Jom Follow.....

Tuesday, November 29, 2011

Kapal Selam Mendarat Di Pantai Kelebang, Melaka

Kapal Selam Di  Melaka@MyBancik 2011
4 Muharram 1433 Hijrah

Baru-baru ini media tanahair telah melaporkan bahawa sebuah kapal selam terpakai telah dibawa ke Melaka. Hari ini penulis berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri.. Bahkan ini boleh dikatakan kapal selam pertama yang dinaikkan ke daratan di bumi Malaysia.

Selain daripada itu, penulis juga kagum dengan suasana pantai Kelebang , Melaka yang telah dibangunkan sebagai lagoon.Kali terakhir berkunjung di kawasan ini, kawasan berkenaan baru mula ditambak.Kini suasana kawasan berkenaan pesat membangun dan semakin cantik.

Kehadiran kapal selam terpakai ini amat menarik perhatian orang ramai. Walaupun baru mula didaratkan, orang ramai semakin berpusu-pusu datang. Penulis yakin ianya bakal menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara. Bayangkan jika 1 juta pelancong setahun yang datang berbelanja sebanyak RM 40 seorang, di Melaka untuk melihat kapal selam ini, maka senang senang aje Melakan mendapat pendapatan sebanyak RM 40 juta.
Kapal Selam di Pantai Kelebang@MyBancik 2011

Namun, hari ini juga menjadi sejarah bagi penulis kerana melihat dari dekat bentuk kapal selam berkenaan. Ianya menambah satu lagi koleksi pengalaman bagi penulis.

Wallahualam

Monday, November 28, 2011

Mengapa Terus Menghina Islam ?

3 Muharram 1433 Hijrah

Beberapa hari lepas media di tanahair telah memaparkan segelintar pihak di negara jiran di seberang tambak dengan secara terbuka menghina Islam dan penganutnya.Gejala ini jika tidak dibendung bakal mengundang reaksi tindakbalas walaupun secara senyap. Yang secara senyap itulah yang bakal mengocakkan ketenteraman di rantau ini. Sesungguhnya semua pihak harus ingat bahawa setiap umat Islam mempunyai tahap kesabaran yang tersendiri.

Tidak kurang juga di Malaysia, di mana ada juga pihak-pihak yang mula mempertikaikan setiap amalan umat Islam. Cuba bayangkan apa pula perasaan mereka jika umat Islam mempertikaikan pula budaya mereka? Sudah pasti orang Islam pula akan dituduh sebagai rasis. Yang sedihnya ada pula segelintir dikalangan umat Islam sendiri memuja golongan berkenaan kerana kuasa politik. Mungkin undi umat Islam di negara ini sudah tidak diperlukan lagi.

Wallahualam

Kumpulan Ulama Dalam Umno Bebas Bersuara, Walau Tiada Jawatan :Fathul Bari

2 Muharram 1433 Hijrah

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kumpulan ulama di dalam Umno bebas bersuara dan pandangan mereka didengari masyarakat umum serta pemimpin parti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (Ilmu) Fathul Bari Mat Jahaya berkata isu dipinggirkan tidak timbul, sekalipun tiada jawatan dalam parti.

"Adakah nak mengangkat Islam kita perlukan jawatan? Ini masalah orang agama yang nampak jawatan dan kuasa baru dikira tidak dipinggirkan. Kami dibenarkan bercakap, subhanallah," katanya kepada Bernama di sini.

Katanya stesen televisyen dan radio tempatan turut meminta pendapat dan pandangan Ulama Muda Umno.

"Saya boleh katakan dalam usia sangat muda ini, alhamdulillah kami memberi impak. Mudah-mudahan kita dapat menyampaikan dakwah ini secara berterusan," katanya.

Kata beliau seperti namanya, sekretariat itu membantu kerajaan dan Umno menggunakan ilmu.

"Kita tidak boleh hanya atas dasar nama parti, berjuang atas emosi dan dengan jeritan. Dengan ilmu (yang disampaikan) orang (masyarakat) akan faham.

"Kita bercakap dengan fakta. Kita ada jawapan yang tuntas. Maaf cakap, ada pihak tertentu yang menggunakan agama untuk kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata ulama muda di dalam Umno tidak pernah disekat, malah diminta mengutarakan pendapat secara terbuka semampu mungkin dalam pelbagai hal termasuk hudud, penggunaan kalimah Allah, murtad, seks songsang dan sebagainya.

Fathul Bari berkata kehadiran 40 ulama muda di dalam Umno juga diterima secara amat positif oleh anggota parti.

"Alhamdullillah, kami dijemput ke merata-rata tempat untuk memberikan pandangan kami...di Perlis, Perak, Terengganu dan banyak lagi tempat termasuk Kuala Lumpur.

"Soalnya sekarang kami memerlukan akses dari negeri dan kerajaan untuk sama-sama memberi ruang kepada kami. Hatta baru-baru ini pun kami ada dijemput dalam wacana ilmu bersama PAS," katanya.

Beliau berkata setakat ini, terdapat antara 10 hingga 15 anggota sekretariat yang aktif di Kuala Lumpur, manakala yang lain berada di negeri-negeri.

Kumpulan 40 ulama muda termasuk Fathul Bari itu menyertai Umno dalam satu majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun tahun lepas.

 Sumber :BERNAMA

Sunday, November 27, 2011

Selamat Pengantin Baru

2 Muharram 1433 Hijrah

Menjelang musim cuti persekolahan yang panjang yang baru bermula ini sudah semestinya ramai pasangan mengambil kesempatan mengakhiri zaman bujang masing-masing. Masing-masing berdebar agaknya menanti saat berkenaan. Maklumlah, ada yang dal lama bercinta dan kinilah masa kemuncaknya. Ada pula yang lama bercinta tetapi akhirnya berkahwin dengan yang lain pulak. Yang lebih baik, tidak bercinta, tapi terus berkahwin. Yang lebih parah lagi perkahwinan ala-ala macam filem allayarham P Ramlee. Kalau kes ni, penulis tabik spring, kerana tak semua yang mampu melakukannya.Namun laksanakanlah amanah yang telah diberikan di dunia ini.

