Jom Follow.....

Saturday, March 30, 2013

Sosma Terbukti Berjaya Tangani Ancaman Keselamatan Negara

19 Jamadilawal 1434

Sekalipun tanpa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1970, Malaysia berjaya menangani ancaman keselamatan negara dengan undang-undang keselamatan baharunya, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) 2012.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata kejayaan itu terbukti apabila pasukan keselamatan mampu membendung insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu dan Semporna di Sabah.

"Di bawah akta baharu ini, bukan sahaja mengimbangi hak asasi di peringkat antarabangsa tetapi mengimbangi kepentingan nasional dan keselamatan nasional. Dalam kes ini keselamatan dan kepentingan rakyat dan negeri Sabah," katanya ketika melakukan lawatan kerja di Tawau, hari Sabtu.

ISA dimansuhkan 31 Julai 2012 dan diganti dengan Sosma yang berkuat kuasa pada tahun yang sama.

Dalam krisis pencerobohan di Sabah, 121 individu yang dipercayai terlibat dengan pengganas dari selatan Filipina ditahan di bawah Sosma.

Lapan warga Filipina yang ditahan dibawah Sosma, didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau atas pertuduhan melancarkan perang ke atas Yang di-Pertuan Agong dan menganggotai kumpulan pengganas mengikut Kanun Keseksaan, 21 Mac lalu.

Pada masa sama, Hishammuddin mengumumkan pewujudan talian terus 088-488850 ke bilik gerakan Bahagian Keselamatan Dalam Negeri di Kota Kinabalu untuk rakyat membantu menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan dalam membanteras penceroboh dari selatan Filipina di negeri itu.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...