Jom Follow.....

Monday, May 30, 2011

Jejak Bertapak

Dalam menghabiskan hari terakhir cuti tahunan pada sesi cuti sekolah ini, saya terkenang dan teringat satu filem pada satu ketika dulu semasa saya masih kecil iaitu filem yang berjudul "Jejak Bertapak". Istilah ini semakin dikenali dikalangan blogger-blogger di sini untuk menjejaki kembali rakan-rakan yang baru melayari blog-blog mereka. Untuk menjejaki kembali, selalunya ShoutMix digunakan untuk tujuan tersebut.

Saya baru sahaja menggunakan kaedah ini untuk menjejaki teman-teman yang melayari blog-blog di bawah kendalian saya. Justeru itu saya mengharapkan agar rakan-rakan pemblog yang lain meninggalkan jejak bertapak masing-masing agar kita saling kunjung mengunjungi antara satu sama lain dan dapat bantu membantu dalam meningkatkan "volume" blog masing-masing.

Dalam hal seperti saya ini, insyaallah saya akan menjejaki semula blog-blog rakan rakan yang lain yang telah meniggalkan jejak disini paling tidak setiap hujung minggu dan ketika bercuti atau ketika ada kelapangan diwaktu malam. Diharapkan juga dapat meninggalkan "url" semasa meninggalkan jejak anda di ShoutMix itu nanti. Saya selalunya akan menggunakan bahasa isyarat seperti, "Saya talah singgah sebentar membeli Kopi Tongkat Ali di sini"-jika ada iklan Tongkat Ali di blog anda ketika saya berkunjung, iaitu ianya telah menunjukkan bahawa saya telah menyokong anda dengan klik tertentu dan pendapatan klik anda bakal bertambah.

Dengan pendapatan berkenaan, dapatlah rakan-rakan semua meningkatkan kualiti blog-blog dengan membuat pelaburan tambahan dengan membeli gajet-gajet baru untuk berblog, meningkatkan kapasiti kemudahan internet dengan melanggani jalur lebar berkelajuan tinggi dan sebagainya, seterusnya bakal meningkatkan kualiti blog-blog anda semua.

Kepada yang telah melayari blog-blog saya, saya ucapkan terima kasih teruskan berkunjung, manakala yang belum lagi saya mengalu-alukan kedatangan anda atas ikatan silaturrahim di alam siber.

@MyBancik

http://mybancik.blogspot.com/
http://myiktisad.blogspot.com/
http://mi-myinvest.blogspot.com/

Sunday, May 29, 2011

Anak Yatim Perlu Terus Dibela

Tragedi yang menyayat hati terhadap salah sebuah rumah anak yatim baru-baru ini seharusnya perlu direnungi pelbagai pihak. Rata-rata golongan ini memerlukan bantuan sewajarnya dan perlu mendapat pembelaan. Walaupun ada rumah-rumah yang telah diberikan bantuan oleh kerajaan dan individu-individu yang mampu, namun saya percaya masih ada golongan yang tercicir.
Tidak semua yang mahu tinggal di asrama anak yatim. Ada diantara mereka yang sanggup tinggal dirumah mereka sahaja kerana tidak mahu berpisah sesama mereka.Tetapi mereka terpaksa mengharungi kehidupan secara getir disebabkan hilangnya tempat bergantung. Mereka tidak meminta-minta tetapi mereka mengharapkan pembelaan sewajarnya.
Mereka inilah yang sebenarnya amat memerlukan pelbagai subsidi agar mereka mendapat peluang yang sama untuk mendapat pendidikan. Mereka inilah yang sewajarnya diberikan keutamaan untuk mendapat biasiswa JPA dan bukannya golongan yang sering menuntut mendapatkannya, tetapi bila mereka telah berjaya, mereka lupa diri dan enggan pulang kembali ke negara ini.Justeru itu, negara sekali lagi terpaksa memberi pelbagai insentif untuk menggalakkan mereka pulang dan berbakti di tanah air. Sesungguhnya golongan seperti ini tidak akan tahu atau mahu bersyukur.