Namun penulis berharap, apa  jua yang dihadapi, hadapilah semua dengan tabah. Apa yang penting haruslah ada tolak ansur dan terimalah seadanya pasangan kita. Busuk-busukpun laki atau bini kamu jugak yea...? Dialah teman sejati dunia dan akhirat. Semoga pihak yang berkenaan (pengantin-pengantin ) dan kita semua dapat mengekalkan perkahwinan kita sehingga ke akhir hayat.

Wallahualam

Anak Harimau Malaya Mengiau

2 Muharram 1433 Hijrah

Anak Harimau Malaya sedang mengiau secara tiba-tiba. Kelekaan membolehkan Bahrin mendahului dengan 3-2 akibat kecederaan pemain utama yang telah dikeluarkan. Keupayaan barisan simpanan tidak dapat mengatasi 10 orang pemain Bahrin. Kekalahan ini perlu dijadikan ikhtibar agar tidak terlalu leka pada masa depan.

Anak Harimau Malaya Sedang Mengaum

2 Muharram 1433 Hijrah

Setelah mengiau dikalahkan oleh Syiria 2-0 pada beberapa hari lepas akibat kecederaan tunggak utama dan keletihan setelah menewaskan pasukan Garuda, anak Harimau Malaya ketika ini sedang mengaum semula. Keputusan ketika ini anak Harimau Malaya sedang mendahului Bahrian dengan 2-0. Semoga momentum ini dapat dikekalkan sehingga akhir perlawanan.

Saturday, November 26, 2011

PSSI Patut Lihat Kelemahan Sebagai Tuan Rumah Bola Sepak

1 Muharram 1433

 Bernama telah melaporkan bahawa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) sepatutnya melihat dahulu kelemahan mereka sebagai tuan rumah sebelum merancang membuat laporan mutu pengadilan berat sebelah pengadil dari Jepun, Tojo Minoru kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan perlawanan akhir bola sepak Sukan SEA pada 21 Nov lepas.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa berkata tindakan PSSI tersebut dilihat merupakan satu tindakan terdesak setelah tidak dapat menerima kekalahan dalam perlawanan yang menyaksikan skuad bola sepak negara mencatatkan kemenangan 4-3 dalam penalti setelah berkesudahan 1-1 selepas masa penuh serta masa tambahan permainan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

"Laluan pemain (kita) masuk ke padang tidak dikawal, bas yang membawa pemain kebangsaan dihalang hampir satu jam dan saya berada di dalam bas.

"Mereka (pemain kebangsaan) turut menjadi mangsa ejekan penyokong Indonesia disebabkan penganjur tidak mengambil langkah-langkah yang cukup," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Himpunan Belia Kelantan di Perantauan yang dirasmikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed di Stadium Putra Bukit Jalil.

Presiden Umum PSSI Djohar Ariffin pada Selasa lepas dipetik The Jakarta Post sebagai berkata beliau akan membuat aduan rasmi kepada FIFA mendakwa mutu pengadilan Minoru berat sebelah sehingga menyebabkan pasukan 'Garuda Muda' gagal merampas pingat emas daripada skuad bola sepak kebangsaan yang juga juara bertahan bola sepak Sukan SEA.

Membandingkan keadaan itu dengan keadaan perlawanan akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) di antara kedua-dua pasukan kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Dis lepas, Annuar berkata pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia diberi layanan adil dan mesra oleh FAM sepanjang berada di negara ini.

"Kita bagi layanan yang mesra kepada pemain dan pegawai (bola sepak) Indonesia tetapi PSSI dah dua kali iaitu sewaktu AFF (final kedua di Jakarta pada 29 Dis lepas) dan Sukan SEA gagal mengawal penyokong mereka," katanya.

Annuar,yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), berkata FAM boleh membuat laporan yang sama kepada FIFA mengenai perkara itu tetapi tidak mahu memanjangkan hal berkenaan.

Sumber:  BERNAMA

Friday, November 25, 2011

Selamat Menyambut Maal Hijrah 1433

Penulis di sini ingin mengambil kesempatan disini mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru Maal Hijrah 1433 kepada semua umat Islam di seluruh Nusantara dan di dunia. Semoga tahun baru ini membolehkan kita berhijrah ke arah kesatuan umat dan ke arah kebaikan. Yang berlalu biarkan menjadi sejarah, yang mendatang menuntut kita berhijrah. Wallahualam.

Tanam Bakau Di Tanjung Piai

Semaian Benih Bakau@MyBancik 2011
Penulis berasal dari Sungai Bakau, Parit Buntar Perak, tetapi belum pernah menanam pokok bakau di Sungai Bakau. Namun begitu penulis belum pernah menanam pokok bakau di tempat lahir sendiri. Rasanya pada waktu kecildahulu adalah ikut orang kampung cari kayu untuk bahan bakar penyediaan sajian untuk kenduri kahwin.

Benih Bakau Sedang Membesar@MyBancik 2011
Baru-baru ini penulis berpeluang mengikuti program kemasyarakatan bercorak kehijauan di Taman Negara Tanjung Piai Johor. Teringat pulak di Tanjong Piandang, ada juga tempat bernama Telok Piai. Agak-agaknya kedua-dua tempat secara kebetulan berada dalam memori dan kenangan Penulis. Program kemasyarakatan ini melibatkan aktiviti penyemaian anak-anak pokok bakau. Pokok Bakau penting kerana ianya menjadi benteng daripada kahisan. Cuma yang bezanya disini ianya tidak berselut seperti di Sungai Bakau.Dengan itu, tak menjadi hal sangatlah bagi penulis kerana penulis sudah biasa dengan persekitaran berselut ketika kanak-kanak dan remaja. Namun aktiviti berkenaan amat menyeronokkan.

