Jom Follow.....

Monday, April 29, 2013

Harapan Parit Buntar Kepada Mua'amar Ghadafi

10 Jamadilakhir 1434

Bancik berasa puas apabila mendapat pengesahan bahawa calon Parlimen Parit Buntar pada PRU 13 ini terselit anak jati Parit Buntar sendiri. Nampaknya pihak BN telah menyahut kehendak nadi penduduk Parit Buntar bagi meletakkan anak jati sendiri menjadi calon. Namun pihak pembangkang PAS masih meletakkan calon luar.

Oleh yang demikian Bancik mengumumkan sokongan terbuka kepada calon tempatan dari BN untuk Parlimen Parit Buntar. Nama calonnyapun amat menggerunkan .Namun yang lebih penting, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Parit Buntar ini, Mua'amar Ghadafi Jamal Jamaludin, sehebat nama bekas pemimpin negara luar, diterima pengundi setempat. Walaupun Bancik tak kenal dengan calon berkenaan , namun tempat kelahirannya di Kuala Kurau memang tempat laluan Bancik ketika berbasikal pada zaman remaja dahulu.

InsyaAllah, Bancik akan pulang mengundi ke kampung pada hari mengundi yang dijadualkan pada 5 Mei 2013.

Wallahualam





Integriti Tinggi Calon Mampu Cegah Insiden Ganas

19 Jamadilakhir 1434

Integriti tinggi calon yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13) ketika berkempen, iaitu tidak memburukkan lawan, mampu mencegah insiden ganas.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) ACP Ramli Mohamed Yusoof berkata sikap calon yang tidak menghasut atau menyemai politik kebencian ketika berceramah boleh membendung insiden keganasan.

"Seharusnya calon yang bertanding dalam PRU13 mempunyai disiplin tinggi untuk tidak menghasut penyokongnya dengan politik kebencian.

"Insiden ganas tidak akan terjadi jika calon mempunyai integriti tinggi yang memfokuskan kekuatan dirinya dalam kempen, dan menyeru penyokong agar menjaga tertib mereka," katanya ketika dihubungi Bernama Isnin.

Beliau berkata hakikatnya keadaan keselamatan terkawal dan polis mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima pihaknya tanpa membezakan mana-mana parti politik.

Maklumat lanjut : BERNAMA

Sunday, April 28, 2013

PRU13 Jadi Penentu Hala Tuju Akidah Umat Islam

18 Jamadilakhir 1434

Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) Ahad ini bukan sahaja menjadi penentu kepada pemilihan kerajaan, malah hala tuju akidah umat Islam di negara ini.

Justeru, Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Sidek Baba menggesa umat Islam bersatu memilih Barisan Nasional (BN) yang boleh menjamin pengukuhan berterusan akidah Islam pada masa depan.

"Kesatuan ummah amat penting...jika berpecah dua, kita makin lemah," katanya ketika soal jawab pada Wacana Isu-Isu Islam dan Umat Islam menjelang PRU13 di Kelab Sultan Sulaiman di sini Ahad.

Selain Dr Sidek, panel wacana itu termasuk Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) Dr Yusri Mohamad, penceramah bebas Kazim Elias dan Ketua Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan.

Sementara itu, Dr Yusri berkata umat Islam perlu tegas dan jelas mengapa mereka harus menolak parti pembangkang yang mengelirukan dan tidak mempunyai suara 'kuat' dalam pakatannya.

Beliau menegaskan umat Islam perlu memilih parti yang boleh mempertahankan Islam bukannya yang menjejaskan akidah umat Islam.

"Jika kita melihat track record pemimpin BN, mereka lebih berhati-hati dan tidak berani bercakap atau berpendirian sewenang-wenangnya dalam hal Islam," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Saya Sedia Bela Che Johan - CheDet

18 Jamadilakhir 1434

Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaannya membela Che Johan Che Pa jika beliau dibicarakan oleh Lembaga Disiplin Umno kerana tidak menyerahkan borangnya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Pasir Mas pada hari penamaan calon, 20 April lepas.

Bekas perdana menteri itu berkata beliau sedia berbuat demikian kerana mengagumi pengorbanan dan perjuangan Che Johan bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru antara calon BN, Bebas dan PAS, yang boleh menyebabkan kerusi itu jatuh ke tangan pembangkang.

