Jom Follow.....

Thursday, April 11, 2013

Tindakan Sita Bangunan Sekolah Pondok Suatu Penganiayaan

1 Jamadilakhir 1434

Tindakan menyita pembinaan bangunan baharu Sekolah Pondok Al Najmiah di Tumpat, Kelantan oleh Majlis Daerah Tumpat ialah suatu penganiayaan terhadap pendidikan Islam, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia dilakukan hanya kerana Tok Guru Abdullah Sa'amah yang menubuhkannya adalah pendukung Barisan Nasional dan ini menunjukkan sikap ekstrem dan tidak bertoleransi kerajaan PAS Kelantan, kata Muhyiddin yang juga menteri pelajaran.

"Itu satu kerugian kepada rakyat Kelantan. Ini menunjukkan sikap tidak prihatin kerajaan Kelantan terhadap soal pendidikan Islam," katanya ketika diminta mengulas perkara itu selepas majlis perasmian bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Lanadron di Panchor di sini Khamis.

Beliau berkata tidak kira siapa yang menjadi kerajaan, sama ada Barisan Nasional atau PAS, soal pendidikan Islam mesti diberikan sokongan.

Majlis Daerah Tumpat baru-baru ini menyita pembinaan bangunan tambahan setinggi lima tingkat sekolah pondok itu atas alasan ia tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

Abdullah dilaporkan berkata pembinaan bangunan itu mengikut prosedur yang ditetapkan

Muhyiddin berkata sekiranya pembinaan sekolah pondok itu tidak mengikut peraturan, pihak terbabit dan majlis daerah boleh memaklumkan dan memberi nasihat kepada pihak sekolah, bukannya menghukum dengan menghalang dan menyekat pembinaan sekolah pondok itu.

Sekolah pondok yang sempit, tidak selesa dan tidak lagi selamat kepada pelajar itu mendapat perhatian timbalan perdana menteri semasa lawatannya ke Tumpat tahun lepas.

Prihatin dengan masalah itu, beliau meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi membina bangunan baharu bagi sekolah itu.

Mengenai poster palsu yang menyatakan Abdullah ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor pilihan raya umum ke-13 yang ditampal pada batang pokok kelapa dan wakaf sekitar kawasan itu, timbalan perdana menteri mengesahkan penafian Abdullah.

Menurut Muhyiddin, jelas ada pihak tertentu berniat jahat dan cuba untuk menjatuhkan maruah Abdullah.

Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...