Saturday, May 21, 2011

Anak Yatim Dikhuatiri Tertimbus

Seramai 20 orang anak yatim dikhuatiri tertimbus akibat kejadian tanah runtuh yang berlaku di Rumah Anak Yatim Madrasah Al Taqwa di Jalan Sungai Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langat. Bernama melaporkan, setakat pukul 5.30 petang 21 Mei 2011, 8 daripada mereka telah dikeluarkan daripada runtuhan berkenaan oleh pasukan mencari dan menyelamat yang terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Seorang daripada mereka dikhabarkan telah meninggal dunia, manakala 7 lagi dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Sumber Berita : http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=588086

Friday, May 20, 2011

Sungai Bakau

Sungai Bakau adalah salah sebuah pekan kecil yang terdapat di utara semenanjung. Ianya bersempadan diantara dua negeri iaitu Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Utara Perak di bahagian Barat Semenanjung Malaysia. Aku dilahirkan di lahirkan dan dibesarkan disana tetapi di bahagian Perak. Maklumat yang aku perolehi daripada internet, ianya telah diceritakan sedikit sebanyak di laman web http://wikimapia.org/2847046/Pekan-Kecil-Sg-Bakau.

Antara perkara yang menarik yang telah dikomen dalam laman berkenaan ialah berkenaan "Cucoq Kembong" dan "Masak Chiau" yang terdapat di sana. Cucoq kembung memang terkenal semasa aku tadika lagi . Pada masa itu ianya dijual di kedai mamak yang berada di bahagian Seberang Perai Selatan. Namun sekarang ini ianya boleh didapati di Kedai makan Paksu. Akupun dah lama tak merasa kerana bila mana aku pulang, masa tak kena dan kedai makan Paksu pula sering tidak beroperasi. Namun aku lebih suka makan bihun sup di kedai paksu pada masa aku kecil dahulu..memang power ... Selain itu teh ais, teh panas dan teh tarik yang dibancuh oleh arwah abang Nuri memang tak boleh lawan setakat ini. Untuk makluman arwah Abang Nuri adalah salah seorang Muazzin(Tok Bilal) yang terkenal di Masjid Jamek Sungai Bakau suatu ketika dahulu. Beliau juga adalah abang sepupu aku.

Di sini sahaja boleh didapati laksa yang dikenakan dengan Cucoq Udang, yang dikeluarkan oleh Pak Aq atau Ustaz Ishak. Nama popularnya lebih dikenali sebagai Aq Laqsa. Aku akan terlebih makan bila mana disajikan dengan laksa ini. Setahu aku , ianya telah mula difranchaiskan secara kecil-kecilan.Selalunya kalau nak dapati di Sungai Bakau ialah ketika selepas sembahyang Jumaat di sekitar pekan berkenaan.

Berkenaan dengan masakan "Chiaw" pula , ianya sebenarnya masakan berasaskan kicap. Ianya sama ada dikenakan dengan daging atau ayam. Tukang masak asalnya ialah allayarham Pak Mat Termas yang dulunya menetap di Tanah Seratus , Sungai Bakau, di sebelah Perak.Allayarham dulunya adalah salah seorang tukang masak tersohor disana. Masakan ini setahu aku masih boleh didapati dimajlis-majlis yang dianjurkan oleh masjid atau kenduri kendara yang tertentu.

Kegiatan utama penduduk disini ialah penanman padi, nelayan dan perindustrian di seberang perai.Asal usul nama kampung ini mungkin diambil sempena dengan kawasan hutan bakau yang terdapat di hilir sungai kecil sempadan kampung berkenaan.Dulu-dulu pernah juga aku ke muara sungai berkenaan untuk mencari Siput Lala. Antara kampung-kumpung berdekatan di sini ialah Sungai Kota dan  Bagan Tiang, di sebelah Perak, Sungai Tongkang, Sungai Acheh, Sungai Cheenaam di sebelah bahagian Pulau Pinang.

