Jom Follow.....

Monday, October 31, 2011

Jangan Stress

Penulis baru sahaja melawat jenazah kawan sepejabat kepada isteri penulis sebentar tadi. Beliau meninggal dunia ketika memandu kereta selepas makan tengahari dan dalam perjalanan ke mesyuarat di luar pejabat. Difahamkan tidak semena-mena beliau mula terkulai ketika memandu sehingga rakan di sebelahnya memaksanya memberhentikan kenderaan yang dipandunya.Beliau disahkan meninggal dunia apabila dibawa ke hospital yang berkenaan. Jenazah dijangka disemadikan esok pagi.

Rakan-rakan dipejabat memberitahu, pada waktu pagi, arwah kelihatan agak stress. Mungkin tuntutan kerjaya yang semakin mencabar mendorong gejala ini berlaku. Maka kita yang masih ada jasad dan nyawa ini perlulah menjaga kesihatan masing masing agar tidak diserang pelbagai penyakit seperti jantung dan sebagainya.  Kesihatan adalah paling utama dan bab kerjaya tu., buatlah yang terbaik dan apa yang termampu. Paling tidakpun kalau tak diberi markah tinggi dalam prestasipun, kena berhenti kerja oleh majikan. Itupun jarang berlaku kalau kita faham undang-undang perusahaan/pekerja di Malaysia ini.

Kepada keluarga arwah, diucapkan takziah dan banyak bersabar.Amalkanlah gaya hidup seimbang dan jangan stress tak kena tempat, kerana kita semua akan dijemput pulang.Al Fatihah untuk arwah..

Wallahualam

Ada Ke istilah Bohong Sunat

Sejak akhir-akhir ini rasanya agak ramai yang menggunakan istilah bohong sunat bagi menghalalkan cara. Ini termasuklah individu dan kumpulan-kumpulan tertentu bagi mencapai matlamat mereka. Bagi penulis , tiada istilah bohong sunat. Sifat bohong itu sendiri sudah ditakrifkan sifat-sifat yang dikeji. Mana mungkin  berbohong boleh dihalalkan. Mungkin kita terpaksa berbohong, dan kita akui akan dosanya, tetapi jika mengatakan berbohong dihalalkan atau disunatkan  adalah tidak tepat.

Nabi Muhammad S.A.W. sendiri tidak pernah berbohong walaupun dari segi gurauan sekalipun.Baginda tidak terpengaruh dengan tawaran kuasa, wanita dan sebagainya oleh golongan kuffar jika Baginda meninggalkan dakwah baginda. Padahal atas nama perjuangan, Baginda boleh menerima tawaran berkenaan sebagai muslihat bagi menjalankan dakwah. Tetapi Baginda tidak memilih jalan dan tawaran berkenaan kerana berpegang kepada jalan yang lurus dan akhlak yang terpuji.

Ini berlainan dengan rata-rata dari sikap segelintir dari kita sekarang ini yang sanggup berbohong, bermuslihat yang kadang-kadang matlamat menghalalkan cara, kononnya atas nama perjuangan. Jika ini masih menghantui, nescaya perjuangan menegakkan kebenaran tidak akan membuahkan hasil yang diharapkan.

Wallahualam

Saturday, October 29, 2011

Takziah Kepada Keluarga Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar

Penulis di sini ingin mengucapkan ucapan takziah kepada keluarga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar yang telah kembali mengadap Ilahi. Datuk Abdul Raman Suliman, 62, meninggal dunia di Hospital Daerah Parit Buntar, di sini malam tadi.Beliau yang menghidap sakit buah pinggang disahkan meninggal dunia pada 12.20 tengah malam, iaitu kira-kira sejam selepas terjatuh di rumahnya di Kampung Kedah di sini.


Menurut sumber Allahyarham ditemui terbaring di dalam bilik air di rumahnya, oleh isteri Datin Saemah Hussein.Kejadian berlaku sejurus selepas Abdul Raman yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, kembali daripada menghadiri mesyuarat Badan Perhubungan Umno Perak di Ipoh. Jenazah telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kedah tengah hari tadi. Allahyarham meningggalkan seorang isteri dan enam anak iaitu dua lelaki dan empat perempuan.

Allayarham pernah menyambaikan bantuan buku tulis kepada kanak-kanak di kampung Sungai Bakau , Parit Buntar Perak pada awal tahun 80an yang mana penulis adalah salah seorang penerimanya. Penulis juga pernah menerima anugerah pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang yang mana Allayarhamah Isteri beliau yang pertama yang telah dijemput menyampaikan anugarah berkenaan kepada penulis pada masa itu.

Semoga arwah ditempatkan bersama di kalangan mereka yang dikasihi olehNya di sana. Al Fatihah...

Friday, October 28, 2011

Wasiat Seorang Petani

Seorang petani yang sedang tenat sempat berpesan kepada anak-anaknya agar menggali tanah dibelakang rumah mereka untuk mencari harta karun yang disimpan setelah beliau tiada di dunia lagi nanti.Anak-anak petani tadi cuma akur sahaja akan kata-kata ayah mereka yang sedang sakit tenat. Tidak beberapa lama kemudian, si petani itupun menyahut seruan Ilahi dan meninggalkan anak-anaknya serta wasiat yang telah disampaikan.

Setelah proses pengebumian tamat, anak-anak petani itupun tanpa berlengah menjalankan wasiat yang ditinggalkan oleh ayah mereka. Mereka menggali tanah di belakang rumah mereka. Sehingga satu tahap proses penggalian , mereka terfikir untuk menanam benih jagung disebabkan tanah-tanah yang telah digali telah gembur, disamping meneruskan usaha pencarian harta karun. Lama kelamaan, belum tamat proses pencarian dan penggalian keseluruhan, rata-rata pokok jagung yang telah ditanam selepas beberapa tempoh tertentu telah mengeluarkan hasil.

Disamping itu kawasan penanaman jagung juga makin luas selari dengan perluasan kawasan yang telah digali. Namun begitu, setelah hampir kesemua kawasan telah digali, anak-anak petani tadi baru sedar bahawa mereka telah mendapat untung yang amat besar daripada tanaman jagung berbanding dengan usaha pencarian harta karun yang sehinggan kini masih belum dijumpai. Dengan itu, barulah mereka sedar bahawa hasil tanaman itulah sebenarnya harta karun yang sebenarnya.

Banjir Di Thailand: Kita Turut Simpati

Berita setiap hari sering memaparkan keadaan banjir di Bangkok , Thailand yang sehingga kini masih belum pulih. Tak silap penulia, ianya sudah berlarutan lebih kurang sudah tiga minggu lamanya.Melihatkan keadaan yang sedemikian, kita turut merasa simpati atas musibah yang melanda negara berkenaan. Baru sahaja selesai krisis politik yang telah melanda negara berkenaan beberapa tahun lepas, kini satu lagi musibah telah melanda negara berkenaan,

Kita yang berada di Malaysia perlu sentiasa mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi, kerana masih terlepas dari bencana sedemikian rupa. Namun begitu persediaan awal juga perlu dilakukan untuk menghadapi setiap kemungkinan yang bakal terjadi disebabkan musim hujan pada akhir-akhir ini. Namun begitu, kita juga perlu sering berdoa ke hadrat Ilahi agar dijauhi ujian-ujian berat yang tidak mampu kita hadapi.

Wallahualam

Wednesday, October 26, 2011

Nasihat Seorang Perempuan(Nenek) Tua Kepada Seorang Raja

Telah diceritakan pada abad pertengahan terletak di Timur Tengah, ada seorang Raja yang Zalim. Raja berkenaan seringkali tidak segan silu merampas harta benda penduduknya. Pada suatu hari, Raja berkenaan dan pasukan berkudanya telah mendatangi salah satu perkampungan pendusuk yang hidup dalam keadaan aman dan makmur. Kedatangan Raja berkenaan telah membuatkan suasana penduduk menjadi ketakutan di mana Raja dan pasukannya telah merampas harta benda penduduk.

Dikala Sang Raja dan pasukannya sedang membuat onar, muncullah seorang perempuan tua dari sebuah rumah usang. Berkatalah perempuan tua itu dengan berani, " Wahai Raja, Pada hari kiamat, binasalah engkau dengan azab Allah. Saat itu, langit terpecah, dan Allah memutuskan hukuman", kata si perempuan tua dengan lantang.

Maka berkata pula Sang Raja kepada perempuan tua, tiadakah engkau lupa bahawa dalam ajaran Islam telah menyatakan bahawa " Sesungguhnya raja-raja bila memasuki kampung , mereka suka membuat kerosakan, dan menjadikan penduduknya terhina", jawab sang Raja tak kalah lantangnya.Ini berdasarkan kepada ayat Al-Quran yang memaparka kata-kata Puteri Balqis kepada para pembesarnya yang terkandung dalam Surah An-Naml ayat 34 yang bermaksud, "Raja Perempuan itu berkata:"Sesungguhnya raja-raja apabila masuk ke sebuah negeri  , mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia : hina dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan."

