Jom Follow.....

Tuesday, December 31, 2013

Dr M Tak Perlukan Makmal

29 Safar 1435

Bancik masih ingat lagi ketika kegawatan ekonomi sekitar tahun 1997-1998. Ketika itu negara dikejutkan dengan krisis matawang terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah . Pada masa yang sama negara terpaksa menanggung beban komitmen sebagai penganjur sukan Komenwel yang pertama dianjurkan di Malaysia. Nilai ringgit menjunam ke tahap yang tidak pernah dijangkau akal. Harga saham di Bursa Saham Kuala Lumpur(BSKL) ketika itu melompat-lompat menjunam teruk. Krisis politik negara pula berlaku dengan amat hebat rentetan pemecatan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, sedangkan orang Melayu masih berpecah dengan tertubuhnya parti Semangat 46 sebelum itu. Laungan reformasi bergema dan disambut oleh Naib President Amerika Syarikat ketika itu, Al Gore. Bak ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, masalah jerebu pula  yang agak teruk turut melanda negara pada masa berkenaan.
Dr M

Bancik ketika itu baru memulakan kerjaya dengan pendapatan yang agak rendah di KL dan hanya mampu menyewa rumah di sekitar perkampungan di Segambut. Namun amat menakjubkan pada zaman berkenaan, tidak terasa langsung kesusahan hidup seperti mana pendapatan sekarang setelah berapa lama tempoh itu berlalu. Dr M ketika itu mengorak langkah sebagai pejuang sejati menyelamatkan negara daripada tunduk desakan IMF dan polisi dibuat serta dilaksanakan berdasarkan keperluan rakyat dan bukan semata-mata untuk mendapat pujian badan ekonomi antarabangsa. Polisi beliau dikecam oleh pelbagai badan penarafan dan pakar ekonomi negara dan antarabangsa. Namun Dr M tetap dengan cara beliau. Maka berkumandanglah ketika itu lagu "I did it my way". Beliau tidak menubuhkan makmal untuk menasihati beliau, tetapi beliau menubuh dan menggerakkan "Majlis Tindakan Ekonomi Negara" atau dikenali MTEN. Namapun majlis bertindak dan tindakan dilakukan terhadap sesuatu keputusan dilakukan dengan pantas.

Bancik ketika itu seakan ketagih menunggu Buletin Utama setiap hari kerana, pengumuman demi pengumuman selalunya dilakukan secara kerap terhadap tindakan yang bakal dan diambil. Majlis tertinggi UMNO juga kerap diberi peranan bagi menggerakkan dasar dan tindakan yang telah diputuskan dan segala tindakan dijelaskan dengan sejelas-jelasnya oleh Dr M sendiri sehinggakan kita semua senang faham kenapa tindakan tertentu diambil. Ini terbukti di mana mesyuarat MT sering dipaparkan di media-media.Allayarham  Tok Mat (Bapa kepada Datuk Nur Jazlan) yang setia memainkan peranan yang amat berkesan ketika itu. Perwatakan dan tindakan beliau amat tegas terutama melibatkan disiplin artis-artis. mana-mana yang degil akan kena gam. Walaupun ramai agak meluat kerana artis pujaan mereka digam, namaun ianya memberikan mesej yang jelas terhadap pembanguan peradaban bangsa perlu dipelihara melalui media.
Tok Mat

Dr M juga dilihat masih mengekalkan juga ahli-ahli politik UMNO yang tidak sependapat dan memberi teguran kepada beliau dengan melibatkan mereka di dalam kabinet beliau. Ini sesuatu yang jarang dapat dilakukan oleh mana-mana individu.

Berbanding sekarang, apa yang dilakukan ingin mendapat pujian badan antarabangsa. Kenaikan harga perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat berkaitan kerajaan dilakukan dengan tidak berhati-hati dan tidak bijak. Hati rakyat dan penyokong seakan tidak diambil peduli. Apa jua keputusan bergantung kepada makmal yang ditubuhkan, sedangkan pemimpin sekarang seakan tidak mahu berlajar daripada Dr M. Apa yang dialami oleh Dr M dahulu lebih teruk daripada sekarang, tetapi Dr M sentiasa membuatkan rakyat rasa selamat dibawah pemerintahan beliau.Kenaikan harga oleh perkhidmatan syarikat berkaitan kerajaan(GLC) dan pemegang konsesi adalah pilihan yang paling akhir atau dilakukan secara perlahan lahan.

Oleh yang demikian, rakyat tidak rasa terbeban sedangkan beliau menanggung beban yang maha hebat dari pelbagai sudut permasalahan negara ketika itu. Namun untuk memudahkan Dr M memerintah, rakyat ketika itu dari pelbagai bangsa telah memberi sokongan padu kepada beliau walaupun beliau digelar sebagai "Ultra Malay". Beliau seolah dilihat sebagai mujahid alah baru yang diutuskan oleh allah S.W.T. dalam membangunkan sebuah negara Islam yang kecil dan menjadi suara bagi negara-negara Islam yang tertindas, setelah sekian lama kejatuhan empayar Islam. Sistem ekonomi dan perbankan Islam mula aktif di zaman pemerintahan beliau.Kedudukan Islam juga tidak pernah digugat dan diperlekehkan di zaman beliau walaupun beliau digelar dengan pelbagai gelaran tidak baik ketika itu dan kini.

Persoalannya, apakah teori Dr M (Teori M) sudah tidak relevan lagi?Apakah cara beliau menyelesaikan masalah dipandang mudah oleh kepimpinan UMNO selepas beliau dan sekarang?Beliau tidak menubuhkan makmal tetapi rakyat ketika itu berasa amat senang. Beliau dikutuk oleh pihak dalam dan luar negara, tetapi rakyat merasa senang. Pertumbuhan ekonomi juga perlahan, suara-suara laungan reformasi ditenggelamkan oleh program reformasi ekonomi beliau.Akhirnya beliau berundur di kala rakyat masih mengharapkan sentuhan beliau untuk menguruskan ekonomi negara.

Keadaan semasa sekarang di negara ini menyebabkan lebih ramai mengenangkan dan rindu zaman pemerintahan beliau. Walaupun ianya tak sehebat di zaman Rasulullah S.A.W dan khalifah agung, beliau telah menunjukkan jalan dan inspirasi untuk umat Islam kembali ke zaman berkenaan dan mengulanginya.

Namun , akhir kata bagi yang pernah berada di zaman Dr M, Bancik ingin mengungkapkan "Kami Rindu Zaman Dr M" Kami Rindu.......

Namun ...siapalah nak dengar keluhan kami...melainkan Yang Maha Kuasa

Wallahualam



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...