Jom Follow.....

Tuesday, March 27, 2012

Harapkan Balang, Balang Makan Biskut:Petugas Majlis Agama Islam Melaka Didakwa Minta Rasuah Wang, Seks ?

5 Jamadil Awal 1433

Apa nak jadi dengan dunia sekarang? Bernama telah melaporkan di MELAKA, 27 Mac, 2012- Seorang pekerja rendah am Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan rasuah iaitu meminta suapan wang dan perkhidmatan seks daripada seorang wanita bagi menyelesaikan satu kes khalwat, dua tahun lepas.

Zullias Rasid Manan, 36, dari Jalan Tun Kudu, Bukit Katil, bagaimanapun mengaku tidak bersalah ketika kedua-dua pertuduhan dibacakan di depan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM16,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 April depan untuk sebutan semula kes.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa meminta RM1,500 daripada Siti Aishah Mohd Yusoff sebagai upah untuk menyelesaikan kes di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada kira-kira 6.30 petang, 10 Jan 2010.

Bagi pertuduhan kedua, Zullias didakwa meminta perkhidmatan seks daripada Siti Aishah di bilik nombor 225, Coastal Park, Hotel Ujung Pasir pada kira-kira 1.15 petang, 13 Feb 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Heikal Ismail dan Mohd Sa'ad Shukor dari SPRM manakala Zullias tidak diwakili peguam.

Bagi penulis, jika kes berkenaan adalah benar dan dapat dibuktikan dakwaannya, maka ianya bolehlah dianggap seperti harapkan balang, balang makan biskut. Orang yang diamanahkan dalam bidang agamapun boleh tersasar dari landasan.Minta kita semua dijauhi dengan dugaan berkenaan.

Wallahualam

Sumber- BERNAMA

Monday, March 26, 2012

Persekitaran Turut Menjadi Penyebab Masalah Sosial

5 Jamadil Awal 1433

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Penulis kurang bersetuju dengan cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mencadangkan agar ibu bapa dipertanggungjawabkan termasuk dikenakan tindakan undang-undang sekiranya anak mereka di bawah umur melarikan diri dari rumah.

Menurut Bernama, Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (Pencegah) Jeevan S Ramamurthy berkata ini perlu bagi mewujudkan masyarakat yang bertanggungjawab terhadap anak-anak kerana kelalaian ibu bapa mendidik anak-anak menyebabkan meningkatnya kes remaja lari dari rumah sejak akhir-akhir ini.

"Mereka (ibu bapa) memang boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana negara kita memang mempunyai Akta Kanak-kanak 2001, cuma ia belum dikuatkuasakan secara menyeluruh," katanya kepada Bernama di sini Isnin.

Jeevan berkata kes remaja wanita lari dari rumah untuk mengikut teman lelaki berpunca daripada kelemahan ibu bapa yang kurang memberi kasih sayang serta gagal meletakkan kepentingan anak-anak mereka sebagai yang paling utama.

Persoalannya, yang bersalah ialah orang yang melarikan gadis bawah umur. Mereka tak nak dikenakan hukuman ke? Yang merogol gadis bawah umur yang dilarikan tak nak dihukum ke? Hal ini boleh diibaratkan seperti mangsa dikeji, si pelaku jenayah disanjung dan dibiarkan bebas.Siapakah juga yang bertanggungjawab menyediakan hiburan-hiburan yang melalaikan di media-media masa?

Selain itu, kos kehidupan yang semakin mendesak menyebabkan tekanan cabaran yang dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa semakin hebat. Penulis berpendapat undang-undang yang paling sesuai  untuk dilaksanakan ialah undang-undang Islam. Dengan kembalinya ke ajaran Islam sama ada pada peringkat individu atau pemerintah akan menyelesaikan segala macam permasalahan di dunia ini. Cukuplah kedukaan yang dipikul oleh ibu bapa, janganlah dibebankan lagi kedukaan mereka.

Wallahualam

Rujukan-BERNAMA

Sunday, March 25, 2012

Kalau Tak Daftar Tak Boleh Raya

4 Jamadil Awal 1433

Negara kita Malaysia memang terkenal dengan negara yang banyak raya. Ini disebabkan kepelbagaian kaum di negara ini. Sehinggakan nama hantupun dirayakan juga iaitu hantu raya. Jika bagi umat Islam, barang siapa yang tidak berpuasa, mereka tidak layak merayakan hari kemenangan atau hari raya aidil fitri, ada satu lagi raya yang mana barang siapa yang tidak mendaftar , tidak akan dapat merayakannya. Hari Raya berkenaan cuma disambut 5 tahun sekali iaitu pilihanraya.

Maka sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, bersama-samalah kita mendaftar sebagai pemilih atau pengundi. Ini adalah kerana hari raya berkenaan dikhabarkan bakal menjelma tidak berapa lama lagi.Anak-anak bulanpun dan semakin banyak timbul di tepi-tepi jalanraya diapit dengan Roket berwarna merah dan bulan sabit bercantum dua berwarna biru. Raya..lagi .. Ianya bergantung kepada pengumuman  penyimpan Mohor Besar raya berkenaan iaitu PM kita Dato' Sri Najib Tun Razak setelah mendapat perkenan Yang Di Pertuan Agong setelah melihat dacing yang dipegangnya semakin seimbang.

Wallahualam

Kualiti Graduan Malaysia Sekarang Diibaratkan Seperti Batu Nisan ?

3 Rabiulakhir 1433

Nampak gayanya politik sudah menjadi darah daging penduduk Malaysia sekarang. Terbaru ialah tindakan sekumpulan mahasiswa yang menuntut pilihan raya kampus diadakan segera dengan cuba menyerahkan batu nisan kepada Menteri Pengajian Tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa yang menuntut pilihan raya kampus diadakan segera dengan cuba menyerahkan batu nisan kepada beliau menunjukkan mereka tidak yakin dengan kehadiran mereka di institusi pengajian tinggi.

Sambil membayangkan tiada tindakan bakal diambil ke atas pelajar-pelajar terbabit, Mohd Khaled berkata beliau menganggap perbuatan mereka sebagai tidak matang dan beliau tidak mahu terheret sama dengan tindakan mereka.

Kira-kira 100 penuntut pro-Mahasiswa yang mendakwa mewakili tujuh badan berkaitan mahasiswa lain berkumpul di depan bangunan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) di Putrajaya Jumaat lalu yang antara lain bagi menuntut pilihan raya kampus diadakan segera dan membebaskan kampus daripada campur tangan politik luar selain menyerahkan memorandum tiga perkara serta batu nisan kepada Mohamed Khaled.

Bagaimanapun memorandum itu hanya dapat diserahkan kepada setiausaha politik Khaled, Mohammad Khairi A Malik tetapi enggan menerima batu nisan itu.

"Biarkan mereka," kata Khaled Nordin ketika ditanya sama ada kementerian beliau sudah mengenal pasti pelajar-pelajar yang cuba menyerahkan batu nisan kepadanya Jumaat lalu.

Beliau turut menyifatkan tindakan pelajar terbabit sebagai publisiti murahan untuk menarik perhatian agar apa yang dilakukan itu mendapat liputan media.

Institusi pengajian tinggi (IPT) adalah platform perbincangan dan pertentangan idea dalam keadaan matang di mana pandangan semua pihak didengar,

Jika ini tidak ditangani dengan bijak penulis bimbang tentang kualiti graduan Malaysia sekarang ini yang seakan sudah boleh diibaratkan seperti batu nisan. Batu nisan itu sebenarnya perlu dimiliki mereka. Penulis juga sedang tunggu jika ada mana-mana dikalangan mahasiswa berkenaan yang sanggup memperjuangkan setiap isu yang melibatkan kepentingan umat. Antara yang terbaru ialah isu perobohan madrasah di Kedah, rampasan tanah masjid di Pulau Pinang,penggunaan tanah rezab Melayu yang luas di Kedah untuk dibina tanah perkuburan cina, pajakan tanah rezab Melayu di Kelantan, isu pertukaran saham Air Asia dengan MAS, bilangan remaja melayu yang masih ramai tidak mendaftar sebagai pemilih dan sebagainya tanpa mengira fahaman politik. Nampaknya mereka utamakan kepentingan politik dan undi -undi serta pilihanraya mereka.