Wallahualam

Serika Arang Kayu Yang Antik

Sterika Arang@MyBancik 2011
Ketika bertugas di sekitar Johor baru-baru ini, penulis sempat singgah ke Pekan Ayer Hitam ketika perjalanan pulang. Biasalah, tempat ini memang dikenali di Johor. Namun, penulis terpandang penjual yang menjual beberapa buah sterika antik yang menggunakan arang kayu untuk menggosok pakaian pada zaman lampau.

Penulis pernah melalui zaman berkenaan. Walaupun sudah ada sterika elektrik pada masa berkenaan, sterika arang ini menjadi berguna bila bekalan elektrik terputus. Pada masa berkenaan, bekalan elektrik sering terputus, maklumlah rakyat Malaysia pada masa itu masih mengamalkan budaya tidak apa dan jarang komplen.

Oleh kerana, bekalan elektrik  mengambil masa yang agak lama untuk pulih, maka dengan tidak ada pilihan, sterika arang berkenaan sering menjadi penyelamat untuk menggosok pakaian sekolah. Namun begitu, ianya perlu digosok berhati-hati takut dengan baju-baju sekali yang terbakar.

Apabila penulis melihat barangan antik berkenaan, terdetik juga untuk membeli. Namun terpaksa membatalkan saka disebabkan dibahagian bawahnya telah berkarat teruk. Namun begitu, cukuplah diabadikan dilaman blog ini untuk tatapan generasi moden zaman sekarang.

Wallahualam.

Thursday, November 24, 2011

Jangan Menyingung Perasaan Kaum Lain?

KUALA LUMPUR, 24 Nov 2011, Bernama telah melaporkan bahawa anggota perwakilan yang berucap pada Perhimpunan Agung Umno 2011 minggu depan dinasihati agar tidak menyinggung perasaan kaum lain apabila membicarakan agenda Melayu.

 Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan yang memberi ingatan itu Khamis berkata dalam konteks gagasan 1Malaysia, agenda Melayu masih boleh dikembangkan dengan baik tanpa mengguris perasaan kaum lain yang terdapat di negara ini.

 "Di sebalik luahan sentimen yang ingin kita nyatakan, jangan lupa bahawa kita dibumbungi dengan dasar 1Malaysia.

 "Apabila kita beri pandangan tertentu, kita masih perlu memikirkan perasaan kaum lain yang pelbagai dalam negara ini," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Festival Seni dan Kebudayaan Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) di sini.

 Ahmad berkata Umno sebagai tunjang parti Barisan Nasional perlu memberikan panduan yang bermanfaat dan dihormati oleh semua kaum.

 "Tapi jangan pula kita apabila sudah bercerita tentang gagasan 1Malaysia, lantas kita tak menyentuh langsung tentang agenda Melayu, itu tak betul," katanya.

 "Dalam kesemua empat sidang yang akan berhimpun, jurucakap perlu sedar dan sensitif bahawa kita berada dalam negara pelbagai kaum yang perlu panduan daripada Umno," katanya.

 Seramai 5,447 perwakilan akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2011 yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 29 Nov hingga 3 Dis ini.

 Mereka terdiri 2,627 perwakilan daripada 191 bahagian di seluruh negara, 944 perwakilan Wanita, 942 Pemuda dan 934 Puteri Umno.

Sumber :BERNAMA

Komen penulis:

Belum apa-apa lagi dah takut menyingung perasaan? Tapi adakah kaum lain ada ingat pesanan berkenaan semasa perhimpunan politik mereka?Masih perlu banyak dilakukan. Antaranya pesanan berkenaan perlu dibuat tanpa memilih bulu. Kerajaaan perlu tegas dengan semua pihak tanpa mengira kaum bagi setiap apa jua provokasi melampau perkauman.

Wallahualam


Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari

SHAH ALAM 24 Nov 2011. –Utusan Malaysia telah melaporkan bahawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegur ahli akademik, Prof. Dr. Aziz Bari yang mendakwa kononnya akaun Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit.

Baginda bertitah, kenyataan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu adalah tidak tepat kerana akaun kedua-dua agensi terbabit sentiasa diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara dan amalan itu akan berterusan sehingga tahun-tahun yang mendatang.

``Kenyataan beliau (Aziz) ini adalah tidak tepat kerana beta disembah maklum bahawa akaun MAIS dan LZS telah diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan mendapat Sijil Bersih daripada Ketua Audit Negara pada setiap tahun serta akan terus diaudit pada tahun-tahun yang akan datang,” titah baginda. - Utusan

Komen Penulis:

Jangan dilayan orang macam ini. Nak dapat publisiti agaknya.Buktikan dengan fakta, jangan main cakap aje. Politik lagi....

Kenapa Nak Diperlekehkan Bantuan RM 100?

Penulis semakin tak faham dengan segelintir rakyat Malaysia. Semuanya ada sahaja yang tak kena. Bila tak diberi bantuan, marayu-rayu minta bantuan. Bila dah diberi bantuan, ada sahaja yang memperlekehkan usaha bantuan berkenaan. Yang terbaru ialah ada pihak yang memperlekehkan usaha kerajaan memberikan bantuan RM 100 bagi setiap pelajar sekolah.

Apa yang nak diperbesarkan isu ini? Siapa yang nak ambil dia punya pasallah. Yang tak nak ambil, itu hak merekalah. Apa yang penulis lihat, golongan bukan bumiputra, ramai yang berkereta besar dan mewah juga tidak melepaskan peluang melunaskan hak mereka.Mereka ini adalah golongan yang berfikiran cerdik. Rezeki jangan ditolak. Ambil dahulu apa yang ada di depan mata.

Memang benarlah agaknya rakyat Malaysia ini asyik suka berpolitik. Sampai ke lubang cacingpun nak dipolitikkan juga.Bosan-bosan.....!

