Jom Follow.....

Friday, April 12, 2013

Jati Isytihar Sokong BN

2 Jamadilakhir 1434

Pertubuhan Jalur Tiga (Jati) membuat ketetapan bahawa semua pengundi Melayu Islam di negara ini wajib mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kali ini.

Presidennya, Datuk Dr. Hasan Ali berkata, ketetapan itu dibuat ekoran pakatan pembangkang yang dianggotai oleh DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas ternyata gagal mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

Ujarnya, perkara itu terbukti apabila kalimah Allah disyirikkan, fahaman pluralisme mahu dijadikan sebagai asas beragama, berhasrat membentuk negara sekular, menggugurkan pembentukan negara Islam dan hukum hudud serta mahu menghapuskan hak istimewa orang Melayu.

"Jati sememangnya tidak dapat menaruh walau sebutir keyakinan kepada pakatan pembangkang untuk mengagungkan Islam, memartabatkan Melayu dan mendaulatkan institusi raja.

"Bukan itu sahaja, malah ketetapan ini juga dibuat bersandarkan kepada hasil perbincangan serta pandangan pakar-pakar agama di dalam Jati sendiri selain dengan para mufti dan para ulama mengenai parti yang wajib dipilih oleh orang Melayu Islam pada PRU-13 kali ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di kediamannya di Bandar Utama dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Jati, Datuk Aidit Ghazali dan Naib Presiden Jati, Prof. Datuk Dr. Sidek Baba.

Hasan berkata, apa yang lebih penting, ketetapan yang dibuat oleh Jati itu bersandarkan kepada empat kaedah fiqh iaitu;

"Sesuatu matlamat tidak menghalalkan cara; menolak sesuatu keburukan lebih baik daripada mengambil sesuatu kebaikan; memilih keburukan yang lebih kecil daripada dua keburukan bagi menolak keburukan yang lebih besar; perkara yang tidak sempurna wajib melainkan dengannya maka perkara tersebut menjadi wajib.''

Beliau berkata, BN jelas tidak mempunyai agenda negatif terhadap Islam.

Dalam sidang akhbar tersebut, Hasan turut melontarkan tiga persoalan yang perlu diberi perhatian oleh pengundi:

*Adakah tanggungjawab mengagungkan Islam kepada DAP yang dengan tegas ingin membentuk negara sekular?

*Adakah rakyat dapat mengharapkan perjuangan menegakkan negara Islam dan melaksanakan hudud yang telah diperjuangkan sejak 60 tahun lalu akan terus disambung oleh pimpinan sedia ada yang dilihat mabuk untuk ke Putrajaya?

*Adakah masyarakat yakin akan terbentuknya negara bermoral dan rakyat bersahsiah dengan negara ini dinakhoda oleh pemimpin parti pakatan pembangkang yang sedang bergelut dengan pemasalahan moral yang berterusan dan serius?"

Hasan berkata, itulah antara persoalan yang sentiasa bermain di benak pemimpin-pemimpin Jati yang perlu dirungkaikan.

"Oleh itu, amatlah diharapkan pada PRU-13 nanti, pengundi-pengundi Melayu Islam khususnya dapat membantu menyelesaikan masalah kenegaraan ini dengan menolak pakatan pembangkang,'' ujar beliau lagi.


Maklumat lanjut: Utusan Online 

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...