"Saya lawyer yang tidak ada kelulusan tapi kalau nak argue boleh juga. Saya berpendapat bahawa bukan sahaja dia (Che Johan) tidak salah, bahkan saya hendak tengok lebih ramai orang lagi berkorban demi kebaikan parti bukan untuk diri sendiri," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra di perkarangan rumah Che Johan di sini.

Pilihan raya umum Ahad ini akan menyaksikan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Datuk Ibrahim Ali, yang mempertahankan kerusi Parlimen Pasir Mas atas tiket Bebas, dicabar Timbalan Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Terdahulu, dalam ucapannya di hadapan kira-kira 500 penduduk, Dr Mahathir berkata ramai yang kecewa kerana tidak terpilih menjadi calon dan terus melupakan jasa parti serta membuat tindakan tidak bertanggungjawab.

Sebaliknya, Che Johan masih meneruskan usaha untuk memastikan kerusi parlimen Pasir Mas tidak terlepas ke tangan PAS, katanya.

"Apa yang kita tengok sekarang ini, banyak yang berkorban demi kepentingan diri sendiri. Tidak dapat satu, mereka korbankan semuanya," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, April 12, 2013

Jati Isytihar Sokong BN

2 Jamadilakhir 1434

Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) membuat ketetapan bahawa semua pengundi Melayu Islam di negara ini wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini.

Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketetapan itu dibuat ekoran pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ternyata gagal mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila kalimah Allah disyirikkan, fahaman pluralisme mahu dijadikan sebagai asas beragama, berhasrat membentuk negara sekular, menggugurkan pembentukan negara Islam dan hukum hudud serta mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

"Jati sememangnya tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan kepada pakatan pembangkang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

"Bukan itu sahaja, malah ketetapan ini juga dibuat bersandarkan kepada hasil perbincangan serta pandangan pakar-pakar agama di dalam Jati sendiri selain dengan para mufti dan para ulama mengenai parti yang wajib dipilih oleh orang Melayu Islam pada PRU-13 kali ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bandar Utama dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali dan Naib Presiden Jati, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.

Hasan berkata, apa yang lebih penting, ketetapan yang dibuat oleh Jati itu bersandarkan kepada empat kaedah fiqh iaitu;

"Sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara; menolak sesuatu keburukan lebih baik daripada mengambil sesuatu kebaikan; memilih keburukan yang lebih kecil daripada dua keburukan bagi menolak keburukan yang lebih besar; perkara yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.''

Beliau berkata, BN jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Hasan turut melontarkan tiga persoalan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi:

*Adakah tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk negara sekular?

*Adakah rakyat dapat mengharapkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun lalu akan terus disambung oleh pimpinan sedia ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?

*Adakah masyarakat yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan negara ini dinakhoda oleh pemimpin parti pakatan pembangkang yang sedang bergelut dengan pemasalahan moral yang berterusan dan serius?"

Hasan berkata, itulah antara persoalan yang sentiasa bermain di benak pemimpin-pemimpin Jati yang perlu dirungkaikan.

"Oleh itu, amatlah diharapkan pada PRU-13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam khususnya dapat membantu menyelesaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak pakatan pembangkang,'' ujar beliau lagi.


Maklumat lanjut: Utusan Online 

Thursday, April 11, 2013

Tukang Kebun Bakal Jadi Jutawan?

1 Jamadilakhir 1434

Cuba bayangkan jika tiba-tiba anda yang merupakan seorang rakyat Malaysia dituduh sebagai warga asing? Apakah perasaan anda ? Itulah yang dialami oleh seorang tukang kebun  bernama Ramli Ahmad, berumur 48 tahun dan sudah sekian lama bekerja sebagai tukang kebun di Wisma Darulaman, kompleks Kerajaan Negeri Kedah baru-baru ini.

Menerusi laporan mykmu Ramli memberitahu, sedang dia duduk-duduk di rumahnya, datang seorang kawan yang menunjukkan senaskhah akhbar berbahasa Cina. Peliknya, laporan akhbar itu menyiarkan tentang dirinya yang dikatakan berasal dari Myanmar dan datang ke Malaysia pada tahun 1993.
Terpampang di surat khabar tersebut gambarseorang pemimpin politik bersama sahabat parti sekutunyanya, menceritakan kepada wartawa akhbar itu kononnya Ramli telah menerima kad pengenalan secara tidak sah dari BN untuk membolehkannya mengundi.