Di sebelah perak, terdapat kegiatan penternakan ikan keli yang terbesar di kampung berkenaan. Ianya dikendalikan oleh Ah Chai yang terletak bersebelahan dengan rumah ibu bapaku. Tiap kali bila Ah Chai nampak aku balik kampung, memang senang-senang dapat satu baldi ikan keli percuma. Inilah sebenarnya konsep satu Malaysia. Memang dari dulu, mendiang bapanya(nama glamornya Cina Jambul)  juga memang tak lokek berkongsi hasil pertanian yang dia orang hasilkan. Jarang nak dapat lagi cina jenis macam ini, tambah-tambah generasi sekarang ni yang sering cuba api-apikan emosi perkauman.

Namun, antara sejarah menarik yang pernah berlaku di Pekan ini ialah apabila Sultan Perak ketika itu D.Y.M. Almarhum Sultan Idris telah mengisytiharkan Hari Raya Puasa lebih awal sehari daripada Persekutuan. Pening kami sebagai budak-budak yang tinggal di sebelah Perak  nak beraya ketika waktu berkenaan, kerana kami berdaftar di kariah Masjid Jamek di sebelah Pulau Pinang.

Tuesday, May 17, 2011

Parit Buntar

Aku dilahirkan di sebuah kampung di kawasan Parit Buntar. Parit Buntar  adalah sebuah bandar yang berskala sederhana terletak di utara negeri Perak, serta bersempadan dengan Bandar Baharu, Kedah dan Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan,Pulau Pinang. Ia juga  terletak berhampiran dengan Bagan Serai dan merupakan pusat pentadbiran bagi daerah Kerian.Daerah Kerian dikenali sebagai jelapang padi di utara negeri Perak.Bandar ini bertembung dengan sempadan tiga negeri iaitu Perak, dibahagian utara, di selatan Pulau Pinang dan bahagian selatan selatan Kedah. Bandar ini juga merupakan salah satu daripada kawasan perindustrian utama di negeri Perak.

Sejarah nama bandar Parit Buntar berasal daripada seorang pemimpin yang bernama Tok Buntar. Tok Buntar terkenal di kalangan masyarakat pada masa dahulu di sana di mana beliau dan pengikut-pengikutnya telah membina parit dari Sungai Kerian untuk dialirkan ke sawah-sawah. Parit tersebut pada asalnya dikenali Parit Tok Buntar dan seterusnya dikenali sebagai Parit Buntar. Selain daripada itu banyak nama-nama kumpung di sekitarnya dinamakan dengan nama parit.

Parit Buntar dihubungkan dengan Bandar Baharu melalui jambatan yang melintasi Sungai Kerian.Antara mercu tanda utama di bandar ini ialah Jam Besar yang terletak di pekan lama Parit Buntar  di tengah bulatan jalan. Jam besar ini difahamkan telah dirasmikan oleh Tunku Abdul Rahman pada 24 Ogos 1961, Perdana Menteri Malaysia yang pertama.

Pemandangan pekan kecil Bandar Baharu Kedah yang terletak bersebelahan, dapat dilihat dari tebing Sungai Kerian. Sungai ini juga mencatat sejarah pahit apabila sekitar pertengahan tahun 70-an tragedi feri karam telah menyebabkan ramai yang terkorban. Dahulu di tepi sungai ini terkenal dengan gerai makan yang dipanggil Terapung. Ketika itu Terapung menjadi tempat tumpuan utama masyarakat di Parit Buntar. Ketika dahulu, kedai jalan tepi sungai ini merupakan tempat utama untuk orang-orang Parit Buntar membeli barang-barang keperluan harian.

Maklumat lanjut boleh dirujuk di :
http://ms.wikipedia.org/wiki/Parit_Buntar

Monday, May 16, 2011

Di Perhentian Pudu Raya

Hentian Puduraya telah memberi pelbagai kenangan kepada pelbagai lapisan masyarakat di Kuala Lumpur. Bagi sesiapa yang pernah merantau dari desa, hentian ini adalah destinasi yang pertama dilawati. Namun apa yang hendak diutarakan disini ialah hentian berkenaan telah berubah wajah.


