Jom Follow.....

Sunday, May 8, 2011

Lagu Untuk Seorang Ibu

Hari Ibu disambut pada hari ini di Malaysia iaitu Ahad, 8 Mei 2011. Selamat menyambut Hari Ibu kepada semua ibu-ibu yang telah dan sedang penat lelah membesarkan anak-anak yang diamanahkan olehNya. Bagi ibuku, pelbagai kenangan pahit manis yang pernah dialami,ketika ibu melahir dan membesarkan daku dan adik beradikku yang lain.

Masih ingatkah lagi, apabila ayah meninggal kita selama-lamanya, lebih kurang setahun lebih lamanya ibu berendam air mata mengenangkan nasib kita.Ini disebabkan adik yang bongsu hanya baru berusia 8 bulan ketika ayah pergi menyahut seruan Ilahi.Kita sering berendam air mata tak kala padi disawah yang sedang menguning tumbang dan terendam di dalam air.Kita sering berduka tak kala tanaman dimamah tikus dan serangga.Aku pada masa itu hampir sahaja berputus asa, lebih-lebih lagi ketika ayah pergi , lebih kurang hanya 3 bulan sahaja aku bakal menghadapi peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran(SRP).Namun begitu, terpaksa aku gagahi jua kerana, aku tidak ingin terus hidup dalam kedaifan dan serba kekurangan.

Aku tak ingin menyerah kalah.Selain itu, aku percaya, ramai lagi insan-insan yang lebih tidak bernasib baik atau yang senasib dengan kita.Itu bukan alasan bagiku untuk gagal.Akhirnya, berkat kesabaran kita, aku berjaya memecahkan tembok halangan dan akhirnya aku berjaya dalam peperiksaan berkenaan dengan menjadi pelajar terbaik pada ketika itu.

Tiada kamus Hari Ibu pada waktu itu. Namun , untuk mengubati hati ini yang gundah gulana, aku sering melayan lagu yang didendangkan oleh Kumpulan Kembara , "Lagu Untuk Seorang  Ibu" untuk memujuk hati ini dan menguatkan semangatku untuk memburu cita-cita.

 

Kini lebih kurang 24 tahun peristiwa ini berlaku, namun rasanya seperti baru semalam ianya berlaku.Itu sebabnya jika ibu datang ke sini, aku , isteri dan anak-anakku akan cuba sedaya upaya menyambut hari ini , walaupun hanya dengan sebuah kek.Namun pada tahun ini, ibu terpaksa berada di kampung kerana ada hal yang lebih mustahak di sana. Lagipun , aku , isteri dan anak-anak baru sahaja pulang ke kampung pada minggu lalu.

Ibu,pengorbananmu amat mustahil bagiku untuk membalasnya.Namun sempena Hari Ibu pada hari ini, sedikit sebanyak ianya mengusik kembali nostalgia kisah silam kita.Aku cuba sedaya upaya upaya untuk berbakti padamu. Maafkan anakmu ini, jika ada apa jua sebarang kekurangan dalam melayani ibu selama ini. Sebab itulah jasa dan pengorbananmu tak mungkin terbalas di Dunia dan Akhirat.

Kepada ibuku, Hajah Sapiah Binti Zakaria, yang kini berada di Sungai Bakau, Parit Buntar, Perak, aku amat menyayangimu. Hanya Allah yang dapat membalas segala budi dan jasamu.

2 comments:

  1. alhamdulillah sekurang2nya masih ada ibu....
    hargai apa yang ada di hadapan kita....

    ReplyDelete
  2. Terima kasih eita atas peringatan.

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...