Jom Follow.....

Saturday, January 26, 2013

Umat Islam Jadi Kafir Jika Biarkan Perbuatan Menyekutukan Allah

15 Rabiulawal 1434

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria hari ini mengingatkan umat Islam di negara ini bahawa mereka akan menjadi kafir sekiranya membenarkan pihak lain menggunakan kalimah Allah.

Beliau menjelaskan jika umat Islam membenarkan kalimah Allah digunakan oleh agama lain, bermakna mereka bersetuju dengan tindakan pihak berkenaan mempersekutukan Allah.


"Maka persetujuan itu juga menjadikan kita (umat Islam) kafir. Justeru kita mesti bersatu mempertahankan aqidah kita.

"Kita tak boleh terima dan tidak boleh berkompromi dengan orang yang mempersekutukan Allah," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pejabat Damara Care and Herbs Sdn Bhd di sini Sabtu.

Harussani berkata hanya umat Islam jahil sahaja yang sanggup berkompromi dalam isu berkenaan.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Media AS Beri Liputan Meluas Lawatan Najib Ke Gaza

15 Rabiulawal 1434

Media Amerika Syarikat (AS) di bahagian pantai timur memberikan liputan meluas lawatan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini ke kawasan Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran Hamas.

Banyak laporan berita memaparkan gambar Najib, memakai jaket hitam dan seluar kuning air tetapi tanpa tali leher, tiba di Semenanjung Gaza untuk melihat sendiri situasi di kawasan itu.

Bagaimanapun, banyak daripada laporan itu mencadangkan lawatan Najib itu telah dipergunakan oleh Hamas untuk memperlihatkannya sebagai "pendirian menentang Israel".

Malahan, New York Times dalam laporannya menggunakan kapsyen "Hamas Paints Malaysian Premier's Visit as a Stand Against Israel" (Hamas Gambarkan Lawatan Perdana Menteri Malaysia Sebagai Pendirian Menentang Israel), menggunakan gambar menunjukkan Najib sedang keluar dari kereta sebaik beliau tiba di Bandaraya Gaza.

Menurut laporan New York Times, walaupun Najib menyifatkan lawatannya ke Semenanjung Gaza di bawah pentadbiran Hamas sebagai misi kemanusiaan, Hamas memilih untuk menggambarkannya sebagai "pendirian ingkar" terhadap sekatan Israel di Gaza.

"Ini merupakan deklarasi Islam untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza," kata Ismail Haniya, Perdana Menteri Hamas, semasa menyambut ketibaan Perdana Menteri Malaysia itu, isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman di Rafah, terletak di antara sempadan Gaza dan Mesir.

Walaupun sekatan itu baru-baru ini dilonggarkan sedikit, kebanyakan eksport dari Gaza masih dilarang dan keadaan itu telah mengakibatkan perdagangan luarnya terjejas teruk.

Lawatan Najib turut dilaporkan penerbitan lain seperti World Politics Review, laman web dasar luar berpejabat di Washington DC.

Media AS dalam liputan mereka pada umumnya menyatakan walaupun Najib menyifatkan ia merupakan lawatan kemanusiaan, tuan rumah cuba menunjukkannya sebagai tanda sokongan tidak berbelah-bahagi terhadap Hamas.

Lawatan Najib itu juga dilakukan tatkala Israel sibuk dengan pengundian bagi pilihan raya Parlimen.

Haniya menyifatkan lawatan Najib sebagai "respons rakyat Palestin, Arab dan Islam" terhadap lawatan pada Selasa lepas oleh Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu ke Western Wall di Baitulmaqdis, menurut laporan New York Times.

Haniya dipetik sebagai menggelar Western Wall, dikenali sebagai Al Buraq dalam kalangan umat Islam, sebagai "dinding Arab dan Islam", dan menambah "Baitulmaqdis adalah Islam".

Dalam lawatan lima jam beliau ke Gaza, Najib turut meletakkan batu asas sebuah kolej perindustrian yang dibiayai Malaysia dan juga menandatangani perjanjian dengan kerajaan Hamas bagi pembinaan semula pejabat perdana menteri, yang dimusnahkan oleh Israel pada November semasa pertempuran dengan Hamas.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Kes Demam Denggi Di Kelantan Meningkat 68 Peratus Tahun Lalu

15 Rabiulawal 1434

Sebanyak 1,245 Kes demam denggi dilaporkan di seluruh Kelantan tahun lepas iaitu peningkatan sebanyak 68 peratus berbanding 743 kes tahun sebelumnya.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata peningkatan itu merupakan fenomena yang membimbangkan dan perlu ditangani segera.


Sehubungan itu beliau meminta orang ramai, khususnya penduduk yang tinggal di kawasan berisiko dijangkiti demam denggi supaya menjaga kebersihan sekeliling terutama selepas musim tengkujuh melanda baru-baru ini.