Monday, November 21, 2011

Anak Harimau Malaya Mencengkam Lawan

Penulis sebenarnya tidak memberikan harapan ke atas skuad Harimau Malaya muda pada perlawanan akhir bolasepak Sukan Sea menentang skuad utama Garuda Indonesia. Ini kerana kebanyakan tunggak pemain berada dalam keadaan kecederaan selepas perlawanan separuh akhir menentang Myanmar. Skuad pada perlawanan malam tadi boleh dikatakan hanya berstatus anak Harimau sahaja.

Apabila Garuda mula membenam gol awal pada awal babak perlawanan, penulis terus menutup siaran TV kerana tidak sanggup melihat skuad anak Harimau diratah dengan teruk. Bila terdengar sorakan disekitar taman perumahan, penulis menggagahi semula membuka TV dan mendapati keputusannya sedang seri dan terikat 1-1 selepas anak harimau berjaya menyamakan kedudukan. Namun begitu, penulis masih lagi tidak sangup dan masih menutup TV serta kemudian meluahkan perasaan di blog ini(lihat artikel sebelum ini).

Ketika penulis sedang mula nak masuktidur dan hendak melelapka mata, tiba-tiba terdengar lagi sorakan di sekitar taman perumahan. Lalu penulis teruja hendak membuka semula siaran TV. Kenyataannya ialah sepakan terakhir penalti pasukan anak harimau dapat dilihat menerobosi gawang skuat garuda. Maka gegak gempitalah keseluruhan taman perumahan penulis atas kemenangan skuad anak Harimau Malaya 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Tahniah diucapkan kesemua pasukan skuad Harimau Malaya. Semoga anda semua dapat pergi jauh terutamanya rata-rata pemain di bawah umur 23 tahun yang kini sudah menunjukkan kematangan beraksi dalam suasana yang getir di Stadium Glora Bung Karno Indonesia.Kepada rakyat Malaysia, tahniah, kerana kegembiraan ini mengurangkan sedikit sebanyak polemik politik yang tidak berkesudahan di Malaysia. Sekurang-kurangnya Bolasepak dapat menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia.Kita menyokong pasukan Bola rakyat Malaysia, kebanggaan kita semua dan sebagai Team Malaysia.

Kepada rakyat Indonesia, janganlah berputus asa, ada masa kita jumpa lagi. Biarkan setiap pertandingan diakhiri dengan semangan ukhwah dan persaudaraan. Ini kerana dalam suasana ketidaktentuan global, Malaysia dan Indonesia tidak mampu berbalah lagi. Malaysia dan Indonesia perlu bersatu dalam menentang segala bentuk ketidakadilan global.

Salam semangat kesukanan dari MyBancik.

Wallahualam

Ada Negara Yang Cuba Adu Domba Malaysia Dan Indonesia

Penulis tertarik dengan tulisan Awang Selamat di Mingguan Malaysia 20 November 2011. Ianya memaparkan ada pihak iaitu negara ketiga yang menjadi dalang setiap bantahan di negara serumpun di seberang. Bagi penulis isu ini bukannya baru, bahkan ramai yang sudah mengetahuai sejak dahulu lagi. Bahkan ada juga sebilangan ahli-ahli pembangkan yang sering ke negara ke 3 berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan pemimpin negara berkenaan. Bahkan ada yang memperlekehkan keselamatan sebuah negeri di negara sendiri di negara berkenaan.

Apa yang menyedihkan masih ramai drakyat di Malaysia yang menyokong membuta tuli pakatan yang dianggotai pemimpin berkenaan sedangkan tindakan pemimpin berkenaan seolah mengkhianati negara sendiri. Jika Israel dilihat cuba memecah belahkan negara Arab, penulis yakin negara berkenaan juga sedang berfungsi melakukan perkara yang sama di rantau Asean. Bagi yang cintakan keamanan, haruslah kita berhati-hati dengan aganda pihak berkenaan. Jiak dilihat persepsi terkini rakyat Indonesia terhadap Malaysia di Sukan Sea sekarang, bolehlah dibuat kesimpulan bahawa usaha negara berkenaan sedang menuju kejayaan.

Wallahualam.

Bermaruahkah Jika Menang Dengan Cara Provokasi

Berita di Buletin Utama TV3 sebentar tadi melaporkan bahawa bas yang membawa pasukan bolasepak Malaysia diganggu ketika menuju ke stadium. Sesungguhnya perkara ini bukan baru yang sering dilakukan oleh penyokong pasukan Indonesia.

Berita Harian hari in telah melaporkan bahawa Slogan  BERSATU dan bangkit! (United and rising) – semangat murni yang cuba ditampilkan penganjur Sukan SEA ke-26 di Jakarta dan Palembang – Indonesia kini dilihat sebagai omong kosong.Buktinya, di Stadium Gelora Bung Karno, Pusat Bowling Jaya Ancol, Velodrom Rawamangun, Dewan Taekwondo Cibubur - nama Malaysia seakan jijik buat penyokong tempatan yang begitu bersatu dan bangkit mengejek atlit negara dan lagu Negaraku.

Paling meloyakan, kartun dalam sebuah akhbar tempatan pada hari perlawanan Malaysia-Indonesia di peringkat kumpulan yang menampilkan pemain Malaysia seperti banduan dan lanun dengan isu perebutan wilayah antara punca tohmahan berkenaan.

Provokasi di Gelora Bung Karno yang sudah basi dan tidak mampu mempengaruhi mental pemain negara, dijangka akan lebih bingit dan menyakitkan telinga dengan misi membalas dendam serta mengubat ‘sakit hati yang mendalam’ (seperti dikatakan peminat dalam satu temubual radio tempatan) terhadap Malaysia akibat kekalahan di Piala AFF Suzuki tahun lalu.

 Menurut rakan wartawan yang pernah membuat liputan Sukan SEA di hampir semua negara di rantau Asia Tenggara ini, Sukan SEA di Jakarta antara yang paling teruk – terutama dalam sambutan rakyatnya terhadap kontinjen Malaysia. Kontinjen Malaysia yang hadir ke bumi Jakarta seolah-olah musuh ketat yang cuba dimalukan dan dimusnahkan. Bagi penyokong Indonesia, biar mereka tidak dapat emas asalkan bukan Malaysia yang memperolehnya.