Sidang media berkenaan difahamkan untuk menuduh kerajaan BN sengaja memberikan kad pengenalan kepada Ramli bagi memastikan pekerja Wisma Darulaman itu mengundi parti BN.Sebenarnya Ramli adalah anak Kedah. Dia lahir dari hasil pasangan Ahmad Syaarie dan Midah Abdullah yang berasal dari Kemaman, Terengganu yang berhijrah ke Kedah. Bukan dari Myanmar sebagaimana yang didakwa .

Kata mangsa fitnah itu, dia dilahirkan di Pengkalan Kundor, Kedah kira-kira 48 tahun dulu dan kini menetap di negeri Jelapang Padi itu. Ramli pernah mengundi di Kuala Perlis pada tahun 2004 dan kali terakhir mengundi di Pengkalan Kundor ada tahun 2008. Beliau difahamkan sudah membuat laporan polis terhadap tuduhan tersebut.

Apakah nasihat anda terhadap tindakan yang boleh dilakukan oleh Ramli? Saman Fitnah RM 1 juta dan boleh menghalang/menghilangkan kelayakan  ahli politik berkenaan daripada bertanding pada PRU 13? Ataupun dapatkan pampasan segera ratusan ribu ringgit daripada pihak berkenaan sebagai penyelesaian segera? Atau minta jadi calon ?Kita tunggu dan lihat..

Pengajaran:

Berpolitiklah secara Islam dan bukannya berasaskan nafsu.

Wallahualam

Dr Chua Soi Lek Tidak Tanding Dalam PRU-13

1 Jamadilakhir 1434

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek Khamis mengesahkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini.

Pendirian Dr Chua itu telah mencipta sejarah parti itu apabila menjadi presiden MCA sepenuh masa yang pertama tidak bertanding dalam pilihan raya umum.

Bagaimanapun, dalam kenyataan di sini, katanya beliau akan mengetuai kempen pilihan raya parti itu.

Dr Chua berkata keputusan untuk tidak bertanding adalah sejajar dengan proses peremajaan parti bagi memastikan ia kekal relevan dalam abad baru.

Proses mencergaskan semula parti itu merupakan satu langkah dalam mempersiapkan pemimpin baharu, katanya, sambil menambah: "Bagi semua perjuangan ini dan artikulasi yang saya telah bercakap, ia akan menjadi kepentingan diri yang amat sangat sekiranya saya mengisytiharkan diri sebagai calon."

"Saya ingin membuktikan satu perkara bahawa saya berjuang untuk satu usaha iaitu MCA kekal relevan dan akan terus menerajui parti itu tanpa bertanding jawatan," katanya.


 Maklumat lanjut: BERNAMA

Kenapa Hendak Halang Pembangunan Institusi Islam?

1 Jamadilakhir 1434

Bancik memerhatikan dengan penuh emosi atas tindakan sebuah kerajaan negeri yang menyita pembinaan sekolah pondok di  negeri berkenaan. Belumpun reda kes sebuah kerajaan negeri yang mahu merobohkan sebuah madrasah dan menggantikan dengan pasaraya, kes terbaru ini amat mengguris hati. Ini belum termasuk kes di mana penyokong parti pemerintah di sebuah negeri yang diperintah mereka bersetongkol dengan pakatan politik mereka menentang pembinaan sebuah sekolah agama di salah sebuah negeri.

Bancik berharap agar pihak berkenaan menimbangkan semula tindakan berkenaan. Adakah ini adalah salah satu akhlak yang dituntut oleh agama Islam? Bancik tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama.

Wallahualam

Tindakan Sita Bangunan Sekolah Pondok Suatu Penganiayaan

1 Jamadilakhir 1434

Tindakan menyita pembinaan bangunan baharu Sekolah Pondok Al Najmiah di Tumpat, Kelantan oleh Majlis Daerah Tumpat ialah suatu penganiayaan terhadap pendidikan Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia dilakukan hanya kerana Tok Guru Abdullah Sa'amah yang menubuhkannya adalah pendukung Barisan Nasional dan ini menunjukkan sikap ekstrem dan tidak bertoleransi kerajaan PAS Kelantan, kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran.

"Itu satu kerugian kepada rakyat Kelantan. Ini menunjukkan sikap tidak prihatin kerajaan Kelantan terhadap soal pendidikan Islam," katanya ketika diminta mengulas perkara itu selepas majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Lanadron di Panchor di sini Khamis.

Beliau berkata tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, sama ada Barisan Nasional atau PAS, soal pendidikan Islam mesti diberikan sokongan.