Selepas melawati atas urusan tertentu ke hentian berkenaan baru-baru ini, ianya telah memaparkan kelainan dari segi suasana dan keselesaan bagi para penumpang dan pengunjung. Hentian ini, kini hanya dikhaskan kepada laluan bes express ke utara semenanjung sahaja. Buat masa kini hentian yang baru sahaja dibuka semula hanya beroperasi dalam lingkungan 90 peratus sahaja.

Tempat Makan Tingkat 4


Saya percaya banyak kenangan pahit manis yang dialami di hentian ini, terutama kepada pelajar yang sering berulang alik dari kampung ke sini. Sudah pasti anda akan terpegun seketika jika menjejaki semula di hentian ini.


Antara Kawasan Tempat Menunggu Di Tingkat 1


Sunday, May 15, 2011

Selamat Hari Guru 2011

Esok tanggal 16 Mei 2011 telah diiktiraf sebagai Hari Guru di Malaysia. Sambutan hari berkenaan perlu diteruskan sebagai mengiktiraf jasa guru yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

Konsep perguruan perlu dilihat dalam konteks yang melampaui definasi yang sedia ada di mana, para pendidik yang berada di luar kerjaya perguruan secara formal perlu diiktiraf sebagai guru. Ini termasuk guru-guru agama, pensyarah, penceramah di surau-surau, jurulatih dan sebagainya.

Sempena hari guru, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua cikgu di Malaysia terutama , kepada cikgu-cikgu yang sedang dan pernah mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Acheh (dulu Cawangan Sungai Bakau) , Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang, Parit Buntar, Perak.

Tugas guru sebenarnya melampaui dari tugas yang hakiki, menjangkaui lebih daripada KPI dan segalanya. Mereka bukan hanya mengajar, tetapi sebagai rakan dan sahabat, sebagai kakak atau abang atau sebagai ibu dan bapa bila berada di sekolah.

Masih ingat lagi ketika aku berada di Tingkatan 5 Sains di Sekolah Panglima Bukit Gantang, semasa kertas pertama Biologi, akibat terlalu yakin, aku tertinggal menjawab soalan di bahagian wajib yang membawa 20 markah. Aku tak tahu kenapa, mungkin kelalaian sendiri, dan akibat terlalu yakin, soalan berkenaan secara tak sengaja terlepas pandang dari menjawabnya.

Natijahnya aku hanya menyedari apabila rakan-rakan bertanya tentang soalan berkenaan selepas keluar dari makmal. Hampir pitam aku dibuatnya. Semangat yang berkobar runtuh dengan sekelip mata. Namun aku beruntung dan bernasib baik bilamana guru kelas aku ketika itu (tak silap aku ..Cikgu Khusnaimah) sempat memberi kaunseling kepadaku hanya di sekitar kantin sekolah pada ketika itu.Sedikit sebanyak ianya dapat membantu aku mengawal emosi dan membendung perasaan putus asa daripada berterusan. Alhamdulillah, akhirnya aku masih mendapat kredit dalam subjek berkenaan.

Oleh yang demikian,kepada cikgu-cikgu semua.. jasa kalian.. sukar dibalas.Terima kasih kerana sabar dengan karenah kami , selama kalian mengajar kami semua....

Saturday, May 14, 2011

Tahniah Salih Yaakob !

Penulis dalam beberapa hari ini hanya mampu tersenyum bila mendengar berita kisah  salah seorang artis dan penyampai radio yang makin terkenal pada usia yang menghampiri usia emas bakal berkahwin lagi bagi mencukupkan kouta yang dibenarkan oleh Islam. Industri hiburan di Malaysia dilihat semakin matang apabila, sesiapa sahaja yang berbakat, tanpa mengira usia mampu mencipta nama dalam industri ini, asalkan kena dengan pembawakannya.

Itu yang dialami oleh saudara Salih Yaakob , yang mana ketika awal kemunculannya di Radio Sinar dahulu, agak kurang menyerlah. Namun apabila muncul kembali trio KnK yang dipisahkan dari radio Era di Sinar, Trio yang baru dibentuk di Sinar FM ini bersama beliau sedikit sebanyak berjaya menjulang stesen radio berkenaan menjadi radio nombor satu negara buat masa kini.

