Jom Follow.....

Sunday, June 19, 2011

Balada Seorang Ayah

"Bang, anak-anak kita nak balik!". Kata si ibu kepada si ayah. Si ayah hanya tersenyum sumbing apabila mendengar kata-kata si ibu. "Untunglah awak, anak-anak dan cucu-cucu kesayangan awak tu dah nak balik! Baiklah demam awak tu nanti. Tak la awak tu asyik terbaring aje". Balas si ayah kepada si ibu yang sebelum ini asyik berbaring kerana tidak berapa sihat.

"Ishh ! Ke situ pulak abang ni. Anak cucu kita nak pulang, sepatutnya awak turut sama rasa gembira.., bukannya memperli saya. Hah! Mula la tu nak menyakitkan hati saya..". Si ayah yang dimamah usia hanya menggelengkan kepala bila mendengar kata si ibu tadi.Di fikirannya hanya terdetik bahawa isterinya sudah tentu bertambah sibuk nanti melayan kedatangan anak-anak, menantu dan cucu-cucunya nanti.

"Apa lagi awak tunggu bang? Pergi la ke pasar untuk dapatkan barangan basah untuk disediakan juadah makanan nanti!". Kata si ibu. "Ye la, tapi takkan dengan air liur aje? Saya ni mana ada wang sekarang ni. Semalam saya baru aje habiskan beratus ringgit untuk kereta antik saya tu..".Balas si ayah. Wang bulanan pencennya baru dihabiskan untuk membetulkan kereta usangnya yang rosak.

"Haah ! Itulah awak, boros aje..Cuba lihat si Abu jiran kita tu, dah bersara pun masih mewah. Lihat macam saya ni, simpanan saya masih banyak lagi, rumah ni pun saya beli.. Awak ada apa? Kalau awak tak puas hati dengan saya, awak cari la anak dara ke, ibu tunggal ke, awak beri borang poligami kepada saya akan tamdatangan dan saya yakin tak siapa pun ingin kat awak tu.! Nah ambik ni..!"Si ayah hanya tersenyum pahit. Di dalam hatinya , alangkah bahagianya jika borang  tersebut diberikan kepadanya pada 20 tahun yang lalu. Jadi lesen besar buatnya.

"Ye la.., anak-anak kesayangan awak tu, bila balik tu, hanya hulurkan wang kat awak aje, saya ni tak ada siapa pedulikanpun!" Balas si ayah. Kali ini, hati si ayah terasa terguris. Selalunya si ayah tidak ambil peduli sangat kata-kata berkenaan. Si ayah tak pernah merungut tentang pengorbanannya selama ini.

Selalunya bila ada wang, si ayah akan berbelanja dan mendapatkan barangan & makanan yang beliau suka. Setiap kali anak-anak balik, si ayah akan mengeluarkan wang perbelanjaan untuk melayan kedatangan mereka. Namun anak-anak hanya sering menghulurkan wang kepada si ibu sahaja.Selama ini si ayah tak pernah ambil pusing sangat dalam hal ini. Ini kerana si ibu sering beri perhatian kepada anak-anak sedangkan si ayah terpaksa beralah. Si ayah akan berseorangan di rumah bila si ibu menjaga anak-anak dan menantu yang baru bersalin. Keadaan si ibu akan bertambah sibuk jika 4 orang anak menantunya bersalin dalam tempoh setiap tahun. Si ayah terpaksa beralah dan terpaksa tinggal dirumah seorang diri.

Semasa dalam perkhidmatan dahulu, si ayah juga terpaksa beralah di sebabkan si ibu berpangkat lebih tinggi. Si ayah sering ditinggalkan bila si ibu terpaksa bertugas di luar atau apabila si ibu terpaksa bertugas lepas waktu pejabat. Si ayah terpaksa menguruskan hal anak-anak. Bukannya si ayah tak mampu mendapat kerjaya yang tinggi, tetapi si ayah lebih suka mengambil pendekatan mengutamakan keluarga dan mengamalkan kehidupan yang seimbang di antara keluarga dan kerjaya. Oleh yang demikian, dek kerana sikap beralah oleh si ayah, si ibu mempunyai peluang yang lebih baik dari segi kerjaya.

