Jom Follow.....

Monday, September 9, 2013

Kes Demam Denggi Dan Kematian Meningkat Di Seluruh Negara

4 Zulkaedah 1434

Jumlah kes demam denggi dan kematian akibat jangkitan itu di seluruh negara sejak Januari hingga 5 September tahun ini mencatat peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Sejumlah 19,367 kes dilaporkan sehingga 5 Sept di seluruh negara, meningkat 22 peratus daripada 15,118 kes yang dilaporkan bagi tempoh yang sama tahun lepas manakala kematian akibat jangkitan itu meningkat kepada 39 kes berbanding 27 kematian tahun lepas, katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau Ops Gempur Aedes Siri Ketiga di Flat PKNS Seksyen 7 di sini Isnin, Hilmi berkata 202 lokaliti berwabak dikesan di seluruh negara setakat ini, dengan 65 peratus daripadanya atau 132 di Selangor manakala 33 lokaliti (16 peratus) di Johor.

Di Selangor sahaja terdapat 16 lokaliti dengan wabak berlarutan di mana 15 daripadanya adalah taman perumahan, pangsapuri dan kondominium di daerah Petaling dan hanya satu taman di Hulu Selangor, katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kesihatan melaksanakan Ops Gempur Aedes Siri Pertama pada 8 Julai lepas, siri kedua pada 20 Ogos, dan hari ini siri ketiga membabitkan lokaliti wabak dan bermasalah denggi di seluruh negara.

Operasi itu bertujuan menguatkuasakan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan mengambil tindakan penguatkuasaan serta undang-undang terhadap pemilik premis yang membiak Aedes, katanya.

Setakat 20 Ogos tahun ini, Hilmi berkata 2.28 juta premis telah diperiksa di seluruh negara dengan 7,536 kompaun bernilai RM3.77 juta dikeluarkan kepada pemilik-pemilik premis yang didapati membiak Aedes.

Berita lanjut:BERNAMA

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...