Jom Follow.....

Monday, December 31, 2012

Warga Emas Terhutang Hampir Setengah Juta, Maklumat Peribadi Dicuri

18 Safar 1434

Seorang warga emas terpaksa tanggung beban hutang RM476,789.30 apabila nama dan nombor kad pengenalannya digunakan pihak lain untuk membuka tiga syarikat dan pembelian barang.


Berdasarkan laporan polis yang dilakukan Keng Kee, dia mendakwa tidak pernah hilang kad pengenalan tetapi ada mendaftar dengan sebuah persatuan di kawasan perumahannya.

Maklumat lanjut : MyMetro Online

Mahligai Beracun

18 Safar 1434

Insiden tanah runtuh yang menyebabkan 30 unit banglo dan 76 buah rumah teres di Puncak Setiawangsa, Taman Setiawangsa di sini terjejas pada Jumaat lalu seharusnya membuka mata pihak berkuasa untuk turut memberi perhatian kepada beberapa kawasan perumahan lain di kawasan cerun yang mungkin berisiko untuk mengulangi bencana yang sama.

Tinjauan Kosmo! di sekitar ibu negara semalam mendapati ada banyak lagi projek perumahan yang dibina di kawasan cerun seperti di Bukit Antarabangsa, Taman Ukay Perdana, Kampung Sungai Penchala dan Taman Templer di Selayang.

Semua kawasan itu perlu diberi perhatian kerana gambar-gambar yang dirakamkan Kosmo! semalam menunjukkan ia terdedah kepada risiko tanah runtuh terutamanya ketika berlaku hujan lebat.

Walaupun sehingga kini kawasan-kawasan tersebut masih bebas daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, namun jika tiada sebarang langkah keselamatan diambil, sesuatu yang tidak diingini mungkin melanda kawasan yang berisiko itu.

Maklumat lanjut: Kosmo Online



Mayat Terduduk

18 Safar 1434

MIRI – Seorang pengawal keselamatan yang ingin pulang ke rumah terkejut apabila menemui mayat seorang lelaki yang merupakan anggota Ikatan Relawan Rakyat (Rela) terbaring di tepi jalan di Kampung Luak 3 di sini semalam.

Mayat Maxizillian Wenceslaus Gadok, 26, dari Kampung Perpaduan Ulu Sungai Dalam ditemui oleh Hamdan Hussain, 27, pada pukul 6 pagi ketika Hamdan hendak pulang ke rumahnya di Bakam dekat sini selepas selesai bertugas di sebuah kilang berhampiran.

“Ketika sedang asyik menunggang motosikal, saya nampak seorang lelaki duduk dengan kaki bersilang dan kepalanya tertunduk di tepi jalan.


Maklumat Lanjut: Kosmo Online 

Sanggup Mati Kerana Isteri

18 Safar 1434

LONDON: Tidak mungkin ada hadiah yang begitu berharga daripada yang diberikan David Whaymand kepada isterinya pada Krismas lalu.Apabila Carolyn yang menghidap fibrosis sista (cystic fibrosis) diberitahu buah pinggangnya gagal berfungsi dan satu-satunya harapan untuk pulih ialah dengan menjalani pemindahan, suaminya tanpa teragak-agak menawarkan satu daripada buah pinggangnya.

Ia satu tindakan penuh kasih sayang dan membuatkan David gembira untuk melakukannya selepas 15 tahun berkahwin dengan buah hatinya sejak kanak-kanak lagi.
Namun, apa yang menjadikan pengorbanannya lebih menakjubkan ialah, dalam keadaan terdesak yang sama 13 tahun lalu, dia memberikan sebahagian daripada peparunya kepada Carolyn.

Dua sumbangan itu dipercayai adalah yang pertama di dunia. Doktor dan pakar pemindahan berkata, setakat ini tidak ada kes seorang penderma yang masih hidup menyumbangkan dua organnya. Ini kerana bahaya yang dihadapi dalam pembedahan seumpama itu.

Hakikat bahawa penerima dalam kedua-dua kes itu ialah isteri David sendiri menjadikan kisah ini lebih menarik memandangkan adalah sesuatu yang luar biasa bagi seorang suami berupaya mendermakan kepada isterinya kerana untuk mencari organ yang sesuai bagi tujuan pemindahan amatlah sukar.
Pembedahan terbaru itu berjaya dilakukan di Hospital Hamersmith di London Barat pada 12 Disember lalu dan pasangan itu sempat merayakan Krismas bersama di kediaman mereka yang berharga RM2.5 juta di Ingatestone, Essex.

David, 39, akauntan di bank JP Morgan berkata: “Mereka berkata, perkahwinan adalah dalam sakit dan sihat. Apabila saya mengahwini Carolyn. saya tahu ia bukan perkara mudah kerana dia mungkin mati tanpa menjalani pemindahan peparu. Saya tidak teragak-agak untuk menjadi penderma.“Saya sudah bersedia untuk melakukan pengorbanan yang boleh menyebabkan kedua-dua kami mati.

