Jom Follow.....

Sunday, March 10, 2013

Op Daulat-Pasukan Keselamatan Terus Gempur

28 Rabiulakhir 1434

Op Daulat yang memasuki hari keenam Ahad menyaksikan kumpulan pengganas dari selatan Filipina terus digempur kerana tiada tanda mereka mahu menyerah diri sejak menceroboh Sabah 26 hari lepas.

Kumpulan penceroboh sebaliknya bertindak agresif sehingga menyebabkan dua anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) cedera dalam insiden berbalas tembakan yang berlarutan selama lapan jam di Kampung Tanjung Batu, Lahad Datu Sabtu malam.

Tindakan itu mendapat reaksi segera Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib yang menyifatkan kumpulan pengganas itu tidak berhasrat menyerah diri atau melakukan gencatan senjata seperti yang dilaporkan media Filipina.

Susulan itu, pasukan keselamatan membabitkan polis dan angkatan tentera yang membentuk Op Daulat meneruskan operasi menjejak pengganas, dengan orang ramai sekali lagi diingatkan supaya tidak menghampiri kawasan Zon Merah yang ditetapkan sejak gerakan ofensif dimulakan Selasa lepas.

Ketika pasukan keselamatan agresif menjejaki musuh, seorang remaja lelaki berusia antara 12 dan 15 tahun maut terkena tembakan pasukan keselamatan pagi ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kejadian secara tiba-tiba itu berlaku ketika pasukan keselamatan sedang memeriksa dua lelaki dan tiga wanita di Kampung Sungai Bilis sebelum terdengar bunyi pergerakan dari belukar berhampiran.

"Berikutan itu, pasukan keselamatan secara spontan telah melepaskan tembakan ke arah belukar tersebut," katanya pada sidang media pada 4.40 petang.

Ismail berkata operasi agresif pasukan keselamatan juga membawa kepada penahanan 96 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Sulu yang menceroboh Lahad Datu sejak 12 Feb lepas.

Turut ditahan adalah 66 yang lain kerana memasuki zon larangan dalam kawasan Op Daulat yang dilancarkan pada Selasa.

Maklumat lanjut : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...