Dari segi pemilikan harta, bukannnya si ayah tidak mahu membeli rumah, tetapi segala pendapatannya selama ini rata-rata hanya disalurkan untuk perbelanjaan keluarga dan pendidikan anak-anak sehinnga ke menara gading seramai 6 orang.  Kesemua anak-anaknya berpendidikan peringkat ijazah ke atas. Dalam melayan perasaan, si ayah dengan perlahan ke pasar mendapatkan barangan keperluan yang diminta si ibu tadi. Dalam perjalanan pulang, si ayah singgah sekejap masjid berdekatan untuk bersolat Zohor. Selepas solat tiba-tiba si ayah terserempak dengan seorang pemuda yang tampan dan pemuda itu sambil tersenyum manis dan bersalam erat dengan si ayah. Selepas bersalam dan berpaling semula, pemuda berkenaan tiba-tiba hilang.Si ayah amat terkejut dan mengambil keputusan untuk pulang terus semula ke rumah.

Setelah sampai di rumah, si ayah tak memperdulikan sangat hal berkenaan. Apabila anak menantunya datang, si ayah hanya bermain dengan cucu-cucunya sahaja, manakala si ibu terlalu sibuk melayan anak-anak dan menantunya yang lain.

Di waktu malam, si ayah bermimpi  dengan si pemuda yang pernah beliau temui dahulu. Di samping pemuda yang tampan itu, dia diapit oleh beberapa wanita yang amat cantik yang tak pernah terlintas dari pandangan si ayah. Dalam mimpi berkenaan pemuda berkenaan mengajak si ayah ke suatu tempat dan si ayah diberitahu bahawa wanita-wanita disisinya akan dikahwinkan dengan si ayah. Si ayah menjawab agak mustahil baginya untuk dikahwinkan lagi disebabkan umur beliau dan beliau enggan mengikut mereka.

Tiba-tiba  si ayah mendengar alungan azan dan si ayah baru tersedar bahawa dia rupanya bermimpi. Di waktu pagi , si ayah meminta si ibu untuk menyediakannya kuih seri muka. Si ayah amat teringin hendak memakan kuih berkenaan. "Hah.. !awak pergi dapatkan aje kat kedai di pekan tu. Saya nak ikut anak-anak ke rumah mereka pagi ni.Salah seorang cucu kita tu tak berapa sihat. Tak ada siapa nak jaga, lagipun mak bapaknya tak boleh cuti".

"Hai.. takkan baru sampai dah nak balik dah..!". Balas si ayah kepada ibu. Dalam hatinya, ingatkan hari ini " Hari Bapa, Ahad , 19 Jun " anak-anak nak buat jamuan makan bersama pada tengahari nanti. Ini tidak, selalunya hari ibu sahaja yang disambut oleh anak-anaknya.Setelah rumahnya tiada siapa lagi, si ayah bersiap ke pekan untuk mencari kuih seri muka yang diidamkannya. Selalunya selepas zohor, kuih berkenaan sudah boleh didapati dikedai kopi Pak Ba yang terletak di sebelah masjid.

Apabila sampai di masjid, si ayah terserempak dengan Abu, jirannya. "Aku lihat meriah rumah kau kejap tadi", kata si Abu. Ye lah, anak-anak cucu balik, meriah la , tapi sekarang dah sunyi balik termasuk neneknya sekali ikut mereka,balas si ayah. Isteri kamu pergi ke rumah anak-anak kau lagi ? Tanya si Abu. Kan engkau tu tak berapa sihat? Tanya si Abu dengan perasaan kesal. Huh.. macam tu la nasib kita Sahak.. balas si Abu, yang mungkin mengalami masalah yang sama.Si ayah hanya mengangguk. "Dah lah tu, Zohor dah nak masuk dah..kita ambil wuduk dan sembahyang jemaah" kata Abu.

Seamasa bersujud pada rakaat terakhir sembahyang zohor, dengan tiba-tiba si ayah terasa sesak nafas. Dalam suasana tidak keruan, dengan tiba-tiba, si ayah ternampak pemuda tampan diapit dengan wanita yang cantik sedang melambai, mamanggil dan menyambutnya sambil membawa sedulang emas kuih seri muka yang si ayah idamkan. Si ayah diajak kesuatu tempat yang abadi. Dengan sayup, terdengar terdengar suara si Abu memanggilnya dari belakang berkali-kali dan membaca kalimah dua syahadah. Selepas membalas kalimah berkenaan, dalam terpegun melihat sambutan pemuda dan wanita-wanita berkenaan, si ayah membuat keputusan mengikut mereka. Si ayah tak ingin berpaling lagi.......




Selamat Hari Ayah daripada MyBancik.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...