Jom Follow.....

Thursday, April 4, 2013

Bukan Takut Bubar

24 Jamadilawal 1434

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata semalam, 3 April, ialah hari yang baik dan bertuah untuk membubarkan Dewan Rakyat.

"Ia merupakan hari yang baik dan bertuah... kebetulan (anggota) Kabinet pun ada di situ dan semalam juga hari ulang tahun keempat saya sebagai perdana menteri," katanya semasa ditanya kenapa beliau memilih untuk membubarkan Dewan Rakyat semalam.

Beliau menolak dakwaan yang beliau sengaja melengahkan pembubaran itu kerana takut berhadapan dengan pembangkang, tetapi menegaskan bahawa beliau memerlukan masa yang mencukupi untuk melaksanakan perancangan yang diatur bagi negara sebelum mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

"Sebenarnya dalam fikiran saya, saya mahukan empat tahun kerana (itulah masanya) yang kita perlukan daripada masa untuk merancang, pelaksanaan, tindakan dan memperoleh hasil (daripada perancangan itu).

"Jika anda bekerja dalam kerajaan anda akan menyedari yang anda memerlukan masa yang sesuai. Bukannya disebabkan kami takut berhadapan dengan pembangkang," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat berasingan Majlis Tertinggi Umno dan Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato' Onn di sini.

Najib, yang juga pengerusi BN dan presiden Umno, mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat semalam untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13.

Banyak spekulasi ditimbulkan sejak beberapa bulan lepas mengenai tarikh yang bakal dipilih perdana menteri untuk membubarkan Dewan Rakyat.

Ada yang mengaitkan tarikh semalam dengan nombor kegemaran Najib - 11.

Menurut speaker Dewan Rakyat yang dibubarkan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, tempoh penggal ke-12 Parlimen ialah empat tahun 11 bulan, yang paling panjang dalam sejarah Malaysia.

Sumber- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...