Majlis Daerah Tumpat baru-baru ini menyita pembinaan bangunan tambahan setinggi lima tingkat sekolah pondok itu atas alasan ia tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Abdullah dilaporkan berkata pembinaan bangunan itu mengikut prosedur yang ditetapkan

Muhyiddin berkata sekiranya pembinaan sekolah pondok itu tidak mengikut peraturan, pihak terbabit dan majlis daerah boleh memaklumkan dan memberi nasihat kepada pihak sekolah, bukannya menghukum dengan menghalang dan menyekat pembinaan sekolah pondok itu.

Sekolah pondok yang sempit, tidak selesa dan tidak lagi selamat kepada pelajar itu mendapat perhatian timbalan perdana menteri semasa lawatannya ke Tumpat tahun lepas.

Prihatin dengan masalah itu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina bangunan baharu bagi sekolah itu.

Mengenai poster palsu yang menyatakan Abdullah ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pilihan raya umum ke-13 yang ditampal pada batang pokok kelapa dan wakaf sekitar kawasan itu, timbalan perdana menteri mengesahkan penafian Abdullah.

Menurut Muhyiddin, jelas ada pihak tertentu berniat jahat dan cuba untuk menjatuhkan maruah Abdullah.

Sumber : BERNAMA

Tunaikanlah Kewajipan Untuk Mengundi Secara Aman

1 Jamadilakhhir 1434

Bancik di sini ingin menyeru diri sendiri serta rakyat Malaysia yang layak mengundi agar menunaikan kewajipan berkenaan dengan penuh berhemah dan dibuat secara semangat rakyat Malaysia. Walaupun berbeza pendapat dan ideologi politik, itu sepatutnya tidak menjadi batu penghalang agar proses pengundian dilakukan secara aman.

Ini adalah penting kerana, negara sekarang ini sedang menghadapi cabaran getir daripada pihak luaran. Segala perbalahan bakal melemahkan kekuatan pertahanan negara. Kekuatan pertahanan negara tidak hanya terletak kepada aset pertahanan tetapi apa yang penting ialah semangat kesatuan dan perpaduan di kalangan rakyatnya. Ayuh!, Katakan tidak kepada sebarang kekacauan.

Wallahualam

Sunday, April 7, 2013

Janji Dimungkiri

27 Jamadilawal 1434

Kebanyakan ahli-ahli politik sering memungkiri janji-janji yang ditabur ketika berlangsung setiap kali pilihanraya. Namun apakah hukum dalam Islam jika janji-janji tersebut sering dimungkiri? Bancik ajukan persoalan ini di sini untuk renungan bersama.

Wallahualam

Akujanji Vs Manifesto

Manifesto Barisan Nasional (BN) bukan hanya sekadar manifesto, tetapi satu dokumen 'akujanji' kepada rakyat, kata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tidak mahu kata manifesto kerana pembangkang kata manifesto bukan janji, sebab itu nama manifesto tidak berapa sesuai.

"Saya nak kata bukan manifesto tetapi akujanji kepada rakyat Malaysia," kata Perdana Menteri ketika berucap pada perhimpunan janji 1Malaysia "Rakyat Didahulukan" sempena pelancaran manifesto BN bagi pilihan raya umum ke-13 (PRU13) di Stadium Putra Bukit Jalil di sini Sabtu malam.

Najib berkata oleh kerana manifesto atau akujanji adalah dokumen yang penting, ia perlu dilancarkan dalam perhimpunan dan disiarkan secara langsung supaya rakyat seluruh negara boleh menghayati isi kandungan manifesto itu.

"Mereka boleh meneliti apakah komitmen BN kepada rakyat," katanya.

"Biarlah pembangkang kata manifesto bukan janji, kalau bukan janji, apa guna bentang manifesto yang baru, apa faedah bentang manifesto baru.

"Kepada BN, manifesto adalah satu perkara yang serius," katanya.

Sebaliknya Najib membidas pembangkang dan menyifatkan manifesto mereka sebagai sebuah "fantasi dan khayalan" dengan menabur janji sesuka hati.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata sekiranya janji pembangkang dilaksanakan maka defisit negara akan melambung kepada 11.5 peratus manakala hutang negara juga akan melonjak.

"Kita tidak boleh beri mereka peluang untuk mentadbir negara sebab tidak ada apa yang telah mereka lakukan dalam tempoh lima tahun lepas," katanya.

Dalam pada itu, Najib menyifatkan perhimpunan malam ini adalah begitu luar biasa dan paling hebat sepanjang 37 tahun beliau terlibat dalam politik.

