Jom Follow.....

Sunday, January 1, 2012

Polis Nafi Guna Kekerasan Ketika Suraikan Perhimpunan Haram Di UPSI

7 Safar 1433

TANJUNG MALIM, 1 Jan , 2012- Polis menafikan dakwaan anggotanya menggunakan kekerasan ketika menyuraikan perhimpunan haram anjuran kumpulan penuntut Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) selepas sambutan Ambang Tahun Baru di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata dakwaan yang tersebar di beberapa blog mengenai kecederaan dua anggota SMM akibat dipukul Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) adalah tidak benar dan merupakan fitnah.

"Semasa perhimpunan itu, tiada anggota FRU dipanggil bertugas... hanya anggota dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Tanjung Malim sahaja, dan ternyata blog berkenaan cuba membuat fitnah.

"Malah semasa menyuraikan perhimpunan haram itu, anggota kami tidak menggunakan sebarang kekerasan malah bertindak dengan sangat berhemah," katanya pada sidang akhbar di sini.

Beliau berkata kecederaan anggota kumpulan mahasiswa itu adalah disebabkan rempuhan yang mereka lakukan sendiri, dan bukan dipukul polis seperti didakwa.

Mohd Shukri berkata pada awalnya, polis cuba menasihati kumpulan itu dan memberi masa selama 30 minit untuk bersurai, namun mereka tidak menghiraukannya malah bertindak lebih agresif.

"Mereka kemudian mara dan berbaring di atas jalan raya, mengganggu lalu lintas... polis terpaksa bertindak demi keselamatan awam menghalang perlakuan berkenaan, namun ia masih dilakukan dengan berhemah.

"Mereka terus lari lalu merempuh pula klinik berdekatan sehingga berlaku kerosakan pada premis itu dan kemudian polis menahan 17 penuntut pada masa tersebut," katanya.

Kesemua 17 penuntut yang ditahan berusia antara 19 dan 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 186, 145 dan 147 Kanun Keseksaan serta Seksyen 27(5) Akta Polis, namun dibebaskan dengan jaminan polis petang tadi setelah diambil keterangan.

Awal Ahad pagi, kira-kira 70 penuntut beberapa universiti berhimpun secara haram di pekarangan UPSI selepas sambutan Ambang Tahun Baru bagi menuntut pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971.

 Sumber- BERNAMA

1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...