Maklumat lanjut: MyMetro Online


Petua Hilangkan Sedih

18 Safar 1434


Beijing: Amalan memakan tomato sekurang-kurangnya sebiji sehari boleh membantu mengubati kesedihan dan mengurangkan kemurungan sehingga 52 peratus, lapor satu kajian.

Penyelidik dari Universiti Perubatan Tianjin Dr Kaijun Niu, berkata, kajian yang dijalankan mendapati tomato memberikan kesan yang hebat untuk mengatasi kemurungan.

Sayuran ini dipenuhi lycopene yang mampu mengurangkan ketegangan dan memberi perlindungan kepada beberapa penyakit kronik seperti serangan jantung dan barah kepada mereka yang mengamalkannya.  

Ramai orang mengamalkan makan salad dan menyangka sayuran ini banyak khasiat tetapi tomato mempunyai kandungan bahan yang jauhlebih hebat untuk membantu mengekalkan kesihatan, katanya.

Maklumat lanjut: BH Online

Sambut Tahun Baru Cara Islam

18 Safar 1434


Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) semalam mengeluarkan garis panduan sambutan tahun baru dari perspektif agama.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata antaranya adalah penganjuran program yang membawa kepada kesedaran dan kebaikan serta tiada percampuran di antara lelaki dan wanita bukan mahram yang mampu mengundang maksiat.Pengisian majlis juga perlu bertepatan dengan kehendak syarak, tidak bercanggah dengan budaya Islam, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Maklumat lanjut: BH Online 

Tokoh Agama Akan Dijemput Bersama Hadi Dalam Rancangan TV - Rais

18 Safar 1434

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata tokoh agama dan mufti negeri-negeri akan dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatar belakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita".

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Tahun Baru 1Malaysia di Dataran Merdeka di sini Isnin.

Presiden PAS itu, katanya harus bersedia untuk menerima pendapat orang lain dan forum tersebut akan dibuat dalam suasana yang sesuai.

Rais berkata Hadi tidak boleh membuat tanggapan bahawa keputusan (Amanat Hadi Awang) yang beliau buat pada 1981, itu adalah muktamad.

Menurut Rais Hadi bukan ahli jawatankuasa fatwa atau majlis agama Islam negeri, sebaliknya beliau hanyalah seorang ahli politik yang mengeluarkan pandangan sendiri dan pandangan itu pula berasaskan sentimen yang diselubungi oleh politik.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Kalimah Allah Hanya Untuk Islam - Jakim

18 Safar 1434

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengulangi kenyataan bahawa lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh diguna atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata perkara itu telah diputuskan pada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5 hingga 7 Mei 2008.

"Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Othman berkata, kalimah Allah merupakan kalimah suci yang perlu dijaga dan berkait dengan akidah dan oleh itu umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini.

Katanya, sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudarat yang lebih besar kepada agama Islam, umat Islam dan rakyat Malaysia.

"Semua pihak seharusnya memaklumi bahawa kes berkaitan penggunaan kalimah Allah yang bermula pada tahun 2009 yang lalu masih belum selesai dan masih dalam peringkat rayuan ke Mahkamah Rayuan.

"Oleh yang demikian membicarakan isu berkaitan sama ada penganut Kristian Sabah dan Sarawak dibenarkan menggunakan kalimah 'Allah' dalam bible Bahasa Melayu dilihat seolah-olah mendahului mahkamah sendiri dan bersifat 'subjudis'", katanya.

Beliau berkata rakyat Malaysia bertanggungjawab memberi sepenuh kebebasan kepada mahkamah untuk membuat penghakimannya dan Jakim berpegang kepada semangat patuh kepada undang-undang sedia ada iaitu biarlah mahkamah membuat keputusan yang benar-benar adil dan mengambil kira keharmonian semua kaum dan agama di negara ini.

Katanya, tindakan sesetengah pihak yang mengeluarkan pendapat sendiri dan mendahului mahkamah dan mengkucar-kacirkan keharmonian antara kaum dan agama demi meraih keuntungan politik sempit amat dikesali.

Justeru, JAKIM menggesa semua pihak supaya kembali menghayati semangat kedaulatan undang-undang yang dilaung-laungkan selama ini untuk memastikan keharmonian antara kaum dan agama terus terpelihara dan dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Semua pihak harus menyokong keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang bermatlamat untuk mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama," katanya.

Sumber- BERNAMA

Nampak Nasi Macam Ulat

18 Safar 1434

   


Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - Foto Azmaidi Abidin
Mohd Nazrul langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan. - Foto Azmaidi Abidin(BH Online) 
Pekan: Saya lihat nasi macam ulat yang sungguh menggelikan dan tekak terus mual. Walau ada sebutir nasi terlekat di tangan, saya pasti muntah, kata Mohd Nazrul Nazri, 13.

Nazrul atau lebih mesra dengan panggilan Pak Adik, berkata oleh kerana langsung tidak boleh menjamah nasi sejak dilahirkan, dia selalu diusik rakan sekolah.
Pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu, berkata ada juga yang sanggup memberi duit untuk melihat keberaniannya menelan nasi, tetapi semua ditolak kerana memang dia tidak boleh makan nasi.