Sebagai bangsa yang kental dengan semangat patriotiknya, penulis berpendapat perkara seperti ini tidak seharusnya terjadi. Mengapakah jika melibatkan negara yang mempunyai rumpun dan berkiblatkan akidah yang sama sering diperlakukan sebegini rupa. Mana dia sifat persaudaraan sesama rumpun atau seagama? Kenapa negara-negara lain tidak diperlakukan sedemikian? Kenapa Malaysia? Bak kata salah satu dialog oleh pelawak Indonesia, iaitu Bunyamin S, kenapa? kenapa? why, why?

Pada masa ketika artikel ini ditulis, kedudukan masih lagi 1-1. Oleh itu penulis berharap agar perlawanan ini, walau apa jua keputusan disambut dengan semangat kesukanan. Jika tidak, jika masih asyik meneruskan provokasi, maka jika menangpun, menang dalam keadaan tidak bermaruah.

Renung-renungkanlah...

Wallahualam.

Saturday, November 19, 2011

Harimau Malaya Teruskan Ngauman

Skuad Harimau Malaya muda teruskan ngauman di Stadium Gelora Bung Karno dengan membaham skuad bolasepak Myanmar dengan keputusan 1-0. Ini membolehkan skuad ini melangkah ke peringkat akhir bolasepak Sukan Sea 2011. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, penulis berharap agar skuad ini dapat maju lebih jauh lagi di peringkat antarabangsa.

Skuad ini akan bertemu sekali lagi pasukan Indonesia pada aksi "final" di tempat yang sama pada Isnin akan datang. Namun penulis agak kurang senang dengan gelagat penyokong tuan rumah yang sering melakukan provokasi melampau terhadap mana-mana pasukan Malaysia. Perkataan "maling" sering kedengaran. Tetapi apakah pula perasaan mereka jika ada mana-mana rakyat Malaysia yang membalasnya. Ini adalah salah satu kesan di mana sejarah sering dilupakan. Bukankah dahulu kala Malaysia dan Indonesia adalah dinaungi dan jajahan takluk kerajaan Melayu di Nusantara? Persamaan kebudayaan tidak dapat dielakkan jika ada apa-apa jua hasil kerja tangan dan warisan di Indonesia juga diwarisi oleh rakyat di Malaysia.

Diceritakan oleh arwah ayah penulis, keturunan salah silah penulis juga bersal dari pembesar kerajaan Melayu di sana. Bahkan Perdana Menteri Malaysia sekarangpun mempunyai salah silah keturunan di negara berkenaan juga. Oleh yang demikian, kita menyeru agar sikap seperti ini dapat dihindarkan oleh kedua-dua pihak. Namun sebagai salah seorang rakyat Malaysia, penulis berharap agar skuad harimau dapat melakukan yang terbaik.

Tahniah...

Thursday, November 17, 2011

Bolasepak Sukan Sea: Harimau Malaya Mengaum Lagi

Malaysia telah berjaya menewaskan pasukan bolasepak Indonesia 1-0 sebentar tadi seterusnya menjuarai kumpulan A pada sukan Sea..Ini membolehkan Malaysia melangkah ke peringkat separuh akhir menentang Myanmar. Syabas skuad Harimau Malaya dan teruskan usaha.

Pengagihan Daging Korban Harus Dilakukan Oleh Orang Islam - Jamil Khir

KUALA LUMPUR, 17 Nov 2011.Pengagihan daging korban perlu dilakukan oleh orang Islam kerana ia merupakan ibadah keagamaan dan demi memastikan ia tidak menimbulkan sensitiviti di kalangan umat Islam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata walaupun pengagihan daging korban itu boleh dilakukan oleh golongan bukan Islam tapi perkara berkenaan boleh menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam.

"Pengagihan daging korban tidak salah dalam konteks hukum Islam tetapi persoalannya sekarang di manakah pemimpin-pemipin masyarakat dan anggota politik yang beragama Islam dalam melaksanakan ibadah korban tersebut?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis Khatam Al-Quran Perdana 2011 Tadika Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak di sini Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini yang mengatakan bahawa beberapa blog mempertikai tindakan Anggota Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengagihkan sendiri daging korban kepada masyarakat Islam baru-baru ini.

Akhbar berkenaan memetik blog http://novandri.blogspot.com dan http://klxpress.blogspot.com yang memaparkan gambar Kok mengagihkan daging korban tersebut bagaimanapun blog itu tidak menjelaskan bila dan di mana gambar anggota Parlimen itu dirakamkan.

Jamil Khir berkata beliau tidak mengetahui sejauh manakah kebenaran blog yang memaparkan cerita tersebut.

Sumber:Bernama

Wednesday, November 16, 2011

UPSR 2011 : Tahniah Buat Semua Yang Berjaya

Hari ini merupakan hari pengumuman keputusan peperiksaan UPSR 2011. Sebelum keputusan keluar penulis sempat mengusik anak sulung perempuan penulis; "Berapa agaknya gol yang kakak boleh score?" Anak penulis hanya mampu tersenyum kelat mendengar usikan penulis itu.

Tambahan pula isteri penulis pula yang terasa gabra semacam aje. Macam dia pulak yang yang ambil peperiksaan. Kalau lelaki tu, kalau dapat score hanya dua gol, bolehlah cuba nasib macam Ramli di Manchaster United kat iklan TM tu..Masalahnya anak penulis adalah perempuan. Cuma yang tak kena iklan tu, mana ada UPSR ada 9A? Nampak bentuk badan Ramli macam budak darjah 6 aje.

Apapun, alhamdulillah anak penulis berjaya score 5 gol (5A la tu). Namun ianya hanya permulaan. Yang penting ialah istiqamah dan usaha yang berterusan dan tanpa berputus asa. Kepada yang gagal, cuba lagi dan A sebenarnya bukanlah segalanya dalam kehidupan.Tahniah juga buat semua guru-guru yang tak jemu-jemu berusaha.