Katanya, perhimpunan malam ini bukan sahaja untuk memperlihatkan BN adalah parti yang terkuat di negara ini, tetapi adalah malam yang serius untuk memberitahu kepada rakyat keupayaan BN untuk terus diberi mandat menerajui negara pada PRU13.

Lebih 50,000 penyokong BN membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil bagi menyaksikan pelancaran manifesto BN dan mereka kelihatan bersemangat, menandakan sokongan padu kepada BN.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Panglima Pengganas Kiram Ditangkap

27 Jamadilakhir 1434

Seorang lelaki berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas Kiram dan merupakan individu paling dikehendaki kerana merancang serangan sehingga mengorbankan enam anggota polis di Kampung Simunul, Semporna, Sabah pada 2 Mac lalu, berjaya ditangkap pasukan keselamatan awal pagi ini.

Sumber memberitahu, lelaki berusia 50-an itu ditangkap bersama seorang lagi orang kanannya ketika mereka sedang tidur di sebuah rumah yang dijadikan tempat persembunyian di Pulau Bum Bum, Semporna pada kira-kira pukul 5 pagi.

"Pasukan keselamatan percaya suspek merupakan individu terpenting yang bertanggungjawab merancang serang hendap pada bulan lalu yang telah mengorbankan enam anggota polis.

"Dia juga disahkan terlibat sama dalam insiden menyerang dan membunuh kejam pegawai dan anggota polis di Kampung Simunul," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut sumber lagi, penangkapan panglima bersama orang kanannya itu dijangka dapat mendedahkan nama-nama anggota pengganas lain dan lokasi mereka menyembunyikan senjata yang digunakan dalam insiden serangan tersebut.

Beliau berkata, terdapat beberapa lagi individu penting yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Kiram telah dikenal pasti dan masih diburu.

Katanya, tangkapan terbaharu pagi ini dipercayai memudahkan lagi pasukan keselamatan untuk mendapatkan maklumat mengenai lokasi persembunyian saki-baki anggota pengganas berkenaan.

"Kedua-dua suspek diberkas dalam operasi menjejaki yang dijalankan secara bersepadu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia)," katanya.

Semalam, seorang pengikut setia parti pembangkang yang terkenal di Sabah ditangkap di pekan Semporna.

Selain itu, tiga tangkapan turut berjaya dilakukan di Melaka baru-baru ini melibatkan saudara terdekat kumpulan pengganas.

Mereka ditangkap kerana dikesan ada membuat panggilan telefon dengan salah seorang pemimpin kumpulan pengganas Kiram.


Sumber : Utusan Online 

Thursday, April 4, 2013

Bukan Takut Bubar

24 Jamadilawal 1434

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, 3 April, ialah hari yang baik dan bertuah untuk membubarkan Dewan Rakyat.

"Ia merupakan hari yang baik dan bertuah... kebetulan (anggota) Kabinet pun ada di situ dan semalam juga hari ulang tahun keempat saya sebagai perdana menteri," katanya semasa ditanya kenapa beliau memilih untuk membubarkan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menolak dakwaan yang beliau sengaja melengahkan pembubaran itu kerana takut berhadapan dengan pembangkang, tetapi menegaskan bahawa beliau memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan perancangan yang diatur bagi negara sebelum mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

"Sebenarnya dalam fikiran saya, saya mahukan empat tahun kerana (itulah masanya) yang kita perlukan daripada masa untuk merancang, pelaksanaan, tindakan dan memperoleh hasil (daripada perancangan itu).

"Jika anda bekerja dalam kerajaan anda akan menyedari yang anda memerlukan masa yang sesuai. Bukannya disebabkan kami takut berhadapan dengan pembangkang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berasingan Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn di sini.

Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat semalam untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

Banyak spekulasi ditimbulkan sejak beberapa bulan lepas mengenai tarikh yang bakal dipilih perdana menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Ada yang mengaitkan tarikh semalam dengan nombor kegemaran Najib - 11.

Menurut speaker Dewan Rakyat yang dibubarkan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tempoh penggal ke-12 Parlimen ialah empat tahun 11 bulan, yang paling panjang dalam sejarah Malaysia.

Sumber- BERNAMA

Wednesday, April 3, 2013

Terjawabnya Teka Teki

23 Jamadilawal 1434

Datuk Seri Najib Tun Razak rupa-rupanya memilih hari ulang tahun keempat beliau sebagai perdana menteri untuk mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat setelah negara berteka-teki dan mengutarakan pelbagai teori tentang tarikhnya selama hampir dua tahun.