Mi jadi pilihan, saya paling suka mi sup atau mi goreng, tak pernah jemu makan. Roti juga jadi pilihan dan kadangkala ibu menggantikan makanan dengan kentang serta ayam, katanya ketika ditemui di rumahnya di Sungai Miang, dekat sini.

Ibunya, Normah Abdul Latif, 51, berkata simptom anak bongsu daripada enam beradik itu mula dikesan selepas beberapa bulan dilahirkan.

Ketika berusia lima bulan saya cuba memberinya nasi, namun dia muntah. Sejak itu saya dan suami, Nazri Karim, 55, tahu dia alah nasi. Kami hanya memberinya bijirin dan bila membesar, diberi bubur nasi, tapi tetap muntah, katanya.

Maklumat lanjut : BH Online

Saturday, December 29, 2012

Kenapa Nama Syed Mokhtar Dikaitkan?

16 Safar 1434

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham meminta mereka yang mempersoalkan kekayaannya agar bertanyakan soalan itu kepada ahli perniagaan yang lebih berjaya terutama yang bertaraf bilionair.

Koo Ham berkata, rakyat memang berhak untuk bertanya tentang kekayaan seorang penjawat awam serta bagaimana wang rakyat dan tanah kerajaan ditadbir, tetapi bukan terhadap harta kekayaan individu.

“Saya bukan penjawat awam. Kalau mereka hendak tanya tentang harta atau duit kepunyaan orang perseorangan, kita ini bukan kaya sangat, tetapi sebelum menceburi politik, saya sudah ada sedikit sebanyak duit.

“Kalau hendak tanya dan belajar bagaimana dapat duit banyak, tanyalah mereka yang lebih berjaya seperti Tan Sri Syed Mokhtar AlBukhary dan bilionair lain. Saya bukan bilionair," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Namun persoalannya, kenapakah nama Syed Mokhtar sahaja dikaitkan? Kenapa tak sebut nama-nama bilionair bukan melayu yang lain. Dikalangan bilionair di Malaysia , daripada sepuluh, Syed Mokhtar seoarang satu-satunya orang Melayu.Kenapa perlu iri hati pada orang Melayu?

Penulis tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama.

Wallahualam

Kalimah Allah Khas Untuk Islam

16 Safar 1434

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib menegaskan penggunaan kalimah Allah khusus untuk Islam dan seluruh umatnya sahaja.Beliau berkata, agama lain termasuk Kristian tidak berhak sama sekali untuk menggunakan kalimah suci itu apatah lagi untuk diguna pakai di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Harun menjelaskan, dalam agama Kristian menyebut Tuhan bagi seluruh penganutnya adalah Nabi Isa dan bukannya Allah.

"Apa yang saya tahu, kalimah Allah hanya untuk Tuhan kita (umat Islam) dan dalam Kristian ada Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan roh kudus. Isa (nabi) adalah disebut di kalangan penganutnya (Kristian) sebagai anak Tuhan.

"Jadi, kita kena faham bahawa nama Tuhan iaitu Allah hanya untuk orang Islam, kita seluruh umat Islam wajib menyembah Allah Yang Maha Esa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Friday, December 28, 2012

Biarlah Rahsia, Kata Muhyiddin

15 Safar 1434

Beberapa hari lagi menjelang tahun baru 2013, tarikh sebenar Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) masih menjadi teka-teki umum.

Namun begitu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muyhiddin Yassin menyifatkan ia sebagai satu keseronokan untuk membuat teka-teki mengenai tarikh sebenar PRU Ke-13.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi gambaran yang sangat jelas bahawa PRU Ke-13 akan diadakan pada tahun hadapan.

"Bolehlah buat teka-teki tarikhnya bila... Seronok juga kerana ada peluang dengar teka-teki dan kalau kita dah buat (umum tarikh sebenar), kita tak ada 'fun' lagi," katanya pada sidang media selepas menyampaikan amanat di Majlis Interaksi Timbalan Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Muda di sini Jumaat.

Maklumat lanjut :BERNAMA


Thursday, December 27, 2012

Ungkapan 'Halal' Yang Mengelirukan Dilarang Mulai 1 Jan 2013

14 Safar 1434

Mulai 1 Januari depan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melarang penggunaan logo halal dan ungkapan halal seperti perkataan 'ditanggung halal', 'makanan orang Islam', 'buffet Ramadan' dan lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan dan memperdayakan orang Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata mulai 1 Jan 2013 tindakan akan diambil ke atas pihak yang masih menggunakan logo dan ungkapan halal selain logo halal yang dikeluarkan Jakim atau Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

"Sebuah pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

"Pihak selain dari pertubuhan atau perbadanan yang didapati bersalah pula boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya. Bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Sanggup Tunggu 100 Tahun Selesai Isu Air ?

14 Safar 1434

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikecam oleh seorang pemimpin persatuan pengguna negeri ini ekoran kenyataannya baru-baru ini bahawa beliau (Khalid) sanggup menunggu sehingga 100 tahun untuk menyelesaikan isu air walaupun Selangor diancam krisis bekalan air menjelang 2015.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George, berkata kenyataan Khalid itu "tidak profesional" dan mengesahkan beliau mahu satu 'perang politik' di antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat berhubung isu air.

