Jom Follow.....

Saturday, June 9, 2012

Cuci Pinggan Mangkuk Dalam Parit Atau Telaga?

20 Rejab 1433

Mungkin kanak-kanak zaman sekarang tidak berpeluang lagi mencuci pinggan mangkuk di parit-parit atau telaga semasa berlangsungnya setiap majlis perkahwinan di kampung-kampung. Maklumlah, kebanyakan parit-parit hanya tinggal nama , manakala  bagaimana bentuk telagapun, ramai dikalangan generasi y tidak tahu bagaimana bentuknya.

Penulis masih ingat lagi, semasa setiap kali majlis kenduri kahwin diadakan, kanak-kanaksering diberi tanggungjawab untuk mencuci pinggan. Ini adalah antara tugas-tugas yang penting selain daripada tukang masak, penghidang dan bentrara(penanggah).Selalunya kanak-kanak diberikan penghormatan untuk makan dahulu, kerana merekalah yang akan cuci pinggan. Ini amat ditunggu-tunggu kerana, pada masa berkenaan, untuk dapatkan sajian lauk ayam hanya boleh diperolehi pada musim perkahwinan atau hari raya sahaja. Jika barang siapa yang mampu menikmati sajian ayam setiap hari pada zaman itu, memang dianggap sebagai orang berada.

Kami melakukan tugasan berkenaan dengan gembira. Kadangkala bila agak penat, ada yang terus mengambil kesempatan berenang jauh sedikit daripada pelantar yang disediakan di telaga atau parit. Kalau tak, alamat pedihlah mata kena air yang tercemar dengan kuah sisa dari makanan.Yang paling bestnya bila dah habis kenduri, kami akan diberi sebungkus pelastik kuih yang kadangkala diselitkan dengan wang RM 1 atau 2. Cuma cabaran tuan rumah selepas berakhirnya kenduri, jika ada berlakunya ketidakcukupan pinggan mangkuk untuk dipulangkan kepada penjaganya, maka terpaksalah tuan rumah dan ahli-ahlinya menggagau(mencari) sendiri di dasar parit dan telaga. Namun kemeriahan ini semua sudah tidak didapati lagi pada zaman ini.

Ini menunjukkan negara kita ini sudah pesat membangun dan dianugerahi oleh Nikmat daripada Allah S.W.T. yang perlu disyukuri selalu.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...