Wallahualam

Hanya Monyet Yang Boleh

Ketika berada diTaman Negara Tanjong Piai Johor baru-baru ini , penulis tertarik dengan satu tanda kenyataan yang mempunyai maksud yang amat mendalam. Maksud yang mengaitkan larangan membuang sampah sembarangan.Ini untuk memelihara alam sekitar yang semakin dicemari oleh pihak-pihak yang tidak mempunyai kesedaran tatarakyat.
Gambar@MyBancik 2011

Jika sesiapa yang berdegil untuk membuang sampah sembarangan juga, maka ianya membawa erti seseorang itu bolehlah dianggap sedara kepada... he..he.. pikirlah sendiri.

Wallahualam

Tepung Bungkus Berintikan Cendol

Gambar@MyBancik 2011
Baru-baru ini penulis bertugas beberapa hari di Pontian Johor. Dalam satu majlis, penulis disajikan sejenis kuih yang pada mulanya disangkakan tepung bungkus. Memang benar ianya tepung bungkus tetapi agak berlainan dari biasa.

Gambar@MyBancik 2011
Kali ini tepung bungkus ini tidak berintikan kelapa yang dimasak dengan gula melaka, tetapi sebaliknya berintikan cendol.Namun rasanya amat menarik kerana tidak manis macam biasa, sebaliknya rasa lemak dan aromanya menyenangkan. Penemuan ini adalah yang terbaru bagi pengalaman hidup penulis.

Apa Nak Jadi Dengan Kita?

Baru-baru ini agak kecoh tentang kisah seorang artis wanita Melayu yang bergambar di sebuah majalah di negara seberang. Namun bagi penulis ianya taklah menarik sangat. Kat Malaysia lebih ramai wanita Melayu yang berpakaian lebih "daring" lagi daripada beliau terutama di pasaraya dan sebagainya. Cuma malang bagi beliau kerana dia telah dikenali sebagai artis dan sudah tentunya mendapat kecaman kerana para artis sering mendapat tumpuan di media-media masa.

Bagi penulis, setakat bergambar seperti itu, tak perlulah ke seberang, banyak majalah di Malaysiapun yang boleh memaparkan pose seperti berkenaan.Mungkin bayaran lebih di sana agaknya.

Apapun harus diingat bahawa jika sebagai seorang Islam, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku.Penayangan akan kelebihan diri dan bab-bab aurat ni sepatutnya tidak dibanggakan-banggakan bahkan sepatutnya diiringi penyesalan yang amat sangat. Apa nak jadi dengan masyarakat kita...?

Renung-renungkan....

Wallahualam

Tuesday, November 15, 2011

Istana Negara 'Lama' Ditutup Secara Rasmi

KUALA LUMPUR, 15 Nov 2011, Bernama hari ini telah melaporkan bahawa ,apabila pintu masuk utama ke Istana Negara di Jalan Istana di sini dikunci pagi Selasa, ia menandakan tempat bersemayam semua Yang di-Pertuan Agong sejak kemerdekaan negara itu, mengakhiri fungsinya secara rasmi.Majlis penuh istiadat itu bermula 9 pagi dengan perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD.

 Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil diperdengarkan tiupan paluan akhir yang bertujuan memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil, mewakili pihak Istana Negara menandakan berakhirnya penugasan di Istana Negara.

 Penyerahan bendera itu dilakukan oleh Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD Mejar Mohd Kadri Abu Bakar.Sebagai simbol penutupan bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

 Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda berkekuatan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.Antara kenamaan yang hadir menyaksikan istiadat penurunan bendera itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Negara Datuk Othman Mahmood, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Raja Afandi Raja Mohd Nor dan Penolong Ketua Markas ATM Mej Jen Datuk Abdul Aziz Ibrahim.

Di Istana Negara Jalan Duta, istiadat menaikkan bendera bermula pada 10.25 pagi dengan penyerahan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada kumpulan penaik bendera bagi menandakan bermulanya penugasan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat menaikkan bendera di Istana Negara Jalan Duta dianggap unik kerana bendera itu dinaikkan secara automatik berbanding di Istana Negara "lama" yang dilakukan oleh anggota tentera.

 Istana Negara telah berpindah dan mula beroperasi di kompleks baru di Jalan Duta secara berperingkat mulai 19 Okt lepas manakala penugasan kepada anggota pengawal daripada ATM bermula pada Selasa.
Istana Negara lama di kawasan seluas 11.34 hektar asalnya adalah sebuah banglo dua tingkat yang dibina pada 1928 oleh jutawan tempatan, Chan Wing.

Kemudian banglo itu bertukar milik apabila kerajaan negeri Selangor membelinya dan selepas diubah suai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.

Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Istana Negara baru yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Disember ini.

Sumber : Bernama

Monday, November 14, 2011

Ibadah Qurban: Umat Islam Patut Bersyukur

Dalam suasana masih dalam bulan Zulhijjah, penulis masih teringat dengan ibadah qurban. Pada masa kini ramai umat Islam di Malaysia telah menghantar program ibadah berkenaan ke negara luar seperti Kemboja, Palestine dan sebagainya.Ini disebabkan rata-rata penduduk di sana hanya berpeluang ,akan hidangan daging setahun sekali seperti yang diwar-warkan oleh penyedia pakej ibadah berkenaan di luar negara. Penulis sendiri sempat mengharungi zaman berkenaan ketika kanak-kanak.

Namun ramai yang tidak mengetahui bahawa rata-rata rakyat Malaysia pernah menghadapi suasana berkenaan pada lebih kurang antara 20 hingga 30 tahun yang lalu. Pada masa berkenaan, jangan katakan daging lembu, ayampun hanya disembelih pada hari raya Aidilfitri atau Hari Raya Qurban atau Aidiladha ataupun pada kenduri kahwin sahaja. Ini berikutan keadaan ekonomi umat Islam ketika berkenaan tidak seperti sekarang.