"Sebagai menteri besar, beliau harus lebih sensitif kerana yang menanggung kedukaan dan kelukaan daripada masalah air ialah pengguna di Selangor sendiri," katanya dalam satu temubual.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Kes Denggi Tertinggi Di Selangor

14 Safar 1434

Sejumlah 21,444 kes denggi dengan 35 kematian dilaporkan bagi tahun ini sehingga Sabtu lalu, peningkatan 10 peratus berbanding 19,534 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata bagaimanapun jumlah kes yang dilaporkan bagi tempoh 16 hingga 22 Dis adalah 521 kes, penurunan daripada 536 kes yang dicatat pada minggu sebelumnya.

"Selangor menunjukkan peningkatan purata 15 kes setiap minggu sejak enam minggu kebelakangan ini dengan 12 kematian dilaporkan," katanya dalam kenyataan di sini, Khamis.

Dr Lokman Hakim berkata sehingga kini, Selangor masih lagi mencatat jumlah kes denggi tertinggi iaitu 8,909 kes dengan 12 kematian, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 1,787 kes dengan lima kematian dan Perak dengan 1,687 kes dengan lima kematian.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Kempen Bantu Usaha Kerajaan Basmi Denggi

14 Safar 1434

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Khamis melancarkan kempen membasmi demam denggi bagi membantu usaha kerajaan menyedarkan masyarakat tentang bahaya wabak itu.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata kempen yang akan dijalankan secara kerjasama dengan pihak berkuasa akan diadakan secara berterusan di sekitar ibu negara memandangkan pada masa ini orang ramai memandang remeh penyakit demam denggi.

Beliau berkata berdasarkan statistik kes demam denggi yang dilaporkan Kementerian Kesihatan sejak awal tahun ini sehingga 8 Dis lepas, sebanyak 476 kes kematian dicatatkan akibat denggi daripada 20,387 kes yang dilaporkan.

"Walaupun kes demam denggi telah mula menular sejak hampir 30 tahun lalu, namun rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap penyakit yang mungkin membawa maut," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, December 26, 2012

Taliban Jadi Parti Politik?

13 Safar 1434

Pakistan memberi kerjasama kepada Afghanistan untuk memulihkan keamanan di negara jirannya itu dengan memujuk pergerakan Taliban menjadi parti politik.

Pembabitan Pakistan adalah penting dalam usaha Afghanistan dan Amerika Syarikat mempromosi keamanan di Afghanistan menjelang pengunduran askar NATO pada akhir 2014.Mereka beritahu bersetuju dengan pelan kami mengubah Taliban daripada satu entiti tentera kepada entiti politik bagi membolehkannya mengambil bahagian dalam proses politik Afghanistan dan mendapat berkuasa secara aman seperti mana parti politik lain, kata pegawai Kabul.

Pandangan pegawai itu dianggap optimis kerana Pakistan sudah lama dituduh menyokong pergerakan berkenaan tetapi kini sedia menyokong usaha mencapai perdamaian yang masih di peringkat awal.

Syak wasangka di antara Afghanistan dan Pakistan sudah lama menyekat usaha menangani jalan menamatkan ancaman militan.

Pergerakan Taliban berkata, mereka diwakili pemimpin kanan dalam rundingan dengan Pakistan dan Afghanistan termasuk Shahabuddin Delawar yang berpejabat di Qatar.

Sehingga kini, pihak berkuasa Taliban dan Afghanistan tidak ada hubungan secara langsung.
Kenyataan pegawai itu berkata, Afghanistan bahawa Pakistan, yang sekian lama dituduh menyokong kumpulan pemberontak Afghanistan, kini bersedia berusaha ke arah mewujudkan penyatuan, yang masih di peringkat awal dan terdedah kepada perpecahan.

Maklumat Lanjut : BH Online

Mangsa Banjir Di Terengganu, Kelantan Bertambah

13 Safar 1434

BERNAMA melaporlkan bahawa keadaan banjir di Terengganu dan Kelantan bertambah buruk dengan jumlah mangsa di pusat pemindahan di kedua-dua negeri pantai timur itu meningkat malam Rabu.

Jumlah keseluruhan mangsa di Terengganu, Kelantan dan Pahang ialah 19,958 orang malam ini berbanding 17,443 petang tadi.

Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN), banjir di Terengganu adalah yang paling buruk apabila mangsanya meningkat kepada 11,489 orang malam ini berbanding 10,412 petang tadi.

Kita doakan saudara kita di sana agar sentiasa tabah menempuhi ujian yang diberikan.

Wallahualam

Tuesday, December 25, 2012

Penduduk Kelantan Tak Tahu Membalak?

