14 Safar 1433
Akhirnya aku terpaksa akur terpaksa bercuti lagi pada esok hari. Ini disebabkan tidak mahu terperangkap berjam-jam di lebuhraya yang dijangkakan akan berlaku keesokan hari. Kalau hari biasapun telah sesak, inikan pula pada keesokan hari di mana rata-rata orang ramai sudah mula bekerja selepas awal pembukaan sekolah. Tambahan lagi esok bakal diadakan perhimpunan yang telah dihalalkan di Jalan Duta, untuk memberi sokongan untuk pembebasan pemimpin mereka (seperti yang dipampang pada poster lah) atau dengan bahasa "glamour" sebagai perhimpunan 901. Untuk pengetahuan teman, aku berulang alik dari Tol Rawang Selatan ke Jalan Duta setiap hari bekerja.
Namun, tindakan mengadakan perhimpunan berkenaan menyebabkan kesusahan kepada orang biasa seperti aku. Pernah aku terperangkap berjam-jam di lebuhraya disebabkan oleh perhimpunan sebuah kumpulan haram memperjuangkan sesebuah kaum beberapa tahun lepas. Untuk kali ini, aku tidak mahu terperangkap lagi. Baik masa yang terbuang digunakan untuk berehat di rumah dan buat kerja-kerja lain yang lebih bermanfaat. Urusan di Mahkamah, biarlah tuan hakim yang bijaksana putuskan. Salah atau tidak keputusan berkenaan, biarlah tuan hakim akan menjawabnya di Mahkamah Allah S.W.T. di akhirat nanti.
Maka di sini, aku buat kesimpulan, rata-rata rakyat di Malaysia suka berpolitik tak tentu arah. Politik yang tidak matang serta bermatlamatkan menghalalkan cara. Jika menyebelahi mereka semuanya adil, manakala bila tak menyebelahi pula dikatakan zalim. Golongan berkenaan seolah-olah lupa akan Qada dan Qadar.Teguran ini ditujukan kepada semua pihak tak kiralah di sebelah mana sekalipun paksi politiknya.
Apakah mereka lupa tindakan mereka ini bakal menzalimi dan menganiaya orang lain. Menganiaya golongan rakyat biasa seperti aku yang mahukan keamanan dan kesejahteraan, golongan pemandu teksi, golongan pekerja yang mungkin akan dapat surat tunjuk sebab kerana lewat sampai ke pejabat, peniaga-peniaga yang kerugian, kerosakan harta benda, menyusahkan anggota keselamatan yang tidak boleh bercuti dan sebagainya. Jika kita tidak suka dianiaya, kenapa hendak menganiaya diri orang lain.Aapakah kita tidak takut akan doa orang-orang yang teraniaya.
Keluhan aku ini mungkin terpencil dan agak minoriti berbanding golongan berkenaan.Walaupun mereka mendakwa mempunyai penyokong yang ramai, tetapi apakah mereka lupa bahawa dalam sejarah Islam, selalunya golongan yang kecil yang selalunya menang jika mereka di pihak yang benar dan teraniaya..
Jika aku termasuk sebagai salah seorang yang teraniaya, maka aku panjatkan doaku ini agar Malaysia dijauhi oleh sebarang kekacauan dan tindak balas negatif orang yang mementingkan diri, gilakan kuasa dan tidak menghiraukan maslahat umum.Semoga negara ini sentiasa terus dipelihara oleh Ilahi dari sebarang kekacauan dan kecelakaan.
Wallahualam
yang sebok berpolitik ni mungkin terlalu taksub. betul, jenis2 yang taksub ni menyusahkan orang lain.
ReplyDelete