenayah ini. Adakah dilakukan oleh rakyat kita sendiri atau para pendatang tanpa izin atau dari negara lain? Sudah sampainya masanya profil DNA diambil bagi setiap pekerja asing yang dibawa atau masuk ke negara ini agar penyiasatan dapat dilakukan dengan lebih rapi lagi jika berlakunya kes-kes yang melibatkan mereka. Jika tiada usaha ke arah itu digerakkan ,percayalah, kualiti keamanan dan kehidupan di negara ini akan terus merosot dan terus merosot.

@MyBancik

Tuesday, June 7, 2011

Kisah Tembikai Dengan Mempelam

Seorang musafir sedang berehat dibawah salah sebatang pokok mempelam yang besar. Pada masa yang sama berdekatan tempat beliau berehat, beliau ternampak sebiji buah tembikai yang besar terlekat dengan pokok kecil yang menjalar. Dalam hati, beliau terfikir kenapa buath yang besar berpaut pada sepohon pokok kecil yang sedang menjalar manakala pokok mempelam yang besar hanya memaut buah-buah yang kecil.

Sedang beliau asyik berehat dan berfikir, tiba-tiba sebiji mempelam yang masak jatuh di atas kepala beliau dan menyebabkan beliau kesakitan. Dalam keadaan terkejut, beliau terfikir andai kata buah yang jatuh itu ialah buat tembikai, sudah pasti kesakitan beliau semakin parah. Beliau rasa bersyukur atas apa yang dianugerah olehNya.

Kejadian seperti ini menuntut kita sebagai hambaNya sentiasa berfikir atas apa jua kejadian di muka bumi ini. Sesungguhnya Dialah yang lebih Mengetahui lagi  Maha Bijaksana

@MyBancik

Sunday, June 5, 2011

PHD oh PHD

PHD yang dipaparkan di sini bukan "Perasaan Hasad Dengki", tetapi pengajianku di peringkat Doktor Falsafah yang sedang aku hadapi. Tahun ini adalah merupakan tahun akhir bagi aku untuk menamatkan pengajian berkenaan secara separuh masa di salah sebuah universiti di Shah Alam. Oleh kerana aku  agak tertekan terpaksa jua aku luahkan diblog ini yang "tag line" nya memaparkan nukilan dari sudut hati dan sanubari. Sebelum ini aku agak keberatan bercerita hal ini di blog-blog aku ataupun di facebook.

Pengajianku pada peringkat ini pada kali ini amat mencabar oleh kerana kekangan tugas dan tangungjawab keluarga dan anak-anak yang sedang membesar. Lagipun profession aku bukannya dari sudut bidang akademik, dan aku menyambung pengajian hingga ke peringkat ini sekadar untuk menambahkan ilmu pengetahuan dan meneruskan cita-citaku sejak kecil lagi.

Setakat ini lebih kurang 80 peratus telah aku selesaikan, cuma dalam proses menulis karangan yang panjang dan membuat analisa data. Sesungguhnya aku tetap akan meneruskan perjuanganku ini sedaya upaya. Harap-harap agar tahun hadapan aku boleh menggunakan " Dr Bancik" sebagai nama timbanganku di blog ini. Mungkin juga aku akan menulis sebuah buku tentang perjalananku ke arah itu. Realiti atau tidak hanya diri sendiri , masa beserta keizinan Yang Maha Esa bakal menentukan.

Aku Menang Hadiah Wang Tunai 480,000 Pounds Sterling

Menerusi email, aku menerima mesej seperti berikut"Tahniah, email ID anda telah berjaya memenangi Pounds 480,000 yang ditaja oleh salah satu syarikat Email terkemuka sempena mempromosikan sukan olympic 2012. Sepintas lalu, memang teruja dibuatnya.Maklumlah, jumlah dalam pounds jika didarab dengan nilai ringgit Malaysia, bayangkanlah berapa yang bakal aku perolehi. Namun setelah melengkapkan segala butiran yang dikehendaki, aku diminta ke London untuk urusan menuntut hadiah berkenaan setelah beberapa kali berkomunikasi melalui kata laluan tertentu melalui email untuk mengelakkan penipuan.

Namun, aku terpaksa memberitahu kepada pihak berkenaan bahawa aku tidak dapat ke sana atas kekangan masa. Pihak disana sebaliknya memberi alternatif agar aku berhubung dengan peguam yang mereka lantik untuk menuntut hadiah berkenaan bagi pihak aku. Setelah berhubung melalui email, peguam berkenaan meminta agar aku mengisi butiran yang dikehendaki dan meminta sejumlah bayaran pendahuluan bayaran guaman dan perbelanjaan urusan berkenaan.

Namun, daripada awal lagi aku merasa tidak yakin dengan urusan ini dan aku telah menyemak nama peguam berkenaan, agensi dan alamat mereka di direktori peguam London yang sememangnya terdapat di laman web. Setelah menyemak sahlah didapati, tiada nama peguam dan agency yang berdaftaf di dalam direktori. Alamatnya pula adalah merupakan pejabat yang status semasanya tiada berpenghuni seperti tertera di dalam direktori alamat di sana. Dengan itu, aku menghentikan terus hubungan dengan pihak di sana untuk mengelakkan diri dari terus diperdaya.