"Apakah engkau lupa lanjutan ayatnya? " Rumah-rumah mereka menjadi runtuh..." sahut sang nenek.

Mendengar sambungan ayat yang disampaikan oleh nenek itu, sang Raja yang zalim itu berasa gementar. Di hatinya masih ada cahaya iman. Namun sayang sekali, ilmu agamanya tidak cukup. Ia telah mengambil sebahagian ayat untuk kepentingan dirinya, sementara ayat-ayat yang tidak menyokong kepentingannya, lebih cenderung untuk ditinggalkan.

Lalu, semua harta yang dirampas telah dikembalikan semula. Sang Raja telah sedar dan insaf atas nasihat nenek berkenaan dan dia bertanya, "Bagaimana agar aku dapat selamat?"

"Allah menerima taubat para hambaNya" jawab sang nenek kepada Raja.

Wallahualam

Dipetik dari: Himpunan Kisah-kisah Teladan 7, Terbitan Syarikat Nurulhas

Tuesday, October 25, 2011

Tak Boleh Raya Tanpa Mercun

Tidur penulis amat terganggu dengan bunyi dan tembakan mercun yang bertalu-talu malam ini. Seperti perayaan-perayaan sebelum ini, ianya mungkin kerana dek sambutan perayaan Deepavali . Namun seperti persoalan dalam hati dan sanubari penulis, setahu penulislah pembakaran mercun hanya merujuk kepada perayaan Tahun Baru Cina sahaja.

Tapi sekarang, bagi masyarakat Malaysia, bila sebut raya mesti ada mercun. Semua perayaan di Malaysia nak kena ada mercun. Cuma jangan le pula pilihanraya juga nak dimainkan mercun juga. Masalahnya pembakarannya mengalahkan Tahun Baru Cina pulak.Percayalah , pasti akan ada juga mercun yang dibakar pada Hari Raya Haji nanti.

Sudah sampailah masanya masyarakat Malaysia diingatkan bahawa pembakaran mercun yang berlebihan dan yang tidak berkenaan akan menyebabkan pembaziran. Selain itu dari segi aspek keselamatan ianya amat berisiko mendatangkan kecederaan dan kemudaratan.

Wallahualam

Monday, October 24, 2011

Ikan Wadi

Ikan wadi ialah sejenis ikan yang dimasinkan seperti pekasam agar dapat disimpan dengan lebih lama. Rasanya lebih masin daripada ikan pekasam.Selalunya semasa penulis di zaman kanak-kanak atau remaja, wadi ini disediakan pada musim menimba ikan di parit-parit buang atau telaga disekitar sawah. Jenis ikan yang selalunya dijadikan wadi ini adalah ikan sepat.

Apabila digoreng baunya amat"nyaman"(meminjam perkataan orang Melayu Banjar), kadangkala sampai ke jalan raya di kampung. Warnanya bila masak agak kehitaman. Namun begitu pada zaman sekarang, wadi sebegini jarang lagi diperolehi. Yang popular hanyalah ikan pekasam sahaja yang kini semakin dikomersialkan.

Apapun bagi penulis, pekasam ke, wadi ke, ikan kering ke, semua boleh disantap. Yang penting adalah ianya mesti ditanggung halal. Halal adalah penting kerana ianya bakal membentuk keperibadian muslim seseorang.

Wallahualam

Sunday, October 23, 2011

"Himpun" : Kemunculan Paksi Baru Di Arena Politik Negara

Penulis pada hari Sabtu lepas 22 Oktober 2011 bersamaan 24 Zulkaedah 1432Hijrah, telah diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T. untuk turut serta menyertai Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam. Walaupun agak gusar juga pada mulanya akan keselamatan, namun tanggapan berkenaan jauh meleset sebaik sahaja menjejakkan kaki ke stadium berkenaan. Ketika memasuki stadium berkenaan, penulis disambut dengan tertib oleh seorang muslimah yang bertudung labuh meminta agar penulis meninggalkan payung yang dibawa di tempat yang disediakan. Penulis berasa amat senang dengan permintaan secara berhemah tersebut dan dengan senang hati mengikuti arahan berkenaan.


Himpun 2011 di Shah Alam - Gambar myBancik
Ketika berada di stadium, pembahagian tempat dilabelkan menurut kesesuaian iaitu mengikut keluarga, lelaki dan perempuan. Maka sudah sahlah perhimpunan ini bukanlah ditunjangai oleh penganjur yang dipelopori oleh parti politik Melayu yang menganggotai kerajaan pusat sekarang ini seperti mana yang sering dituduh oleh beberapa pihak. Penulis amat kenal dengan stail penganjuran parti politik berkenaan.

Secara keseluruhan, himpunan berkenaan telah memberikan dimensi baru dari segi cara berpolitik di Malaysia. Secara peribadi perlakuan secara tertib dan cara berpolitik ini telah berjaya sedikit sebanyak memaparkan cara Islam yang sebenar. Jika umat Islam yang merangkumi majoriti penduduk di negara ini boleh mengamalkan gaya politik yang tertib dan beradab serta bertamadun dalam mengemukakan gesaaan, maka tidak ada sebab kenapa ada pihak di negara ini yang bebas melakukan sesuka hati mereka dengan melanggar undang-undang.

Walaupun himpunan berkenaan dikritik dan diperlecehkan kerana gagal mendapat kunjungan daripada yang disasarkan(terutama laman web yang kurang senang dengan Islam), namun kehadiran di antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung sudah cukup hebat kerana perhimpunan ini tidak seperti perhimpunan parti politik di Malaysia yang mempunyai dana propaganda parti masing-masing. Jika ada parti-parti politik melayu yang memperkecilkan himpunan ini, penulis berpendapat bahawa, anda sudah pasti silap.Sejarah telah membuktikan hal sebegini. Keadaan yang sama pernah melanda parti pemerintah apabila mantan Presiden mereka pernah diperlekehkan kerana kurang mendapat sambutan ketika beliau menghadiri perhimpunan bersuara menegur kepimpinan parti yang beliau wariskan selepas melepaskan kuasa.Natijahnya, akibat sikap memperlekehkan hal yang sedemikian, beberapa negeri di Malaysia telah terlepas ke tangan pihak lain pada pilihanraya yang lalu akibat undi protes dan amalan boikot.Penulis berani merumuskan di sini bahawa telah munculnya suatu kuasa ketiga paksi baru di arena politik negara ini yang menyeru kepada yang kebaikan dan menentang segala bentuk kejahatan. Himpun dilihat bakal menyatukan kesemua NGO-NGO dan individu-individu Islam di negara ini.

Yang paling menarik ialah, tiada satupun pemidato mengutuk mana-mana pertubuhan politik atau NGO yang lain yang bertuhankan dan berkiblatkan Yang Satu.Malahan mereka beramai-ramai mendoakan kesejahteraan umat agar diberikan taufikdan hidayah agar bersatu padu sama ada yang hadir ataupun yang tidak hadir.Konsep sebeginilah yang menjadi idaman dan cita-cita penulis selama ini. Antara resolusi dan tuntutan dan gesaan yang dikemukakan pada perhimpunan berkenaan ialah :

Pertama :
Menggesa SEMUA UMAT ISLAM YANG HADIR dalam perhimpunan pada hari ini BERSATU mempertahankan Aqidah Islam dari sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang mahu merosak dan memesongkan pegangan orang Islam. Bahawa setiap warga umat Islam perlu beriltizam untuk melindungi, mempertahan dan memelihara peruntukan mengenai kedudukan Islam yang istimewa  dalam Perlembagaan Persekutuan yaitu  Islam adalah agama Persekutuan dan semua peruntukan yang lain mengenai hak dan tanggungjawab Raja-raja Melayu dan Kerajaan, terhadap Islam mesti dihormati.
Setiap warga umat Islam di semua peringkat samada INDIVIDU, KELUARGA MAHUPUN IBUBAPA mesti berusaha meningkatkan kefahaman  dan penghayatan terhadap ajaran Islam selengkapnya demi melahirkan sahsiah Muslim yang mempunyai kemantapan iman dan ketinggian ketaqwaan dalam semua bidang kehidupan. Kefahaman sekularisme dalam kehidupan dan sikap perkauman assobiyyah yang sempit hendaklah dibanteras untuk menanamkan nilai ummah dan ukhuwwah sejagat pada setiap Muslim.

Kedua :
Menggesa semua pemimpin Islam dalam PARTI-PARTI POLITIK memperkukuhkan kesatuan umat Islam seperti yang diwahyukan dari Allah dalam Ayat 103 , Surah Ali Imran , mengelakkan perpecahan yang merugikan dan kembali kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah sepenuhnya demi melaksanakan Islam sebagai panduan seluruh aspek kehidupan.

