Jom Follow.....

Tuesday, September 6, 2011

Kenali "Taut"

Ketika balik beraya dikampung baru-baru ini, penulis terkenang salah satu aktiviti yang penulis suka lakukan semasa zaman kanak-kanak dan remaja, sebaik melalui kawasan sawah padi.Aktiviti berkenaan ialah memasang "taut" di batas-batas sawah.Taut adalah salah satu alat pancing yang paling santai dan paling penulis gemari pada suatu ketika dulu. Yang menghairankannya, hanya ikan haruan sahaja yang menyambarnya apabila dikenakan umpan. Umpan yang digunakan ialah anak-anak ikan sepat yang di"tangguk" atau di"tangkoi" di sawah-sawah atau di parit-parit.

Taut disediakan dengan menggunakan bilah batang-barang buloh yang diraut dengan halus di bahagian hujungnya. Mata kail kemudiannya diikat dengan tali tangsi atau yang sesuai pada hujungnya.Pentingnya batang buluh diraut sehingga nipis atau halus di bahagian hujung bilahan buloh ini  agar tangkapan dapat hidup dan masih bergerak di dalam air walaupun setelah tersangkut pada mata kail setelah membaham umpan yang disediakan. Panjang taut ini sekitar antara satu meter atau sedepa tangan manusia.

Di setiap pangkal taut akan disediakan ikatan penyangkut agar mata kail dapat disangkut dengan rapi secara melengkung dan tersusun bilamana ianya tidak digunakan atau disimpan. Ikatan pengangkut tersebut dibuat dengan menggunakan tali rafia atau dawai halus.

Pemasangan selalunya dilakukan pada waktu petang selepas asar.Taut dibenam di pinggir batas sawah (yang padinya sedang membesar)dan anak-anak ikan kemudian dicakuk dengan mata kail serta dibiarkan berenang di dalam air sawah dalam keadaan dicengkam mata kail. Renangan anak-anak ikan di setiap taut itu bakal menarik perhatian ikan-ikan haruan.Apabila telah selesai pemasangan taut-taut berkenaan penulis akan kembali ke rumah terlebih dahulu. Jika bernasib baik , ada taut yang telah tersangkut dengan ikan haruan. Sebelum senja penulis akan datang semula untuk melihat hasil tangkapan.Ada yang terkena, ada yang tinggal mata kail dan ada juga taut yang berjaya dilarikan oleh ikan haruan. Setelah mengenakan umpan semula dan memungut hasil tangkapan, penulis pulang ke rumah sebelum senja. Ada rakan-rakan yang rajin akan menyuluh hasil pada waktu malam.

Tetapi penulis lebih suka datang semula pada waktu pagi atas faktor keselamatan,sama ada dari segi mengelakkan binatang berbisa seperti ular ataupun makhluk-makhluk halus. Bila datang waktu pagi, paling kurang mesti ada punyalah hasil tangkapan ikan haruan yang kena pada mata kail.Itu sebab penulis suka teknik ini kerana ianya lebih santai dan penulis boleh mengulangkaji pelajaran pada waktu malam dengan tenang dan nyaman bila beradu.Penulis kurang suka memancing kerana masa yang banyak perlu digunakan untuk menggunakan kaedah berkenaan. Antara teknik lain yang penulis suka bila menangkap ikan ialah menggunakan pukat, menimba parit sampai kering, menjala  dan menggagau. Mudah dan santai bukan?

Namun itu semua tinggal kenangan sahaja. Penulis berasa simpati kepada anak-anak penulis yang tidak dapat merasa pengalaman ini oleh kerana rata-rata parit-parit disekitar rumah dikampung telah cetek dan tertimbus. Kasihan pula bila melihat mereka cuba memancing di parit yang ikannya dah kurang.Ikan haruan pula agak sukar diperolehi di sawah oleh kerana penggunaan mesin bajak dan penggunaan racun untuk pertanian. Selain daripada itu anak-anak ikan juga tidak dapat membiak dengan sempurna lagi.

Maka dengan itu terpaksalah penulis menggunakan teknik terbaru dalam mendapatkan ikan. Ianya dengan menggunakan kaedah jari telunjuk. Menunjukkan sahaja di pasar-pasar dan keluarkan wang untuk pembayaran. Kemudian bawa balik. Paling hebat tunjuk sahaja di gerai-gerai nasi campur , bayar dan makan terus.Habis cerita......

1 comment:

  1. TAUT.. ingat tadi penyakit.. hahaha
    apa2pun terus berblog n usha iklan.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...