Namun, berita terkini mengenai beliau ini telah menyebabkan ramai lelaki sama ada yang bujang atau yang sudah berkahwin tersenyum sendirian. Namun penulis tabik spring kepada beliau kerana apa yang beliau lakukan dalam hal ini dibuat secara "gentlemen" dan tidak perlu ke negeri atau negara lain untuk berpoligami. Sesungguhnya kebolehan seperti ini sudah disuratkan dan ditakdir dan dianugarahkan kepada beliau. Penulispun tak mampu walaupun berangan sekalipun.

Apapun, penulis ingin ucapkan semoga beliau berbahagia dalam kehidupan beliau bersama isteri-isteri dan anak-anaknya. Asalkan hati bahagia.... itulah orang orang kaya.....

Simbah Asid: Suatu Tragedi

Antara berita panas yang sering diutarakan di media arus perdana dalam masa beberapa hari ini ialah berkenaan tentang kes simbah asid yang berlaku d ibu negara. Ianya mengimbau kembali tragedi yang berlaku kepada abang sulungku pada Mac tahun lepas yang mana beliau cuba dirompak semasa memandu teksi di sekitar Nilai , Negeri Sembilan..Lebih malang lagi beliau menghadapi komplikasi semasa mendapat rawatan dan menyebabkan beliau koma beberapa bulan sebelum meninggal dunia. Cerita ini boleh diimbau kembali di http://mybancik.blogspot.com/2011/02/bancak.html.

Namun kes yang berlaku akhir-akhir ini dilaporkan tidak diketahui motifnya. Kebanyakan mangsa yang terlibat ialah wanita-wanita yang berjalan disekitar ibu negara sama ada untuk bekerja, bersiar dan sebagainya. Suspek pula terdiri daripada individu-individu yang menunggang motorsikal. Setakat ini lebih daripada 20 orang telah menjadi mangsa.

Sesungguhnya, kejadian seperti ini amat tidak berperi kemanusiaan. Kita nak tahu juga apa motifnya tujuan suspek berbuat demikian. Ini boleh dianggap bercambahnya tunas-tunas keganasan di dalam negara ini. Melalui lakaran yang dipaparkan diakhbar, kita khuatiri golongan ini adalah merupakan serpihan daripada kumpulan-kumpulan pengganas yang dikhuatiri mula menyeludup masuk ke negara ini. Ini kerana kita yakin bahawa rakyat yang lahir di dalam negara ini tak mungkin tergamak melakukan kegiatan seperti ini.

Oleh itu, penulis amat bersetuju dengan pendapat yang telah diutarakan oleh salah seorang menteri agar, aktiviti penjualan asid perlu dikawal dengan serta merta. Setiap pembelian perlu direkodkan dengan teliti dan pengedar-pengedar asid juga perlu didaftarkan. Ini penting agar kes dan tragedi seperti ini tidak terus merebak dengan lebih parah.

Sunday, May 8, 2011

Lagu Untuk Seorang Ibu

Hari Ibu disambut pada hari ini di Malaysia iaitu Ahad, 8 Mei 2011. Selamat menyambut Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang telah dan sedang penat lelah membesarkan anak-anak yang diamanahkan olehNya. Bagi ibuku, pelbagai kenangan pahit manis yang pernah dialami,ketika ibu melahir dan membesarkan daku dan adik beradikku yang lain.

Masih ingatkah lagi, apabila ayah meninggal kita selama-lamanya, lebih kurang setahun lebih lamanya ibu berendam air mata mengenangkan nasib kita.Ini disebabkan adik yang bongsu hanya baru berusia 8 bulan ketika ayah pergi menyahut seruan Ilahi.Kita sering berendam air mata tak kala padi disawah yang sedang menguning tumbang dan terendam di dalam air.Kita sering berduka tak kala tanaman dimamah tikus dan serangga.Aku pada masa itu hampir sahaja berputus asa, lebih-lebih lagi ketika ayah pergi , lebih kurang hanya 3 bulan sahaja aku bakal menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP).Namun begitu, terpaksa aku gagahi jua kerana, aku tidak ingin terus hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

Aku tak ingin menyerah kalah.Selain itu, aku percaya, ramai lagi insan-insan yang lebih tidak bernasib baik atau yang senasib dengan kita.Itu bukan alasan bagiku untuk gagal.Akhirnya, berkat kesabaran kita, aku berjaya memecahkan tembok halangan dan akhirnya aku berjaya dalam peperiksaan berkenaan dengan menjadi pelajar terbaik pada ketika itu.