12 Safar 1434

Bagi Bancik politik di Malaysia sarat dengan sikap menyalahkan orang lain dan tidak mahu mengakui kelemahan diri. Bagi Bancik setiap ahli politik yang berpaksikan kebenaran, setiap tindakan yang dibuat perlulah dilakukan secara teliti untuk mengelakkan sebarang tohmahan di kemudian hari. Dalam isu kurnia tanah kepada sebuah parti politik, sepatutnya kerajaan yang mentadbirlah yang perlu membuat keputusan dan bertanggungjawab, bukannya menyalahkan pihak lain. Persoalannya sekarang, dalam banyak-banyak syarikat, kenapa syarikat berkaitan seorang ahli politik di Perak yang diberikan kurniaan. Takkan tak ada ushawan yang merupakan penyokong tegar pemerintah Kelantan yang layak untuk diberikan tanggungjawab?

Penulis merujuk kepada aritel di SH Online yang memaparkan isu pemberian tanah balak seluas 4,259 hektar di Gua Musang, yang didakwa diberikan kepada pemimpin pembangkang di Perak yang didakwa "bukan satu rahsia, sebaliknya pengurniaan telah diputuskan tujuh tahun lalu dan sedia diketahui oleh dua kementerian termasuk Datuk Dr Awang Adek Hussin, kata Setiausaha Akhbar kepada Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

"Kenyataan-kenyataan ini (laporan media) seolah-olah ingin menyebut bahawa projek yang dilaksanakan oleh syarikat ini ialah rahsia sehingga ia terdedah dengan laporan blog pisau.net.

"Dalam hal ini, suka untuk saya nyatakan bahawa projek ini telah dimaklumkan kepada Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Malaysia dan satu surat kelulusan telah dihantar kepada pihak Upayapadu Plantation Sdn Bhd pada 12 Oktober 2005 dan ditandatangani sendiri oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia pada masa itu iaitu Datuk Peter Chin Fah Kui," kata Ahmad Fadhli Shaari dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Ahmad Fadhli berkata, surat kedua pula ialah daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah kepada Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi bertarikh 16 Januari 2006, yang turut menyokong permohonan syarikat tersebut bagi tujuan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi negeri Kelantan.

 "Surat tersebut ditandatangani olah Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pada masa itu iaitu Datuk Dr Awang Adek Hussin. Salinan surat-surat tersebut saya kepilkan bersama untuk rujukan," kata beliau lagi.Awang Adek merupakan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan sekarang.

 Justeru, Ahmad Fadhli berkata, beliau berharap semua pihak di Kelantan terutama pemimpin Umno dan pertubuhan bukan kerajaan boleh bertanya terus kepada Awang Adek berkenaan isu tersebut.
"

Komen penulis , dari segi persepsi peribadi, rata-rata pemimpin politik akhir zaman ini berfikiran,  apa-apa yang mereka buat semua betul, yang salah diarahkan kepada orang lain.

Wallahualam

Hantu Kak Limah Menghiburkan

12 Safar 1434

Penulis masih berasa terhibur menonton filem Hantu Kak Limah sebentar tadi . Filem ini lebih menonjolkan jalan cerita yang lebih realiti berbanding filem hantu lain di pasaran yang bercorakkan tahyul. Selain itu unsur komedi yang diselitkan tidak menjemukan penonton.Diharapkanlebih banyak filem yang berpaksikan realiti dan kehidupan serta bercirikan aspek positif dihasilkan di negara ini.

Wallahualam


Pelucutan Senjata Bermula Selepas Kerajaan Bangsamoro Dibentuk

12 Safar 1434

Proses pelucutan senjata anggota pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) akan hanya dimulakan sebaik sahaja terbentuknya kerajaan Bangsamoro dan beroperasi di Mindanao, selatan Filipina.

Pengerusi MILF, Murad Ebrahim berkata pada ketika ini isu mengenai pelucutan senjata para pejuang MILF masih lagi dalam perbincangan dengan kerajaan Filipina.

Murad mendedahkan perkara ini kepada Bernama ketika ditemui semasa menghadiri Forum Ekonomi Dunia Islam (WIEF) kelapan yang berakhir di sini baru-baru ini.

Beliau mengingatkan bahawa pihak-pihak terbabit perlu mewujudkan keadaan yang betul di peringkat bawahan terlebih dahulu, sebelum memulakan proses pelucutan senjata oleh anggota-anggota pasukan pejuangnya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, December 24, 2012

Jessy Srikembangan Trauma Gambar Diubahsuai

11 Safar 1434

Seorang eksekutif pentadbiran wanita trauma selepas gambar wajahnya dipaparkan dalam sebuah laman sosial menggunakan teknik pertindihan bagi tujuan mempromosikan khidmat seks.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tan, 20, berkata gambar wajahnya diubahsuai oleh pengendali laman sosial berkenaan, seterusnya dipadankan dengan tubuh badan wanita yang mengghairahkan bagi menarik perhatian pelanggan.
Kejadian disedari pertengahan tahun lalu, namun saya tidak menyangka ia berlarutan sehingga sekarang, walaupun selepas saya membuat aduan rasmi kepada pengurusan laman sosial itu.