"Mereka patut mengambil masa 10 minit sehari membersih kawasan sekitar kediaman bagi menghapuskan kawasan pembiakan nyamuk dan jejentik bagi mengelakkan wabak penyakit itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, setakat tiga minggu pertama bulan ini, sebanyak 83 kes demam denggi dilaporkan berbanding 68 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Wednesday, January 23, 2013

Contoh Tanda-tanda Demam Denggi Part 2

12 Rabiulawal 1434

Adalah amat penting bagi individual yang pernah kena jangkitan denggi untuk mengelakkan jangkitan pada kali kedua. Ini adalah kerana jangkitan lebih pada sekali akan memberikan simtom yang berbeza dan kesan demam mungkin lebih teruk daripada jangkitan pertama. Namun sakit di bahagian setiap sendi tetap merupakan simtom yang sama. Simtom atau tanda-tanda yang lain ialah pening dan muntah yang kerap atau cirit birit di kalangan mangsa di samping seluruh tubuh menjadi amat lemah.Mengikut pengalaman penulis, jangkitan kali ketiga menyebabkan pendarahan di hidung secara tiba-tiba selain daripada contoh atau gejala yang pernah ditulis di artikel sebelum ini di Part 1.

Namun begitu, penulis tetap percaya, rawatan cepat ialah usaha awal bagi proses penyembuhan. Elakkan ke klinik-klinik yang sukar memanjangkan proses rawatan lanjut ke hospital-hospital. Kepada pihak yang mempunyai kemudahan rawatan di hospital swasta, adalah lebih baik anda terus ke sana dan daftarkan urusan rawatan di bahagian kecemasan. Jika anda yakin bahawa anda mengalami simtom berkenaan, minta sahaja agar anda direhatkan di wad semalam atau dua untuk dipantau secara berkala.

Namun, ini hanya dapat dirialisasikan oleh para penjaga atau pasangan yang faham dengan gejala berkenaan. Pesakit mungkin pada masa itu gagal berfikir secara rasional atau membuat keputusan. Namun kita hanya mampu berusaha ke tahap terbaik, dan jangan lupa banyakkan beristigfar , tawakkallah kepada Yang Maha Esa.

Wallahualam


Isu Kalimah Allah:Keputusan Majlis Syura PAS Muktamad

12 Rabiulawal 1434

Keputusan Pas berhubung isu kalimah ALLAH mengikut keputusan Majlis Syura adalah muktamad yang berasaskan kepada nas-nas dan syarak.Setiausaha Majlis Syura, Datuk Nik Zawawi Nik Salleh berkata, ia adalah keputusan terbaik kepada semua agama dan kaum di negara ini.

 Menurutnya, semua agama perlu hormati Perlembagaan Malaysia yang meletak Islam sebagai agama rasmi.
“Itu adalah perundangan Islam. Pas anggap isu ini telah selesai dan tidak seharusnya mana-mana umat Islam mempertikaikan perkara ini.

“Keputusan tersebut adalah muktamad dan Pas mewakili umat Islam di Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangkang tetap dengan pendirian yang diputuskan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat (PR) pada 8 Januari lalu berhubung isu penggunaan kalimah iaitu bukan Islam boleh guna tetapi dengan syarat tidak boleh disalahgunakan.

Anwar berkata, pihaknya tidak menolak untuk mengadakan sebarang perbincangan susulan keputusan Majlis Syura Pas, 13 Januari lalu.

Maklumat lanjut : SH Online

Tahniah Najib & Ustaz Nasha: Hadiah Hari Maulidurrasul Kepada Umat Islam Di Malaysia

12 Rabiulawal 1434

Sumber Gambar: forum mykmu
Bancik ingin merakamkan ucapan setinggi tahniah kepada Perdana Menteri Dato' Sri Najib & bekas Timbalan Presiden Pas, Ustaz Nasharuddin Mat Isa serta pemimpin negara yang lain yang telah berjaya menjejakkan kaki ke bumi Gaza, Palestin secara rasmi. Menurut kenyataan Perdana Menteri, lawatan ini adalah lawatan kemanusiaan yang difahamkan dilakukan julung-julung kali oleh Perdana Menteri Malaysia.

Dari segi satu sudut , penulis mengucapkan syukur kepada Ilahi atas penglibatan bekas Timbalan Presiden Pas dalam lawatan yang sama. Ini menunjukkan simbol awal gerakan penyatuan umat Islam di negara ini. Bagi Bancik ini adalah merupakan hadiah yang tak ternilai bagi sambutan Maulidurrasul 1434 Hijrah. Jika Allah dan Rasul menyuruh kita bersatu, kenapa kita tak nak ikut?

Penulis tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama. namun di hati ini tetap berbisik, jika Rasulullah s.a.w. masih ada.....

Wallahualam


Salam Maulidurrasul 1434Hijrah Daripada Bancik

12 Rabiulawal 1434

Bancik di sini ingin mengambil kesempatan ingin mengucapkan Salam Maulidurrasul kepada para semua umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia. Bagi Bancik , mengingati tarikh ini amat penting bagi umat Islam yang semakin hari semakin hebat berdepan dengan cabaran duniawi. Sekurang-kurangnya dengan mengingati Baginda Rasulullah s.a.w, hati akan menjadi lembut dan tenang.