Aku kemudian juga membuat carian berkenaan skim ini dengan menggunakan "keywords" yang sama, dan aku dapati memang telah banyak berlaku penipuan yang menggunakan pelbagai nama syarikat email terkemuka. Dengan itu pelayar-pelayar internet perlu berhati-hati agar tidak terjebak dalam hal seperti ini. Banyak pihak diberitakan telah kerugian beratus-ratus ribu ringgit disebabkan ingin mendapat hadiah berkenaan. Selama ini kita hanya diingatkan tentang sendiket yang menggodam akaun-akaun bank, tetapi rupa-rupanya banyak lagi skim penipuan yang telah dan yang bakal wujud dari masa ke semasa.Oleh itu, bersamalah kita berhati-hati.

Friday, June 3, 2011

Mana Ada Istilah "Bir Halal"

Baru-baru ini timbul isu tentang bir atau arak yang dikatakan halal. Saya hanya mampu menggelangkan kepala dan timbul rasa kekesalan di dalam hati bila terbaca isu berkenaan di akhbar-akhbar. Nampak gayanya masyarakat kita semakin teruk. Yang haram sudah mula mahu dihalalkan. Sudah jelas bagi seseorang muslim bahawa, arak itu adalah haram seperti mana yang telah diterangkan di dalam Al-Quran.Cukuplah jika ada dikalangan kita yang susah nak menghentikan ketagihannya, tetapi janganlah dihalalkan statusnya pula. Sebagai contoh, samalah juga hukum bahawa mengumpat itu berdosa dan memang susah nak kita tinggalkannya, tetapi janganlah pula kita hendak menghalalkannya dek kerana kelemahan kita untuk meninggalkannya.

Bagi masyarakat bukan Islam jika mereka hendak meminumnya, terpulanglah kepada mereka kerana negara mengamalkan kebebasan beragama. Tetapi mereka tidak sewajarnya membuat kenyataan bahawa ada Bir halal.Tetapi amat lebih dikesali jika kenyataan bahawa ada Bir halal dibuat oleh golongan Islam itu sendiri.

Kepada saudara seagama, marilah kita bersama-sama bermuhasabah diri agar kita sentiasa mendapat rahmatNya di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya yang baik itu datang dariNya dan yang lemah itu adalah dari saya sendiri.

@MyBancik

Thursday, June 2, 2011

Jalan Raya Kita Semakin Teruk

Sejak akhir-akhir ini seringkali aku terjerat dengan lubang-lubang yang tiba-tiba muncul di jalan raya. Ianya bukan hanya berlaku di jalan-jalan biasa, namun terjadi juga di lebuh raya. Di taman perumahan ..jangan cakaplah. Itu belum termasuk dengan bonggolan yang dibuat di mana saiznya mengikut suka hati pihak yang membuatnya tanpa diletakkan tanda amaran.

Sesungguhnya keadaan ini bakal mengancam keselamatan pengguna jalan raya. Aku sebenarnya berpendapat antara faktor kemalangan yang tinggi di negara ini adalah disebabkan oleh kelemahan dari sudut penyelenggaraan kemudahan jalan raya di negara ini. Lubang-lubang atau jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik bakal mengundang malapetaka kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, keadaan seperti ini amat menyusahkan. Pengguna terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membaiki kenderaan yang rosak disebabkan kualiti jalan raya yang teruk. Sedangkan wang berkenaan sepatutnya boleh digunakan untuk hal yang lebih penting.

Sudah sampai masanya aspek penyelanggaraan jalan raya diberi keutamaan oleh pihak yang berkenaan. Jangan disalahkan sikap pengguna sahaja tetapi kelemahan dari segi pentadbiran dan penyelenggaraan oleh pihak berkuasa masih lagi dipandang ringan. Namun begitu janganlah pula berlaku bilamana disebabkan hanya beberapa lubang, berkilometer pula jalan diturap secara keseluruhan. Cukuplah sekadar menampung lubang yang berkenaan dengan baik.

@MyBancik

Wednesday, June 1, 2011

Bila Uda Dan Dara Bergaduh

Topik di atas bukanlah isu utama yang hendak aku luahkan disini, tetapi hanya sebagai kiasan terhadap pergaduhan terbuka beberapa individu politik terhadap pengurusan salah sebuah syarikat hartanah milik kerajaan yang kini semakin menjadi-jadi. Dalam keadaan kita tertekan dengan kenaikan kos sara hidup dek kerana kenaikan kos subsidi yang terpaksa ditanggung kerajaan, saya berpendapat adalah lebih baik agar tenaga dan perasaan dapat digunakan ini dapat disalurkan kepada aktivti yang lebih produktif. Kenapa hal berkenaan tidak dibincangkan secara tertutup lebih-lebih lagi individu-individu yang berbalah berada dalam kem politik yang sama?

Harus diingat, kami sebagai warga bawahan sentiasa mendambakan pembelaan daripada professional-professional yang digaji atau dilantik oleh kerajaan seperti mereka ini untuk membantu kami. Oleh yang demikian, eloklah polemik berkenaan dapat dihentikan seberapa segera. Sekiranya masih gagal berdamai, eloklah kedua-dua pihak dapat dibersarakan dari arena masing-masing oleh pihak yang lebih berkuasa. Oleh yang demikian eloklah kita semua sentiasa hidup dalam keadaan aman damai serta sejahtera bak kata pepatah orang putih.."Peace..no war..."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...