Ketiga :
Menyeru agar SEMUA PIHAK menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah menjadi pelindung dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keempat :
Menuntut KERAJAAN mempastikan bahawa sensitiviti masyarakat Islam di negara ini dihormati. Oleh itu sebarang tindakan yang menghina dan mencabar kedudukan Islam yang istimewa di negara ini hendaklah diambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Himpun juga menggesa supaya kerajaan meningkatkan keberkesanan peranan dan fungsi semua institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Islam Negeri, Institusi Zakat dan Baitul Mal untuk memartabatkan Islam di negara ini dalam pelbagai aspek kehidupan umat samada sosial,budaya, ekonomi, undang-undang mahupun kepimpinan. Semua agensi Islam perlu menangani segala masalah yang dihadapi golongan mualaf dan golongan dhuafa serta kelompok yang memerlukan bimbingan supaya aqidah dan amalan Islam mereka dapat dimantapkan.

Kelima :
Menuntut supaya KERAJAAN segera  menggubal Undang-undang Pencegahan Murtad selaras dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan untuk membendung gejala murtad dan kegiatan pemurtadan dan dikuatkuasakan secara terselaras dan menyeluruh di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. Agensi kerajaan yang berkaitan perlu memantau dan bertindak ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran agama.

Keenam :
Menggesa kepada semua PERTUBUHAN POLITIK DAN BUKAN POLITIK (NGO) menggembleng tenaga dan seluruh sumber untuk meningkatkan penghayatan dan pembelaaan terhadap agama Islam di kalangan umat Islam demi memastikan martabat Islam dijulang dan kemuliaannya dipertahankan. Untuk itu seluruh organisasi Islam hendaklah berusaha semaksima mungkin untuk menyatukan umat  atas dasar Islam berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.

Ketujuh :
Mendesak pihak berkuasa KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI melaksanakan polisi yang tegas untuk menyekat segala bentuk hiburan melampau dalam media massa, kelulusan acara konsert terbuka yang berunsur liar dan pengeluaran lesen pusat hiburan yang menganjurkan acara yang mendedahkan generasi muda Islam kepada keruntuhan akhlaq dan penghakisan pegangan Aqidah Islam.

Kelapan :
Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk mempastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Kesembilan :
Menyeru semua PENGAMAL MEDIA MASSA melaksanakan tanggungjawab mengukuhkan aqidah Islam di kalangan umat Islam. Kami menggesa kepada kerajaan supaya memantau dan mengawal media massa yang menyiarakan bahan-bahan mengenai Islam yang boleh mengelirukan, menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi kesan kepada kefahaman masyarakat yang boleh menimbulkan konflik agama dalam masyarakat.

Kesepuluh :
Menuntut KERAJAAN menggubal undang-undang digubal dan dikuatkuasakan dengan berkesan  untuk menjaga sensitiviti agama di kalangan masyarakat dan mengelakkan kesucian Islam dari diperlekeh dan dihina oleh mana-mana pihak.

Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan doa oleh Datuk Dr Hassan Ali, seoarang pakar motivasi yang terkenal di Malaysia suatu ketika dahulu, sebelum menceburi bidang politik. Penulis mengeluarkan gelaran YB dari artikel ini sebagai menghormati kehadiran beliau ke majlis berkenaan hanya sebagai berkapasiti salah seorang Islam.Secara keseluruhannya penganjuran Himpun berkenaan bakal menjadi tanda aras kepada mana-mana pihak yang mahu berhimpun pada masa akan datang. Jika umat Islam boleh akur kepada undang-undang, kenapa pihak lain tidak boleh mencontohinya.

Wallahualam

Friday, October 21, 2011

Apa Pemimpin Bukan Islam Buat Di Masjid UIAM Semalam?

Hati penulis amat terguris apabila membaca berita di salah sebuah akhbar yang memetik terdapat seorang pemimpin pembangkang utama bukan Islam berada di Masjid UIAM bagi menyertai perhimpunan haram di universiti berkenaan semalm. Ini adalah satu tindakan yang biadab bilamana bukan Islam seolah - olah  menghina kesucian masjid.Ia juga secara jelas sebagai salah satu tindakan menghasut. Apa perasaan jika orang Islam pula bertindak balas menyertai tindakan menghasut di rumah ibadat yang lain?Kerajaan diminta bertindak tegas terhadap pihak berkenaan.

Tindakan ini sudah jelas menunjukkan rata-rata segelintir umat Islam yang gilakan kuasa sudah mula hilang pertimbangan dan hikmah yang sebenar dalam seni dan selok belok berpolitik secara bijak. Mungkin keadaan ini menuntut agar kita semua bermuhasabah dan kembali pada kesatuan Islam yang sebenar. Islam tidak boleh ditafsir sesuka hati dan berdasarkan kepentingan diri, tetapi Islam perlu diterima dan diamalkan berdasarkan Al Quran dan Sunnah.

Rata-rata umat Islam pada hari ini , hati dan sanubari mereka makin terbakar dengan tindak tanduk golongan ini yang merasakan seolah-olah majoriti rakyat di belakang mereka. Jika keputusan menunjukkan sebaliknya, mereka menyalahkan pula sistem pilihanraya yang tidak adil. Yang betul semata-mata hanyalah mereka dan yang tak betul ialah pihak yang tidak sependapat dengan mereka. Kerajaan dan pihak berkuasa perlulah mengambil tindakan terhadap pihak-pihak yang sering membakar hati dan perasaan golongan senyap ini agar api dalam sekam tidak terus bernyala dan membakar. Golongan ini seolah-olah dilihat amat kebal bila mereka sering dilihat berbuat sesuka hati tanpa tindakan. Tiada yang kebal di dunia ini melainkan Allah.

Wallahualam

Jatuhnya Rejim Gadaffi :Satu Renungan

Bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi terbunuh dalam serangan tentera kerajaan sementara Libya dibantu oleh tentera udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran bandar Sirte, awal hari ini. (20 Oktober 2011)Gaddafi, 69, terbunuh setelah mengalami cedera parah dalam serangan awal subuh.Turut terbunuh dalam serangan itu ialah Mutassim, anak kelima Gaddafi.Kematiannya menamatkan pemburuannya selama dua bulan sejak beliau melarikan diri setelah kejatuhan Tripoli ke tangan tentera pemberontak pada Ogos lalu.

Kejatuhan rejim Gadaffi sepatutnya menjadi satu pengajaran buat umat Islam. Umat Islam sekarang ini dilihat masih bergelut untuk mencari halatuju yang sebenarnya. Namun begitu, cara mayat pemimpin tersebut dilayan seolah-olah tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenarnya.Diberitakan, mayat tersebut diseret dengan cara yang kurang berhemah.

Jika ini benar, kita tidak boleh terlalu berharap sangatlah rejim yang baru ini(sementara) akan memerintah selaras dengan ajaran Islam yang sebenar. Namun, kita masih mengharapkan yang terbaik bagi kerajaan baru Libya nanti menerusi pilihanraya yang bakal diadakan selepas kejatuhan Gadaffi.Semoga saudara seislam kita di sana mendapat keberkatan dan perlindungan daripada Ilahi.

Kepada pemimpin politik di negara ini, kita mengharapkan yang terbaik dari mereka. Berpolitiklah secara berhemah dan jalankan tugas dan kewajiban anda semua. Kemaslahatan umat perlulah diutamakan berbanding keperluan peribadi dan puak-puak tertentu sahaja(tanpa mengira mana-mana pihak).Ini kerana, setiap amalan kita akan dihisab di akhirat nanti. Al Fatihah kepada semua umat Islam yang terbunuh dalam krisis berkenaan.

Wallahualam

Wednesday, October 19, 2011

Himpun Diteruskan


Utusan Malaysia pada 19 Okt.2011 telah melaporkan bahawa  Sekretariat Himpunan Sejuta Umat (Himpun) akan meneruskan perhimpunan mempertahankan akidah umat Islam di Shah Alam, Sabtu ini walaupun sebuahsebuah  parti yang mendakwa memperjuangkan Islam selama ini membuat keputusan untuk tidak menyertai program tersebut. Pengerusi Bersama Himpun, Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pihak sekretariat akan mengumpulkan seberapa ramai masyarakat Islam daripada pelbagai latar belakang atas semangat persaudaraan demi mempertahankan akidah yang satu.

Sesungguhnya beliau berkata, dorongan perhimpunan itu bertitik-tolak daripada keprihatinan terhadap amanah dan tanggungjawab kepada Allah atas kepentingan akidah tauhid yang satu dan bukan menyentuh untuk kepentingan mana-mana parti politik.  ''Namun begitu, ingin saya jelaskan di sini bahawa kehadiran parti-parti politik termasuk seluruh kepimpinan dan ahlinya adalah amat dialu-alukan. Oleh itu, kami terus membuka undangan kepada semua kepimpinan Islam dari semua parti politik supaya turut serta dalam perhimpunan ini.