Penulis cuma hendak mengutarakan kembali cabaran oleh bekas salah seoarang pensyarah penulis semasa menjadi pelajarnya di suatu masa yang lampau.Jika isu utama tak boleh diperjuangkan dan persoalan penting tak boleh difikirkan.., ambil sahaja sijil atau ijazah masing-masing, kemudian keronyok , masukkan ke lubang tandas.., dan akhir sekali pamkan sahaja...

Wallahualam

Sumber- BERNAMA

Saturday, March 24, 2012

Pulangkan Kembali Tapak Masjid

3 Jamadil Awal 1433

Hati penulis terasa amat marah bila mendengar akan berita bahawa kerajaan Pulau Pinang telah membuat keputusan menjual sekeping tanah yang sebelum ini telah dipersetujui untuk dibangunkan sebagai masjid. Amat malang sekali bagi mereka yang sebelum ini melabelkan atau  menganggap pemimpin negeri berkenaan yang gaya pemerintahannya mengikut gaya Khalifah Umar Abdul Aziz, jika isu berkenaan adalah benar.

Cuma penulis tertanya-tanya, di manakah mereka-mereka yang sanggup berguling-guling di jalan raya sebelum ini? Apakah mereka tidak mahu berguling bagi mempertahankan tapak masjid berkenaan? Kenapa demi Islam tidak mahu berguling sedangkan demi politik boleh pula? Ternyata sekali umat Islam terus dikecewakan lagi...

Wallahualam.

Masjid Jamek Sungai Buloh Perlukan Pembelaan

3 Jamadil Awal 1433

Pada sekitar 15 Mac yang lepas, disebabkan kesesakan yang teruk di sekitar parkir stesen komuter KTM di Sungai Buloh, penulis terpaksa bersolat Maghribdi Masjid Jamek Sungai Buloh yang berhampiran stesen berkenaan.Bayangkan disebabkan kesesakan di kawasan parking sahaja, ianya telah menyebabkan hampir terlepasnya solat maghrib. Terngiang-ngiang di fikiran penulis agar solat sepatutnya dilakukan di awal waktu.

Mujur ada masjid berkenaan, dan dapatlah penulis menyelamatkan keadaan. Namun ketika memasuki kawasan solat di masjid tersebut, hati penulis agak terasa pilu bila melihatkan keadaan masjid jamek berkenaan yang memerlukan agak banyak besen-besen dan timba serta periuk bagi menadah air hujan yang turun dari bumbung disebabkan bumbung masjid yang bocor.

Ruangan Solat Di Masjid Jamek Sungai Buloh Terpaksa Ditadah Dengan Baldi Semasa Hujan@MyBancik 2012
Walaupun ada tabung diletakkan sebagai kempen mengumpul derma pembangunan semula masjid berkenaan, bagi penulis, sebagai negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi, keadaan sedemikian tidak sepatutnya berlaku, tambahan masjid berkenaan juga terletak di negeri yang menjadikan konsep negara berkebajikan sebagai dasar mereka. Semestinya perlu ada perancangan jangka pendek atau jangka masa panjang dari segi pembangunan masjid berkenaan. Sepatutnya keadaan sedemikian mendapat pembelaan yang sewajarnya terutama dari pelbagai peringkat terutama pemimpin-pemimpin politik yang beragama Islam.Keadaan masjid yang bocor tidak sepatutnya berlaku di negeri yang mana salah satu parti kompnen utama kerajaan sekarang menjadikan Islam sebagai perjuangan mereka.

Apakah para-para  pemimpin yang beragama Islam kita sekarang ini asyik berpolitik untuk mendapatkan sokongan dari kalangan pengundi bukan Islam sehinggakan perkara asas seperti ini dipandang sebelah mata? Apakah pengundi -pengundi dikalangan umat Islam sudah tidak penting lagi buat mereka sehinggakan keluhan dan keperluan mereka tidak perlu diambil tahu? Penulis tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama dikalangan pembaca terutama yang beragama Islam.

Wallhualam





Friday, March 23, 2012

Polis Tetap Pandang Serius Kes Remaja Lari Dari Rumah

2 Jamadilawal1433

Bernama telah melaporkan pada 23 Mac , 2012 bahawa polis kesal dengan sikap sesetengah ibu bapa yang menyifatkan kehilangan anak gadis mereka satu penculikan sedangkan ia sebenarnya tindakan melarikan diri dari rumah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kes sedemikian bukan satu jenayah tetapi merupakan masalah sosial yang berpunca daripada kegagalan institusi kekeluargaan.

"Sebelum ini, kita dapat kes yang menyatakan kononnya ada anak gadis yang diculik, tetapi sebenarnya apabila disiasat, mereka bukanlah diculik sebaliknya keluar rumah dan ikut teman lelaki sebelum kembali semula ke pangkuan keluarga.

"Kerana gagal menguruskan institusi kekeluargaan, ia membawa kepada masalah sosial hari ini," katanya kepada pemberita selepas acara turun padang bersama masyarakat di Berjaya Times Square Jumaat.

Ismail berkata bagaimanapun, polis tetap memandang serius kes itu dan berusaha mendapatkan maklumat sehingga menjumpai mangsa.

Sumber- BERNAMA

Carilah Permata Yang Sebenar

1 Jamadilakhir 1433

Penulis berasa bersyukur ke hadrat Ilahi apabila mendengar berita berkenaan beberapa remaja yang didapati hilang sebelum ini telah pulang kepada kepangkuan keluarga. Ada yang benar-benar diculik dan ada juga remaja perempuan yang mengaku melarikan diri mengikut teman lelaki disebabkan tidak tahan dengan keluarga. Disamping itu penulis tertanya-tanya akan adakah remaja lelaki melarikan mengikut teman wanita selepas ini.

Diharapkan juga pihak berkuasa bersikap lepas tangan dengan menyalahkan ibu bapa semata-mata dan membuat kenyataan bahawa semuanya terkawal dan kisah ini hanya disensasikan oleh pihak media. Jika gadis bawah umur melarikan atau dilarikan oleh seseorang, penulis rasa ianya juga boleh dianggap sebagai jenayah. Kalau dalam akta sedia ada belum ada, pihak berkuasa perlu berikhtiar untuk mengadakannya bagi membendung gejala seperti ini seperti terus berlaku kerana statistik yang dipaparkan di akhbar-akhbar tentang kes orang hilang kini amat membimbangkan.

Menurut akhbar Kosmo sebelum ini ,senario itu nyata membimbangkan kerana sebilangan mangsa hilang akibat mengikut kekasih, lebih dikhuatiri mereka yang masih muda itu mungkin terjebak ke dalam lembah pelacuran kerana hanya 42 peratus sahaja mangsa berjaya ditemui semula dalam keadaan selamat.

Tahun lalu merupakan angka tertinggi kaum Melayu teramai dilaporkan hilang iaitu 3,454 orang atau 64.5 peratus daripada keseluruhan 5,535 kes di seluruh negara.Agak mengejutkan kerana sebenarnya kes orang hilang tertinggi dicatatkan kerana cinta. Secara purata, sekitar 800 orang dikesan sanggup meninggalkan keluarga setiap tahun atau pukul rata lebih dua orang setiap hari.

Kepada remaja-remaja yang sedang mempunyai perselisihan dengan ibu bapa, ingatlah bahawa hubungan darah anda dengan ibu bapa tidak ada galang ganti dan ianya dibawa hingga ke alam akhirat kelak. Janganlah kita mudah terpedaya dengan janji manis pihak selain daripada darah daging kita sendiri. Mereka (ibu bapa) sudah semestinya menyayangi diri anda walaupun sebahagian besarnya tidak pandai menunjukkannya.Jika anda mendapat suami yang baik, apakah jaminan dia akan setia kepada anda sepanjang hayat?Begitu juga sebaliknya. Bagi ibu bapa pula, seburuk-buruk diri kita, kita tetap dianggap darah daging mereka. Apa yang apstinya kasih sayang kedua ibubapa itulah adalah permata  yang sebenar .

Wallahualam

Tuesday, March 20, 2012

Pulangkan Mereka Ke Pangkuan Keluarga

27 Rabiulakhir 1433

Kejadian kanak-kanak dan remaja hilang didapati semakin menjadi-jadi sejak akhir ini.Sebagai seorang bapa , perasaan sedih turut terasa bila mana saban minggu berlakunya kejadian seperti ini seolah-olah penyakit yang semakin berjangkit. Sebagai insan biasa yang tak punya kuasa, penulis hanya mempu menyeru rakan-rakan blogger bersama-sama melakukan kempen seberapa yang boleh di alam siber ini, iaitu dari blog ke blog, fb ke fb, twitter ke twitter bagi menjejaki kanak-kanak dan remaja yang hilang ini. Kita gerakkan kempen membenteras jenayah pemerdagangan manusia secara besar-besaran dari nusantara ke seantero dunia.

