Jom Follow.....

Tuesday, January 3, 2012

Perhimpunan Haram :Empat Ciri Perlu Dilihat

9 Safar 1433

KUALA LUMPUR 3 Jan 2012 - Penasihat Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), Datuk Noh Gadot menasihatkan orang ramai supaya berpandukan kepada empat ciri yang ditetapkan dalam surah Al-Asr sebelum melakukan sesuatu tindakan termasuk menyertai perhimpunan haram.

Empat ciri berkenaan kata beliau, pertama, sebelum berbuat apa-apa tanya iman terlebih dahulu, boleh atau tidak ia dilakukan dan kedua, mengerjakan amal soleh yang mana ia mesti sesuatu perkara yang baik dan tidak merugikan semua orang.

Ciri ketiga pula jelas Noh ialah berpesan dan menasihati kepada yang hak serta kebenaran bermaksud mengambil pandangan majoriti masyarakat secara keseluruhannya.

''Keempat, berpesan dengan kesabaran yang mana tindakan kita tidak boleh mengikut hawa nafsu, perasaan, kepentingan individu dan politik sempit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Utusan Malaysia bagi mengulas isu perhimpunan haram yang akan menyusahkan rakyat dan menimbulkan huru-hara kepada negara di sini hari ini.
Menurut Noh, adalah jelas keempat-empat ciri tersebut tidak terdapat dalam perhimpunan haram.
''Oleh itu, umat Islam perlu tolak perkara yang berlawanan dengan al-Quran dan hadis. Mereka juga perlu mengikut undang-undang sedia ada.
"Nasihat saya bertindaklah mengikut iman, budaya yang betul kerana ia bukan budaya Islam dan Melayu yang hanya menunjukkan tidak bertamadun serta mengikut perasaan, jangan terjebak kerana Allah SWT melihat segala-galanya," jelas beliau.

Sementara itu, pendakwah bebas, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, sekiranya sesuatu tindakan yang akan mengganggu orang lain, mewujudkan pergaduhan dan merosakkan harta-benda, ia tidak wajar dilakukan.

"Kita tidak boleh melakukan tindakan seperti perhimpunan yang akan menimbulkan huru-hara kepada negara dan orang lain. Selain itu, perlu melihat dari segi tujuan perhimpunan dibuat dan sama ada ia mengikuti undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

2 comments:

  1. perhimpunan yg menimbulkan huru hara mmg leceh lah...
    buat scr baik....
    sabar... dan terus sabar...

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...