''Kami benar-benar mengharapkan semua pihak memahami bahawa isu yang hendak ditampilkan oleh Himpun ini berkaitan dengan persoalan mempertahankan akidah umat Islam daripada tergugat, pada masa sama mengekalkan keharmonian antara kaum dan agama di negara ini,'' katanya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di sini, hari ini bagi mengulas keputusan parti berkenaan untuk tidak terlibat di dalam program Himpun Sabtu ini.

Menurut Presiden parti berkenaan , pihaknya telah dimaklumkan bahawa program itu tidak melibatkan parti-parti politik dan oleh itu, parti berkenaan  mengambil pendirian untuk tidak terlibat dalam himpunan tersebut sebagai menghormati kehendak penganjur program.

Mengulas lanjut Azmi berkata, di dalam perhimpunan itu pihaknya mahu menyampaikan mesej bahawa akidah umat Islam mesti dipelihara dan diperkukuhkan dalam sebuah negara berbilang agama. Satu lagi mesej jelas beliau, ialah mengenai penegasan berhubung larangan menyebarkan dan mengembangkan agama selain Islam kepada umat Islam yang sepatutnya dihormati dan tidak dicabar.

''Melalui perhimpunan ini kita juga mahu menyampaikan mesej supaya semangat perhubungan yang harmonis antara semua penganut agama perlu dipertahankan berdasarkan hak dan kebebasan beragama seperti yang terjamin dalam Perlembagaan Persekutuan,,'' ujarnya. Dalam perkembangan sama, Penasihat Kehormat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ahmad Zaki Ismail berkata, keengganan parti tersebut  menyertai perhimpunan itu membuktikan parti tersebut berkiblatkan kuasa semata-mata. Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai talam dua muka, beliau turut mendesak parti tersebut  supaya membuat pertimbangan untuk kembali ke pangkal jalan semula dengan menyertai perhimpunan ini.

"Tindakan parti tersebut  seolah-olah menolak realiti wujudnya cabaran keruntuhan akidah umat Islam yang berleluasa di negara ini. "Kenapa mereka menggadai prinsip asas agama ini? Adakah mereka  melihat kuasa politik itu lebih besar daripada perjuangan mendaulatkan agama? Adakah menjaga hati rakan-rakan pembangkangnya lagi penting?'' soalnya.

Tambah Ahmad Zaki, sepatutnya parti tersebut  dengan imej Islamnya berada di barisan paling hadapan bagi menangkis gejala murtad dan bukannya bertindak mengecewakan masyarakat Islam kerana enggan terlibat. Sementara itu, Pensyarah Jabatan Ekonomi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abdul Rahman yakin perhimpunan itu akan menerbitkan nilai-nilai positif di kalangan penganut agama lain terhadap Islam. ''Melalui perhimpunan ini kita akan mengingatkan mereka supaya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan dan bukannya bertindak mencetuskan ketegangan agama,'' katanya lagi.

Sumber : Utusan Malaysia

Apabila "Bersih" Lebih Diutamakan Daripada "Himpun"

Berita tentang keputusan salah sebuah parti yang mendakwa memperjuangkan Islam untuk tidak mengambil bahagian daripada perhimpunan "Himpun" amat mengecewakan. Sebelum ini sayap pemuda parti berkenaan memberi sokongan penuh terhadap perhimpunan berkenaan. Walaupun perhimpunan ini tidak mewakili mana-mana parti politik, kenyataan rasmi parti berkenaan amat mengecewakan penulis. Setidak-tidaknya penulis berpendapat parti berkenaan sepatutnya membuat kenyataan bahawa tidak akan menghalang  mana-mana ahli yang mahu menyertai perhimpunan berkenaan yang dijadualkan dibuat secara tertutup di Stadium Shah Alam. Untuk rekod, parti berkenaan adalah penyokong utama pada perhimpunan Bersih yang telah diadakan tidak berapa lama yang lalu.

Perhimpunan "Himpun" bakal dianjurkan bagi menunjukkan sokongan agar gejala murtad diberi perhatian sewajarnya oleh umat Islam di negara ini. Manakala perhimpunan "Bersih" ialah suatu perhimpunan haram yang kononnya menuntut sistem pilihanraya yang adil.Jika berita ini benar,maka sahlah firasat penulis dari  nukilan hati dan sanubari bahawa kita umat Islam di Malaysia masih tidak dapat bersatu dalam soal memartabatkan  "Islam". Kita masih berdendam dan bersengketa disebabkan nafsu gila kuasa dan hendak menjaga hati pihak yang memusuhi Islam yang mana kita sekarang ini bekerjasama untuk berkuasa. Kita rela berhimpun pada perhimpunan yang diketuai oleh pemimpin yang terang-terang mempunyai agenda tidak baik terhadap Islam, tetapi kita menikus bila umat Islam perlu disedarkan betapa pentingnya menyedarkan akan umat Islam terhadap bahayanya tergelincirnya akidah.

Kesimpulannya ialah undi dari umat Islam sekarang nampaknya tidak penting lagi di kaca mata mereka. Mereka mahu menjaga hati pihak yang tidak senang dengan Islam. Nampaknya, betapa hinanya dan rendahnya nilai undi umat Islam di kaca mata mereka sekarang. Suara akar umbi dan kebimbangan umat Islam tidak dipedulikan lagi. Tak apalah, umat Islam akan mencari dan terus mencari mereka yang mahu mendengar dan membela hak umat ini.Maklumlah, kami ini pihak yang minoritilah katakan... Umat Islam akan terus berusaha berjuang menyatukan mereka yang mahu bersatu pada jalan Allah. Usaha dan doa kami jangan diperkecilkan dan kami akan buktikan bila tiba masanya nanti.

Wallahualam



Tuesday, October 18, 2011

Batu Karang Dalam Buah Pinggangku

Selepas sahaja waktu maghrib hari ahad lalu, dengan tiba-tiba pinggangku terasa teramat sakit. Ini kali kedua selepas dua tahun lepas ianya berlaku ke atas aku. Sah-sah dalam hatiku, ini sudah semestinya disebabkan angkara batu karang yang ada di dalam buah pinggangku. Entah sejak bila ianya muncul kembali.

Setelah sejam berlalu, sakit berkenaan tidak menunjukkan akan reda walaupun berkali-kali disapu krim oleh isteriku.Batu karang sebelum ini cuma bertapak di sebelah kiri buah pinggangku sahaja.Namun ianya telah dikeluarkan. Tapi bukannya melalui kaedah pembedahan tetapi melalui kaedah alternatif yang mungkin ramai diantara kita kurang percaya.

Penulis sebelum ini , mendapatkan rawatan alternatif di Melaka menerusi seorang Haji di Kampung Gangsa.Beliau hanya menggunakan kaedah menyapu krim dan mencubit di bahagian yang beliau dapati ada batu karang.Dengan tiba-tiba, keluarlah batu karang di bahagian kulit yang dicubit dan ditariknya itu. Kenyataan yang beliau keluarkan berkenaan kes aku agak sama dengan apa yang doktor perkatakan walaupun aku tidak berkata apa-apa lagi kepada beliau.

Aku pada mulanya tidak percaya bila dicadangkan ke tempat berkenaan. Tetapi bila rakan-rakan aku menceritakan, tiada syarat yang dikenakan bahkan kalau nak bayarpun Tn Haji tidak meminta dan siapa yang nak derma ikut kemampuan dan seikhlas hati sahaja. Kalau ada perbelanjaanpun, jikalau hendak beli botol kosong yang dijual oleh orang-orang kampung untuk diisi air untuk dibawa pulang, ataupun ubat krim.Krim itupun kadang-kadang diberi percuma.Oleh yang demikian, tak salah mencuba.

Yang menariknya, bila buat pemeriksaan susulan di hospital, Dr yang merawat telah mengesahkan bahawa batu berkenaan sudah tiada dalam buah pinggangku. Namun aku tidak dibenarkan memakan kacang tanah, meminum milo dan cokelat. Maka terpaksalah aku menikmati sate tanpa berkuah kacang selepas itu. Namun kadangkala, bila termakan makanan atau kek berperisa cokelat atau tertelan kacang disebalik nasi lemak, maka sakit berkenaan datang kembali. Terpaksalah hantar badan pergi servis ke Melaka keluarkan batu karang yang muncul kembali disebabkan terlanggar pantang.

Tetapi, apa yang terjadi baru baru ini amat mengejutkan. Ianya tiada petanda langsung sebelum sakit berkenaan akan datang. Maka terpaksalah aku dihantar ke Hospital Pantai pada malam itu juga. Bila dibuat imbasan, maka ternampaklah batu karang di dalam buah pinggang di bahagian kanan sebesar 2 mm seperti mana yang tertera di laporan.Yang lain sudah turun ke pundi kencing dan telah terasa seakan terkeluar ketika membuang air kecil.Maka terpaksalah aku bermalam di Hospital berkenaan buat semalam, disebabkan ujian air kencing menunjukkan adanya campuran darah.

