Jom Follow.....

Saturday, October 1, 2011

Aktiviti Menimba Air Di Zaman Remaja

Antara salah satu daripada kenangan manis penulis semasa remaja ialah aktiviti menimba bagi mengeringkan air di telaga atau di parit-parit di sekitar sawah. Aktiviti berkenaan dilakukan dengan tujuan menangkap ikan air tawar seperti ikan sepat, keli, puyu dan haruan yang rata-rata berkumpul di parit-parit, telaga atau lubuk di sekitar sawah. Itu sebablah nama tempat asal penulis dinamakan dengan parit, iaitu Parit Buntar. Selain daripada itu banyak lagi kampung-kampung di sekitar kawasan Parit Buntar dinamakan dengan Parit seperti Parit Tok Ngah, Parit Gabis, Parit Tok Him dan lain-lain.

Aktiviti berkenaan bermula apabila ikan-ikan di sawah sudah mula membesar dan padi sudah mula berbunga. Air sawah perlu dikeringkan, bagi membolehkan proses kematangan padi dapat dilakukan sebelum dituai. Selain itu, sawah yang kering bakal menyenangkan proses penuaian. Rata-rata ikan di sawah akan terkumpul di parit-parit di hilir sawah apabila aiar mengalir dari hulu. Bagi lubuk yang cetek, air biasanya akan dikeringkan hanya dengan menggunakan baldi dan dikaut airnya dengan tangan ke parit buang.

Bagi telaga yang agak dalam, alat penimba yang dibuat dengan menggunakan tin minyak tanah dan dirangkaikan dengan empat utas tali di sebelah kiri dan kanan. Dua orang diperlukan untuk proses menimba dengan menggunakan kaedah ini. Air telaga ditimba sehingga kering bagi memudahkan proses menangkap ikan. Yang seronoknya, semasa proses menimbapun kadangkala ikan-ikan turut naik sama bersama air-air yang dikaut naik ke batasan ke parit buang. Ikan-ikan kemudian dikutip dan digagau di parit atau telaga yang telah kering. Penulis lebih suka cara ini daripada memancing ikan. Tapi , disebabkan aktiviti ini seluruh badan pasti dipenuhi oleh lumpur. Tetapi yang hairannya, ada pula rawatan kecantikan zaman ini yang melumurkan lumpur seluruh badan.

Apapun, itu semua tinggal kenangan. Anak-anak penulis nampaknya tak dapat merasa pengalaman ini lagi. Mereka lebih selesa dengan PST dan permainan video di internet sahaja.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...