Kepada mereka-mereka di luar sana yang menjadi dalang, kita berharap agar dipulangkan kembali kanak-kanak dan remaja berkenaan ke pangkuan keluarga. Cuba bayangkan jika darah daging kalian diperlakukan sedemikian rupa. Apakah pula perasaan anda?Marilah kita sama-sama berdoa ke hadrat Ilahi agar diberikan taufik dan hidayah kepada mereka yang menjadi dalang ini untuk memulangkan mangsa kembali. Kepada masyarakat, kita harapkan agar kita menjadi semakin peka kepada persekitaran, manalah tahu ternampak kelibat mereka dan terus melaporkan kepada pihak berkuasa. Pulangkan cinta hati mereka.....

Wallahualam

Monday, March 19, 2012

Utamakan Keselamatan Malaysia

27 Rabiulakhir 1433

Berita salah seorang pemimpin politik yang berikrar menyokong sebarang usaha menjamin sebuah keselamatan negara Israel telah menjadi polemik yang hebat di arena politik Malaysia. Ianya seolah-olah memberi bola tanggung kepada musuh politik mereka. Bertambah malang pula parti komponen juga terheret dan terbeban dengan isu berkenaan dengan pemimpinnya mengeluarkan kenyataan yang bercanggah. Seorang menolak seratus peratus hubungan dengan negaraberkenaan dan seorang lagi pula kata dibolehkan pula.

Apa yang penting bagi penulis, sebenarnya sebarang usaha memperkasakan keselamatan negara Malaysia sepatutnya diutamakan. Penulis terpaksa luahkan perasaan penulis bila mana melihat hari demi hari, setiap detik waktu, berlakunya kes orang hilang , pembunuhan, penculikan yang semakin berleluasa. Isu keselamatan Malaysia perlu diutamakan daripada meneruskan pelemik sokongan kepada kepada negara berkenaan.Sebagai orang biasa yang tiada kuasa apa-apa, penulis menolak secara total segala bentuk kerjasama dengan negara yang seolah-olah secara puratanya setiap hari membunuh umat Islam di Palestin.

Sudah sampai masanya rakyat Malaysia mengutamakan keselamatan negara sendiri daripada negara lain yang sudah kuat .

Wallahualam

Kerajaan Digesa Memerangi Besar-besaran Jenayah Penculikan

27 Rabiulakhir 1433

Jika kanak-kanak kecil diculik, ibu bapa sering dipersalahkan. Tetapi bagaimana pula jika remaja yang sudah mampu berdikari menjadi mangsa?Apakah ibu bapa juga akan dipersalahkan. Dahlah nak dapatkan pembantu rumahpun kena bayar RM 700 sebulan untuk satu tugasan, gejala jenayah seperti ini yang semakin berleluasa terlalu membebankan  dan meruntun jiwa rakyat.

Terbaru pihak polis telah berjaya menjejaki semula seorang remaja yang telah diculik. Menurut laporan Bernama , seorang gadis berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang baru-baru ini berjaya diselamatkan polis Thailand di sebuah stesen keretapi di Bangkok.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Mohd Adnan Abdullah berkata pihak Kedutaan Malaysia di Bangkok telah berurusan dengan pihak berkuasa Thailand untuk penghantaran pulang gadis itu ke Malaysia.

Dalam satu kenyataan di sini Isnin, Mohd Adnan berkata gadis itu telah menelefon ibunya yang tinggal di Seksyen 18 di sini pada pukul 4.57 petang 12 Mac lepas dan ibunya kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 11 di sini mengenai panggilan itu pada hari yang sama.

Mohd Adnan berkata dalam panggilan telefon itu gadis berkenaan memberitahu ibunya bahawa dia dan beberapa orang warga Myanmar itu telah diculik oleh sekumpulan orang, lalu dibawa ke Thailand.

"Bagaimanapun, mereka berjaya meloloskan diri dan diselamatkan polis Thailand pada 11 Mac di Stesen Keretapi Hua Lampong, Bangkok," katanya.

Dan Paling parah isu yang terkini di Kuantan pula, menurut laporan Utusan, seorang pelajar perempuan dipercayai diculik ketika keluar bersama dua adiknya untuk membeli kad tambah nilai prabayar di sebuah kedai telefon bimbit berhampiran rumahnya di Taman Tas di sini semalam.

Ibu mangsa, Nor Mala Mohd. Lazin, 34, berkata, Siti Nur Fatihah Mahadi, 15, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Pandan keluar dari rumahnya pukul 12 tengah hari bersama dua adiknya, Siti Nurul Aishah dan Mohd. Shahmi Aiman masing-masing berusia 11 tahun.

Kata Nor Mala, dia terkejut apabila dua anak kembarnya itu pulang ke rumah sambil menangis memaklumkan kakak mereka dilarikan orang.

Mangsa dipercayai dilarikan dengan sebuah kereta jenis Honda berwarna gelap oleh tiga individu termasuk seorang wanita tidak dikenali, katanya di sini hari ini.

Kepada pihak yang sering menyalahkan ibu bapa tu, fikir-fikirkanlah sebelum memberi kenyataan kerana anda belum diuji. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan mendesak kerajaan memberikan tumpuan dalam mengatasi masalah jenayah ini. Jika segelintir kita sanggup berhimpun secara halal atau haram bagi menyokong pemimpin yang dianggap anugerah tuhan, maka kenapa tidak boleh melakukan hal yang sama bagi memperjuangkan nasib rakyat.

Wallahualam

 Rujukan - Sumber BERNAMA & Utusan Malaysia

Sunday, March 18, 2012

Isu Gaji Pembantu Rumah RM 700 : Bubarkan Sahaja Pasukan Perunding

26 Rabiulakhir 1433

Bayangkan jika RM 700 untuk setiap tugas amah dari Indonesia anda bakal dikenakan sebulan . Jika anda mempunyai 4 tugas utama anda perlu menggaji empat orang amah.Maka dalam masa sebulan anda perlu membayar kos sebanyak RM2,800.Yang musykilnya rata-rata pendapatan rakyat golongan pertengahan hanya berpendapatan RM 3000 hingga RM5,000.Mampukah? Baik sahaja majikan berikan wang berkenaan kepada Isteri dan duduk di rumah sahaja.

Penulis melihat kelemahan yang ada dikalangan pasukan perunding dari Malaysia. Penulis tidak pasti dari manakah ahli-ahli pasukan berkenaan.Jika ianya datang dari penjawat awam kanan dari kerajaan Malaysia, maka episod kelemahan pembuatan dasar di sektor awam berulang lagi selepas isu SBPA. Sepanjang isu ini timbul, tiada suatu kenyataan balas daripada pasukan perunding Malaysia menyanggah kenyataan pasukan dari Indonesia. Yang ada cuma hanya dari kenyataan Menteri dan timbalan Menteri serta Perdana Menteri yang menyifatkan kenyataan berkenaan tidak masuk akal dan berbeza dengan apa yang dipersetujui di peringkat atasan.

Kalaulah kejadian berkenaan berlaku di sektor swasta seperti penulis alami, sudah tentulah kami diundurkan dari tugasan atau ditukarkan dengan serta merta ke bahagian lain. Apakah akan berlaku di sektor awam bagi kes seperti ini?

Wallahualam

Thursday, March 15, 2012

KTM Tak Wajar Kenakan Bayaran Pakir Ketika Kawasan Sesak

23 Rabiulakhir 1433

Pada senja tadi penulis ke stesen Keretapi Tanah Melayu( KTM) di Sungai Buloh untuk menjemput isteri penulis pulang dari pusat bandar Kuala Lumpur. Seperti biasa, peluang mendapatkan tren masih lagi sukar walaupun bilangan gerabak dikhabarkan baru-baru ini telah ditambah dan beliau sampai agak lewat.

Namun, sebaik sahaja mendapat panggilan dan pengesahan bahawa tren sudah sampai, penulis mengambil keputusan masuk ke kawasan parkir KTM berkenaan yang mensyaratkan kadar percuma hanya selama 15 minit berada di dalam kawasan berkenaan untuk melalui kawasan tersebut. Oleh kerana hujan agak lebat, penulis terpaksa masuk juga kekawsan berkenaan memandangkan secara luarannya keadaan nampak terkawal. Walau bagaimanapun, keadaan berubah bila kenderaan penulis memasuki kawasan parkir berkenaan, di mana berlakunya suasana kesesakan teruk di dalam parkir tersebut bila mana banyak kenderaan terpaksa beratur untuk membayar parking.