Apabila dibenarkan keluar sahaja oleh doktor pakar(disebabkan batu itu kecil) dan diberi cuti sakit dua hari.Aku dinasihatkan meminum banyak air sebelum diminta datang semula ke hospital dalam masa 2 minggu lagi.Maka pada awal-awal pagi tadi berbegaslah aku ke Melaka semula setelah lebih 6 bulan tidak ke sana. Alhamdulillah, pada hari ini tak ramai pula pesakit seperti selalu . Tambahan lagi pada awal-awal lagi aku berdoa agar dipermudahkan urusan pada hari ini. Kalau tidak sehari suntuklah kena tunggu . Kali ini,tak sampai setengah jam sahaja nombor giliran dah sampai. Lagipun , tuan aji panggil aku dan dua orang lain yang duduk dekat pintu bilik rawatan beliau. Agaknya tengok muka aku yang nampak toya dan kesian ni, maka dipercepatkan dan dipanggil pesakit 3 orang sekaligus. Tanpa bertanya, Tn haji menarik dibahagian kanan buah pinggang aku dan keluarlah batu sebesar 2mm(dengan izin Allah S.W.T).

Batu Karang Bancik 2011

Pada masa yang sama, Tn Haji mengumumkan ubat yang baru  dihasilkan telah mendapat kelulusan. Antara kebaikan ubat berkenaan, jika dimakan, batu akan turun dengan sendirinya(dengan izin Allah), dan tiada pantang larang lagi untuk makanan tertentu, cuma tinggal pantang nampak...Tapi aku tak dapat memilikinya lagi kerana ianya belum dikeluarkan lagi.

Namun, hal ini menyebabkan aku berfikir bahawa setiap penyakit dan dugaan datang dari Allah S.W.T., maka Allah jualah yang menyediakan penyelesaiannya. Sesungguhnya Tn Haji ini adalah seorang yang diberi kelebihan olehNya untuk membantu pesakit-pesakit yang senasib denganku. Allah jualah yang Maha Berkuasa, Maha Besar, Maha Memberi dan segalanya.

Wallahulam.

Saturday, October 15, 2011

Banjir Di Pasar Borong Selayang

Sebaik sahaja penulis sampai di Pasar Borong Selayang pagi tadi, penulis ternampak kesan-kesan  lumpur di bahagian bawah sebelah Pasar Borong Selayang. Ianya merangkumi kawasan gerai-gerai ayam segar di pasar berkenaan. Seorang penjaja ayam memberitahu penulis bahawa banjir kilat telah melanda kawasan berkenaan pada petang semalam sekitar pukul 3 petang.

Difahamkan air sungai bersebelahan tempat berkenaan telah melimpah dipercayai disebabkan oleh pelepasan air empangan di hulu disebabkan hujan lebat. Jika ini keadannya sekarang, maka eloklah kita menjauhi daripada berkelah di sungai-sungai bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Sudah banyak kali dilaporkan kejadian mati lemas disebabkan mangsa telah dihanyutkan oleh air sungai ketika berkelah.

Pihak berkuasa juga diharapkan agar melakukan kerja mendalamkan sungai atau longkang secara berterusan untuk mengelakkan banjir kilat di kawasan-kawasan tertentu.Ini bagi mengurangkan beban penduduk di kawasan berkenaan dalam menjalankan kehidupan mereka seharian.

Wallahualam

Friday, October 14, 2011

Jangan Mengkritik Jika Takut Dikritik

Kisah cabar mencabar di antara seorang ahli akademik dan salah seorang politik bebas telah menarik perhatian penulis. Ianya lebih dilihat pertembungan diantara dua pihak iaitu di pihak akademik dan di pihak yang berada di industri perundangan. Pihak ahli politik pula mencabar supaya ahli akademik berkenaan meletakkan jawatan manakala ahli akademik itu pula mencabar ahli politik bebas berkenaan meletakkan jawatannya dan menyertai bidang akademik agar mereka dapat berdebat setelah beliau dikritik hebat tentang kenyataannya mengkritik institusi tertentu di media pro pembangkang.Yang menariknya ahli perlimen bebas berkenaan juga dikategorikan sebagai pembangkang di negara ini. Bagi penulis jika kita tidak suka dikritik secara terbuka, kita juga janganlah sewenang-wenang memberikan kritikan terbuka kepada mana-mana pihak, lebih-lebih lagi terhadap institusi yang menjadi payung dan benteng terakhir kepada kekuatan umat Islam di negara ini.

Bagi penulis, itulah sebenarnya lumrahnya di mana ahli akademik dan ahli-ahli di industri di Malaysia jarang dapat bersatu dan bersependapat. Lebih malang lagi bila mana ahli -ahli industri yang menyambung pengajian mereka secara separuh masa di universiti sering diperli dan diperlekehkan oleh segelintir ahli-ahli akademik yang tidak berfikiran terbuka bila mereka membentangkan kertas kerja mereka. Ini adalah salah satu sebab di mana hasil kajian di universiti,rata-rata tidak dapat dikomersialkan disebabkan  tanggapan perbezaand arjat. Faktor seperti ini menyebabkan syarikat-syarikat korporat lebih selesa mendapatkan khidmat perunding dari luar negara berbanding apa yang ada di universiti-universiti tempatan.

Berbalik kepada isu awal tadi, eloklah kita hentikan perdebatan. Berbincanglah secara tertib dan berhemah untuk kepentingan umat di negara ini. Jadilah seperti rasmi padi, semakin berisi semakin tunduk . Semakin berilmu atau berkuasa, semakin tunduk dan patuhlah kita  kepada Allah dan merendah diri tanpa ada unsur-unsur sombong dan bongkak.

Golongan Akademik Juga Tidak Bebas Dari Pengaruh Politik

Tindakan seoarang ahli akademik menegaskan bahawa beliau bebas dari fahaman politik dalam isu yang beliau telah cetuskan dari segi perlembagaan dan hak Sultan, menyebabkan penulis tersenyum kelat. Dari pengalaman penulis, ketika belajar di IPTA dahulu agak signifikan juga pensyarah-pensyarah yang menyampaikan ceramah yang berbau politik ketika kuliah mereka. Yang betul masa mengajarnya  ikut silibus hanya 20 % sahaja. Kita yang jadi pelajar ni, terpaksalah bertungkus lumus dapatkan yang tertinggal dengan belajar sendiri. Macam mana nak dapat A + kalau dah jadi macam tu?

Jika beliau tidak dipengaruhi politik, pendapat dan kajian beliau perlulah ditulis dan dibentangkan secara berhemah di journal akademik dan seminar yang tertentu secara tertutup. Golongan akademik telah disediakan platform yang luas di bidang mereka untuk memperkenalkan teori dan hujah mereka berdasarkan "literature" yang telah sedia ada. Dengan itu dakwaan bahawa beliau bebas dari politik dan tugasnya hanya mendidik boleh dipertikaikan. Cuma persoalannya, adakah beliau juga terdiri daripada rata-rata pensyarah yang penulis maksudkan? Tak hairanlah jika rata-rata mahasiawa di Malaysia ini asyik nak berpolitik tak berkesudahan dan mengabaikan pelajaran. Adakah golongan modal insan seperti ini yang Malaysia hendak lahirkan?

Jika selama ini kerajaan asyik menyalahkan pelajar-pelajar, kerajaan juga perlu dipersalahkan kerana menggaji pensyarah yang tidak berkualiti. Moga perkara seperti ini perlu diberi perhatian sewajarnya.

Wallahualam

Taatilah Ketua Selagi Dianya Tidak Menderhaka Kepada Allah Dan Rasul

Tindakan seseorang yang menjawat jawatan akademik yang senior di salah sebuah universiti melakukan kritikan terbuka di media pro-pembangkan terhadap ketua agama Islam di sebuah negeri telah mencetuskan suasana kurang senang rata-rata umat Islam di negara ini. Beliau mendakwa tindakan ketua agama itu campur tangan dalam isu tersebut sebagai bukan sesuatu yang lazim dan tidak selaras dengan ajaran Islam walaupun pada masa sama, beliau sendiri mengakui hak mutlak baginda selaku Ketua Agama Islam negeri.Namun beliau ditempelak olah rata-rata pihak di negara ini atas tindakan beliau itu yang seolah-olah tidak pula mengkritik usaha-usaha pihak yang cuba mendakyahkan agama lain kepada umat Islam.

Namun begitu, penulis yakin bahawa sebagai ketua agama Islam, Ketua Agama Islam(Baginda) berkenaan berhak melahirkan rasa tersinggung seperti mana manusia biasa.  Malahan , beliau bukannya murka.Seperti penulis baginda juga akan melahirkan apa jua yang terbenam di sudut hati dan sanubari beliau terhadap sesuatu isu. Baginda juga manusia biasa. Selaku Ketua Agama Islam negeri, di bawah Undang-Undang Tubuh Perlembagaan Negeri , baginda bukan sahaja mempunyai hak, malah bertanggungjawab bagi membela, mempertahan, mendaulat dan memartabatkan agama Islam di negeri berkenaan.

