7 Safar 1433
Kerajaan digesa dan didesak membatalkan rancangan melonggarkan atau meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti(AUKU) kerana dikhuatiri ianya bakal mendatangkan kemudharatan ke atas kemaslahatan umat keseluruhan. Melihat perkembangan terkini, ianya seolah-olah memaparkan bahawa Mahasiswa dan Mahasiswi di Malaysia masih belum bersedia atau matang untuk diberi kelonggaran. Mereka hanya melihat AUKU dari sudut politik kepartian semata-mata dan sering mudah diperkotak katikkan, mudah melatah dan senang dipermain-mainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi kepentingan peribadi.
Kemaslahatan umat sudah tidak diberi pertimbangan, pensyarah dan pentadbir tidak lagi dihormati dan bersikap agak biadap. Penulis juga bersetuju jika hendak dipindapun, ianya perlu diperketatkan lagi seketat-ketatnya. Adakah sikap seperti ini merupakan akhlak yang dituntut dalam Islam. Apakah tujuan sebenar perjuangan menghapuskan AUKU? Apakah mereka mahu bebas sebebasnya? Apakah mereka mahu lakukan apa jua yang mereka mahu tanpa batasan dan pedoman dan berassakan pegangan Islam?
Penulis khuatir mungkin adanya segelintir pelajar akan datang yang akan melakukan perhimpunan haram sekiranya tidak berpuas hati dengan markah peperiksaan yang diberikan oleh para pensyarah mereka jika banyak kelonggaran diberikan. Slogan demokrasi dan pelajar adalah hakim lebih diutamakan berbanding kemampuan pensyarah membuat penilaian. Demokrasi dan populariti bakal mengatasi hakikat kebenaran yang sebenarnya.Mereka bakal dilihat hanya melihat kelemahan orang dan sering menyalahkan orang lain dan tidak melihat kepada kelemahan diri.Jika ini berlaku, maka akan wujudlah krisis kredibiliti dalam sistem pendidikan tinggi dan pembangunan sumber manusia negara pada masa akan datang.
Penulis dengan ini menyeru agar kita bersikap lebih rasional dan sentiasa berpegang kepada kebenaran dalam melakukan sesuatu. Ingat, matlamat tidak menghalalkan cara. Rujuk dan contohilah akhlak Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan dakwah ke muka bumi dan bukannya menjadikan seseorang yang tidak kita ketahui akhlak sebenarnya sebagai Idola kita.
Wallahualam
@MyBancik
No comments:
Post a Comment