Jom Follow.....

Sunday, September 11, 2011

Penilaian Bagi Kelayakan Sesuatu Bantuan Perlulah Lebih Menyeluruh

Negara pada bulan Ramadhan yang lepas telah dikejutkan dengan pemberian bantuan oleh pihak gereja kepada golongan Islam di Lembah Kelang yang telah mencetuskan polemik hebat di negara ini.Namun sebagai seorang yang bertanggungjawab, isu seperti ini perlu dilihat dari segi pelbagai sudut dan cabaran masa kini.

Dari segi individu yang berpegang teguh kepada agama Islam, isu menerima bantuan daripada pihak yang tidak sepatutnya, yang berniat hendak memesongkan kita perlulah ditolak walaupun kita mengalami kesusahan yang Maha Hebat. Penulis pernah mengalami keadaan berkenaan semasa kanak-kanak dan remaja, namun penulis pernah makan nasi dengan kicap sahaja ataupun seekor ikan sepat masin setiap hari apabila pulangnya dari sekolah.

Di sekolah pula penulis hanya minum air paip ketika waktu rehat semasa hendak mengerjakan sembahyang zohor. Waktu rehat digunakan untuk mengulangkaji pelajaran sahaja. Pada waktu citi atau selepas pulang daripada sekolah, penulis ke sawah, jika tidak ada kokurikulum dan pada masa itu penulis terpaksa mencari ikan-ikan untuk dijadikan lauk atau bekalan ikan masin dan sebahagiannya besarnya digunakan untuk dijual bagi menampung belanja persekolahan.

Bukannya bantuan tidak dipohon. Malangnya apabila dipohon, penilai atau jurunilai melihat rumah yang ditinggalkan oleh arwah bapa penulis yang agak besar dan bersambung dengan sebuah rumah pusaka nenek penulis. Memanglah rumah itu besar, tetapi arwah tidak meninggalkan sawah atau tanah yang banyak untuk bekalan kami. Rumah berkenaan hanya dibina berdasarkan tanah pusaka yang beliau telah jual, dan beliau selama ini mencari pendapatan dengan menyewa sawah orang lain dan berniaga membeli padi di sekitar kampung.

Setelah beliau sakit dan lumpuh, segala hasil perniagaan yang dikumpul selama ini telah dijual bagi membiayai rawatan beliau.Apa yang tingal hanyalah rumah yang agak besar ketika itu yang telah dibina ketika beliau masih sihat. Apakah kami anak beranak hendak makan papan-papan rumah berkenaan? Apa yang malang, setelah bapa meninggal dunia, pegawai yang membuat penilaian telah membuat keputusan bahawa kami anak-anak yatim yang seramai 5 orang  ini tidak layak mendapat sebarang bantuan. Lebih menyedihkan ada pihak yang masih suami isteri dan sihat , walaupun mungkin menampakkan mereka susah telah mendapat bantuan. Pendapatan sebulan kami pada waktu berkenaan secara purata ketika itu  pada awal 1990 an hanya berjumlah RM 120 sebulan hasil dari mengerjakan sawah, bagi seorang ibu menyara 5 tanggungan anak. Itupun kalau hasil padi menjadi. Penulis pernah menangis teresak-esak dihujung sawah apabila melihat padi dimakan tikus, ditenggelami air atau dimakan langau(sejenis serangga). Hancurnya hatiini hanya Allah sahaja yang Maha mengetahui dan penulis redha dengan ketentuannya.

Alhamdulillah, penulis akhirnya mendapat bantuan biasiswa kecil persekutuan setelah mendapat anugerah pelajar terbaik Sijil Rendah Pelajaran di Sekolah Menengah Panglima Bukit Gantang. Itupun penulis anggap anugarah Ilahi dan berkat doa sebagai anak yatim, sedangkan bapa meninggal hanya 3 bulan sebelum penulis  menghadapi peperiksaan berkenaan.Ianya berlaku apabila penulis menolak untuk dicalonkan menyertai program pertukaran pelajar antara Semenanjung dan Sabah atas alasan tidak mampu. Oleh yang demikian. Guru HEP Puan Che Chik Che Kechil ketika itu telah berjanji untuk menolong penulis dan alhamdulillah ianya berjaya. Terima kasih cikgu. Setidaknya, wang berkenaan, penulis hanya gunakan untuk membayar yuran SPM dan membeli buku-buku rujukan sahaja.Tak ada gunakan untuk beli top up "hp" macam para pelajar sekarang ini.

Namun begitu, dengan kuasa Allah, maka pada masa itulah berlakunya pula transformasi ekonomi yang dilakukan oleh bapa pemodenan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana lebih banyak kilang-kilang di Prai mula dibuka. Nagara mula bergerak dari zaman pertanian ke zaman perindustrian. Maka ibu, penulis yang sudah berusia pertengahan  40-an ketika itu telah berpeluang bekerja di sana. Bayangkanlah selepas subuh ibu telah keluar dan pulang pula pada waktu maghrib. Terpaksa meninggalkan bayi kecil yang berusia hanya 8 bulan di rumah dikalangan abang dan kakaknya . Kami bergilir menjaga kerana sekolah berlainan sesi. Penulis pula terpaksa ambil tugas disawah oleh kerana ibu keluar bekerja. Dengan kerja itulah ,dapatlah tambahan lagi pendapatan sekitar RM 150sebulan pada ketika itu. Walaupun ramai yang sudah tidak mengenang jasa Tun, ada pula mengagungkan pula komunis(dengan izin),tetapi aku aku tetap mengenang beliau sebagai salah seorang yang membantu kami secara tidak langsung dengan memberikan dan mewujudkan peluang pekerjaan dek kerana pimpinan beliau, walaupun ada kalanya aku tidak bersetuju dengan beberapa kenyataan beliau. Setidak-tidaknya aku dan adik beradik yang lain tidak terjerumus dalam kancah kekufuran dek kerana kemiskinan atau kekufuran, walaupun kisah pendakwahahan ke agama lain turut gempar/berlaku di Parit Buntar pada ketika itu dengan menggunakan modus operandi yang sama.

Namun ibu telah membuat keputusan menghantar adik bongsu kami ke sekolah asrama anak yatim di Pulau Pinang ketika umurnya meningkat 7 tahun. Bukannya tidak boleh duduk belajar di rumah, namun disebabkan abang-abang dan kakak sudah berhijrah dan berlajar tinggi, dan takut dipengaruhi gejala dadah yang amat hebat di kampung.

Namun, semuanya tidak menjadi penghalang kepada penulis untuk mengejar cita-cita. Namun penulis menyeru kepada institusi-institusi Islam, kurangkan berpolitik , bersengketa, caci mencaci dan bekerjalah lebih keras bagi memajukan umat.Banyak lagi insan-insan seagama yang memerlukan bantuan. Isu masalah kemiskinan,sosial, penceraian, pendidikan perlulah juga terus  diperjuangkan dan diperhebatkan lagi langkah mencari penyelesaian. Tingkatkan tahap pemikiran di kalangan warga kerja bagi membolehkan kita berfikir dengan lebih baik dalam membuat keputusan dan waras serta berhikmah bagi menyemarakkan lahi  syiar Islam di negara dan seluruh dunia.

Desakan kepada kerajaan bukanlah hanya untuk isu-isu pilihanraya semata-mata, tetapi dari sudut-sudut lain juga.Ingatlah bahawa jawatan yang kita pegang ini adalah suatu amanah yang akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Wallahualam

1 comment:

  1. kesusahan mengajar erti kehidupan......
    sekarang ni orang tak rasa semua tu.....
    sebab nak apa je semua dapat.....

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...