Apabila tugas baginda yang cuba membela dan mempertahankan, mendaulatkan agama, jika kita sebagai seorang yang beriman perlulah menerima dengan hati terbuka teguran baginda dan janganlah kita menyalak di media-media yang dikuasai oleh bukan Islam yang tindak-tanduk mereka selama ini agak cenderung membenci kemajuan umat Islam.

Wallahualam.

TNI Nafi Malaysia Ceroboh Kawasan

Utusan Malaysia telah melaporkan pada  14 Okt. 2011 bahawa  Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Laksamana Agus Suhartono  telah menegaskan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) bahawa tiada wilayah negara itu di Camar Bulan dan Tanjung Datu, Kalimantan Barat diambil oleh Malaysia seperti yang didakwa baru-baru ini.Menurutnya, perbatasan Kalimantan Barat dikawal oleh anggota TNI seperti mana perjanjian yang dicapai antara Indonesia dengan Malaysia dan kesemua pos penjagaan dilengkapi data koordinat untuk setiap penanda sempadan.

Beliau memberitahu, anggota TNI sering mengadakan rondaan bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di wilayah perbatasan itu.“Kalau pada masa rondaan ditemui penanda pada kedudukan berbeza, secara bersama ia akan dikembalikan ke koordinatnya,” katanya pada sesi perjumpaan dengar pendapat dengan Suruhanjaya I, DPR di sini.Isu sempadan Malaysia-Indonesia ditimbulkan oleh Timbalan Ketua Suruhanjaya I DPR, TB Hasanuddin dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendakwa kononnya wilayah Camar Bulan seluas hampir 1,500 hektar dan wilayah Tanjung Datu seluas 800 meter garis pantai telah diambil oleh Malaysia secara haram.Suhartono berkata, sebelum ini Panglima Daerah Tentera XII Tanjungpura, Mejar Jeneral, Geerhan Lantara telah melakukan tinjauan ke kawasan yang didakwa berlaku pencerobohan dan hasilnya didapati perkara itu tidak berlaku.

Sumber: Utusan Malaysia

Akta Murtad : Jangan Berdiam Diri

Utusan Malaysia pada  14 Okt 2011 telah melaporkan gesaan kepada  Pemimpin utama Pas agar tidak berdiam diri berhubung cadangan mewujudkan Akta Murtad bagi membendung gerakan memurtadkan umat Islam yang semakin berleluasa di negara ini.Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, sokongan dan kerjasama daripada parti itu penting demi melindungi akidah umat Islam seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan negara.

Sehubungan itu, beliau mahu pemimpin Pas  menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu tanpa mengambil kira perbezaan ideologi dan pegangan politik."Sebagai parti yang berlandaskan prinsip perjuangan Islam, Pas harus ke depan dalam hal ini untuk bersama-sama menangani masalah itu secara berhemah.
"Sokongan yang diberi harus dibuat tanpa memihak kepada kepentingan politik parti," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria mencadangkan Akta Murtad bagi menghukum mereka yang terbukti bersalah memurtadkan orang Islam di negara ini.Dalam pada itu, beliau memuji kenyataan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad yang menyokong Akta Murtad bagi memastikan akidah umat Islam tidak sewenang-wenangnya dipermainkan oleh pihak tertentu.

Mukhriz turut mengingatkan rakyat negara ini supaya tidak memandang serong dan mempersoalkan usaha itu kerana ia membabitkan soal pemeliharaan akidah umat Islam dan tidak menyentuh hak-hak penganut agama lain di negara ini."Perlembagaan telah menetapkan orang bukan Islam tidak boleh mendakwah ajaran agama mereka kepada umat Islam.

Sumber: Utusan Malaysia

Bersyukurlah Kita Hidup Aman Makmur

Selepas sahaja berakhirnya Ramadhan yang lalu, boleh dikatakan setiap hari di pejabat-pejabat telah diadakan jamuan terbuka di unit masing-masing. Tambahan pula pada hujung minggu pula, boleh dikatakan juga diadakan rumah terbuka dan sebagainya.

Menjelang pula cuti persekolahan yang dah tak lama lagi, akan banyak pula undangan perkahwinan dan sebagainya. Itu belum masuk lagi sambutan Hari Raya Qurban, Deepavali bagi masyarakat India dan Krismas bagi yang beragama Kristian. Setiap perayaaan di Malaysia sekarang bakal disusuli dengan rumah terbuka.

Oleh yang demikian, sebagai salah seorang rakyat Malaysia , penulis berasa bersyukur kepada Allah S.W.T atas nikmat yang diberikan. Oleh itu nikmat yang sedemikian perlu disyukuri oleh kita semua kerena jika tidak, balasan, bencana dan azab Allah adalah amat pedih.

Wallahualam.

Punca Kehancuran Umat Islam

Tsauban r.a. berkata; "Telah bersabda Rasulullah S.A.W; " Sesungguhnya Allah S.W.T. telah memperlihatkan kepadaku(peta) bumi secara keseluruhan, aku dapat melihat bumi di sebelah Timur dan Barat. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke seluruh tempat yang telah diperlihatkan oleh Allah  S.W.T. kepadaku".

Sabda Baginda seterusnya;" Kepadaku telah diberikan dua macam perbendaharaan iaitu merah dan putih. Aku telah memohon kepada Allah  S.W.T. untuk membantu umatku supaya mereka tidak dibinasakan dengan musim susah yang panjang,dan aku telah memohon kepada Allah  S.W.T. supaya mereka tidak dijajah oleh kekuasaan asing selain oleh mereka sendiri, sehingga kekuasaan mereka itu menjadi hancur luluh.

Lalu Allah  S.W.T. berfirman; "Ya Muhammad, apabila Aku telah memutuskan suatu putusan, maka putusanKu tidak dapat diubah lagi. Aku perkenankan doamu untuk umatmu, bahawa mereka  tidak akan binasa dengan musim susah yang panjang. Dan aku tidak akan menjajahkan kepada mereka suatu kekuatan musuh selain diri mereka sehingga kekuasaan mereka itu menjadi hancur luluh, sekalipun musuh-musuh mereka bersatu mengelilingi, melainkan bila sebahagian mereka membinasakan yang sebahagian dan mereka saling tawan-menawan".

Nota : Bagi yang kurang faham, bolehlah merujuk kepada alim ulama yang muktabar untuk kefahaman lanjut.

Kepada umat Islam di Malaysia dan di Nusantara, hadis ini amat kritikal bagi kita merenungkan kembali suasana yang berlaku sekarang agar dapat kita bermuhasabah dan memperbaiki diri. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahualam

Thursday, October 13, 2011

Malaysia & Indonesia :Mengapa Kita Harus Bersengketa?

Utusan Malaysia hari ini telah memaparkan aksi tunjuk perasaan yang dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan, Forum Betawi Rempug (FBR) mencetuskan ketegangan sehingga menyebabkan lampu pecah serta kerosakan di pagar bangunan tersebut di Jalan Rasuna Said di sini.Perhimpunan yang berlangsung selama sejam setengah bermula pukul 1 tengah hari itu menyaksikan betapa liarnya sikap sebahagian daripada 650 penunjuk perasaan.

Tindakan tidak bertamadun penunjuk perasaan itu juga turut mencederakan sembilan anggota polis Indonesia selepas terkena balingan objek seperti batu, kayu dan buluh yang berusaha mengawal keadaan genting itu.
Penunjuk perasaan itu berhimpun di depan Kedutaan Besar Malaysia untuk menyatakan bantahan terhadap Malaysia yang kononnya didakwa mengambil tanah seluas lebih 1,000 hektar secara haram di Kalimantan Barat.

Para penunjuk perasaan yang dipimpin oleh Pengarah FBR, Edwan Hamidy itu turut membawa sepanduk bertulis 'FBR siap mengajari Malaysia cara-cara menjadi negara yang baik'.Tidak ketinggalan, pelbagai kata-kata kurang manis diucapkan oleh beberapa pemimpin tertinggi FBR yang secara jelas mengecam dan menghina negara Malaysia.

Sementara itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan sebagai tidak berasas tuduhan golongan tertentu di Indonesia kononnya Malaysia mencuri tanah republik itu.Beliau berkata penentuan sempadan mengikut garis-garis darjah tertentu telahpun termaktub dalam perjanjian antara British dengan Belanda bertarikh 1891, 1915 dan 1928, dan pengukuran telah dibuat oleh pihak Malaysia dengan Indonesia dan kedua-dua pihak telah menandatangani persetujuan pengukuran itu.

"Kalau dituduh Malaysia ambil tanah itu, ini merupakan sesuatu dakwaan yang tidak benar,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM2.58 juta daripada Affin Bank Investment Berhad di sini hari ini.