Kesesakan berlanjutan dianggarkan  lebih daripada 30 minit untuk menjemput isteri penulis di stesen tersebut. Malangnya sebaik sahaja tiba di kaunter pembayaran lalu pandu, bayaran masih dikenakan walaupun diberitahu tujuan kita hanya untuk melalui kawasan berkenaan. Penulis cuba mempersoalkan, "sesak-sesakpun kena bayar juga ke? "Dengan selamba aje, juruwang menjawab,"Nak buat macam mana, lebih daripada 15 minit. Lain kali, encik jangan masuk le" kata beliau.

Persoalannya :

1. Tahap perkhidmatan KTM masih teruk, di mana pengguna terpaksa menunggu lama dan perlu bersesak-sesak dalam gerabak dan perjalanan tren selalu tertangguh.
2.Proses pembayaran di parkir agak lembab dan perlahan.
3. Turapan di bahagian pakirpun tidak berapa sempurna serta agak berlopak dan tak berapa memuaskan.
4. Bayaran pula dikenakan di kawasan pakir walaupun hanya untuk menjemput seseorang pada cuaca yang buruk.

Jika keadaan seperti ini tidak diberi perhatian, lupakanlah hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020. Maka, tidak hairanlah mengapa warga kota di lembah Kelang masih memilih untuk memandu kenderaan sendiri ke bandar setiap hari dan manyebabkan semakin hari kesesakan jalanraya semakin buruk.Diharapkan pihak suruhanjaya perkhidmatan darat mengambil perhatian terhadap kesusahan yang dialami oleh pengguna seperti kami. Pihak pengurusan KTM perlulah melakukan transformasi minda dan tindakan yang drastik bagi memperbaiki mutu perkhidmatan mereka. Pemikiran perlulah dibuat secara pantas dan "Express".....bagi membela nasib rakyat.

Wallahualam




Wednesday, March 14, 2012

Bilamana Ku Di Ambang Kritikal

22 Rabiulawal 1433

Pernahkah anda berada diambang saat-saat kritikal? Ketika berkenaan anda akan mendapati tiada siapa yang dapat membantu anda melainkan Yang Maha Esa. Aku pernah mengalami beberapa kali keadaan berkenaan. Pertama ketika ku berada di zaman kanak-kanak. Di mana aku ketika itu bersiar disekitar kampung berseorangan dan cuba melintasi suatu titi yang mana merentasi suatu kolam . Dengan tiba-tiba aku tergelincir dan terjatuh di dalam parit berkenaan. Aku rasa aku semakin lemas, dan tiada seorangpun di kawasan berkenaan. Namun , alhamdulillah dengan tenaga yang masih ada , sebelah tanganku sempat menggapai semula titi yang menyebabkan ku tergelincir. Allah memberi peluangku untuk berjuang di dunia ini.

Dan yang peristiwa yang berikutnya, aku pernah mengalami saat kritikal ketika mengdidap denggi pada tahun 2007. Dikala isteriku sedang mengandungkan anakku yang keempat dan sudah hampir genap untuk bersalin, aku dimasukkan ke wad ICU disebabkan demam denggi berdarah. Mujur ketika aku di wad, di kala Dr pakar yang sedang merawat aku baru sahaja baru hendak berlalu selepas membuat pemeriksaan, dengan tiba-tiba sewaktu aku bersin, ianya telah menyemburkan darah. Dengan serta merta aku dimasukkan ke ICU dari wad biasa.

Ketika di ICU, aku terasa amat lemah. Pemikiranku ketika itu bercelaru dan segala imaginasi masa lampau berulang kembali dalam pemikiran. Ianya seolah diibaratkan seperti memori komputer yang sedang diserang wirus. Aku seolah-olah berada dalam persimpangan. Aku hanya mampu mendengar isteri aku menangis. Ku dapati ibuku jua dalam keadaan kesedihan.

Dikala itu aku merasakan harta, pangkat serta apa yang ada di dunia sudah tidak berguna lagi. Jika diberikan segunung emas dan nikmat kesihatan, sudah semestinya aku akan memilih nikmat kesihatan dan kehidupan. Aku cuma bayangkan apakah bekalan ku bagi meninggalkan dunia ini sudah cukup?Lebih malang lagi bila Dr memberitahu aku kes aku ini amat kritikal. Ini menyebabkan beliau terpaksa merujuk kepada rakan-rakannya dan kes aku ini dibincangkan bersama pakar-pakar yang lain."Platlet" darahku jatuh dengan amat rendah sekali sehinggakan tubuhku perlu dimasukkan darah. Aku tak tahu dari manakah sumber darah yang diperolehi memandangkan darah aku adalah dari jenis A RhD Negatif yang tak ramai orang memilikinya. Aku mengetahui jenis darah inipun melalui pemeriksaan yang pernah dilakukan di Pusat Darah negara. Mungkin mereka memperolehinya dari penderma di sana juga.

Ketika itu, aku hanya mampu mengadu pada Yang Maha Esa. Aku memohon agar diberi peluang agar aku dapat meneruskan perjuangan di dunia ini. Aku tak mahu melihat ibuku bersedih. Cukuplah penderitaannya membesarkan aku dan adik beradikku yang yatim selama ini. Aku juga tidak mahu melihat isteri dan anakku bersedih terutama yang belum lahir yang masih belum pernah melihat ayahnya. Aku hanya berserah pada Yang Maha Esa atas ujian getir ini.

Dikala aku sedang lemah, beberapa rakan-rakan juga telah memberikan semangat dan memaksa agar aku meminum banyak air. Dalam keadaan lemah dan separa sedar aku hanya mampu menganggukkan sahaja di kala seluruh badanku dipenuhi dengan wayar-wayar peralatan kesihatan.Sehinggalah sampai satu ketika tiba-tiba ibuku dan isteriku menyediakan sup ketam. Ibuku berbuat demikian, apabila menerima cadangan daripada beberapa pihak. Dipaksanya ibuku terhadapaku menghirup sup berkenaan. Ianya merupakan suatu cabaran yang besar kerana makanan lainpun aku tak boleh jamah, inikan pula sup ketam.Memandangkan mungkin inilah saat terakhir aku patuh pada perintah ibuku, aku turuti jua secara terpaksa.

Sudu demi sudu disuapkan oleh isteriku, lama kelamaan dapatlah semangkuk kecil dihabiskan. Tidak berapa lama kemudian, didapati "platlet' darahku didapati semakin pulih.Proses pemulihanku tidak berpaling kebelakang lagi. Aku semakin pulih. Pulih dan seolah lahir semula ke dunia dan mula melihat kehidupan dalam perspektif yang berbeza. Sesekali diuji merupakan rahmat dari Yang Maha Esa. Moga kehidupan kita semua seterusnya sentiasa berterusan dinaungi Rahmat Yang Maha Kuasa.

Wallahualam


Kanak-Kanak Hilang:Masyarakat Diminta Tidak Menyalahkan 100 % Kepada Ibubapa Mangsa

21 Rabiulakhir 1433

Penulis terasa begitu emosi di mana ada segelintir daripada masyarakat Malaysia yang senang sahaja menunding kesalahan kepada ibu bapa mangsa apabila berlakunya kes kanak-kanak hilang atau diculik. Bak kata pepatah melayu, berat mata memandang, berat lagi mata yang memikul. Maklumlah, tragedi ini tidak kena pada batang hidung mereka lagi. Kalau kena, barulah mereka nak melolong.

Menyorot pengalaman penulis di zaman kanak-kanak dahulu, penulis dan rakan-rakan bebas kemana sahaja bermain di kawasan persekitaran, bahkan pergi jauh berkilometer tanpa rasa ragu dan bimbang akan keselamatan. Terutama di kawasan kampung, bukan mudah ibu bapa untuk mencari kami, namun bila tiba masa ditetapkan rata-rata kami sampai ke rumah.

Tidakkah kita terfikir bahawa situasi keselamatan negara semakin hari semakin mencabar dalam situasi semasa. Kenapa kita pada asasnya tidak memberi keutamaan kesalahan kepada si pelaku jenayah berkenaan?Kenapa disalahkan pula kepada ibubapa? Apakah pemikiran kita semakin bercelaru dimana pesalah tidak dianggap pesalah manakala si mangsa pula disalahkan.

