12 Safar 1433
Diceritakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. telah bertanya kepada Malaikat Jibrail tentang api neraka. Kata baginda, "Wahai Jibrail !, beritahu kepadaku tentang api neraka". Maka Jibrail pun berkata, "Ya Muhammad, sebenarnya api neraka itu berwarna hitam pekat. Andaikata kalau api itu jatuh ke atas bumi ini walaupun sebesar lubang jarum, nescaya akan terbakarlah bumi ini. Dan tentang baju neraka pula, jika ianya digantungkan di antara langit dan bumi, nescaya akan mati semua penduduk bumi disebabkan bau busuk yang paling dasyat".
Kemudian Jibrail berkata lagi,"Wahai Muhammad, kalau malaikat yang sembilan belas itu turun ke bumi, sudah tentu akan mati semua penduduk bumi disebabkan bentuk mereka yang sangat menggerunkan. Dan jikalau satu pergelangan dari rantai neraka itu jatuh ke bumi, ia akan menembusi ke dalam tujuh petala bumi".
Apabila Rasulullah s.a.w mendengar penjelasan dari Malaikat Jibrail, maka baginda pun berkata,"Hasbi Ya Jibrail"(Cukup hai Jibrail), lalu baginda menangis dan Jibrail pun turut serta menangis. Apabila baginda melihat Jibrail menangis, maka baginda pun lalu bertanya,"Wahai Jibrail !, mengapa kamu menangis padahal kedudukan kamu sangat mulia di sisis Allah S.W.T.?
Lalu Jibrail menjawab,"Ya Muhammad, tidak ada yang dapat menjamin keamananku, walaupun kedudukan aku sangat dekat dengan Allah S.W.T, tetapi aku takut kalau Allah S.W.T. hendak mengubah aku atau hendak mengujiku sebagai Harut dan Marut dan Iblis yang terkutuk itu".
Walau pun kedudukan Jibrail sangat dekat dengan Allah S.W.T., dia tetap menangis kerana takut pada Allah S.W.T. Tetapi malangnya rata-rata manusia masih lagi tidak takut kepada Allah S.W.T. biarpun telah nyata tanda-tanda kekuasaanNya menerusi cerita-cerita dari Al-Quran dan Hadis.
Komen Penulis:
Bersamalah kita mengambil pengajaran dalam kisah ini, terutama bila mana sekarang ini sudah ada pihak-pihak yang berani mendabik dada membuat kenyataan siapa yang layak masuk syurga atau sebagainya.
Wallahualam
Sumber:Himpunan Kisah-kisah Teladan-Syarikat Nurulhas
No comments:
Post a Comment