Sumber: Bernama & Utusan Malaysia

Bagi penulis, ini adalah satu daripada rencana oleh pihak-pihak untuk melihat dua buah negara yang mempunyai penduduk Islam supaya tidak dapat bersatu.Nampak gayanya pada akhir zaman, umat-umat Islam sering tunjuk berani dan berlawan sesama sendiri tetapi menikus bila mana golongan kuffar memperkotak katikkan Islam dan saudara seagama di seluruh dunia. Benarlah kata Rasulullah S.A.W.bahawa umat Islam pada akhir zaman takut mati dan cinta dunia serta seumpama buih-buih di lautan.Oleh yang demikian eloklah umat Islam di Malaysia dan Indonesia bermuhasabah agar kita semua sentiasa dilindungi oleh rahmat Allah S.W.T.

Renung-renungkan dan selamat beramal.

Wallahualam


Sunday, October 9, 2011

Filem Turut Berperanan Membina Masyarakat

Teguran bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bahawa penayangan filem yang bercorak hantu tidak membantu pembangunan masyarakat amat tepat pada masanya. Ini bukan sahaja terhadap filem dan drama dari Malaysia, tetapi termasuk juga filem-filem dari negara luar.

Bagi penulis yang membesar dengan suasana pengalaman ubat mengubati penyakit berkaitan hantu-hantu ini, penayangan filem seperti berkenaan akan terus memberi idea kepada mereka-mereka yang mempunyai masalah hati dan hasat dengki mengamalkan ilmu sihir. Jika kita tidak tayangkan sudah tentu idea seperti ini tidak akan timbul di kalangan mereka.

Berdasarkan kepada pengalaman penulis yang melihat arwah bapa penulis mengubati mereka yang bermasalah, ada pasangan yang bahagia bercerai berai, peniaga yang berjaya, tiba-tiba tiada pelanggan, rasukan di tengah-tengah malam dan sebagainya. Semua itu pernah mengganggu tidur penulis ketika zaman kanak-kanak apabila pintu rumah sering diketuk di waktu tengah-tengah malam untuk meminta bantuan.

Oleh yang demikian, filem berkenaan bukannya dapat memberi pengajaran , tetapi kecenderungan penonton untuk mengikuti hal yang negatif lebih tinggi.Maka eloklah penggiat seni melihat dari sudut penghasilan filem-filem berkisarkan sejarawan Islam di zaman silam, perjuangan yang yang suci, konsep perpaduan yang boleh memberikan motivasi kepada penonton dan sebagainya. Dengan adanya filem-filem bercorak seperti  itu, penulis yakin ianya sedikit sebanyak dapat menyumbang dari segi membina peradaban bangsa.

Wallahualam.

Semoga Mendapat Haji Mabrur

Pilu dan tumpang gembira apabila melihat saudara seagama yang telah mendapat peluang mengerjakan haji pada tahun ini. Di sudut hati ini hanya mampu berazam untuk ke sana suatu hari nanti. Moga Allah S.W.T mendengar rintihan di sanubari ini. Bukan mudah untuk ke sana pada masa kini. Bilangan yang mendaftar beratus ribu, tetapi qouta haji cuma tak seberapa. Tapi penulis redha, mungkin Allah S.W.T mahukan penulis menuntut ilmu  terlebih dahulu dalam selok belok mengerjakan haji agar penulis benar-benar sedia bila tiba masanya nanti.

Kepada sahabat-sahabat yang masih belum mendaftar, eloklah mendaftar dengan Tabung Haji dari sekarang.Lebih-lebih lagi kerajaan, tak silap penulis telah meluluskan dalam Bajet 2012 baru-baru ini untuk membenarkan pencarum mengeluarkan sejumlah wang daripada KWSP sebagai wang pendahuluan mendaftar untuk ke haji.

Namun penulis berharap agar, kerajaan akan membenarkan sejumlah pengeluaran wang untuk membolehkan terus pencarum mencukupkan jumlah wang untuk menunaikan haji. Ini membolehkan pencarum dapat merasa wang simpanan mereka di tabung berkenaan(KWSP) untuk menunaikan rukun Islam yang ke lima.Kalau boleh, linkkan terus pendaftaran mereka dengan Tabung Haji apabila pencarum mendaftar di KWSP untuk tujuan haji. Kepada yang telah dapat pangilan haji pada tahun ini, penulis mengucapkan tahniah dan semoga mendapat haji yang mabrur.

Wallahualam


Friday, October 7, 2011

Balada Warga Tua : Di Luar Kemampuan Ku


Rumah  Jagaan
& Rawatan
Orang Tua Al-Ikhlas
Foto oleh myBancik 2011

Semalam penulis telah menyertai program kemasyarakatan di Rumah Jagaan & Rawatan  Warga Al-Ikhlas Tua di Kampung Pulau Meranti Puchong, Selangor. Rumah ini dipercayai yang pertama dan hanya setakat ini dilaksanakan oleh orang Islam dan dijalankan secara sukarela oleh seorang wanita Islam bersemangat Waja . Alhamdulilah, Allah S.W.T telah mengutuskan wanita berkenaan menyahut seruan fardhu kifayah ini. Kebanyakan rumah-rumah kebajikan seperti ini dijalankan oleh golongan bukan Islam di negara. Realiti seperti ini menuntut agar umat Islam bersatu untuk mewujudkan lebih banyak pusat perlindungan buat warga  tua kurang berupaya, miskin dan tidak berwaris. Janganlah kita berfikiran negatif bahawa kewujudan rumah-rumah berkenaan akan menyebabkan ada pihak di kalangan waris akan mula lepas tangan.

Penulis dengan ini menyeru pimpinan Baitulmal di negeri-negeri berusaha mewujudkan pusat sedemikian di setiap negeri. Kalau ramai dari golongan yang mendakwa memperjuangkan Islam sanggup mendesak dan berpiket untuk menuntut pilihanraya yang adil, kenapa tiada pihak yang sanggup bersuara memperjuangkan serta mendesak dalam isu yang berkenaan? Apakah membiarkan warga tua dan tidak berupaya menghabiskan usia mereka di pusat-pusat penjagaan bukan Islam adalah suatu tindakan bijak? Aktiviti di akhir tua mereka sepatutnya diisi dengan penghayatan Islam yang lebih baik dan dibimbing oleh penjaga yang beriman. Kita telah mempunyai NGO-NGO Islam di negara ini, tetapi (maaf dengan izin) bilangan mereka masih lagi bagaikan buih-buih di lautan. Kita masih suka berpolitik yang tidak berkesudahan, berbalah dalam bab yang remeh temeh serta  nak ubah sejarah ikut nafsu masing-masing sedangkan golongan yang sepatutnya dibela terus terbiar.

Hati penulis tersentuh bila mendengar ada di kalangan anak-anak menghantar ibu atau bapa mereka ke rumah berkenaan, tetapi terus tidak menjenguk sehingga ibu atau bapa mereka meninggal dunia di rumah penjagaan berkenaan. Akhirnya akibat terlalu kecewa si ibu mengatakan bahawa dia tidak mempunyai anak.Mungkin ibu atau bapa mereka tidak mempunyai harta atau kudrat lagi yang boleh membahagiakan anak-anak lagi, menyebabkan mereka diabai.Dahlah tidak berharta, tenaga nak disumbangkan menjaga cucu pula sudah tiada lagi. Teringat penulis akan lagu dendangan kumpulan UK's untuk renungan bersama :

Tika senja melabuhkan layarnya
Terpancarlah warna keemasan
Dapat aku bayangkan jika engkau ada
Pasti suasana 'kan lebih bermakna


Suasana akan lebih bermakna jika di akhir usia anak-anak ada bersama.

Sayangnya terputus tali janji
Suatu waktu kukuh termetri
Kata mu kasih sayang tak bererti
Tidak menjanjikan untuk esok hari

Dulunya anak-anak mungkin pernah berjanji  untuk menjaga ibu dan bapa bila berjaya......Ku cermin diri ini
Terteralah kedaifan
Yang tak engkau inginkan
Ku melepas keluhan
Yang panjang
Menyesali kemiskinan ku ini

Kini anak-anak mungkin malu serta berasa kesusahan dengan kedaifan dan kemiskinan serta kudrat yang tiada lagi oleh orang-orang tua mereka.
Ku mampu petik bintang di langit
Ku mampu bina jambatan pelangi
KU mampu pertahankan mu
Walau pun lawan ku seribu
Itu hanya bisa bisa ku laksanakan
Bila mimpi mengundang, kala malam
Hakikatnya yang ku ada, satu jasad
Satu nyawa, satu cinta

Harapan mereka.... namun mereka cuma ada satu jasad , satu nyawa, satu cinta...


Tidak ku salahkan dirimu
Kau berhak tentukan nasib mu
Kini aku mengenggam satu azam
Melempar khayalan
Bentuk kehidupan


Anak-anak berhak tentukan, namun tiba masanya mereka pasti akan menempuhi zaman tua....

