Jom Follow.....

Sunday, October 23, 2011

"Himpun" : Kemunculan Paksi Baru Di Arena Politik Negara

Penulis pada hari Sabtu lepas 22 Oktober 2011 bersamaan 24 Zulkaedah 1432Hijrah, telah diberikan kekuatan oleh Allah S.W.T. untuk turut serta menyertai Perhimpunan Sejuta Umat di Stadium Shah Alam. Walaupun agak gusar juga pada mulanya akan keselamatan, namun tanggapan berkenaan jauh meleset sebaik sahaja menjejakkan kaki ke stadium berkenaan. Ketika memasuki stadium berkenaan, penulis disambut dengan tertib oleh seorang muslimah yang bertudung labuh meminta agar penulis meninggalkan payung yang dibawa di tempat yang disediakan. Penulis berasa amat senang dengan permintaan secara berhemah tersebut dan dengan senang hati mengikuti arahan berkenaan.


Himpun 2011 di Shah Alam - Gambar myBancik
Ketika berada di stadium, pembahagian tempat dilabelkan menurut kesesuaian iaitu mengikut keluarga, lelaki dan perempuan. Maka sudah sahlah perhimpunan ini bukanlah ditunjangai oleh penganjur yang dipelopori oleh parti politik Melayu yang menganggotai kerajaan pusat sekarang ini seperti mana yang sering dituduh oleh beberapa pihak. Penulis amat kenal dengan stail penganjuran parti politik berkenaan.

Secara keseluruhan, himpunan berkenaan telah memberikan dimensi baru dari segi cara berpolitik di Malaysia. Secara peribadi perlakuan secara tertib dan cara berpolitik ini telah berjaya sedikit sebanyak memaparkan cara Islam yang sebenar. Jika umat Islam yang merangkumi majoriti penduduk di negara ini boleh mengamalkan gaya politik yang tertib dan beradab serta bertamadun dalam mengemukakan gesaaan, maka tidak ada sebab kenapa ada pihak di negara ini yang bebas melakukan sesuka hati mereka dengan melanggar undang-undang.

Walaupun himpunan berkenaan dikritik dan diperlecehkan kerana gagal mendapat kunjungan daripada yang disasarkan(terutama laman web yang kurang senang dengan Islam), namun kehadiran di antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung sudah cukup hebat kerana perhimpunan ini tidak seperti perhimpunan parti politik di Malaysia yang mempunyai dana propaganda parti masing-masing. Jika ada parti-parti politik melayu yang memperkecilkan himpunan ini, penulis berpendapat bahawa, anda sudah pasti silap.Sejarah telah membuktikan hal sebegini. Keadaan yang sama pernah melanda parti pemerintah apabila mantan Presiden mereka pernah diperlekehkan kerana kurang mendapat sambutan ketika beliau menghadiri perhimpunan bersuara menegur kepimpinan parti yang beliau wariskan selepas melepaskan kuasa.Natijahnya, akibat sikap memperlekehkan hal yang sedemikian, beberapa negeri di Malaysia telah terlepas ke tangan pihak lain pada pilihanraya yang lalu akibat undi protes dan amalan boikot.Penulis berani merumuskan di sini bahawa telah munculnya suatu kuasa ketiga paksi baru di arena politik negara ini yang menyeru kepada yang kebaikan dan menentang segala bentuk kejahatan. Himpun dilihat bakal menyatukan kesemua NGO-NGO dan individu-individu Islam di negara ini.

Yang paling menarik ialah, tiada satupun pemidato mengutuk mana-mana pertubuhan politik atau NGO yang lain yang bertuhankan dan berkiblatkan Yang Satu.Malahan mereka beramai-ramai mendoakan kesejahteraan umat agar diberikan taufikdan hidayah agar bersatu padu sama ada yang hadir ataupun yang tidak hadir.Konsep sebeginilah yang menjadi idaman dan cita-cita penulis selama ini. Antara resolusi dan tuntutan dan gesaan yang dikemukakan pada perhimpunan berkenaan ialah :

Pertama :
Menggesa SEMUA UMAT ISLAM YANG HADIR dalam perhimpunan pada hari ini BERSATU mempertahankan Aqidah Islam dari sebarang usaha oleh mana-mana pihak yang mahu merosak dan memesongkan pegangan orang Islam. Bahawa setiap warga umat Islam perlu beriltizam untuk melindungi, mempertahan dan memelihara peruntukan mengenai kedudukan Islam yang istimewa  dalam Perlembagaan Persekutuan yaitu  Islam adalah agama Persekutuan dan semua peruntukan yang lain mengenai hak dan tanggungjawab Raja-raja Melayu dan Kerajaan, terhadap Islam mesti dihormati.
Setiap warga umat Islam di semua peringkat samada INDIVIDU, KELUARGA MAHUPUN IBUBAPA mesti berusaha meningkatkan kefahaman  dan penghayatan terhadap ajaran Islam selengkapnya demi melahirkan sahsiah Muslim yang mempunyai kemantapan iman dan ketinggian ketaqwaan dalam semua bidang kehidupan. Kefahaman sekularisme dalam kehidupan dan sikap perkauman assobiyyah yang sempit hendaklah dibanteras untuk menanamkan nilai ummah dan ukhuwwah sejagat pada setiap Muslim.

