Jom Follow.....

Thursday, September 29, 2011

"A" Bukan Segalanya

Kebelakangan ini berita tentang sekolah yang menghalang segelintir pelajar bermasalah daripada mengikuti peperiksaan adalah amat menyedihkan. Ianya berlaku di sekolah-sekolah di luar bandar. Isu seperti ini sebenarnya tidak perlu timbul. Pihak pentadbir sekolah jangan pentingkan "Penanda Aras Prestasi" atau "KPI" sekolah semata-mata.

Apa yang penting ialah kepuasan hati.Kita perlu cuba sedaya upaya mendidik pelajar sebagaimana yang kita mampu. Mungkin sekolah yang kita pimpin tidak mendapat habuan di dunia, tetapi bayangkan berapa manisnya jika kita fikirkan bahawa, disebabkan pelajar tersebut mendapat kesemua E dalam mata pelajaran, ianya mana tahu mungkin menjadi lonjakan besar kesedaran pada beliau untuk terus berusaha pada masa akan datang? Pelajar berkenaan masih berpotensi untuk menyumbang sesuatu yang positif kepada agama, bangsa dan agama jika kita sama-sama memainkan peranan memberikan perhatian. Yang pandai perlu dibijakkan, yang kurang pandai dipandaikan dan yang masih tidak pandai terus diberi bimbingan tanpa jemu.

Ini berlaku pada penulis. Penulis sering datang ke sekolah, namun penulis tidak pandai mana semasa belajar di sekolah rendah. Penulis banyak memberontak di dalam hati oleh kerana ada segelintir guru yang sering memanggil anak-anak murid dengan perkataan bodoh, lembu dan sebagainya. Ada yang mengajar secara acuh tak acuh, mungkin tidak suka diletakkan di sekolah berkenaan.Tetapi alhamdulillah kebanyakan  guru-guru bersifat ikhlas yang memberi motivasi kembali kepada pelajar.Tambahan lagi, ibubapa di luar bandar amat memberi harapan kepada guru-guru untuk mengubah nasib keluarga mereka.

Semasa mengambil keputusan Penilaian Darjah 5, penulis tidak tahu mengapa guru penulis ketika itu, Cikgu Ahmad ketika itu yang merupakan guru kelas mengajak penulis mengambil keputusan peperiksaan di Sekolah Pusat di Sungai Acheh. Kami ketika itu hanya bersekolah di sekolah cawangan sahaja di Sungai Bakau. Nama glamor cikgu tersebut di kampung ketika itu ialah Cikgu Mat "Tonggek". Tapi gayanya, fullamak, kemas orangnya.Adalah menjadi lumrah di kampung penulis ketika itu, nama glamour lebih diingati oleh orang-orang kampung. Jika orang luar mencari sesiapa di kampung dengan menyebut nama sebenar, alamatnya sampai malamlah baru jumpa.

Berbalik daripada cerita tadi, dengan tak tahu kenapa, penulis terus sahaja mengikutnya membonceng  menaiki motorsikal Vespa ke sekolah pusat. Padahal dia tak berapa rapat dengan penulis.Apabila keluar sahaja dari bilik pejabat sekolah, Cikgu Mat terus sahaja memberi keputusan peperiksaan kepada penulis dengan wajah yang sedikit kekecewaan. Namun dengan nada suara yang lembut, cikgu Mat hanya berkata "Menyesalpun tiada guna lagi..!, belajarlah lagi dan terus berusaha". Bila dilihat keputusan penulis  hanya mendapat satu A sahaja. Tetapi kesan di hati ialah, hati penulis terus bergemuruh memberontak untuk ingin dan terus berusaha.Peristiwa berkenaan menjadi salah satu titik tolak dan lonjakan kepada diri penulis  untuk terus berusaha.

Kebanyakan sekolah diluar bandar jarang mendapat guru-guru yang terlatih. Namun guru-gurunya berusaha sedaya upaya memberikan yang terbaik, terutamanya para guru sandaran. Kementerian pula hendaklah berlapang dada dengan mengakui bahawa , dengan terlalu bergantung kepada KPI sebagai penunjuk araslah yang telah menyebabkan hal seperti ini berlaku. Penulis bersetuju, kerana penulis adalah salah seorang yang terlibat dalam merangka program ini di salah sebuah syarikat di sektor swasta. Sistem ini boleh memberikan kemudaratan jika ianya tidak dilaksanakan secara seimbang atau "balance". Oleh itu sistem ini tidak boleh dilihat secara total untuk diberikan penarafan ke setiap sekolah. Elemen seperti tanggungjawab sosial juga perlu diberi penilaian yang sewajarnya.

Dari sudut pengajaran dan pengalaman penulis, walaupun tidak berjaya mendapat semua "A" di dalam peperiksaan tersebut penulis alhamdulillah kini dapat melayari blog bersama rakan-rakan semua. Jika tidak dibenarkan mengikuti peperiksaan, penulis mungkin terpaksa berhenti sekolah disebabkan malu, tertekan , hilang keyakinan diri dan sebagainya. Ketika itu, penulis mungkin tidak mampu memiliki atau tahu menggunakan teknologi seperti ini.

Bersamalah kita memikirkannya. Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...