Selepas itu saya tidak lagi dapat gambar profil berkenaan yang menggunakan nama Jessy Srikembangan, malah menganggap pengendalinya sudah dikenakan tindakan oleh pihak pengurusan laman berkenaan, katanya kepada pemberita, di sini semalam.

Maklumat lanjut: BH Online

PAS Bidas Guan Eng

11 Safar1434

PAS dan ulama membidas tindakan Lim Guan Eng membangkitkan semula isu menuntut Kerajaan Pusat membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Tindakan itu kata mereka bukan saja akan mengelirukan umat Islam malah menunjukkan Ketua Menteri Pulau Pinang itu tidak menghormati keputusan yang sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.
Guan Eng dalam perutusan khas sempena Krismas di laman blognya, semalam menggesa Kerajaan Pusat diterajui Barisan Nasional (BN) membenarkan penganut Kristian di Semenanjung menggunakan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Melayu.

Ahli Majlis Syura Ulama PAS yang juga Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Mohamed Daud Iraqi, berkata tindakan Setiausaha Agung DAP itu mengelirukan umat Islam di negara ini.

“PAS mengambil pendirian seperti diputuskan Majlis Syura parti sebelum ini, tidak bersetuju dengan desakan mana-mana pihak berhubung isu berkenaan.

“Kita tidak boleh lawan Majlis Syura yang sudah putus perkara ini sebelum ini, kalau lawan.... jadi benda lain. Kita tidak akan ikut, pakai dia (Guan Eng), sebab dia keliru banyak, nak guna benda karut.

“Tapi terpulang kepada kerajaan (Persekutuan), kalau nak buat. Bagi PAS, kita bantah, tidak boleh guna perkataan itu,” katanya kepada BH.

Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Tantawi mahu Guan Eng berhenti daripada membangkitkan isu itu kerana boleh mencetuskan kekeliruan umat Islam.

“Tindakan Guan Eng itu boleh mencetuskan semula polemik yang sudah lama reda. Isu ini tidak perlu ditimbulkan lagi dan sepatutnya beliau merujuk kepada ulama sebelum mengeluarkan kenyataan seperti itu secara terbuka.

“Isu kalimah Allah ini bukan boleh dijadikan polemik kerana ia sangat sensitif dan boleh menimbulkan ketegangan agama jika tidak ditangani dengan baik,” katanya.

Nasrudin berkata, jika masyarakat agama lain masih tidak memahami isu itu sewajarnya ia dibincangkan secara tertutup bersama ulama bagi mengelakkan ketegangan agama.

Ditanya sama ada PAS akan bertemu dengan Guan Eng berhubung isu terbabit, Nasrudin berkata, perkara itu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

Sebelum ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali Ke-82 yang bersidang pada 5-7 Mei 2008 sudah membincangkan Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah.

Muzakarah memutuskan bahawa lafaz Allah adalah kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam serta tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama lain.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Hassan Ahmad berkata, negeri itu mewartakan kalimah Allah sebagai antara 40 perkataan yang tidak boleh digunakan bukan Islam.

Maklumat lanjut: BH Online

Sunday, December 23, 2012

Penyakit Diabetes Ancaman Baru Golongan Muda Di Negara Ini

9 Safar 1434

Seramai 300,000 golongan muda di negara ini didapati menghidapi penyakit diabetes melitus jenis 2 atau dikenali sebagai 'T2DM', kata Pakar Endokrinologi Universiti Sains Malaysia Prof Datuk Dr Wan Mohamad Wan Bebakar.

Beliau berkata jumlah penghidap golongan muda itu dikhuatiri akan meningkat sejajar dengan jangkaan peningkatan penghidap T2DM di seluruh dunia dari 230 juta kepada 440 penghidap menjelang 2030.

"Hakikatnya, 20.8 peratus dari rakyat Malaysia ketika ini adalah penghidap T2DM. Apa yang kami khuatiri ialah jumlah penghidap muda yang berusia dalam lingkungan 20-25 tahun meliputi lima peratus dari jumlah itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Thursday, December 20, 2012

Harta Pusaka Tak Diwasiat Bernilai RM45 Bilion ?

6 Safar 1434

Bernama hari ini telah melaporkan bahawa kerajaan menafikan jumlah harta pusaka tidak diwasiatkan atau terbeku, sebahagian besarnya milik umat Islam, bernilai kira-kira RM45 bilion.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata ketika ini tiada statistik khusus di Malaysia berkaitan nilai sebenar harta pusaka dan tanggungan pusaka yang masih belum ditadbir.

"Anggaran ini adalah tidak betul, ia hanya diutarakan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab," katanya menjawab soalan Senator Rohani Abdullah pada persidangan Dewan Negara, di sini pada Khamis.

Liew berkata kerajaan mengalakkan rakyat menyegerakan permohonan pentadbiran harta pusaka di agensi berkaitan kerana tindakan melengah-lengahkan permohonan hanya akan menimbulkan masalah dan kerumitan termasuklah masalah sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Monday, December 17, 2012

Sup Ketam Penawar Demam Denggi

 4 Safar 1434

Bunyi tajuk di atas semacam agak kelakar bunyinya. Tapi bagi Bancik yang pernah berada dalam Unit Rawatan Rapi(ICU) disebabkan demam denggi, ianya merupakan suatu rahmat dari Ilahi. Tak semena-mena muncul cadangan daripada sanak saudara dan sahabat handai yang datang melawat Bancik pada ketika itu terlantar tidak bermaya. Pada masa itu juga doktor yang merawat hampir berputus asa melihat keadaan kesihatan Bancik ketika itu.


