Jom Follow.....

Tuesday, August 9, 2011

Berpuasa Di Lautan

Satu lagi kenangan yang hendak diabadikan disini ialah di mana ketika zaman penulis dalam keadaan muda remaja pada awal tahun 90 an. Iaitu semasa dibulan puasa dan pada masa yang sama penulis sedang bercuti semester ketika sedang menuntut di ITM Arau. Sudah menjadi kelaziman penulis terpaksa turun ke bendang atau ke laut untuk mencari pendapatan untuk perbelanjaan pelajaran ketika masuk ke semester yang berikutnya. Penulis lebih selesa ke laut atau ke bendang daripada bekerja di kilang-kilang kerana mempunyai lebih masa yang anjal untuk aktiviti yang diranvcang dan bersama keluarga. Lagipun cuti semester yang tak sampai 2 bulan agak terlalu pendek bagi penulis untuk bekerja di kilang.

Bila masa pokok padi sedang membesar, penulis akan turun ke laut. Kawasan penulis turun ke laut ialah di jeti Kuala Sungai Udang( di muara Sungai Kerian),  Seberang Perai Selatan, iaitu berdekatan dengan Sungai Acheh. Namun nak jadikan cerita, pada suatu ketika, cuti semester telah jatuh pada bulan puasa. Bayangkan penulis terpaksa juga turun ke laut untuk mencari rezeki. Dah lah tu, terpaksa mengayuh basikal tua sepanjang lebih kurang jarak antara 8 hingga 10 kilometer setiap hari pada pagi-pagi buta. Apa yang penulis terpaksa lakukan ialah dengan mengambil makanan berat seperti nasidan makan dengan sekenyang-kenyangnya kerana hendak mengekalkan tenaga dalam jangka masa 1 hari berpuasa.

Lagipun kerja sebagai nelayan ini memerlukan tenaga kudrat yang amat kuat deri segi menarik pukat naik ke bot. Pukat yang penulis sering tarik ialah pukat "Kengka". Panjang  pukat ini ialah sekitar lebih kurang 1 kilometer panjang dan memerlukan sekurang-kurangnya minimum 4 orang untuk menaikkannya. Jika bernasib baik, banyaklah tangkapan yang dapat dinaikkan. Jika nasib tak baik, pukat akan tersangkut pada tanah di laut dan memerlukan lebih tenaga untuk menariknya. Bertambah malang lagi ialah bila mana ombak kuat dan angin kencang datang melanda dan tiada tangkapan yang diperolehi. Tetapi, alhamdulillah penulis berjaya berpuasa penuh sebulan walaupun terpaksa menggunakan kudrat tenaga yang banyak bahkan pada satu ketika penulis kelihatan lebih cergas daripada rakan-rakan lain yang tewas berpuasa. Kadangkala penulis akan mabuk disebabkan cuaca buruk dan ombak kuat, penulis masih akan berpuasa. "Taikong" yang bukan Islampun amat terkejut dengan keupayaan penulis untuk terus berpuasa.

Apa rahsianya sehinga penulis mampu bertahan? Rahsianya senang, iaitu penulis sentiasa bariltizam, berdoa ke hadrat Ilahi agar sentiasa diberikan kekuatan untuk menjalankan kewajipan penulis kepadaNya sedaya upaya penulis. Apalah sangat dengan dugaan ini jika dibandingkan apa yang dialami oleh para zaman sahabat Nabi Muhammad S.A.W. yang terpaksa berperang di bulan Ramadhan. Kadangkala penulis terpaksa bersahur di atas bot apabila "Taikong" membuat keputusan untuk turun ke laut di kawasan "Kompa" iaitu di sekitar perairan Pulau Pinang. Penangkapan dikawasan ini terpaksa dibuat bilamana hasil tangkapan di tempat biasa tidak membuahkan hasil.

Apabila mengenang kembali, penulis seolah tidak percaya bahawa penulis berjaya melepasi salah satu ujian seperti ini dalam hidup penulis.Kepada rakan-rakan yang pernah bersama penulis di kampung Sungai Bakau, sepupu dan sedara mara ,sahabat-sahabat  allayarham ayah penulis,orang-orang kampung yang pernah bertanya khabar, tok guru mengaji yang mengajar mengaji secara percuma, tok guru yang datang menjejaki penulis dan adik hingga ke rumah jika dapati penulis ponteng belajar agama dan sesiapa jua yang berkenaan, penulis hanya mampu berdoa di bulan yang mulia ini agar mereka semua sentiasa dilindungi RahmatNya. Majoriti daripada mereka ini telah terlepas peluang bersama rakyat Malaysia pada Ramadhan kali ini kerana menyahut seruan Ilahi.Terima kasih kerana menjadi sebahagian daripada memori yang manis dan pahit dalam secebis kehidupan penulis. Jika ada masa penulis akan menceritakan sebahagian watak-watak berkenaan dalam bentuk cerpen yang ringkas di laman ini.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...