Pagi ini jemaah menteri sudah bersedia untuk menghadiri mesyuarat mingguan kabinet dengan menteri-menteri lelaki memakai sut gelap dan bertali leher merah dan menteri wanita menyarung pakaian merah, rupa-rupanya untuk sesi tradisi bergambar mesyuarat terakhir, sebelum mandat baharu diberikan melalui pilihan raya umum.

Pembubaran Dewan Rakyat Rabu memberi laluan kepada PRU13 dan kerajaan negeri-negeri juga diminta sama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing kecuali Sarawak bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac.

Ramalan awal PRU13 diadakan ialah pada 11 Nov 2011 berikutan angka 11 amat signifikan dalam hidup perdana menteri.

Najib, yang juga presiden Umno, sebelum itu menghangatkan tekaan PRU13 dengan berkata ia mungkin diadakan pada satu tarikh atau bulan yang mempunyai nombor kegemarannya iaitu 11.

Perdana menteri dilapor berkata kesukaannya pada nombor itu menyebabkan ramai pihak meramalkan bahawa pilihan raya umum diadakan pada 11.11.11.

Mungkin juga tarikh hari ini bertepatan 3+4+1+3 = (3.4.13) = 11.

Tahun lepas, peramal pilihan raya banyak menyebut pembubaran Dewan Rakyat akan berlaku pada bulan Mac. Ramalan ini berasaskan laporan media dan unjuran status ekonomi negara yang memberangsangkan. Namun ramalan ini juga silap.

Pada April tahun lepas, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abd Aziz Mohd Yusof dilapor berkata SPR akan memuktamadkan persiapannya bagi pilihan raya umum pada Jun.

Beliau berkata Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Berhubung Penambahbaikkan Proses Pilihan Raya hanya akan mengemukakan semua cadangannya ke Parlimen pada April 2012.

Ini menguatkan andaian orang ramai bahawa pilihan raya umum akan diadakan pada Jun. Namun, telahan ini meleset. Ramalan diteruskan dengan sasaran beralih kepada September.

Ahli politik dan penganalisis meramalkan perdana menteri akan membubarkan Dewan Rakyat selepas membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 Sept 2012, yang sudah pasti memberi khabar baik kepada segenap lapisan rakyat, ditambah pula pada waktu itu musim cuti sekolah.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilapor menyatakan PRU13 akan diadakan pada September ketika musim haji bagi memastikan kejayaan Barisan Nasional (BN).

Najib pula dilapor sebagai berkata mengadakan pilihan raya semasa musim haji bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejarah menunjukkan ia pernah diadakan pada 1986 tetapi menegaskan ibadah perlu diutamakan berbanding sebarang urusan lain termasuk pilihan raya.

PAS yang terlalu yakin bahawa Dewan Rakyat akan dibubar pada September turut mengeluarkan arahan meminta anggotanya yang terlibat secara langsung dalam PRU13, supaya menangguhkan ibadah haji, mengakibatkan parti itu dikritik pelbagai pihak termasuk mufti negeri yang menyifatkan tindakan itu tidak wajar.

Bulan berganti bulan, dari November 2011, Mac, Jun, September dan terakhir Disember 2012, tiada juga pembubaran Dewan Rakyat diumumkan perdana menteri.

Najib dalam temubual eksklusif bersama para pengarang Bernama dan Utusan Malaysia sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 lepas dilapor berkata PRU13 boleh diadakan pada Disember, walaupun negara dilanda musim tengkujuh.

"Kalau hujan atau banjir, boleh naik sampan, naik bot," katanya dengan nada berseloroh ketika ditanya sama ada PRU13 akan diadakan dalam masa terdekat atau parlimen akan dibiarkan terbubar sendiri.

Najib tidak menolak kemungkinan pilihan raya boleh diadakan pada 2013 jika ia tidak diadakan pada Disember 2012 dan beliau mempunyai masa hingga 28 April 2013 untuk membubarkan Dewan Rakyat sebelum ia terbubar secara automatik 30 April.

Tarikh terakhir yang diramalkan pelbagai pihak ialah 15 Mac 2013.

Akhirnya masa yang ditunggu tiba jua, jelas Najib mempunyai perkiraan sendiri yang tidak ramai dapat menduga, bahawa tarikh bermakna kepada perdana menteri hari ini ialah jawapan yang dicari-cari selama ini.

Maklumat lanjut : BERNAMA

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...