Jom Follow.....

Monday, December 26, 2011

Apabila Pusat Beli Belah Didahulukan Berbanding Madrasah

1 Safar 1433

Hati penulis hari ini amat terusik dan kecewa bila sebuah kerajaan negeri di utara tetap dengan keputusan untuk merobohkan Madrasah Salihiah di Alor Setar meskipun terdapat cadangan agar dilakukan pengubahsuaian terhadap pelan pembinaan kompleks membeli belah yang akan menjejaskan madrasah berusia lebih 100 tahun itu.

Sambil menempelak lawan politik beliau, menteri besar berkenaan berkata, "Dia nak kacau apa, kita tengah bincang dah sekarang. Tunggu dia jadi menteri besar esok, dia cakap. Sekarang biar saya selesaikan masalah itu,” katanyanya, seperti yang dilaporkan dalam sebuah sebuah akhbar arus perdana hari ini.

Di kebanyakan tempat lain termasuk di Kuala Lumpur, pembinaan kompleks membeli-belah terpaksa diubah suai pelannya untuk memastikan rumah ibadat tidak diusik.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk jawatankuasa madrasah mengecam tindakan kerajaan negeri yang membenarkan madrasah itu dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan sebuah kompleks membeli-belah.

Beliau juga mendakwa, sokongan pemimpin lawan terhadap usaha mempertahankan kewujudan madrasah itu bermotifkan politik kerana mereka ketandusan isu untuk dimainkan di negeri ini.

Katanya, isu mengenai Madrasah Salihiah adalah perkara kecil dan orang ramai sudah tidak berminat dengannya berbanding isu lain di peringkat nasional yang lebih besar.

“Cari publisiti lain untuk politik, banyak lagi isu lain. Ini hanya perkara kecil, dia hanya mahu tarik perhatian. Orang pun dah tak berminat,” katanya.

Bagi penulis ini adalah dugaan Allah kepada Menteri Besar berkenaan.Mungkin kekuasaan telah mendatangkan sikit sebanyak sikap takbur ke dalam diri kita. Namun begitu, penulis berpendapat tak salah mendengar pendapat orang lain atas kepentingan umat.

Walaupun bagi beliau isu ini kecil, bagi penulis sebagai rakyat biasapun, hati boleh amat terguris membaca berita berkenaan. Dan dari segi organisasi ianya seolah "paku dulang paku serpih", di mana sebelum ini , organisasi yang dianggotai menteri besar ini juga sering mempolitikkan perpindahan masjid atau surau baru yang baru dibina, di mana masjid lama terpaksa dirobohkan.Bahkan dipropagandakan kepada pihak lawan mereka dengan perkataan yang lebih dasyat seperti "Mahazalim, Mahafiraun dan sebagainya. Maka natijahnya apabila kita mencela orang lain, maka Allah S.W.T. pula mungkin akan menduga keimanan dan kewarakan kita dengan situasi yang sama.Selain itu apa yang penting, takut-takut ada pihak yang teraniaya, dalam isu kemudahan ini di mana doa orang-orang yang teraniaya sering mendapat perhatian dari Yang Maha Esa. Sekarangpun dah ada bekas menteri besar yang sedang menghadapi dugaan yang besar akibat tindakan beliau di masa yang lalu semasa berkuasa.

Namun begitu, penulis kuat berpegang dan berpendapat bahawa Madrasah perlu diutamakan berbanding kompleks beli-belah. Lainlah kalau ianya melibatkan pembinaan jalan yang tidak boleh dielakkan, atau keuzuran yang mana suatu kawasan ganti yang lebih baik perlu disediakan ditempat berdekatan dan mewujudkan keadaan "menang menang".

Namun begitu, jika begitulah sikap yang akan dimiliki oleh penulis jika berkuasa di mana-mana organisasi, penulis hanya mampu berdoa, biarlah penulis menjadi orang biasa asalkan tiada sifat buruk bersarang di hati penulis. Penulis lebih senang seperti sekarang berusaha mencari dan terus mencari keredhaanMu Ilahi. Semoga diperkenankan harapan ini.

Wallahualam

@MyBancik

1 comment:

  1. madrasah itu patut dikekalkan.. atau sekalipun nak juga dinaikkan shopping mall, madrasah tersebut perlu direlocate, dan tidak 'hilang' begitu sahaja..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...