Jika semua umat Islam sentiasa mengingati Baginda  Rasulullah s.a.w, Bancik yakin dan percaya, tidak akan berlaku suasana keluh kesah umat Islam sekarang. Tiada caci mencaci dan penghinaan antara satu sama lain, tiada perhimpunan-perhimpunan yang menyusahkan orang lain, tiada politik adu domba, tiada bentuk penindasan, pembunuhan dan lain-lain lagi. Tulisan ini ditujukan kepada diri Bancik juga sebagai peringatan diri sendiri.

Selamat menyambut Hari Maulidurrasul kepada semua umat Islam yang bersaudara daripada insan biasa bernama Bancik.

Wallahualam


Tuesday, January 22, 2013

Lawatan Ke Gaza Cara Terbaik Zahirkan Sokongan Kepada Palestin - PM

11 Rabiulawal 1434

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menurut kata hatinya untuk melawat ke Gaza supaya dapat berada bersama-sama dengan rakyat Palestin.

"Tiada cara yang lebih baik...ini cara terbaik untuk menjejak kaki ke Gaza bagi menzahirkan sokongan kami kepada rakyat Palestin," katanya ketika berucap pada pertemuan dengan menteri Kabinet Palestin di sini hari ini.

Najib, yang melakukan lawatan kemanusiaan sehari ke Gaza, diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Perdana menteri berkata rakyat Malaysia boleh menghantar bantuan kemanusiaan dan kewangan kepada Palestin namun beliau menganggapkan lawatan ini sebagai lambang yang amat kukuh terhadap sokongan padu kepada rakyat Palestin.

"Saya harap lebih ramai lagi pemimpin Islam dari seluruh dunia akan mengambil langkah sama. Perjuangan ini bukan hanya bagi penduduk Palestin tetapi juga kepada Ummah," katanya.

Ketika berucap pada pertemuan itu, Perdana Menteri Palestin Ismail Haniyeh berkata lawatan Najib merupakan julung kali dilakukan oleh seorang perdana menteri asing yang bukan dari negara Arab ke Gaza.

Sementara itu, Najib menyifatkan urusan lawatan kemanusiaan beliau ke Gaza hari ini sebagai lancar, selamat dan berjaya.

Menulis ringkas menerusi laman tweeternya di @NajibRazak, malam ini, perdana menteri berkata lawatan beliau ke Semenanjung Gaza yang didiami 1.7 juta rakyat Palestin itu disambut Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh.

Maklumat lanjut: BERNAMA

PBB Haramkan Berkhatan Bagi Perempuan?

11 Rabiulawal 1434

Majlis Ulama Indonesia (MUI) meminta kerajaan negara tersebut agar terus membenarkan amalan berkhatan bagi perempuan kerana ia merupakan hak yang dijamin oleh perlembagaan.

"Islam menganjurkan umatnya, lelaki dan perempuan, supaya berkhatan," kata timbalan setiausaha agung MUI Amrisyah, seperti yang dipetik agensi berita Antara.

MUI mengumumkan pendiriannya tentang perkara itu pada sidang akhbar di sini pada Isnin ketika Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) heboh berkempen untuk mengharamkan berkhatan bagi perempuan.

"MUI dan pertubuhan Islam lain di negara ini berpendirian tegas dalam menentang usaha mengharamkan berkhatan bagi perempuan," kata Amrisyah.

Maklumat lanjut: BERNAMA


Perdana Menteri Malaysia Pertama Lawat Palestin

11 Rabiulawal 1434

Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri Malaysia yang pertama menjejak kaki di bumi Palestin apabila beliau mengadakan lawatan kemanusiaan ke Gaza pada Selasa.

Najib tiba di kawasan sempadan Rafah di wilayah Palestin kira-kira 10.40 pagi (waktu tempatan) atau kira-kira (4.40petang waktu Malaysia).

Ketibaan Najib disambut Perdana Menteri kerajaan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh, di kawasan sempadan.

Lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku, dan Palestin berkumandang selepas itu.

Najib juga memeriksa kawalan kehormat Pasukan Polis Palestin.

Sebelum itu, Najib menempuh perjalanan sejauh 55km dari lapangan terbang El-Arish di Mesir ke kawasan sempadan Rafah.

elepas memeriksa kawalan kehormat, Perdana Menteri dan Ismail mengadakan perbincangan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Rafah.

Di Gaza, Najib dijadual melawat sekolah yang dibiayai rakyat Malaysia, Al Madrasah Al Malaziah, sebelum melawat tapak pembinaan pejabat baharu untuk Ismail. Pejabat lama Ismail musnah semasa serangan Israel pada November tahun lepas.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Sunday, January 20, 2013

Najib Nak Umum Dah... Tarikh PRU 13

9 Rabiulawal 1434

Gambar : Sinar Harian
Teka-teki Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) terus mendapat perhatian di mana hari ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membayangkan pembubaran Parlimen akan dibuat dalam masa terdekat.