Kedua :
Menggesa semua pemimpin Islam dalam PARTI-PARTI POLITIK memperkukuhkan kesatuan umat Islam seperti yang diwahyukan dari Allah dalam Ayat 103 , Surah Ali Imran , mengelakkan perpecahan yang merugikan dan kembali kepada ajaran Al Quran dan As Sunnah sepenuhnya demi melaksanakan Islam sebagai panduan seluruh aspek kehidupan.

Ketiga :
Menyeru agar SEMUA PIHAK menghormati dan mendokong peranan Raja-raja Melayu untuk melaksanakan amanah menjadi pelindung dan payung kepada pentadbiran Islam di negara ini seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Keempat :
Menuntut KERAJAAN mempastikan bahawa sensitiviti masyarakat Islam di negara ini dihormati. Oleh itu sebarang tindakan yang menghina dan mencabar kedudukan Islam yang istimewa di negara ini hendaklah diambil tindakan tegas berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
Himpun juga menggesa supaya kerajaan meningkatkan keberkesanan peranan dan fungsi semua institusi Islam seperti Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Islam Negeri, Institusi Zakat dan Baitul Mal untuk memartabatkan Islam di negara ini dalam pelbagai aspek kehidupan umat samada sosial,budaya, ekonomi, undang-undang mahupun kepimpinan. Semua agensi Islam perlu menangani segala masalah yang dihadapi golongan mualaf dan golongan dhuafa serta kelompok yang memerlukan bimbingan supaya aqidah dan amalan Islam mereka dapat dimantapkan.

Kelima :
Menuntut supaya KERAJAAN segera  menggubal Undang-undang Pencegahan Murtad selaras dengan Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan untuk membendung gejala murtad dan kegiatan pemurtadan dan dikuatkuasakan secara terselaras dan menyeluruh di peringkat kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. Agensi kerajaan yang berkaitan perlu memantau dan bertindak ke atas mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang yang berkaitan dengan penyebaran agama.

Keenam :
Menggesa kepada semua PERTUBUHAN POLITIK DAN BUKAN POLITIK (NGO) menggembleng tenaga dan seluruh sumber untuk meningkatkan penghayatan dan pembelaaan terhadap agama Islam di kalangan umat Islam demi memastikan martabat Islam dijulang dan kemuliaannya dipertahankan. Untuk itu seluruh organisasi Islam hendaklah berusaha semaksima mungkin untuk menyatukan umat  atas dasar Islam berlandaskan Al Quran dan As Sunnah.

Ketujuh :
Mendesak pihak berkuasa KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI melaksanakan polisi yang tegas untuk menyekat segala bentuk hiburan melampau dalam media massa, kelulusan acara konsert terbuka yang berunsur liar dan pengeluaran lesen pusat hiburan yang menganjurkan acara yang mendedahkan generasi muda Islam kepada keruntuhan akhlaq dan penghakisan pegangan Aqidah Islam.

Kelapan :
Menuntut agar sistem pendidikan negara disemak semula untuk mempastikan tidak ada unsur yang boleh mendedahkan pelajar kepada penghakisan aqidah. Kami menggesa pihak KEMENTERIAN PELAJARAN DAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI supaya menggubal sistem pendidikan yang berpaksi kepada Aqidah Tauhid dan penerapan aqidah yang berkesan kepada pelajar-pelajar.

Kesembilan :
Menyeru semua PENGAMAL MEDIA MASSA melaksanakan tanggungjawab mengukuhkan aqidah Islam di kalangan umat Islam. Kami menggesa kepada kerajaan supaya memantau dan mengawal media massa yang menyiarakan bahan-bahan mengenai Islam yang boleh mengelirukan, menyentuh sensitiviti umat Islam dan memberi kesan kepada kefahaman masyarakat yang boleh menimbulkan konflik agama dalam masyarakat.

Kesepuluh :
Menuntut KERAJAAN menggubal undang-undang digubal dan dikuatkuasakan dengan berkesan  untuk menjaga sensitiviti agama di kalangan masyarakat dan mengelakkan kesucian Islam dari diperlekeh dan dihina oleh mana-mana pihak.

Majlis berkenaan diakhiri dengan bacaan doa oleh Datuk Dr Hassan Ali, seoarang pakar motivasi yang terkenal di Malaysia suatu ketika dahulu, sebelum menceburi bidang politik. Penulis mengeluarkan gelaran YB dari artikel ini sebagai menghormati kehadiran beliau ke majlis berkenaan hanya sebagai berkapasiti salah seorang Islam.Secara keseluruhannya penganjuran Himpun berkenaan bakal menjadi tanda aras kepada mana-mana pihak yang mahu berhimpun pada masa akan datang. Jika umat Islam boleh akur kepada undang-undang, kenapa pihak lain tidak boleh mencontohinya.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...