Berikutan transformasi ekonomi berdasarkan pertanian semata-mata ke industri berdasarkan perindustrian, maka peluang ekonomi kepada rakyat Malaysia berkembang dengan begitu pesat terutama ke atas umat Islam. Ianya bukan datang dengan bergolek jika tiada usaha yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di kalangan umat Islam sendiri.Oleh yang demikian, kita sepatutnya bersyukur atas nikmat kurniaan Ilahi ini agar kita terus dikasihi dan dilimpahi rahmatNya dan menjauhi kemurkaanNya.Antaranya ialah mengeratkan persaudaraan sesama umat Islam dan menjauhi perpecahan dan permusuhan.

Wallahualam

Tuesday, November 8, 2011

Usah Pertikaikan Ibadat Qurban

Baru-baru ini ada salah seorang pemimpin utama pembangkang bukan Islam di Malaysia mempertikaikan ibadat qurban yang dilakukan oleh umat Islam. Sesungguhnya kenyataan berkenaan amat menghiris perasaan penulis. Kenapa akhir-akhir ini ramai pihak yang mempertikaikan hak dan ibadat umat Islam? Adakah kita umat Islam mempertikaikan ibadat mereka dan agama lain di Malaysia?Mereka kini dilihat masih cuba hendak mencabar perlembagaan negara.

Apakah kenyataan sebegini bertujuan menarik undi pihak-pihak tertentu? Justeru itu, penulis mendesak kementerian dan pihak yang berwajib mengambil tindakan yang tegas kepada pihak-pihak yang sering membuat kenyataan yang boleh menyebabkan keresahan rakyat berbilang kaum. Bukannya apa, takut api dalam sekam terus menyala dan meletus serta tidak dapat dikawal lagi. Ini disebabkan bila umat Islam dan Melayu bersuara pula , dikatakan dan diprovokasikan sebagai rasis, tetapi setiap kenyataan yang mereka keluarkan dianggap sering betul dan maksum belaka. Malah apa yang menyedihkan, ada pihak  dari kalangan umat Islam sendiri yang bersahabat dengan golongan ini hanya angguk-angguk dan geleng-geleng sahaja.

Wallahualam

Saturday, November 5, 2011

Antara Kisah-kisah Pengorbanan Besar

Pelbagai kisah telah dipaparkan di dalam Al Quran tentang pengorbanan besar para Nabi dalam menjalankan dakwah. Antaranya Nabi Noh, telah menjalankan dakwah selama lebih kurang 900 tahun, sedangkan hasilnya hanya mengumpulkan pengikut sekitar 100 orang sahaja.

Nabi Musa pula terpaksa meningalkan Istana Firaun yang juga merupakan ayah angkatnya atas menjalankan tugas seruan Ilahi. Padahal baginda mempunyai pilihan untuk terus kekal di istana yang tersergam indah.

Nabi Muhammad S.A.W. pula terpaksa meninggalkan tempat tumpah lahirnya untuk berhijrah menegakkan kalimah Allah. Walaupun ditawarkan pangkat, kuasa , wanita dan sebagainya, Baginda memilih untuk tidak menerima tawaran berkenaan oleh kerana patuh kepada perintah Allah. Dan banyak lagi kisah-kisah yang lain.

Berdasarkan kisah-kisah berkenaan, di manakah kita? Adakah kita rasa iman kita sudah kuat berbanding dengan yang lain jika kita mengorbankan seruan Allah bagi menjaga hati golongan yang kuffar? Kita sentiasa berdiam diri jika golongan kuffar yang bersama platform politik mempertikaikan sebilangan amalan Islam kita. Tetapi kita lantang mengkritik  bila mana melihat kelemahan saudara seagama seislam kita, sedangkan kita boleh berbincang duduk semeja atas persaudaraan Islam. Rata-rata umat Islam lebih  rela Islam diperlekehkan demi undi.

Di hari baik bulan baik ini, bersamalah kita bermuhasabah melihat kembali kekurangan diri. Adakah kita telah berkorban demi Islam atau Islam telah dikorbankan demi cita-cita dunia dan kepentingan diri kita dan golongan kita?

Wallahualam.

Friday, November 4, 2011

Raikan Cinta Kepada Ilahi : Selamat Menyambut Hari Raya Qurban

Dalam kita melayari bahtera kehidupan cinta dunia, jangan kita lupa akan  cinta sebenarnya kepada Ilahi. Ketika ini saudara seislam kita yang bertuah  telah mendapat jemputan sebagai tetamu Allah di tanah suci Mekah dan kita percaya mereka sedang membuat persediaan yang terbaik untuk melakukan wukuf di padang Arafah.

Kita di sini juga bakal menyambut Hari Raya Qurban selaras dengan ibadat yang dilakukan di Tanah suci dengan melakukan Ibadah Qurban.Maka beruntunglah sesiapa yang telah berjaya menjadi tetamu Allah pada tahun ini ,iaitu bertempat di mana asalnya usulnya Siti Hajar dan Puteranya Nabi Ismail telah ditinggalkan di padang pasir yang tandus oleh Nabi Ibrahim atas perintah Ilahi.Berkat kegigihan dan tawadduknya serta pengorbanan Siti Hajar mencari air, dengan hentakan anak kecil Nabi Ismail, maka terpancutlah sinar mata air zam zam dari muka bumi yang tandus itu.

Tempat di mana  umat Islam meraikan cinta kepada pemilik segala kejadian. Renungilah rangkap lagu yang telah diciptakan oleh M Nasir yang membuatkan penulis selalu menghayati:

Mari mawarku raikan cinta,
Tanpa cintaNya kita tiada
Mawar cinta mawarku abadi
Cinta Pemilik segala jadi


Mari mawarku raikan cinta,
Kerana cinta kita abadi
Mawar cinta mawarku sejati
Cinta Pemilik segala jadi

Kadangkala kita sering merasa tertekan dan berputus asa dalam menghadapi kehidupan. Tetapi sebenarnya, ianya tidaklah seberat pengorbanan yang telah dilakukan oleh umat-umat terdahulu dari kita. Sesungguhnya kehidupan kita seharian sering menuntut pengorbanan yang perlu dilakukan.Pengorbanan untuk mendapatkan cinta Pemilik segala yang menjadikan seluruh alam. Penulis berharap, suatu hari nanti penulis akan berpeluang menjadi tetamu Ilahi dan meraikan cinta pemilik Segala Jadi di sana, di tanah suci Mekah. Insyaallah, Ameen....