Berucap pada Majlis Janji Ditepati di Pusat Transformasi Luar Bandar di sini, Presiden Umno menegaskan, pihaknya sudah bersedia, sambil mahu rakyat memberi undi kepada Barisan Nasional (BN).


"Ambo (saya) nak umum pilihan raya dah, hari ini dalam majlis nak tanya adakah rakyat bersedia menyokong BN ?" kata beliau yang juga Pengerusi BN sambil menerima sorokan lebih 30,000 penyokong.

Dalam ucapan itu, Najib turut mengumumkan tujuh janji kepada rakyat Kelantan sekiranya BN diberi mandat untuk mentadbir negeri.

Maklumat lanjut: SH Online

Golongan Ulama Bantu BN Rampas Kelantan

9 Rabiulawal 1434

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak percaya perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk mengubah kepimpinan negeri Kelantan turut melibatkan tokoh agama seperti golongan ulama dan umarak.

Beliau berkata tokoh agama ini merupakan pejuang mewakili suara masyarakat Kelantan yang sentiasa dahagakan perubahan tanpa mengetepikan pegangan agama.

"Kalau ingin melihat perubahan, inilah kumpulan yang akan mencipta sejarah. Perjuangan kita melibatkan gandingan baharu pemimpin-pemimpin bertaraf ulama dan umarak (pemimpin).

"Ulama-ulama ini yang tidak main politik. Mereka ini juruh (baik dan bagus), Insya-Allah mereka akan bersama-sama dengan kita. Inilah yang menjadi pegangan saya," katanya pada majlis minum petang bersama badan bukan kerajaan dan pemimpin tempatan termasuk pemimpin sekolah pondok di sini.

Terdahulu perdana menteri mempengerusikan mesyuarat badan perhubungan Umno Kelantan kira-kira dua jam.

Najib berharap perjuangan ulama dan umarak akan sentiasa diteruskan serta disokong pelbagai pihak dalam usaha mencapai matlamat yang dirancang.

"Teruskan usaha kita dengan ceramah-ceramah yang dibuat oleh golongan ulama muda mahu pun tua, dan guru pondok. Ini akan membantu kita dalam memberi penjelasan bahawa BN berada di atas landasan yang benar," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, January 18, 2013

Malaysia Mampu Laksana Pendidikan Percuma Jika Semua Subsidi Ditarik Balik

7 Rabiulawal 1434

Malaysia boleh melaksanakan pendidikan 100 peratus percuma hanya jika semua subsidi keperluan asas termasuk petrol dan diesel dimansuhkan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Namun katanya, jika itu yang dilakukan rakyat keseluruhan akan berdepan pelbagai kesukaran, termasuk menanggung peningkatan harga barangan.

Gambar: freewebcomic.com
"(Ini) seperti penduduk di beberapa negara Eropah seperti Sweden, Perancis, Sepanyol dan Portugal yang tidak mendapat subsidi dan terpaksa membeli barangan keperluan asas berdasarkan harga pasaran semasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 di Sekolah Kebangsaan Kerayong dekat sini Jumaat.

Beliau berkata di Sepanyol misalnya, kadar inflasi dan pengangguran di negara itu meningkat 20 peratus berbanding Malaysia yang dilihat masih boleh mengatasi inflasi dan kadar pengangguran.

"Harga barang yang meningkat tanpa subsidi menyebabkan rakyat susah dan kadar pengangguran terus meningkat, nisbahnya dalam 100 orang penduduk di Sepanyol, 20 daripadanya adalah penganggur," katanya.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Tuesday, January 15, 2013

35 Perkataan Dilarang Diguna Bukan Islam di Pahang

3 Rabiulawal 1434

Mufti Pahang
Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sejak 24 tahun lalu telah menyenaraikan 35 perkataan dan perbahasaan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama lain kecuali Islam.

Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman berkata, semua perkataan dan perbahasan tersebut termaktub dalam Seksyen 9, Enakmen 5 Tahun 1989 di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama-agama bukan Islam.


Seharusnya perkara itu jelas dan tidak dipersoalkan oleh mana-mana pihak kerana perkataan serta perbahasan tersebut termasuk kalimah Allah dilulus dan diwartakan oleh Dewan Undangan Negeri pada 13 Mac 1989.

Perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama lain ialah Allah, firman Allah, ulama, hadis, ibadat, kaabah, kadi, ilahi, wahyu, mubaligh, syariah, kiblat, haj, mufti, rasul, iman, dakwah, injil, solat, khalifah, wali, fatwa, khutbah, nabi dan tabligh.

Maklumat lanjut:Utusan Online

Monday, January 14, 2013

PAS Dinasihatkan Agar Lebih Berhati-hati

3 Rabiulawal 1434

Dua tokoh agama menasihatkan agar Pas berhati-hati dan bertindak lebih matang dalam menangani isu berkaitan agama seperti kalimah Allah demi menjaga akidah umat Islam di negara ini.

