19 Rabiulawal 1433
Sinar Harian hari ini juga melaporkan di SHAH ALAM bahawa Datuk Dr Ismail Ibrahim meminta Majlis Fatwa Kebangsaan menyatakan pendiriannya berhubung kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang berpandangan bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak telah “menggadai akidah” apabila menghadiri sambutan Thaipusam, Selasa lalu.
Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini berkata, jawapan rasmi terhadap "fatwa" dibuat Harussani harus disegerakan kerana ia mungkin mengelirukan umat Islam jika tidak dimuktamadkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dan seterusnya disahkan Majlis Raja-raja sendiri.
Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia berkata, isu seberat ini tidak mungkin dilihat sebagai satu perselisihan pendapat atau perbezaan pandangan sahaja seperti perbezaan pentafsiran dalam hal-hal ranting dalam agama Islam.
"Hal akidah bukan lagi merupakan masalah kecil seperti masalah perbezaan mazhab dalam beberapa hukum cabang yang dikenali sebagai masalah Furu' bukan masalah usul. Hal akidah adalah merupakan hal iman, Islam seseorang," kata beliau dalam entri terbaru blognya.
Menurut laporan media semalam, Harussani melahirkan rasa terkilan dengan keputusan Najib menghadiri sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves. Najib juga pernah hadir samputan Thaipusam sebelum ini.
Tegas Harussani, walaupun sudah ditegur setiap tahun, namun Perdana Menteri seolah-olah tidak memandang berat akan kepentingan agama Islam dan akidah.
“Ini perbuatan syirik, saya tidak tahu mengapa jadi macam ini... sedangkan perayaan kaum lain kita tidak boleh sambut ini pula hadir di rumah ibadat mereka. Bagaimana boleh terlajak macam ini, sepatutnya perdana menteri wakilkan menteri beragama Hindu untuk menggantikan dirinya... sebab umat Islam tidak boleh terlibat dalam sambutan perayaan agama lain,” katanya.
Lanjut lagi :
http://www.sinarharian.com.my/nasional/majlis-fatwa-diminta-respons-fatwa-harussani-1.23266
Komen Penulis:
Teguran ini perlulah diterima secara berlapang dada di samping kita sentiasa perlu berazam untuk memperbaiki diri. Ini membuktikan Tan Sri Harussani tidak memilih bulu dalam memberi teguran dan bukan ejen UMNO semata-mata seperti mana yang didakwa oleh beberapa pihak sebelum ini. Isu ini janganlah pula dipolitikkan pula.
Wallahualam
No comments:
Post a Comment