Yang kedua, punca utama ialah disebabkan adanya permintaan yang besar terhadap jenayah pemerdagangan manusia sama ada dari segi mendapatkan organ, dijadikan hamba pengemis atau sebagai pemuas nafsu serakah pengguna-penguna mangsa. Sesungguhnya kegiatan ini dipercayai dilakukan oleh sendiket-sendiket atau kumpulan kongsi gelap yang berlindung dengan pelbagai cara.

Yang ketiga ialah dari segi kesihatan mental pelaku-pelaku yang ada yang mungkin juga berpotensi melakukan jenayah berkenaan.Golongan seperti ini juga perlu dipantau agar tidak menimbulkan masalah atau ancaman kepada mangsa-mangsa yang lemah.

Yang keempat barulah keselamatan yang perlu dititik beratkan oleh ibubapa atau penjaga-penjaga terhadap anak-anak mereka.Namun ianya masih nampak agak sukar jika si pelaku masih dalam keadaan 24 jam sentiasa mencari peluang.

Maka ini menuntut agar pihak berkuasa merangka strategi yang berkesan secara berterusan dalam mengawal dan membenteras jenayah berkenaan. Namun agak sukar juga jika pihak keselamatan dibebankan dengan pihak-pihak yang sering mermpertikaikan kewibawaan mereka disebabkan untuk mendapatkan keuntungan politik seperti asyik-asyik hendak mengadakan perhimpunan haram, mendesak ditubuhkan suruhanjaya itu dan ini atas kepentingan politik mereka.Bahkan ada yang berdemonstrasi minta undang-undang diloggarkan pula. Malangnya setakat ini, penulis masih belum melihat tunjuk perasaan atau demonstrasi meminta kerajaan menguatkan keselamatan kanak-kanak atau keselamatan awam.

Penulis membuat kesimpulan di sini, bahawa masyarakat tidak banyak membantu. Rata-rata kita masih dibuai dengan bisikan hawa nafsu dan mementingkan kuasa dan politik. Janji kepada rakyat tak dihirau. dan kalau mereka bermasalah, sering dijadikan sasaran kesalahan kepada orang yang lain.Sudah jelas,makin ramai dikalangan kita yang gila politik dan tak ambil kisah tentang masalah rakyat.Penulis berharap, pendapat penulis ini tidak benar...

Wallahualam


Tuesday, March 13, 2012

Apa Nak Jadi Dengan Malaysia?

21 Rabiulakhir 1433

Penulis telah terbaca dua kejadian bunuh yang telah dilaporkan di akhbar-akhbar hari ini. Ini yang terbaca, yang tak terbaca tu entahlah, mungkin ada lagi. Satu kejadian di mana seorang ayah dan anaknya yang juga seorang pensyarah muda dijumpai mati di sebuah rumah yang mana laporan awal seolah-olah menunjukkan ianya berkaitan dengan kes pembunuhan.Suatu lagi kes pembunuhan pula berlaku di mana mangsa ditembak ketika sedang minum di premis kedai makan.

Persoalannya sekarang kejadian yang tak diingini seperti ini seolah semakin menjadi-jadi. Apa ke hei nya dengan Malaysia sekarang ini?Adakah ini disebabkan kegiatan kongsi gelap atau sendiket-sendiket yang ada serta makin bermaharajalela di Malaysia? Rakyat Malaysia perlu bersatu agar gejala-gejala seperti ini dapat diberi perhatian sewajarnya. Segala bentuk perbalahan hal yang remeh temeh di kalangan sesama sendiri perlu dielakkan bagi menjaga kepentingan kita semua.Kerjasama perlulah diberikan kepada pihak keselamatan bagi membolehkan mereka menjalankan tugas mereka dengan cekap dan berkesan.

Selain daripada usaha, yang terakhir, kita hanya mampu berdoa serta berserah  memohon kepada Yang Maha Kuasa agar memelihara keselamatan kita semua.

Wallahualam





Monday, March 12, 2012

Berulang Lagi Peristiwa Tragis - Salah Pemimpin Politik Malaysia

20 Rabiulakhir 1433

Sudah sah, berulang lagi kes pembunuhan kejam ke atas kanak-kanak di Malaysia. Laporan di Utusan Online hari ini telah melaporkan bahawa Polis hari ini mengesahkan mayat rentung yang ditemui di sebuah ladang kelapa sawit di Nusa Damai, Pasir Gudang di sini adalah Nurul Nadirah Abdullah, 5, kanak-kanak yang hilang dari rumah sejak 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, pengesahan itu berdasarkan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dibuat ke atas mayat rentung yang ditemui sebelum ini.Menurut polis, mayat rentung tersebut ditemui pada 8 Mac lalu. Takziah penulis ucapkan kepada keluarga mangsa.

Penulis secara peribadi berpendapat bahawa peristiwa tragis ini masih terus berlaku disebabkan oleh sikap pentingkan diri ahli-ahli atau pemimpin-pemimpin parti politik di Malaysia. Disebabkan gilakan kuasa, setiap masa dan waktu akan diisi dengan aktiviti berpolitik keterlaluan. Apa sahaja isu yang boleh dipolitikkan akan dipolitikkan.

Ceramah demi ceramah, perhimpunan demi perhimpunan sama ada yang halal atau yang haram diaturkan untuk mendapatlkan sokongan.Cuma belum ada logo halal atau haram JAKIM aje lagi terhadap perhimpunan berkenaan. Situasi ini menyebabkan majoriti tenaga pihak keselamatan ditumpukan menangani isu politik dan keselamatan negara gara-gara kerapnya perhimpunan diadakan.

Jika polis menembak penjenayah sekalipun, polis juga disalahkan juga sebaliknya suspek penjenayah pula yang disanjung dan isu berkenaan dipolitikkan. Keadaan yang demikian menyebabkan aspek keselamatan awam agak terabai dan makin terus terabai. Masyarakat seolah-olah tidak memberi sokongan yang padu kepada pihak polis, terutama di kalangan ahli-ahli politik yang rakus. Polis semua dianggap salah, mahkamah juga tidak dianggap adil jika keputusan tidak menyebelahi mereka.

Agaknya jika kena batang hidung sendiri baru nak cari polis agaknya. Mereka tidak peduli perasaan keluarga mangsa. Kecewa, sungguh kecewa penulis rasakan apa yang berlaku di Malaysia sekarang. Penulis amat kecewa dengan ahli-ahli politik di Malaysia.

Wallahualam







Saturday, March 10, 2012

Malaysia Diancam Penyakit Sosial Yang Paling Dashyat

18 Rabiulakhir 1433

Berdasarkan laporan di muka utama akhbar Mingguan Malaysia pada hari ini, rupa-rupanya Malaysia sedang diancam oleh suatu penyakit sosial yang paling merbahaya selain daripada gejala penagihan dadah . Penyakit yang dihapuskan oleh Allah S.W.T. dengan menurunkan bala bencana yang amat dasyat seperti mana yang diceritakan dalam Al-Quran berkenaan penyakit yang telah menimpa kaum Nabi Luth, iaitu penyakit dimana seseorang itu hanya berminat melakukan hubungan kelamin dengan kaum sesama sejenis.

Lebih malang lagi , menurut laporan berkenaan, gejala ini bukan hanya turut dihidapi oleh golongan biasa, malahan ianya turut melanda terhadap golongan cerdik pandai di dalam bidang agama.Jika ini benar, sememangnya kita sebagai masyarakat Islam di Malaysia perlu menekan butang panik agar gejala ini dapat dibendung serta merta  sebelum ianya didapati tidak terkawal. Semua pihak perlu memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini agar bagi memastikan  kita semua selamat dari bala bencana yang bakal timbul disebabkan kemurkaan Allah S.W.T. seperti mana umat-umat terdahulu.

Kita harapkan kepada mereka-mereka yang berkenaan, agar diberi hidayah , kekuatan dan petunjuk untuk bertaubat, disamping memohon daripada Allah agar gejala ini dapat dijauihi dari kita, keluarga, sahabat handai , saudara seislam serta  rakyat Malaysia amnya. Bersam-samalah kita mengucapkan kalimah taubat sebanyak mana yang mungkin.Semoga Malaysia sentiasa mendapat perlindungan daripada Allah S.W.T.

