Jom Follow.....

Sunday, October 7, 2012

Najib Sambut Baik Rangka Perjanjian Damai Kerajaan Filipina, MILF

22 Zulkaedah 1433


KUALA LUMPUR, 7 Okt, 2012- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyambut baik pengumuman rangka perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Beliau berkata kedua-dua pihak telah menunjukkan hasrat mereka untuk menamatkan keganasan yang sudah berlangsung selama berdekad dan memuji usaha mereka mencapai persetujuan meskipun berbeza pendapat.

"Saya juga memberikan pujian khas kepada Presiden (Benigno) Aquino kerana komitmen beliau yang tidak berbelah-bahagi bagi mewujudkan keamanan di Filipina.

"Saya amat gembira kerana menerusi perjanjian bersejarah ini, hak maruah dan kemakmuran masa depan penduduk Bangsamoro akan dilindungi manakala pada masa yang sama, kedaulatan dan perlembagaan Filipina tetap terpelihara," katanya dalam kenyataan kepada Bernama.

Pengumuman berhubung rangka perjanjian itu dibuat berikutan rundingan peringkat awal antara panel perunding dari kedua-dua pihak yang diadakan di ibu negara Malaysia mulai 2 hingga 7 Okt.

"Penting bagi semua pihak untuk berpegang teguh dengan komitmen mereka dan berusaha ke arah era baru yang aman di Filipina," katanya.

Perjanjian itu, katanya, akan memastikan penduduk Bangsamoro menikmati keamanan yang sememangnya menjadi hak mereka.

"Sehubungan itu, mereka harus menghormati rakan senegara yang beragama Kristian kerana kesederhanaan merupakan cara Islam yang sebenar," katanya.

Maklumat lanjut :BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...