Lantaran cadangan itu didengari oleh ibu, maka dengan tidak membuang masa ibu mengerahkan agar didapatkan atau disediakan sup berkenaan. Ketika disajikan sup berkenaan, "platlet" darah Bancik didapati terlalu rendah. Agak mustahil pada mulanya hendak menjamah sup berkenaan, memandangkan tubuh ini mula menolak segala jenis makanan, kecuali air yang dipaksa masuk melalui jarum menerusi aliran darah. Pada masa itu juga, Bancik juga tidak tahu berapa sudah pek darah dimasukkan ke dalam badan Bancik.

Oleh kerana tidak mahu derhaka pada ibu, Bancik terpaksa menghirup juga sup ketam tersebut. Satu demi satu sudu dihirup sup berkenaan, dan bancik mula merasa sedap pula. Lama-kelamaan dekat semangkuk jugalah habisnya. Selepas beberapa jam, selera Bancik mula hadir dan sedikit demi sedikit makanan mula dijamah secara paksa kerana semangat ingin sembuh dan ingin melihat anak bancik yang keempat yang sedang sarat dalam kandungan ibunya lahir kedunia.Selain daripada sup ketam bancik sentiasa mengikut arahan dan nasihat doktor yang merawat.

Dengan izin Yang Maha Kuasa dan Maha Esa, peluang terus diberikan untuk hidup di dunia ini. Sedikit sebanyak ujian ini membuka dimensi dan perspektif yang lebih luas kepada bancik untuk melihat kehidupan di dunia dengan lebih luas lagi. Apa yang penting sementara kita masih hidup, maka inilah peluang untuk memohon keampunan kepada Yang Maha Esa.

Wallahualam


Bakso Bercampur Daging Babi?

4 Safar 1434

Jika anda peminat bakso, maka mulai sekarang anda perlulah lebih berhati-hati. Ini kerana menurut BH Online , Kementerian Perdagangan Indonesia berkata, pihaknya akan mengambil tindakan ke atas pengedar bebola daging yang didapati menjual bahan makanan itu yang dicampur dengan daging babi.

Timbalan Menteri Perdagangan, Bayu Krisnamurthi berkata pengeluar bebola daging atau lebih dikenali sebagai bakso melanggar undang-undang perlindungan pengguna jika berbuat demikian dan boleh dikenakan hukuman penjara lima tahun dan denda RP2 bilion (RM632,385) jika sabit kesalahan.
Mereka bagaimanapun boleh dikecualikan daripada tindakan undang-undang jika mengesahkan kepada pembeli dan pengguna terlebih dulu bahawa bakso terbabit bercampur daging babi.

Beliau berkata pihaknya kini menjalankan pemeriksaan dan mengambil contoh bakso secara rambang di beberapa kawasan di Jakarta Pusat untuk diuji di makmal. Antaranya termasuk di Senen, Jakarta Pusat, Rawamangun dan Cempaka Putih di Jakarta Timur, Darmaga di Bogor dan beberapa lokasi lain.

Walaupun, ini merupakan berita luar negara, peminat bakso tempatan perlu juga berhati-hati takut bekalannya diperolehi dari sana.

Wallahualam

Denggi Terus Merebak Di Perak

4 Safar 1434

Sebanyak 1,661 kes wabak denggi dicatatkan di negeri ini dari 1 Januari hingga kini dengan peningkatan sebanyak 22.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata kes wabak denggi dicatatkan pada tahun lepas sebanyak 1,411, 2010 (2,288), 2009 (2,732)dan 2008 sebanyak 4,256 kes.

"Berdasarkan pemantauan Jabatan Kesihatan negeri, kes wabak denggi di negeri mencatatkan penurunan selama tiga tahun berturut-turut iaitu pada 2009, 2010 dan 2011," katanya ketika menjawab soalan Datuk Nadzri Ismail (BN-Manjoi) pada persidangan dewan undangan negeri pada Isnin.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Thursday, December 13, 2012

Bila Ayah Tiada

30 Muharram 1434

Sudah 24 tahun ayah Bancik telah meninggalkan Bancik dan keluarga.Ayah meninggal ketika beliau berusia 47 tahun disebabkan serangan jantung. Pemergian ayah menyebabkan kami hilang tempat bergantung .Ayah tidak meninggalkan harta yang banyak tetapi bagi Bancik beliau banyak meninggalkan kata-kata semangat dan nasihat yang baik.

