Jom Follow.....

Tuesday, November 15, 2011

Istana Negara 'Lama' Ditutup Secara Rasmi

KUALA LUMPUR, 15 Nov 2011, Bernama hari ini telah melaporkan bahawa ,apabila pintu masuk utama ke Istana Negara di Jalan Istana di sini dikunci pagi Selasa, ia menandakan tempat bersemayam semua Yang di-Pertuan Agong sejak kemerdekaan negara itu, mengakhiri fungsinya secara rasmi.Majlis penuh istiadat itu bermula 9 pagi dengan perarakan masuk anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) diiringi pasukan pancaragam pusat RAMD.

 Kumpulan penurun bendera terdiri daripada 10 anggota RAMD kemudian menurunkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong sambil diperdengarkan tiupan paluan akhir yang bertujuan memaklumkan bahawa Istana Negara akan berpindah ke Istana Negara di Jalan Duta.Istiadat diteruskan dengan perarakan kumpulan penurun bendera bersama pasukan istiadat berkuda ke pintu masuk utama istana bagi menyerahkan bendera berkenaan kepada Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Tengku Farok Husin Tengku Abdul Jalil, mewakili pihak Istana Negara menandakan berakhirnya penugasan di Istana Negara.

 Penyerahan bendera itu dilakukan oleh Pemangku Pegawai Memerintah Batalion Pertama RAMD Mejar Mohd Kadri Abu Bakar.Sebagai simbol penutupan bangunan yang tersergam indah dan ditandai dua kubah emas itu, Tengku Farok Husin kemudiannya mengarahkan Bentara Istana Negara, Rosli Asri, mengunci pintu masuk utama istana menandakan segala tugas telah tamat di Istana Negara sebelum mengorak langkah ke Istana Negara Jalan Duta bagi istiadat menaikkan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong.

 Kawalan itu dilaksanakan Batalion Pertama RAMD dan Skuadron Istiadat Berkuda berkekuatan seramai tiga pegawai, 69 anggota lain-lain pangkat dan 12 ekor kuda.Antara kenamaan yang hadir menyaksikan istiadat penurunan bendera itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Rasmi Negara Datuk Othman Mahmood, Ketua Staf Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Lt Jen Datuk Raja Afandi Raja Mohd Nor dan Penolong Ketua Markas ATM Mej Jen Datuk Abdul Aziz Ibrahim.

Di Istana Negara Jalan Duta, istiadat menaikkan bendera bermula pada 10.25 pagi dengan penyerahan Bendera Peribadi Yang di-Pertuan Agong oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada kumpulan penaik bendera bagi menandakan bermulanya penugasan pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Istiadat menaikkan bendera di Istana Negara Jalan Duta dianggap unik kerana bendera itu dinaikkan secara automatik berbanding di Istana Negara "lama" yang dilakukan oleh anggota tentera.

 Istana Negara telah berpindah dan mula beroperasi di kompleks baru di Jalan Duta secara berperingkat mulai 19 Okt lepas manakala penugasan kepada anggota pengawal daripada ATM bermula pada Selasa.
Istana Negara lama di kawasan seluas 11.34 hektar asalnya adalah sebuah banglo dua tingkat yang dibina pada 1928 oleh jutawan tempatan, Chan Wing.

Kemudian banglo itu bertukar milik apabila kerajaan negeri Selangor membelinya dan selepas diubah suai ia dijadikan tempat bersemayam Sultan Selangor, Sultan Sir Hishamuddin Alam Shah.

Bangunan yang dijadikan sebagai istana kepada Sultan Selangor itu kemudian bertukar milik sekali lagi apabila Kerajaan Persekutuan membelinya dengan harga RM1.4 juta pada tahun 1957 untuk dijadikan tempat bersemayam Yang di-Pertuan Agong pertama, Tuanku Abdul Rahman Tuanku Muhammad, beberapa minggu sebelum pengisytiharan kemerdekaan.

Istana Negara baru yang dibina dengan ciri-ciri binaan Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 96.52 hektar dan akan menjadi lokasi pertabalan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 Disember ini.

Sumber : Bernama

1 comment:

  1. pindah istana baru.. ada palace warming tak agaknya? hehee

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...