Salah seorang tokoh terbabit iaitu pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa'amah menyifatkan cara Pas menangani isu kalimah Allah menggambarkan kedangkalan parti itu dalam hal berkaitan agama.

Katanya, walaupun Majlis Syura Ulama semalam memutuskan kalimah Allah hanya untuk agama Islam namun pendirian Pas sebelum ini yang membenarkan bukan Islam menggunakannya mengundang kecelaruan.


Maklumat lanjut: Utusan Online

Majlis Syura PAS Tolak Kalimah Dalam Bible Melayu

2 Rabiulawal 1434

Mesyuarat Majlis Syura PAS malam tadi memutuskan kalimah Allah tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.

Sayap tertinggi dalam parti berkenaan yang dianggotai 15 ahli, berpendapat menterjemah kalimah ‘God’ atau ‘Lord’ dari mana-mana kitab agama bukan Islam adalah salah dari segi makna dan salah guna serta tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata, sekali gus perlu dicegah.
 Ketetapan itu yang turut melarang kalimah Allah diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia, diputuskan pada mesyuarat di Ibu Pejabat PAS, di sini yang dipengerusikan Mursyidul Amnya, Datuk Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan.
"
Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani umat Islam iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan” Kenyataan Majlis Syura PAS

Dalam kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat hampir dua jam berakhir 11 malam itu, Nik Aziz dan Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din, berkata kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah.

Nik Aziz turut sokong

“Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani umat Islam iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan,” kata kenyataan berkenaan.

Mesyuarat terbabit dipercayai diadakan berikutan perbezaan pendapat antara pemimpin PAS dalam isu berkenaan. Pada 2010, PAS bersetuju bahawa Islam tidak melarang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dengan syarat ia tidak disalah guna.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan sempena sambutan Krismas, Disember lalu, mendesak kerajaan membenarkan kalimah Allah digunakan dalam Bible bahasa Melayu. Nik Aziz dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama Timbalannya, Mohamad Sabu sebelum ini dilapor menyokong perkara berkenaan dengan syarat tertentu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali bersama Haron dan Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib antara ahli Majlis Syura yang menyatakan pendirian mereka secara terbuka menentang penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan bagi penganut bukan Islam.

Sementara itu, mesyuarat berkenaan juga bersetuju mendesak kerajaan membenarkan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang memperjelaskan isu amanatnya, sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Sumber: BH Online

Sunday, January 13, 2013

Apabila Para Mufti Berbicara

2 Rabiulawal 1434

Mufti Kelantan
Umat Islam di Malaysia diuji lagi. Mungkin ini adalah salah ujian Allah kepada para hambaNya. Ianya menunjukkan bahawa apa yang dinyatakan di dalam al-Quran adalah benar bahawa kaum yahudi dan nasrani tidak akan redha selagi kita tidak ukut telunjuk mereka.

Dalam isu penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Bible berbahasa Melayu yang pada pandangan Islam telah diubah, penulis membuat pendirian yang rata-rata disepakati oleh para mufti dan ulama-ulama. Bagi penulis, jika adanya sebarang keraguan, lebih baik ditinggalkan. Pendirian ini adalah berdasarkan , lebih ramai mufti dan para ulama yang menentang daripada yang membolehkan. ini termasuk beberapa orang mufti di sebuah negeri yang diperintah oleh satu parti yang membuat pendirian membolehkan. Nampaknya sekarang, alhamdulillah, seorang demi seorang mufti telah bersuara. Lagipun pendirian berkenaan juga telah diputuskan oleh majlis fatwa kebangsaan yang terdiri daripada alim ulama Islam berbanding keputusan ahli majlis tertinggi sebuah Pakatan politik yang tidak berdaftar yang dianggotai oleh pemimpin politik yang dilihat anti Islam. Sudah jelas , tentulah kita wajib mengikuti majlis fatwa.
Mufti Perak


Mufti Selangor
Satu lagi hujah kenapa nak guna dalam bible berbahasa Melayu sahaja. Kenapa juga tak diminta dalam versi bahasa Inggeris. Sudah jelas dan tersuluh aganda jahat pihak berkenaan. Penulis lontarkan persoalan ini untuk renungan bersama. Penulis dalam hal ini tanpa sebarang prejudis atau kaitan pendapat politik berpaut pada pendirian para mufti yang menentang atau melarang penggunaan kalimah suci Allah ke dalam Bible berbahasa Melayu.

Wallahualam


Boleh Jatuh Kufur, Murtad

1 Rabiulawal 1434

Sesiapa yang membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Bible berbahasa Melayu boleh jatuh kufur dan murtad.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadot berkata, penggunaan kalimah Allah adalah eksklusif untuk umat Islam dan ia tidak boleh disamakan dengan agama lain.