Tiada kamus Hari Ibu pada waktu itu. Namun , untuk mengubati hati ini yang gundah gulana, aku sering melayan lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Kembara , "Lagu Untuk Seorang  Ibu" untuk memujuk hati ini dan menguatkan semangatku untuk memburu cita-cita.

 

Kini lebih kurang 24 tahun peristiwa ini berlaku, namun rasanya seperti baru semalam ianya berlaku.Itu sebabnya jika ibu datang ke sini, aku , isteri dan anak-anakku akan cuba sedaya upaya menyambut hari ini , walaupun hanya dengan sebuah kek.Namun pada tahun ini, ibu terpaksa berada di kampung kerana ada hal yang lebih mustahak di sana. Lagipun , aku , isteri dan anak-anak baru sahaja pulang ke kampung pada minggu lalu.

Ibu,pengorbananmu amat mustahil bagiku untuk membalasnya.Namun sempena Hari Ibu pada hari ini, sedikit sebanyak ianya mengusik kembali nostalgia kisah silam kita.Aku cuba sedaya upaya upaya untuk berbakti padamu. Maafkan anakmu ini, jika ada apa jua sebarang kekurangan dalam melayani ibu selama ini. Sebab itulah jasa dan pengorbananmu tak mungkin terbalas di Dunia dan Akhirat.

Kepada ibuku, Hajah Sapiah Binti Zakaria, yang kini berada di Sungai Bakau, Parit Buntar, Perak, aku amat menyayangimu. Hanya Allah yang dapat membalas segala budi dan jasamu.

Sunday, May 1, 2011

Selamat Hari Pekerja 2011

Sabagaimana yang kita ketahui bahawa hari ini , 1 Mei 2011 adalah merupakan Hari Pekerja yang disambut setiap tahun. Apa yang perlu direnungkan ialah cabaran yang semakin komplek yang makin dihadapi oleh para pekerja di negara ini.Antaranya ialah, kos kehidupan dan keperluan yang semakin meningkat berbanding kenaikan upah yang dinikmati.

Antara isu kehidupan yang dihadapi oleh para pekerja ialah untuk memastikan keseimbangan diantara kerjaya dan penyediaan kemudahan yang selesa kepada keluarga. Dari segi kerjaya, cabaran pekerjaan semakin rumit disebabkan persaingan dan beban kerja yang makin bertambah. Majikan cuba mengurangkan pekerja dengan memindahkan beban kerja kepada pekerja yang sedia ada(yang tinggal) tanpa mengambil pekerja tambahan bagi mengurangkan kos.

Dari segi kekeluargaan pula, kos penjagaan anak-anak semakin meningkat disebabkan tuntutan kenaikan gaji pembantu rumah dari negara seberang disamping kenaikan harga bahan api dan sebagainya. Disamping itu, ibubapa juga terpaksa memastikan anak-anak mereka mendapat kemudahan pendidikan seperti sekolah agama, kelas tambahan bagi memastikan anak-anak mereka mendapat peluang yang sama rata di dalam mencipta kejayaan.

Maka ini adalah jelas, bahawa semua pihak mempunyai beban tersendiri dalam menghadapi cabaran kehidupan semasa. Oleh yang demikian, pembuat dasar negara perlu berfikir berhati-hati dalam membuat dasar jika menyatakan bahawa subsidi sedia ada membebankan pemerintah, kerana kebanyakan rakyat juga mempunyai beban yang teramat hebat.

Namun jika beban berkenaan masih tidak mahu dipikul, takut-takut nanti bebanan tersebut bakal dipindahkan kepada pihak lain oleh para pengundi ataupun rakyat sendiri. Sama-samalah kita renungkan demi agama bangsa dan negara.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...