Menurut kawan-kawan ayah yang merupakan kadi dan guru agama , semasa hidupnya ayah mempunyai ilmu agama yang tinggi.Sebagai contoh, beliau berupaya menulis dan membaca ayat Al-Quran, yang tidak diletakkan tanda baris. Namun ,difahamkan  beliau menolak untuk mejadi seorang ustaz, sebaliknya ayah memilih untuk aktif dalam politik sahaja.Namun orang politik dahulu bukan macam orang politik sekarang yang hidup mewah. Oleh sebab kami masih kecil ketika itu, hal yang sedemikian tidak kami ketahui sangat.

Bila ketiadaan ayah , hidup kami seakan-akan terumbang ambing. Barulah kami tahu peritnya menjadi anak yatim. Maka betullah pepatah Melayu, kasih ibu bapa sepanjang masa, kasih sedara masa berada. Namun mujurlah ayah meninggalkan sebuah rumah dan dan sebuah serambi papan sebagai kenangan . Ayah berpesan kepada emak agar tidak tinggalkan rumah walau apa jua terjadi sebelum pemergiannya.

Namun , di serambi rumah itulah Bancik sering mengelamun mengenangkan nasib diri, menanamkan cita-cita dan harapan serta melepaskan kerinduan kepada ayah. Diserambi itulah Bancik menelaah pelajaran hingga ke dini hari. Di serambi itulah dijadikan pencetus dan pembakar semangat untuk mencapai kejayaan.Namun kini sayang, serambi kayu itu kini tiada lagi disebabkan dimamah usia dan telah dirobohkan disebabkan tuntutan faraid keluarga sebelah ayah. Namun mungkin berkat doa anak-anak yatim serambi berkenaan dapat dipertahankan dalam masa yang agak lama dan dijadikan tempat melepaskan kerinduan dan mengimbau kenangan. Ini kerana di serambi itulah ayah sering berehat ketika beliau mengalami lumpuh di sebelah kaki.

Kini , masa begitu cepat berlalu. Kepada yang masih ada ayah atau, ibu, sayangilah mereka sebaik mungkin sebelum ibu atau ayah tiada...

Wallahualam




Hilang Sesuatu

30 Muharram 1434

Biarlah kita kehilangan sesuatu kerana Allah S.W.T, daripada kita hilang dari rahmat Allah S.W.T kerana sesuatu.

Wallahualam

Tuesday, December 11, 2012

Orang Paling Popular Di Malaysia Meninggal Dunia

28 Muharram 1434


Bekas Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah, 80, diberitakan telah meninggal dunia di Hospital Selayang, Selangor Selasa kira-kira pukul 8.30 malam.

Ia disahkan oleh adik Allahyarham Engku Taib kepada Bernama di sini.

Jenazah Allahyarham dijangka dikebumikan pada pukul 11 pagi Rabu di Tanah Perkuburan Bukit Kiara.

Penulis mengambil kesempatan mengucapkan takziah kepada keluarga beliau. Semasa hayatnya, bagi bancik, kelibatnyalah yang paling bancik dan rakan-rakan yang lain tunggu-tunggu di kaca TV semasa pengumuman tarikh puasa dan hari raya.Semoga roh beliau ditempatkan bersama roh orang-orang yang soleh.

Wallahualam

Kisah Monyet Kasanova Part 2

28 Muharram 1434

Pada kisah yang telah dipaparkan pada Part 1 yang lalu, di mana dengan secara tiba-tiba monyet berkenaan dibalingkan botol dan diboo oleh ribuan peminat. Persoalannya ketika itu kenapakah peristiwa itu berlaku di kala moyet berkenaan sedang membuat persembahan sebuah lagu dan bila sampai di "chorus" lagu tersebut monyet tersebut telah ditimpa nasib malang?

Namun setelah diteliti rupanya monyet berkenaan sedang membuat persembahan sebuah lagu yang berjudul 'Kita Serupa" yang pernah dipopularkan oleh Zainal Abidin dengan kumpulan Kepala Angin atau nama glamornya 'Headwind'. Maka dua sebab di sini, iaitu pertama, peminat amat marah bila monyet berkenaan menyampaikan "miming" kita serupa..kita serupa... , yang mana peminat tak sanggup mengiyakannya kerana tak nak disamakan dengan monyet. Dan yang keduanya nama kumpulan yang pernah mempopularkannyapun kalau dialih bahasapun bermaksud "kepala angin" , maka secara kebetulan, peminatpun mula naik angin.

Wallahualam





Wednesday, December 5, 2012

Jenain Minta Maaf Kepada Keluarga Aminulrasyid

22 Muharram 1434


Walaupun Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu membebaskan beliau daripada tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid Amzah, dua tahun lepas, Koperal Jenain Subi tetap merendah diri memohon maaf kepada keluarga remaja lelaki itu.

"Saya minta maaf kepada keluarga Aminulrasyid atas apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita di luar mahkamah.

Jenain yang ditemani peguam belanya, M.Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi berkata keputusan mahkamah juga telah membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

"Alhamdulillah...semua ini kuasa Tuhan dan selama ini saya berserah kepadaNya. Hari ini telah terbukti siapa salah dan siapa tidak salah dan akhirnya saya mendapat keadilan yang sewajarnya," katanya yang tidak dapat menahan tangisan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...