Selamat Menyambut Hari Raya Qurban @ Aidiladha.

Daripada Bancik dan keluarga.

Wallahualam.

Thursday, November 3, 2011

Seksualiti Merdeka: Nik Aziz Tidak Sokong , Minta Kerajaan Ambil Tindakan Tegas

Berita Harian hari ini telah melaporkan bahawa  Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau sama sekali tidak menyokong malah mengecam langkah pembabitan bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk S Ambiga dalam penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam sehingga 13 November ini. Menteri Besar Kelantan itu meminta pihak kerajaan dan berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur program itu yang jelas boleh menghancurkan kehidupan beragama di negara ini.
"Ini tidak betul. Kita sokong Ambiga dalam soal lain tetapi dalam program ini (Seksualiti Merdeka) saya tidak sokong (Ambiga) kerana dalam soal agama, kita tidak boleh sokong perkara itu. "Kerajaan... kalau boleh halanglah dan ambillah tindakan tegas," .Penganjuran program itu dipromosikan melalui laman sesawang yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari itu adalah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan. Nik Aziz berkata, soal kebebasan sebenarnya mempunyai had tertentu dan negara ini tidak boleh sama sekali membenar dan mengiktiraf budaya songsang diamalkan. "Kebebasan secara mutlak sememangnya tidak ada dan saya khuatir tidak lama lagi akan ada yang menyebut tentang soal kebebasan merompak dan menyamun atas nama kebebasan," katanya.

Katanya, sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi yang diciptakan Allah SWT kerana sebarang aktiviti yang bertentangan dengannya akan mengakibatkan keruntuhan terhadap tamadun manusia.

"Saya yakin kerajaan dengan segala kekuatan dan kuasa yang ada mampu bertindak terhadap penganjuran program sebegini tanpa menunggu desakan daripada mana-mana pihak," katanya.

Sumber- BERNAMA & Berita Harian



Wednesday, November 2, 2011

Kelab Hubungan Sesama Jenis Mendapat Sokongan Dan Naungan Siapa?

Berita yang dipaparkan di media-media di Malaysia hari ini sudah tidak dapat melindungi lagi siapakah yang memberikan sokongan kepada kelab yang menganjurkan hubungan sesama jenis atau dengan nama lain Seksualiti Merdeka. Merdeka apa ke namanya, kalau pemikiran masih dibelenggu amalan jahiliah?Malangnya gerangan yang memberikan sokongan ini ialah organisasi dan individu yang pernah memimpin suatu perhimpunan tidak berapa lama sebelum ini yang kononnya bermaksud tidak "Kotor".

Lebih malang lagi ramai pihak yang beragama Islam  yang terkena semburan air dan ada yang hampir mati dan hidup semula dek kerana terkena asap bagi menyokong dan berkumpul dan juga ada yang mungkin cedera bersusah payah mempertahankan program dan pemimpin berkenaan.Lebih malang lagi pula setelah ada , atau bila mana ada pihak dikalangan umat Islam mengajak bersatu padu mempertahankan akidah, pihak yang mengaku perjuangkan Islam dan menyokong perhimpunan tidak "Kotor" ini pula mencemuh dan memperlekehkan perhimpunan yang bertujuan mengHIMPUNkan umat Islam.

Wahai saudara Islamku, jika anda terbaca artikel ini dan jika anda seorang yang beriman, sedarlah, janganlah kita memberi sokongan membabi buta kepada mana-mana pihak. Perlulah disiasat pegangan agama, ideologi, matlamat mereka terlebih dahulu.Sebaliknya, sambutlah salam persaudaraan daripada saudara seIslam  kalian berbanding pihak yang amat terang-terang memusuhi Islam dan menyokong kemungkaran. Lebih-lebih lagi kemungkaran yang sama kisahnya pada zaman Nabi Lut A.S. Takut bumi kita diterbalik kebawah pusat bumi. Nauzubillah....

Wallahualam.

Tuesday, November 1, 2011

Jadilah Pencinta Wanita

Sejak akhir-akhir ini telah dilaporkan di media masa tempatan bahawa sudah ada dikalangan NGO dan individu yang cuba memperjuangkan hak golongan yang berminat akan hubungan sesama jenis. Hal yang sedemikian adalah amat membimbangkan  kerana di dalam Al Quran telah memaparkan balasan Allah yang amat keras terhadap umat atau golongan yang memperbudayakan amalan berkenaan.

Kita bersimpati dengan masalah golongan yang berkenaan yang dipercayai sedang sakit dan sedang menghadapi krisis identiti. Mereka seharusnya dibantu untuk dipulihkan, namun menghalalkan apa yang telah diharamkan bakal mengundang kegelinciran akidah dikalangan penganut Islam.Pihak kerajaan didesak agar tidak melayan tuntutan sebegini, sekalipun bakal mengundang risiko kehilangan undi pada pilihanraya.

Selain daripada itu, usaha dakwah Islamiah perlu digerakkan secara besar-besaran oleh setiap individu Islam, NGO , Parti Politik dan kerajaan agar virus seperti ini tidak terus merebak. Bagaimana kita hendak membentuk negara yang baik jika kita mempunyai masyarakat yang makin rosak akhlaknya.

Pesanan dari penulis, selain daripada mencintai Allah dan Rasulnya serta ibu bapa sebagai keutamaan, jadilah seorang "Pencinta Wanita " bagi lelaki-lelaki semua.., satu(menerusi perkahwinan), dua tiga dan empat (bagi yang mampu).

Wallahualam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...