Beliau berkata, perkara berkenaan jelas disebut di dalam al-Quran menerusi surah Al-Ikhlas yang menyatakan bahawa Allah itu bersifat Maha Esa dan surah Taha yang bermaksud tiada Tuhan lain melainkan Allah.

"Sekiranya penggunaan kalimah ini dibenarkan, maknanya mereka menyamakannya dengan konsep triniti dan sekiranya dikatakan semua agama itu sama, maka boleh jatuh hukum kufur, syirik dan murtad.

"Jangan keliru dengan hukum kerana ia sudah ditetapkan di dalam al-Quran, hadis serta ijtimak ulama dan perkara ini tidak boleh dikompromi," katanya ditemui selepas merasmikan Seminar Wakaf dan Perancangan Harta Pusaka Islam di Hotel The Zon Regency di sini hari ini.

Maklumat lanjut: Utusan Online

Gabung Adakan Perhimpunan Aman Berhubung Penggunaan Kalimah Allah

1 Rabiulawal 1434

Lebih 200 anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung) hari ini mengadakan perhimpunan secara aman bagi membantah penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Ketua Penerangan Gabung Abdullah Md Yusof berkata bantahan itu bertujuan mengingatkan semua pihak bahawa kalimah Allah adalah hak eksklusif agama Islam dan mana-mana pihak digesa supaya tidak cuba mempermainkan isu sensitif itu.

"Kita (Gabung) mengingatkan mana-mana pihak supaya 'tidak menjolok sarang tebuan' kerana isu ini sudah banyak kali cuba diusik," katanya kepada pemberita selepas mengadakan bantahan itu di hadapan sebuah restoran berdekatan Hentian Bas dan Teksi Ulu Tiram di sini.

Terdahulu, Gabung turut membuat laporan di Balai Polis Sentral di sini supaya siasatan dijalankan terhadap isu itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Friday, January 11, 2013

Pendirian Dewan Ulama Pas Tepat Dan Konsisten

28 Safar 1434

Dewan Ulama Pas membuat pendirian yang tepat apabila secara konsisten menegaskan bahawa kalimah Allah hanya khusus bagi agama Islam.

Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Nooh Gadut berkata, pendirian Dewan Ulama Pas itu adalah selaras dengan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh golongan ulama dalam mempertahankan akidah Islam.

“Saya juga bersetuju dengan pandangan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang tidak membenarkan kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain.

“Mana-mana umat Islam yang terbabit dalam menyelewengkan penggunaan kalimah Allah wajib bertaubat dan segera mengucap dua kalimah syahadah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, Pas bersama dua parti sekutunya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bersetuju orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah dengan syarat kalimah itu tidak disalahgunakan.

Bagaimanapun, golongan ulama dalam parti itu termasuk Haron; Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib; Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta pendakwah terkenal, Datuk Ismail Kamus dan bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa tetap menyatakan pendirian mereka bahawa kalimah Allah hanya untuk agama Islam.


Sumber: Utusan Online 

Laluan ke Dataran Merdeka, Stadium Merdeka Ditutup Esok

28 Safar 1434

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak memasuki kawasan pusat bandar di ibu negara bagi mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan lalu lintas ekoran Himpunan Shamsidar yang dianjur oleh pakatan pembangkang esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, semua laluan menghala ke Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka akan ditutup dan pengguna kenderaan dijangka mengalami kesesakan lalu lintas.

Maklumat lanjut : Utusan Online

Thursday, January 10, 2013

Mufti Selangor: 'Kenapa hendak guna kalimah ALLAH'

28 Safar 1434

Pendirian membenarkan penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible versi Bahasa Melayu satu langkah seolah-olah merelakan ALLAH Yang Esa dalam ajaran Islam itu disekutukan, kata Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abdul Wahid.

Oleh yang demikian katanya, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa kalimah ALLAH hanya boleh digunakan oleh penganut agama Islam supaya ia tidak menimbulkan sebarang keraguan di kemudian hari.

"Jika kalimah ALLAH itu digunakan dalam Bible menggantikan 'God' sedangkan 'God' dalam Bible itu adalah 'Trinity', Tuhan yang ada anak, Tuhan yang ada bapa, Tuhan yang ada isteri, jadi beerti, andai kata kita redha kalimah ALLAH digunakan dalam Bible, maknanya kita telah pun merelakan ALLAH itu bukan lagi Esa," katanya ketika diminta mengulas pendirian Pakatan Rakyat berhubung penggunaan kalimah ALLAH di kalangan bukan Islam.

Meskipun begitu katanya, penggunaan kalimah ALLAH dalam keadaan-keadaan tertentu misalnya dibolehkan kepada penganut agama lain selain Islam.

"Kalau dia nak sebut, umpamanya kalau ditanya siapakah yang menciptakan langit dan bumi, kalau dia kata ALLAH, memang betul. Kalau orang kafir itu hendak sebut ALLAH, itu terpulang kepada dialah.