Wallahualam


Maafkanku Laila: Namamu Bukan Teratas

18 Rabiulakhir 1433

"Betulkah Majnun tak nak ikut Laila Ke luar negara ikut Laila? "Tanya Laila kepada Majnun yang sedang diam."Entahlah Laila. Majnun tak dapat beri kata putus sekarang. Apa kata Laila tunggu Majnun sementara majnun menghabiskan diploma dahulu.?"

"Tapi Majnun, Laila tak nak buang masa. Lagipun pihak penaja dah luluskan penajaan Laila ke US. Ok ..Macam ni.., Laila tunggu Majnun di sana nanti." Dengan agak keliru Majnun hanya mengangguk. Majnun masih dalam keadaan bingung setelah baru putus cinta sebelum ini. Kehadiran Laila secara tiba-tiba menjadikannya secara automatik sebagai Majnun.

Perginya Laila ke US menyebabkan Majnun makin kebingungan. Secara tiba-tiba, hati kecil Majnun berkata, "sampai bila aku perlu menjadi hamba kepada cinta wanita? Aku mesti terus hidup. Laila ada cita-cita tersendiri dan aku perlu juga ada cita-citaku. Cita-citaku ialah membela wanita yang bernama Ibu yang hidup menderita membesarkan aku sekeluarga setelah kehilangan ayah yang pergi mengadap Ilahi dalam usia muda."

Sekian lama, Laila kerap menulis warkah. Sehinggalah warkah yang kedua, perenggan yang menyebabkan Majnun tersentak, " Apa khabar Majnun? Laila di sini sihat sahaja. Majnun jangan Khuatir, ramai senior-senior yang baik di sini yang sering membantu Laila" Tak pula dia bagi tahu senior-senior laki atau perempuan? kata Majnun dalam hati dengan penuh kegusaran. "Apakah kegusaran ini tanda aku makin cinta padanya." Katanya dalam hati.

Majnun membalas surat, dengan ayat utama " Kalau senior perempuan, baguslah, tapi kalau senior lelaki......? Majnun hanya membiarkan ayat tergantung begitu sahaja, dan surat itu diutuskan ke US.

Tiba-tiba, si Ibu mengejut Majnun di tengah malam-malam buta. Katanya ada panggilan telefon dari US. "Kenapa dengan Majnun ni? "Majnun hanya mendiamkan diri bila mendengar suara Laila yang menangis. "Majnun..?Laila cakap dengan Majnun ni..., senior yang Laila maksudkan ialah perempuan!!. kata Laila."Entahlah Laila, Majnun takut, banyak kejadian bila berjauhan, macam-macam boleh jadi. Majnun tak nak berharap lagi. Majnun dah buat keputusan tak akan ke sana. Majnun dah dapat tawaran sambung belajar di dalam negara sahaja.Lagipun Majnun tak mampu." balas Majnun. "Majnun...? Tangis Laila, bila mendengar kata Majnun.

"Ok Lah laila, Laila jangan nangis, nanti kita tengok macam mana. Laila perlu fokuskan belajar di sana." Balas Majnun memujuk. Perbualan dihentikan. Terkejut si ibu bila mendapat tahu anaknya yang miskin ni berkawan dengan seorang awek bakal graduan di US. "Tak ada apalah ibu, cuma kawan aje", balas Majnun lemah.

Namun selepas kejadian itu, surat demi surat diterima dari Laila, namun Majnun tidak membalas lagi. Dari sudut hatinya berkata, "Maafkan Aku Laila, aku tak mampu menempuh dugaan bercinta lagi di kala berjauhan. Aku tak akan ulangi kesilapan yang lalu. Maafkan Majnun Laila, namamu bukan teratas.......Yang teratas ialah Allah dan Rasulnya serta ibu bapa. Yang lain Majnun serah pada Yang Esa....

Wallahualam

Kuala Lumpur Sesak Luar Biasa Selama 9 Jam Kerana Trailer Rosak

17 Rabiulakhir 1433


Media seperti bernama turut melaporkan pada  9 Mac 2012 mengenai kesesakan teruk di laluan masuk ke bandaraya dari arah selatan berlaku selama sembilan jam Jumaat akibat tayar belakang sebuah trailer yang membawa batang besi pecah di Jalan Tun Razak-Seremban, dekat Bulatan Kampung Pandan, di sini.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, ACP Rusli Mohd Noor berkata, kejadian yang berlaku pada 7 pagi itu menyebabkan hanya satu lorong masuk ke ibu negara di jalan itu boleh dilalui kenderaan hingga mencetuskan kesesakan teruk."Selepas itu sebuah van telah merempuh belakang trailer itu, tetapi ia hanya kemalangan kecil. Namun ia terus memburukkan lagi keadaan trafik di situ," katanya ketika ditemui Bernama.

Kesesakan itu mengganggu beratus-ratus orang yang keluar pagi ini untuk bekerja di ibu kota, terutama mereka yang datang dari arah selatan termasuk Seremban.

"Sehingga malam, lori itu belum dapat dialihkan," katanya.

Bagi penulis, sekiranya kesesakan disebabkan penutupan trowong SMART, para pengguna mungkin boleh terima hakikat. Tetapi bagaimana pula larangan kenderaan berat dari masuk ke ibu kota pada waktu puncak dikuatkuasakan.Apakah pemegang konsensi tidak boleh bekerjasama untuk meletakkan kenderaan tunda di susur keluar dari tol lebuhraya mereka. Di manakah tanggungjawab mereka bagi membantu pelanggan mereka. Di manakah peranan DBKL pula. Di manakah trafik bantuan DBKL semasa waktu puncak. Apakah tugas mereka hanya nak menyaman pengguna yang meletakkan kenderaan di tempat yang salah aje? Mana dia semangat rakyat didahulukan? Jika tidak sanggup menggunapakai dan mengikuti semangat berkenaan, lebih baik berundur dari tugasan dan senang pula bagi kerajaan cari orang lain yang mahu kerja. Ramai dari kalangan rakyat yang hendak kerja dengan kerajaan sekarang. Diharapkan kerajaan pantau kelakuan dan prestasi penjawat-penjawat mereka.Lagipun , gaji pun sudah di naikkan.

Sumber- Disunting dari BERNAMA

Friday, March 9, 2012

SSM: Bersyukurlah Penjawat Awam

17 Rabiulakhir 1433

Pejawat awam sepatutnya bersyukur atas pengumuman kerajaan terhadap penambahbaikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang membolehkan mereka menerima kenaikan gaji. Namun seperti dijangka di Malaysia ni, ada pihak yang mula mengadudombakan pengumuman kerajaan ini. Bagi penulis yang cari rezeki di sektor swasta ini, penulis berharap agar para penjawat awam dapat bersyukur. Walaupun cadangan awal skim SBPA yang diumumkan sebelum ini telah dibatalkan, walaupun ada pihak yang menganggap ianya  lebih menarik, tetapi ianya telah didapati tidak menyeluruh dan hanya memberi kelebihan hanya kepada sesetengah pihak sahaja.Selain daripada itu kerajaan juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menilai dari masa ke semasa faedah pekerjaan penjawat awam.

Kerajaan juga mungkin telah mengkaji kesan ke atas pekerja swasta(seperti kemungkinan kesan kenaikan sara hidup sedangkan kenaikan gaji adalah juga terhad, mengikut keadaan perniagaan) seperti penulis ini dan ini juga mungkin salah satu perkiraan dalam membuat keputusan berkenaan.

Seruan bersyukur bukan penulis yang cakap tetapi ianya adalah merupakan salah satu dari kalam perintah Allah S.W.T ke atas hambanya. Para ahli-ahli politik juga di Malaysia diseru agar menghentikan sikap adu domba di kalangan umat Islam dalam hal-hal macam ini, kerana kita mempunyai perjuangan yang lebih besar untuk bersaing dengan negara-negara bukan Islam di seluruh dunia. Cukuplah keadaan ketidakamanan negara-negara Islam di Timur Tengah,

Akhir kata, "Bersama-samalah kita Bersyukur, insyaallah Yang Maha Esa akan menambahkan lagi  nikmatNya kepada kita semua.Insyaallah.

Wallahualam.


