Jom Follow.....

Saturday, March 9, 2013

Antara Diplomasi Dan Kepimpinan Tegas

27 Rabiulakhir 1434

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak mendarat dengan helikopter Nuri di Felda Sahabat 16 di Lahad Datu, Sabah, hari Khamis, wajah beliau serius ketika disambut dua pegawai tertinggi keselamatan negara - Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera.

Pada sidang media kemudian, Perdana Menteri memberi amaran kepada penceroboh Sulu yang masih bersembunyi di bumi Sabah bahawa tiada pilihan lain bagi mereka selain meletak senjata dan menyerah diri.

Najib menyampaikan mesej dengan jelas kepada waris Kesultanan Sulu di selatan Filipina bahawa 'Sabah adalah hak Malaysia buat selama-lamanya' dan 'jangan pandang ringan iltizam' kerajaan dan rakyat Sabah dalam mempertahankannya.

Kenyataan Najib itu menyerlah ketegasan kepimpinannya meskipun pada peringkat awal Kuala Lumpur kelihatan bersedia menyelesaikan krisis pencerobohan kira-kira 200 pengganas dari selatan Filipina yang mendarat di pesisir pantai timur Sabah pada 12 Feb lepas.

Krisis di Lahad Datu mungkin membuatkan Najib menjadi perdana menteri Malaysia paling hebat diuji walaupun belum empat tahun mengambil alih kepimpinan negara.

Ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, pernah berdepan krisis keselamatan dalam negeri semasa menangani peristiwa berdarah 13 Mei 1969 dan peristiwa darurat membanteras pengganas komunis sehingga Allahyarham melancarkan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dan skim Rukun Tentera untuk menjamin keselamatan rakyat.

Kini Najib pula menggalas tanggungjawab seperti Allahyarham ayahandanya.

Seperti ayahandanya, sedikit sebanyak pengalaman semasa menjadi Menteri Pertahanan, dua kali, iaitu pada 1990-95 dan 1999-2008 membuatkan Najib memahami aspek keselamatan dan ketenteraan.

Di bawah pimpinan Najib semasa itu, Malaysia menghantar bantuan ketenteraan untuk membantu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam peperangan di Bosnia pada 1993 sebelum disusuli dengan misi pasukan pengaman di pelbagai negara.

Najib juga mencetuskan idea penubuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada Disember 2003 yang masih diteruskan sehingga kini.

Apabila Najib mengumumkan pembentukan Kawasan Keselamatan Khas membabitkan enam daerah di Sabah, ia menimbulkan perasaan lega dan selamat di kalangan pelbagai kaum rakyat Sabah.

Pengumuman Najib bermakna sebuah benteng pertahanan diwujudkan di sepanjang perairan pantai Timur Sabah sepanjang lebih 1,000 kilometer bagi menyekat sebarang elemen pencerobohan di sempadan negara.

Perdana Menteri mengarahkan tambahan lima batalion tentera dan polis di kawasan strategik dengan pangkalan utama di Lahad Datu.

Strategi itu diyakini mampu mengurangkan risiko keselamatan seperti penubuhan RASCOM (Komander Keselamatan Rajang) di Sarawak pada tahun 1972 bagi mengekang keganasan komunis.

Ketegasan Najib sebenarnya dituntut rakyat, lebih-lebih lagi setelah pihak penceroboh tidak mempedulikan rayuan kerajaan supaya mereka berundur dan kembali ke tempat asal mereka.

Pihak berkuasa bersabar dalam memberi peluang masa walaupun tempoh akhir yang diberi telah tamat, malah berusaha mengedar risalah supaya mereka menyerah diri secara baik.

Tetapi, apabila anggota keselamatan mati ditembak setelah dilaporkan terpedaya dengan taktik bendera putih musuh, disusuli beberapa anggota lagi dibunuh dengan kejam di Semporna, maka gerakan ofensif dilancarkan melalui udara dengan jet pejuang F-18 dan Hawk serta darat pada pagi 5 Mac, dan bermulalah Op Daulat.

Kerana itu jugalah Najib dengan tegas menolak tawaran gesaan gencatan senjata.

Setakat ini, 53 orang penceroboh disahkan mati ditembak oleh pasukan keselamatan.

Najib tidak mengetepikan diplomasi dan mengutamakan semangat kejiranan apabila beliau saling berhubung dengan Presiden Filipina Benigno Aquino III ke arah mencari penyelesaian terbaik terhadap kemelut itu.

Perdana Menteri pastinya berharap krisis di Sabah segera dapat ditangani dengan baik, sebelum berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi.

Maklumat lanjut: BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...