"Tetapi apa yang kita tekankan di sini ialah apabila kalimah ALLAH itu hendak digunakan dalam Bible bahasa Melayu kemudian perkataan 'God' itu ditukar dengan kalimah ALLAH, itu yang kita tidak setuju. Itu nanti yang akan mewujudkan kekeliruan," tegas beliau lagi.

Maklumat lanjut: SH Online

Presiden Pas Membelakangi Majlis Syura Ulama

29 Safar 1434

Kenyataan dua pemimpin tertinggi PAS yang bersetuju kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut semua agama adalah membelakangi Majlis Syura Ulama PAS, kata Ketua Penerangan Pertubuhan Jalur Tiga (JATI) Hasan Basri.

Katanya kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu mendahului mesyuarat Majlis Syura Ulama PAS yang dijadualkan berlangsung pada 12 Jan ini.

Maklumat lanjut: BERNAMA




Mufti Kelantan Tegaskan Kalimah Allah Eksklusif Untuk Orang Islam

29 Safar 1434

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad mengingatkan semua pihak di negeri ini tentang kalimah Allah yang eksklusif untuk orang Islam dan tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.

Menurutnya, sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan pada 1 Disember 1981 telah meluluskan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam 1981 iaitu satu enakmen untuk menjaga kesucian kalimah itu.

Katanya, enakmen itu yang diwujudkan bagi mengawal dan menyekat penyebaran iktikad dan kepercayaan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam, secara jelas telah menyenaraikan 24 perkataan termasuk kalimah Allah di bawah Jadual (Seksyen 9) Bahagian 1 enakmen sebagai hak eksklusif agama Islam.

Sehubungan itu, beliau secara sinis 'meminta' enakmen tersebut dipinda atau dimansuhkan sekiranya sudah lapuk dan tidak relevan lagi.

"Perkataan-perkataan itu ialah Allah, firman Allah, ulama, hadis, ibadah, Kaabah, kadi, Ilahi, wahyu, mubaligh, syariat, kiblat, haji, mufti, rasul, imam, dakwah, solat, khalifah, wali, fatwa, iman, nabi dan sheikh.

"Undang-undang Islam negeri ini sudah lama memperuntukkan bahawa kesemua perkataan itu tidak boleh dikaitkan dengan agama lain.

"Kita sebagai orang Islam seharusnya patuh pada peraturan yang sudah sekian lama terpakai dan tidak membangkitkan isu penggunaan kalimah Allah," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.


Maklumat lanjut: Utusan Online 

Wednesday, January 9, 2013

Pramugari Jadi Bidan

28 Safar 1434

Melahirkan anak dalam pengangkutan awam bukanlah sesuatu yang asing lagi bagi Harmina yang bersalin anak ketiganya tidak cukup bulan dalam sebuah pesawat semasa penerbangan dari Timika, di Papua ke Makassar di Sulawesi Selatan Ahad lepas.

Takdir menentukan bahawa ibu berusia 33 tahun itu harus melalui masa yang mendebarkan itu untuk kali keduanya pada Ahad malam dalam sebuah pengangkutan udara di kerusi nombor 24A penerbangan MZ845 milik syarikat penerbangan Merpati Nusantara, di ketinggian 32,000 kaki di angkasa.

Kelahiran bayi perempuan itu pada pukul 6.40 malam itu, dibidani empat pramugari yang dibantu seorang kru lelaki dan seorang mahasiswi diploma kejururawatan serta iringan doa 158 penumpang dalam pesawat itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

Monday, January 7, 2013

IKIM Siar Muzakarah Jelas Isu Kalimah Allah Melalui Internet TV

25 Safar1434

Menyedari isu penggunaan kalimah Allah yang berterusan dipolemikkan di negara ini, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) melalui saluran Internet TV IKIM pada Isnin menyiarkan rakaman program Muzakarah Pakar 'Terjemahan God sebagai Allah' : Mengenal pasti punca dan penyelesaiannya.

Ketua Pengarah IKIM Datuk Nik Mustapha Nik Hassan berkata program pertama kali yang disiarkan IKIM itu bagi menyatakan pendirian IKIM dan memperjelaskan kepada umum kesalahan menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan kepada 'God'.

"Pendirian IKIM kekal bahawa penggunaan Allah sebagai terjemahan kepada God tidak dapat diterima kerana ia bukan sahaja menyalahi lunas-lunas bahasa bahkan tidak dapat dipertahankan dari segi akidah, sejarah mahupun undang-undang.

"Menyedari hakikat ini, menjadi kewajipan IKIM untuk mengambil langkah yang sewajarnya bagi memelihara kesucian bahasa agar tidak dicemari unsur asing yang boleh mengelirukan pegangan masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Jelasnya Bahasa Melayu adalah tergolong dalam rumpun bahasa Islam dan makna yang sah bagi kalimah 'Allah' ialah makna yang dikehendaki oleh Al-Quran dan dijelaskan dalam akidah Islam.