Tragedi Di Kampung Atap

17 Rabiulakhir 1433

Penulis turut bersimpati terhadap kejadian tanah runtuh yang berlaku di pusat bandar Kuala Lumpur kelmarin. Kejadian yang berlaku di kuarters kerajaan di kawasan Kampung Atap berkenaan menyebabkan seorang remaja terbunuh akibat tertimbus . Kebetulan sekitar 1 jam sebelum kejadian berkenaan, penulis memandu pulang melalui jalan di hadapan kuarters berkenaan dari jalan Loke Yew bagi mengelakkan kesesakan jalanraya yang teruk setelah pulang dari mesyuarat di Cyberjaya bagi menjemput isteri di pusat bandar pulang dari kerja.

Ketika mendekati kawasan berkenaan suasana hujan pada ketika itu turun teramat lebat secara tiba-tiba. Lebatnya seakan lebih kurang seperti seseorang mencurah air menggunakan timba di cermin hadapan kereta.Takziah penulis ucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat. Kepada penduduk warga kota dan di lembah Kelang, bersama-samalah kita berhati-hati dalam cuaca yang tidak menentu sejak akhir-akhir ini.

Wallahualam


Wednesday, March 7, 2012

Kaji Semula Terowong Jalan Duta

15 Rabiulakhir 1433

Hanya disebabkan rosaknya sebuah lori di terowong jalan duta, maka penulis terpaksa beratur perlahan memandu dari restoran jejambat di Sungai Buloh ke pusat bandar Kuala Lumpur pagi tadi. Asalkan ada meeting di awal pagi, masa tu lah jalan atau leburaya buat hal.Boleh dikatakan sejak akhir-akhir ini acapkali akan berlaku kerosakan di dalam atau berdekatan terowong berkenaan dan menyebabkan kesesakan teruk pada waktu pagi. Lebih malang jika lori atau bas keluar lebih awal pagi, kemudian mengalami kerosakan di tempat berkenaan. Maka jika ini berlaku, pengguna yang keluar awalpun akan terperangkap dalam kesesakan.

Bagi penulis, pemegang konsensi lebuhraya atau pihak kerajaan perlu mengkaji keperluan melebarkan terowong berkenaan dan menyediakan kawasan khas di sekitar terowong sebagai laluan lorong kecemasan jika berlakunya kerosakan.Sebagai langkah jangka pendek, mungkin perlu dikaji keperluan meletakkan kenderaan penunda di sekitar jalan duta jika ada berlakunya kemalangan atau kerosakan kenderaan agar ianya dapat memastikan kelancaran trafik.Jika ianya dapat dilakukan, ianya bakal mengurangkan tekanan yang dialami para pengguna jalanraya ketika hendak ke tempat kerja.Maklumlah, sekarang ini ,  pelbagai lebuhraya yang kena lalui hari-hari untuk ke tempat kerja. Tidak ada maknanya kemudahan ini, jika para pengguna masih mengalami kesulitan.

Wallahualam


Monday, March 5, 2012

Tiga(3) Perkara Menjadi Habuan Orang Mukmin

13 Rabiulakhir 1433

Seorang ulama tasawuf, al-Razi(Yahya bin Mu'adh) berkata:

"Hendaklah engkau pelihara tiga perkara yang menjadi habuan orang Mukmin, iaitu:

Pertama

Jika engkau tidak dapat memberi manfaat kepadanya, maka janganlah engkau menyusahkan dia.

Kedua

Jika engkau tidak mahu menyukakan dia, maka janganlah engkau mendukakan dia.

Ketiga

Jika engkau tidak mahu memuji dia maka janganlah engkau mencela dia"

Wallahualam

Rujukan:

Dipetik Dari buku " Hadis 40 Imam Nawawi", Tulisan Ustaz Zahazan Mohamed dan Muhammad Zakaria, Terbitan Telaga Biru Sdn Bhd, 2011

Sunday, March 4, 2012

Jangan Politikkan Aset Angkatan Tentera

12 Rabiulakhir 1433

Penulis amat setuju dengan kenyataan Menteri Pertahanan yang menyeru agar tidak ada mana-mana pihak yang mempolitikkan aset pertahanan negara. Menerusi Bernama  4 Mac 2012, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ahli politik perlu tahu membezakan soal pertahanan negara dengan politik yang mempunyai garis pemisah antara kedua-duanya.

Ahli politik khususnya daripada parti pembangkang diingatkan agar tidak lagi mempolitikkan aset angkatan tentera sehingga boleh memudaratkan pertahanan negara."Dulu apabila kapal terbang tidak ada enjin mereka menyindir saya, jelas bukan Menteri Pertahanan atau Panglima Angkatan Tentera Udara ataupun pegawai (yang terlibat) tetapi ia dicuri seorang sahaja dan kita telah melakukan pendakwaan.

 "Apabila kapal selam didakwa tidak boleh menyelam, kita bawa dia (Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng) menyelam," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan rasmi kapal selam SMD Ouessant Agosta daripada Kementerian Pertahanan kepada kerajaan negeri Melaka yang diwakili Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam di sini.Ahmad Zahid berkata pembangkang sepatutnya mendapatkan penjelasan terlebih dahulu daripada Kementerian Pertahanan berhubung sesuatu perkara agar ia dapat ditangani dengan baik.

Bagi penulis, Malaysia bukan sahaja perlukan aset seperti kapal selam, bahkan Malaysia juga sepatutnya berfikir daripada sekarang untuk mempunyai kapal pengangkut yang besar seperti negara-negara maju yang lain bagi mengelakkan dibuli dalam urusan perhubungan antarabangsa.

Wallahualam

Sumber: BERNAMA

Contoh Tanda-tanda Demam Denggi

12 Rabiulakhir 1433

Jika anda berada dalam keadaan tidak sihat dan mengalami sindrom kesejukan keterlaluan secara tiba-tiba, terutama apabila terkena air atau berada di bilik berhawa dingin, maka ini adalah salah satu tanda anda mungkin mengalami sindrom demam denggi. Ini kemudian diikuti rasa sakit di setiap bahagian sendi di seluruh anggota badan.

Jika gejala ini sudah ada, anda dinasihatkan terus ke klinik berdekatan untuk mendapat rawatan awal. Tetapi harus diingat, bahawa itu bukanlah penyelesaian mutlak sebaliknya ia cuma suatu permulaan. Jika keesokannya demam anda masih belum kebah, perlulah pergi sekali lagi mendapat rawatan ke hospital dan bukannya ke klinik kembali bagi memohon ujian darah dilakukan.Jika anda ke  klinik, ujian darah mungkin mengambil masa sehingga keesokan hari bergantung kepada kemudahan yang ada di klinik tersebut. Jika ke hospital, ianya  membolehkan rawatan dan pemantauan ke atas diri anda dapat dilakukan serta merta. Pada peringkat ini anda perlu memberi tahu secara berterus terang gejala yang wujud.Pada masa yang sama peranan pasangan anda amat penting bagi memastikan anda mendapat rawatan. Ketika ini pesakit tidak dapat berfikir secara agak rasional dan amat penting bagi pasangan atau penjaga memastikan pesakit mendapat rawatan dan jika perlu kata pemutus untuk mendapatkan rawatan diambilalih oleh pasangan.

Ini penting kerana, kelewatan atau sikap acuh tak acuh dalam mendapatkan rawatan segera terhadap demam bakal menyebabkan pesakit berada di AMBANG KRITIKAL!!!!!

Wallahualam

Artikel lain berkenaan denggi:

1. Kes Demam Denggi Masih Membimbangkan
2. Aku Dan Denggi
3. Bilamana Ku Di Ambang Kritikal
4. Denggi Terus Merebak Di Perak
5. Sup Ketam Penawar Demam Denggi
6. Contoh Tanda-tanda Demam Denggi Part 2




Saturday, March 3, 2012

Malaysia Perlukan Lebih Daripada Lynas

11 Rabiulakhir 1433

Penulis terpandang suatu artikel berkenaan bantahan terhadap operasi kilang Lynas di sebuah akhbar sebuah parti politik pada hari ini. Namun begitu penulis berpendapat sebaliknya. Malaysia sepatutnya memiliki lebih daripada apa yang ada di Lynas. Nak ikut pencemaran atau risiko, semua usaha akan adanya risiko. Lagipun ramai pihak termasuk salah seorang ahli parlimen dari parti politik dari akhbar tersebut telah memberi kenyataan terbuka bahawa kilang tersebut tidak merbahaya seperti yang digembar-gemburkan.

Sebagai umat Islam, perlu adanya kesedaran untuk menguasai kecanggihan ilmu pengetahuan bagi mempertahankan diri. Rakyat Malaysia sepatutnya bukan sahaja menguasai ilmu yang ada di Lynas sahaja bahkan sepatutnya menguasai teknologi nuklear untuk kebaikan.