Wednesday, October 5, 2011

Doa Nabi Zakaria

(Ingatkanlah peristiwa) tatkala Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, dengan doa permohonan secara perlahan. Ia merayu dengan berkata"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku;dan aku- wahai Tuhanku- tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu.

Al-Quran: Surah Al Maryam,Ayat 3-4

Monday, October 3, 2011

Kisah Nelayan Dan Hartawan

Pada suatu masa seorang nelayan dan hartawan berselisih di sebatang jalan di sebuah kampung yang terletak di tepi pantai. Si nelayan sedang berjalan pulang ke rumah bersama-sama lima orang anaknya yang telah menyambutnya di jeti, manakala si hartawan pula sedang memandu sebuah kereta mewah, bersama seorang isteri yang cantik beserta seorang anak yang duduk di tempat duduk belakang menuju ke suatu kawasan yang berdekatan.

Dalam hati si nelayan berkata, " Alangkah bertuahnya si hartawan ini kerana mempunyai kereta yang mewah, isteri yang cantik dan hanya seorang anak. Aku pula, tiada harta banyak sedemikian, anak-anak pulak ramai dan teruk aku hendak melayan keperluan dan kerenah mereka. Nak dibawa ke majlis, tengoklah perangai mereka, pantang dapat peluang, terlompat ke sana sini bermain."

Pada masa yang sama si jutawan pula di dalam hati berkata, "Bertuahnya si nelayan ini.., mempunyai anak-anak yang ramai. Aku pula hanya mempunyai seorang anak. Kalau anak pergi ke sekolah, aku pula terasa sunyi, nak tambah anak, nanti datin takut pula saiz dan bentuk badannya terjejas". Nak bermain dengan anak, anak pula sibuk dengan "PST"nya atau iPhone.

Jutawan berkenaan juga ternampak seekor ikan pari yang dijinjing bersama oleh anak-anak nelayan tadi. Dalam hatinya pula berkata, " Sudah lama aku tidak merasa makan ikan bakar yang dibakar menggunakan arang kayu, dicicah dengan air asam. Nak minta datin sediakan, dia pula akan minta bibik bakarkan dengan  menggunakan ketuhar. Jika dibeli pula, kebanyakan ikan bakar hanya dibakar dengan menggunakan kuali. Nak  "complain" pula, nanti tak pasal-pasal perang dingin pula. Bukan aku takut bini, tetapi bini yang tak takut aku." Katanya di dalam hati.

Berdasarkan kepada kisah di atas, sebagai pengajarannya kita kena banyakkan bersyukur dengan apa yang ada dan berusaha memperbaiki kehidupan ke arah yang lebih baik. Yang lebih penting ialah mendapat ketenangan jiwa serta diredhai Ilahi.

Wallahualam.

Cari Rezeki - Bersabarlah

Kadangkala penulis berasa agak tertekan apabila berulang alik dari rumah ke tempat kerja.Masalah kesesakan jalan raya serta lebuh raya di Lembah Kelang ini seolah-olah tidak akan berkesudahan. Keluar gelap waktu subuh, bila pulang pula masih bergelap selepas waktu Maghrib.Namun begitu, disebabkan niat untuk mencari rezeki, terpaksalah diri ini banyakkan bersabar dan berserah pada Yang Esa.

Hendak dapatkan rumah di Kuala Lumpur, memanglah agak mustahil sekarang ini. Alternatif yang ada ialah mendapatkan rumah di sekitar pinggiran Kuala Lumpur yang mana penulis lebih mampu milik. Namun penulis berharap agar pihak berkuasa rancangkan sesuatu untuk menyelesaikan masalah kesesakan ini.

Sebagai contoh, mana-mana kawasan yang boleh disediakan jejambat untuk elakkan lampu isyarat, pertimbangkanlah untuk dibina jejambat berkenaan. Ini termasuk juga di kawasan-kawasan yang melalui kawasan pinggiran kota iaitu di luar Kuala Lumpur, terutama di kawasan yang tidak dilalui sistem Komuter atau LRT.Dengan ini, sekurang-kurangnya beban tekanan rakyat jelata dapat dikurangkan.


Wallahualam.

Sunday, October 2, 2011

Blog myBancik Mencatatkan Pengikut Ke Seratus(100)

Dengan tidak disangka bahawa pada hari ini blog ini telah merekodkan pengikut yang ke seratus(100). Terima kasih kepada mereka-mereka yang telah sudi mengikuti blog ini daripada mula ianya dilancarkan dan sehingga kini.Rekod yang ke seratus ini telah dipecahkan oleh seorang pengikut yang telah menggelar dirinya atau nama timbangannya sebagai "Ketua Penyamun".Walaupun bilangan pengikut blog ini agak masih kecil berbanding blog-blog lain yang telah popular, namun bagi penulis, myBancik telah berjaya mencatatkan rekodnya yang tersendiri. Nukilan dari sudut hati dan sanubari tetap menjadi falsafah utama blog ini.

Boleh dikatakan kesemua pengikut adalah rakan-rakan di alam siber yang penulis belum kenal di alam di luar sana. Tiada rakan-rakan taulan penulis yang menjadi pengikut buat masa ini.Dengan kata lain, penulis betul-betul mendapat rakan-rakan baru melalui kaedah blog. Bagi penulis, tiada fikiran negatif bagi kenyataan " You follow me, I follow you". Penulis akan menyokong mana-mana pihak yang berharap agar penulis mengikuti blog mereka, terutama yang baru kerana mereka memerlukan ransangan, motivasi dan sokongan bagi menguatkan semangat meneruskan kesinambungan blog mereka.Jika mana-mana blog yang penulis nak ikutpun, penulis akan ikut, tetapi tiada paksaan untuk mereka mengikuti blog kepunyaan penulis kembali.

Namun selaras dengan perkembangan blog ini, penulis ingin mengucapkan ribuan kemaafan sekiranya ada di antara pandangan-pandangan penulis terhadap sesuatu isu tidak menyenangkan mana-mana pihak terutama sekali dalam segmen politik. Namun begitu, penulis berharap walaupun kita berbeza pandangan, diharapkan agar ikatan ukhuwah serta persaudaraan terutamanya sesama rakan-rakan blogger beragama Islam akan terus terpelihara.Kepada yang  masih belum menjadi pengikut, sudi sudikanlah...

Wallahualam.

Saturday, October 1, 2011

Aktiviti Menimba Air Di Zaman Remaja

Antara salah satu daripada kenangan manis penulis semasa remaja ialah aktiviti menimba bagi mengeringkan air di telaga atau di parit-parit di sekitar sawah. Aktiviti berkenaan dilakukan dengan tujuan menangkap ikan air tawar seperti ikan sepat, keli, puyu dan haruan yang rata-rata berkumpul di parit-parit, telaga atau lubuk di sekitar sawah. Itu sebablah nama tempat asal penulis dinamakan dengan parit, iaitu Parit Buntar. Selain daripada itu banyak lagi kampung-kampung di sekitar kawasan Parit Buntar dinamakan dengan Parit seperti Parit Tok Ngah, Parit Gabis, Parit Tok Him dan lain-lain.

Aktiviti berkenaan bermula apabila ikan-ikan di sawah sudah mula membesar dan padi sudah mula berbunga. Air sawah perlu dikeringkan, bagi membolehkan proses kematangan padi dapat dilakukan sebelum dituai. Selain itu, sawah yang kering bakal menyenangkan proses penuaian. Rata-rata ikan di sawah akan terkumpul di parit-parit di hilir sawah apabila aiar mengalir dari hulu. Bagi lubuk yang cetek, air biasanya akan dikeringkan hanya dengan menggunakan baldi dan dikaut airnya dengan tangan ke parit buang.

Bagi telaga yang agak dalam, alat penimba yang dibuat dengan menggunakan tin minyak tanah dan dirangkaikan dengan empat utas tali di sebelah kiri dan kanan. Dua orang diperlukan untuk proses menimba dengan menggunakan kaedah ini. Air telaga ditimba sehingga kering bagi memudahkan proses menangkap ikan. Yang seronoknya, semasa proses menimbapun kadangkala ikan-ikan turut naik sama bersama air-air yang dikaut naik ke batasan ke parit buang. Ikan-ikan kemudian dikutip dan digagau di parit atau telaga yang telah kering. Penulis lebih suka cara ini daripada memancing ikan. Tapi , disebabkan aktiviti ini seluruh badan pasti dipenuhi oleh lumpur. Tetapi yang hairannya, ada pula rawatan kecantikan zaman ini yang melumurkan lumpur seluruh badan.

Apapun, itu semua tinggal kenangan. Anak-anak penulis nampaknya tak dapat merasa pengalaman ini lagi. Mereka lebih selesa dengan PST dan permainan video di internet sahaja.

Wallahualam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...