Jom Follow.....

Tuesday, June 28, 2011

Wasiat Seorang Ayah

Semasa memandu ke tempat kerja tadi aku terdengar seorang pakar motivasi bercerita sesuatu di salah sebuah stesen radio.Ianya berkisar tentang seorang ayah telah berwasiat kepada 2 orang anak lelakinya sebelum beliau meninggal dunia. Si ayah adalah seorang saudagar yang berjaya dan kaya.

Si ayah berwasiat agar anak-anaknya berpegang kepada dua perkara apabila dia sudah tiada. Yang pertama ialah anak-anaknya tidak boleh menuntut atau menagih hutang manakala yang kedua ialah mereka tidak boleh kena cahaya apabila berulang alik dari kediaman dan tempat kerja.

Dengan takdir Ilahi, tak lama kemudian, si ayah meninggal dunia. Maka dengan itu kedua-dua anak beliau dengan sedaya upaya menjalankan amanat ayah mereka. Namun begitu tak lama selepas itu dua keadaan berbeza telah berlaku. Anak yang bongsu semakin lama kehidupannya semakin susah manakala bagi anak sulung pula perkara yang sebaliknya telah berlaku.

Ibu mereka yang masih hidup mengambil peluang bertanya kepada anakya yang bongsu apabila menziarahi anaknya. "Ibu lihat , hidup kamu semakin hari semakin susah nak. Apa sebenarnya sedang berlaku?" Tanya si ibu. Si anakpun menjawab, "Sebenarnya aku semakin susah kerana terpaksa menunaikan wasiat ayah. Ayah berpesan agar aku tidak menuntut dan menagih hutang. Maka modalku makin berkurangan disebabkan aku tidak menuntut hutang. Ayah juga berpesan agar aku tidak terkena cahaya terik matahari semasa ke tempat kerja. Maka perbelanjaan harianku terpaksa ditambah disebabkan terpaksa menaiki kenderaan walaupun jarak rumah dan tempat kerja tidak jauh. Si ibu berlalu dengan sedih dan menuju ke rumah anaknya yang sulung.

Alangkah terkejutnya si ibu apabila melihat kehidupan anaknya yang sulung semakin kaya. Bertanyalah si ibu kepada anaknya yang sulung bagaimana anaknya yang seorang ini semakin mewah hidupnya.Berkatalah si anak bahawa dia hanya menunaikan wasiat yang telah ditinggalkan oleh si ayah, sama yang diceritakan oleh adik bongsunya.

Berkata si anak kepada ibunya , "Oleh kerana aku  tidak dibenarkan menuntut dan menagih hutang, maka aku tidak membenarkan urusniaga jualan secara hutang. Maka dengan itu aliran tunai perniagaanku semakin kukuh dan modal makin berkembang". "Adapun amanat kedua yang tidak membenarkan aku terkena cahaya matahari, maka aku terpaksa keluar sebelum matahari terbit dan pulang apabila matahari terbenam. Maka dengan itu , perniagaanku mempunyai kelebihan kerana beroperasi awal dari yang lain dan ditutup lewat dari yang lain. Maka dengan itu pelangganku makin ramai disebabkan masa perniagaanku yang lebih panjang dari pesaing-pesaing yang lain".

Pengajaranya dari kisah ini ialah setiap isu jika dilihat dari sudut positif bakal membuahkan suatu penyelesaian yang boleh memberikan hasil yang positif. Setiap kelemahan pasti mencetuskan suatu kekuatan. Suatu ancaman berupaya menghasilkan sesuatu peluang. Apa yang penting ialah mencuba dan terus mencuba.Nasihat ini untuk diriku juga...

@MyBancik

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...