 Sumber - BERNAMA

Sunday, January 6, 2013

Sebuah Kerajaan Negeri Jual Tapak Masjid & Sekolah

24 Safar 1434

Hati Bancik berasa amat sedih dan marah apabila membaca berita berkenaan sebuah kerajaan negeri yang telah bertindak menjual tapak masjid dan sekolah di sebuah negeri yang diperintah oleh mereka. Tidak perlulah Bancik menamakan kerajaan mana di sini, kerana Bancik khuatir akan disaman. Ini kerana, kerajaan ini amat dikenali suka menyaman pihak-pihak yang mengkritik mereka walaupun sering melaungkan kebebasan bersuara.

Jika isu ini benar, maka malanglah umat Islam yang berkawan politik dengan mereka dan penyokong yang pernah menganggap pemimpin mereka mengamalkan corak pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz.Nampaknya hati umat Islam terus dihiris oleh golongan kuffar yang dapat kuasa memerintah. Semoga umat Islam akan lebih sedar selepas ini .

Wallahualam

Saturday, January 5, 2013

Boikot Sahaja Bola Sepak Malaysia!

23 Safar 1434

Apa nakjadi dengan bolasepak Malaysia? Amat mengecewakan...! Bidas membidas di media. Ini menyebabkan peminat naik muak. Tahap permainan tak berubah-ubah juga.Para pemimpin asyik nak berpolitik dan menonjolkan diri.Nyahkan aje politik dari bola sepak atau kita nyahkan dan jauhi sahaja stadium dan boikot sahaja bolasepak Malaysia. Jangan salahkan peminat....

Wallahhualam

Penyatuan

23 Safar 1434

Batu disatukan dengan simen, papan disatukan dengan paku manakala  manusia pula disatukan dengan iman.

Wallahualam

Thursday, January 3, 2013

Hati-hati Terima Wang Kertas RM100?

21 Safar 1434

Polis hari ini meminta orang ramai di bandar raya ini berhati-hati agar tidak menjadi mangsa pengedaran wang kertas palsu RM100 di sini berikutan tiga laporan yang dibuat mengenainya, termasuk oleh sebuah bank.

Ketua Polis Miri ACP Mun Kock Keong berkata dua laporan lagi dibuat dua individu yang menyedari kewujudan wang kertas palsu itu apabila mereka mendapati kertasnya tidak berkualiti dan tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan.

"Siasatan awal kami mendapati ketiga-tiga wang kertas palsu ini menggunakan nombor siri sama, AA7825588," katanya kepada pemberita di sini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya lebih berhati-hati apabila diberi wang kertas RM100 baharu.

"Mereka boleh memeriksa kualiti kertasnya melalui sentuhan kerana wang kertas baharu tidak akan mudah berkedut berbanding wang palsu yang menggunakan kertas tidak berkualiti. Sekiranya tidak pasti, rujuklah kepada pejabat Bank Negara terdekat," katanya.

 Sumber- BERNAMA

Wednesday, January 2, 2013

Nasharudin Tuntut Penjelasan Guan Eng

20 Safar 1434

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng diminta memberi penjelasan sama ada beliau akan turut menuntut penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi bahasa Tamil dan Mandarin seperti tuntutannya terhadap Bible versi bahasa Melayu.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa berkata, penjelasan tersebut perlu untuk mengetahui niat sebenar Ketua Menteri Pulau Pinang itu berhubung tuntutan yang dilakukan.

"Saya mahu tanya Guan Eng mengenai penggunaan kalimah Allah ini, adakah beliau akan tuntut digunakan juga dalam Bible versi bahasa Tamil dan Cina (Mandarin)?

Maklumat lanjut: Utusan Online




2 Hari Terapung Di Laut

20 Safar 1434

Tiga nelayan dari Tanjung Api, Kuantan diselamatkan sebuah kapal dagang semalam selepas dua hari terapung di laut, kira-kira 30 batu nautika dari Tanjung Sedili, timur laut Johor.

Abdul Wahab Sidek, 62, Muhamad Abdul Mubim Abdul Wahab, 27, dan Mazuki Mohamad, 47, diselamatkan kapal 'Nueva Esperanza' kira-kira 11 pagi.

Ketua Penguatkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tanjung Sedili, Kepten Maritim Rozali Mohd Said berkata bot fiber Kelas A mereka dilaporkan karam akibat dipukul ombak ketika mereka menangkap ikan kira-kira 53 batu nautika dari Kuantan.

Maklumat lanjut: BERNAMA



Tuesday, January 1, 2013

Selamat Kembali Ke Sekolah

19 Safar 1434

Amat mengujakan apabila melihat anak-anak bersemangat untuk kembali ke sekolah. Moga-moga anak kita semua dilindungi oleh Yang Maha Esa , dibukakan pintu hati bagi anak-anak  kita menerima ilmu pengetahuan yang berguna, dipelihara daripada gejala-gejala yang tidak sihat serta diikhlaskan hati para guru-guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan yang dimiliki semampu yang boleh.

Semoga sesi persekolahan pada tahun ini lebih cemerlang dari tahun-tahun yang lalu.Selamat kembali ke sekolah.


LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...