10 Rabiulakhir 1433
KOTA BAHARU, 2 Mac , 2012 - Datuk Seri Najib berkata calon Menteri Besar dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kelantan belum ditentukan lagi setakat ini.
Perdana Menteri berkata BN akan menentukan barisan pemimpin itu apabila tiba masanya kelak.
"Kita faham, bila sampai masanya (nanti) kita akan bariskan pemimpin BN yang berwibawa untuk mempimpin kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Bersama Profesional Kelantan di sini Jumaat.
Najib mengulas soalan pemberita mengenai kesediaan BN dan Umno meletakkan nama-nama sebagai pemimpin negeri berikutan faktor calon yang bakal menjadi Menteri Besar Kelantan penting demi menjamin kemenangan Barisan Nasional.
Menjawab soalan berhubung kenyataannya bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed adalah wakil beliau, Najib berkata ia adalah di dalam konteks Umno di mana Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.
Mengenai kajian bahawa Mustapa adalah calon terbaik untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau berkata: "Oh anda nak Tok Pa (Mustapa), tak apalah kita tengok dulu pendapat semua pihak... Tak susah kalau Tok Pa sanggup."
Najib berkata calon-calon akan diumumkan tidak terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.
Merumuskan lawatan seharinya di sini, beliau berkata walaupun suasana baik di kalangan penyokong tetapi ia bukan satu perkara mudah untuk parti kembali menawan negeri ini.
"Saya sedar bahawa kita tak boleh anggap jalan itu mudah kepada kita dan mesti terus berusaha lakukan yang diperlukan dalam menjamin kemenangan kita," katanya.
Sumber- BERNAMA
No comments:
Post a Comment