Jom Follow.....

Monday, April 25, 2011

Penulisan Blog Perlu Dilihat Dari Sudut Positif

Merujuk kepada beberapa liputan di beberapa akhbar hari ini, artikel mengenai pandangan kerajaan terhadap penulis blog amat menarik perhatian saya. Para penulis blog sekarang ini tidak lagi dipandang di dalam kontek sebelah mata sahaja. Namun begitu, agak ramai juga yang memandang serong terhadap penulisan blog-blog yang terdapat pada masa kini.

Namun begitu, dari sudut pemerintah, ini adalah platform terbaik untuk mengenalpasti denyut nadi dan keluh kesah masyarakat yang dipimpinnya. Ianya memberi peluang kepada kerajaan bagi mendapatkan maklum balas yang tulen sebelum dasar sebenar dilaksanakan agar kehendak dan keperluan rakyat dapat dipenuhi dengan jayanya, tanpa bergantung kepada laporan yang tidak menggambarkan keadaan yang sebenar.

Dari sudut ekonomi pula, ianya memberi peluang kepada rakyat marhain(bagi yang kreatif) menambah pendapatan selaras dengan dasar menjadikan rakyat berpendapatan tinggi dengan berkongsi kek kakayaan pengiklanan yang sebelum ini hanya dimonopoli oleh jutawan-jutawan media yang tertentu sahaja.Dengan mengendalikan blog, ianya secara tak langsung menggalakkan rakyat kita sentiasa berfikir dan berinovasi ketika mengendalikan blog mengikut citarasa mereka sendiri.

Dari segi masalah  kredibiliti berita yang dipaparkan, sebenarnya media arus perdana yang ada sekarang turut mempunyai masalah yang sama. Oleh itu , biarlah pasaran menentukan sendiri kualiti blog-blog yang dipaparkan kerana, golongan yang mengendalikan blog ini, rata-ratanya terdiri dari mereka yang sentiasa berfikir. Justeru itu, pengendali blog perlulah diiktiraf sebagai golongan yang turut mampu memberi sumbangan positif kepada pembangunan negara.

Kerajaan perlu merangka langkah tertentu agar insentif-insentif tertentu dapat diberikan kepada blog-blog yang sentiasa menjaga kredibiliti terhadap kandungan yang dipaparkan.Dengan itu, masalah kredibiliti kandungan yang dipaparkan sedikit sebanyak dapat diselesaikan.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...