Jom Follow.....

Sunday, January 8, 2012

Anwar Ibrahim Dilepas,Dibebaskan Daripada Tuduhan

14 Safar 1433

KUALA LUMPUR 9 Jan, 2012 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau, Mohd Saiful Bukhari Azlan atas alasan tiada keterangan yang menyokong keterangan mangsa.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, keputusan melepas dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat kerana dalam kes seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan mangsa, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah berkata, selepas meneliti keterangan, mahkamah tidak boleh 100 peratus memastikan bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd Saiful Bukhari Azlan tidak diusik.

Sehubungan itu, dalam keputusannya hari ini, hakim menyatakan, adalah tidak selamat untuk bergantung kepada bukti DNA semata-mata.

"Di peringkat kes pembelaan dalam kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk menyabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan SP1 (Mohd Saiful).

"Dengan itu, tertuduh (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dilepas dan dibebaskan," kata hakim.

Mahkamah hari ini mendapati Ketua Pembangkang itu tidak bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadi beliau hampir empat tahun lalu

Pada masa yang sama,Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusuf Zainal Abiden, yang mengendalikan pendakwaan kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini memaklumkan, mereka belum memutuskan sama ada akan membuat rayuan terhadap keputusan pembebasan Anwar kerana mempunyai tempoh 10 hari untuk berbuat demikian.

Namun begitu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui beliau masih belum boleh menarik nafas lega walaupun bebas daripada pertuduhan liwat.Beliau berkata, masih terlalu awal untuk menyatakan apa-apa kerana ruang untuk meneruskan pendakwaan masih ada.

Sementara itu, dua individu cedera selepas bom buatan sendiri meletup dalam tiga kejadian berasingan selang 10 minit di pekarangan luar Kompleks Mahkamah Jalan Duta di sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 10.45 pagi selepas keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Sumber: Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...