Penulis agak meragui usaha bantahan yang dilakukan kerana ada suatu negara yang dikuasai oleh suatu bangsa yang sombong dan menindas umat Islam yang sanggup membunuh para saintis di Iran yang mahir terhadap teknologi nuklear. Apakah bantahan di Lynas selaras dengan komitmen suatu pihak di Malaysia yang mahu menjaga keselamatan negara berkenaan dan tidak mahu negara Islam menguasai teknologi yang terkini?

Wallahualam

Aku Dan Denggi

11 Rabiulakhir 1433

Hati penulis amat terusik dan teremosi apabila mendengar kes demam denggi yang semakin meningkat.Ini menerusi laporan Bernama  pada 3 Mac bahawa jumlah kematian akibat demam denggi bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila mencatatkan 15 kematian berbanding lapan kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

 Laporan memetik bahawa Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Seri Dr Hasan Abdul Rahman berkata daripada jumlah kematian itu, tiga daripadanya adalah kanak-kanak.

"Situasi denggi di negara kita tidak begitu baik, kes-kes telah menunjukkan peningkatan yang membimbangkan iaitu lebih dua kali ganda (sepanjang Januari dan Februari tahun ini) berbanding tempoh sama tahun lepas" katanya kepada pemberita pada Majlis Pelantikan Penyelamat Nyawa 2012 di Sekolah Menengah Vakasional Kajang di sini hari ini.

Katanya jumlah kes demam denggi bagi tempoh Januari hingga awal Mac tahun ini juga menunjukkan peningkatan 14 peratus di mana sejumlah 4,453 kes dilaporkan berbanding 3,915 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Bagi mengelakkan kes denggi terus meningkat, Dr Hasan berkata masyarakat perlu memastikan kebersihan di rumah dan kawasan perumahan mereka serta menjalankan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Jika setiap ahli masyarakat melakukan aktiviti seperti ini, maka lebih banyak nyawa yang dapat diselamatkan," katanya.

Bagi penulis yang telah tiga kali mengalami demam berkenaan, sesungguhnya amat terasa serik apabila mengalami demam berkenaan.Kali terakhir sehingga penulis dimasukkan ke "ICU" dalam keadaan kritikal disebabkan demam berkenaan. Apa yang penting rawatan segera sebenarnya dapat membantu menyelamatkan keadaan dan nyawa dengan izin Allah S.W.T. Bagi yang mempunyai panel perubatan, adalah baik meminta agar ujian darah dilakukan secepat mungkin bagi diri anda mahupun anak-anak dan ujian berkenaan perlu dilakukan berulangkali jika demam panas tidak kebah dalam masa 2 hari ataupun meminta diri anda atau tanggungan anda direhatkan di wad hospital bagi membolehkan rawatan dilakukan secara berterusan sehingga sembuh. Ianya lebih sahih jika anda mengalami gejala demam panas disertai rasa lenguh-lenguh di sekitar sendi di anggota badan.

Wallahualam

Friday, March 2, 2012

Kaunseling Oh Kaunseling

10 Rabiulakhir 1433

Dengan tidak semena-mena perkataaan kaunseling seolah-olah menjadi popular di Malaysia ketika ini. Ini disebabkan oleh kontroversi yang berlaku di mana adanya kaunselor yang diberitakan menyediakan perkhidmatan kaunseling sehingga ke waktu sekitar pukul 3 pagi. Lebih memanaskan perbualan perkhidmatan kaunseling ini diadakan di kawasan  sekitar hotel. Selalunya apabila kita menghadiri majlis ilmu kita diseru menjauhi perkara-perkara yang boleh mendatangkan fitnah. Apakah kaunselor berkenaan terlupa tips berkenaan?

Namun begitu,kemampuan pihak berkenaan menyediakan perkhidmatan kaunseling hingga ke tahap ini(tak mengira masa sampai ke "pukul 3 pagi "- macam lagu allayarham P Ramlee pulak)sesungguhnya telah menewaskan pakar-pakar kaunseling di Malaysia.Mungkinkah peristiwa yang berlaku sekarang bakal membuka dimensi atau tanda aras baru dalam bidang kaunseling di negara ini? Mungkinkah konsep kaunseling kini mula mengalami pencemaran oleh tangan-tangan rakus yang berpandukan hawa nafsu semata-mata?Penulis tinggalkan persoalan ini untuk renungan bersama?


Wallahualam

MB Kelantan : Tok Pa Ganti Pok Nik?

10 Rabiulakhir 1433

KOTA BAHARU, 2 Mac , 2012 - Datuk Seri Najib berkata calon Menteri Besar dan pemimpin Barisan Nasional (BN) di Kelantan belum ditentukan lagi setakat ini.

Perdana Menteri berkata BN akan menentukan barisan pemimpin itu apabila tiba masanya kelak.

"Kita faham, bila sampai masanya (nanti) kita akan bariskan pemimpin BN yang berwibawa untuk mempimpin kerajaan negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Bersama Profesional Kelantan di sini Jumaat.

Najib mengulas soalan pemberita mengenai kesediaan BN dan Umno meletakkan nama-nama sebagai pemimpin negeri berikutan faktor calon yang bakal menjadi Menteri Besar Kelantan penting demi menjamin kemenangan Barisan Nasional.

Menjawab soalan berhubung kenyataannya bahawa Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed adalah wakil beliau, Najib berkata ia adalah di dalam konteks Umno di mana Mustapa adalah Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan.

Mengenai kajian bahawa Mustapa adalah calon terbaik untuk menjadi Menteri Besar Kelantan, beliau berkata: "Oh anda nak Tok Pa (Mustapa), tak apalah kita tengok dulu pendapat semua pihak... Tak susah kalau Tok Pa sanggup."

Najib berkata calon-calon akan diumumkan tidak terlalu awal dan tidak juga terlalu lewat.

Merumuskan lawatan seharinya di sini, beliau berkata walaupun suasana baik di kalangan penyokong tetapi ia bukan satu perkara mudah untuk parti kembali menawan negeri ini.

"Saya sedar bahawa kita tak boleh anggap jalan itu mudah kepada kita dan mesti terus berusaha lakukan yang diperlukan dalam menjamin kemenangan kita," katanya.

Sumber- BERNAMA

Berhati-hati Ketika Memetik Hadis

9 Rabiulakhir 1499

Dalam sekitar minggu lepas, beberapa akhbar dan media masa telah memaparkan suatu kebimbangan yang timbul dikalangan ulama serta cendikiawan di Malaysia bahawa terdapat ramai penulis blog yang dengan sewenang-wenangnya memetik hadis tanpa menyelidiki kesahihan hadis berkenaan. Penulis tidak berniat mengulas panjang terhadap isu berkenaan, memadailah menasihati diri sendiri agar berhati-hati ketika menulis agar tidak terpetik hadis yang dhaif. Biarlah isu sebegini diserahkan kepada mereka-mereka yang lebih arif.

Dalam etika menulis di blog ini sekalipun , penulis sering meletakkan suatu kenyataan agar segala sumber maklumat yang ada di setiap sumber penulisan berkaitan keagamaan di sini perlulah dirujuk kepada alim ulama yang muktabar. Ini kerana , penulis berpendapat, setiap bahan bacaan hanyalah sebagai salah satu medium atau sumber alternatif untuk menambah pengetahuan.Namun, untuk mendapat hikmah dan kefahaman yang lebih jelas , para pembaca perlulah berguru dengan pihak yang amat berwibawa.

Namun penulis cuma hendak lontarkan persoalan disini , apakah bahan-bahan bercetak dan guru-guru agama juga bebas dari sebarang kekhilafan?Ini kerana, beberapa hadis dhaif juga disebut-sebut dikalangan orang-orang alim/tok-tok imam di dalam ceramah mereka. Apakah hanya tulisan di laman-laman blog dan internet sahaja terus menerus dipandang negatif di kalangan masyarakat kita? Oleh itu, tepuk dada tanya iman, renung-renungkan....

Wallahualam

Thursday, March 1, 2012

JKM Diarah Siasat Segera Kes Taska Tampal Pita Pelekat Pada Mulut Bayi

9 Rabiulakhir 1433

BANGI, 1 Mac , 2012- Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diarah menyiasat kes sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) yang didakwa menampal pita pelekat pada mulut dan melilit kain bedung pada bayi jagaan mereka.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kes seumpama itu tidak seharusnya berlaku kerana ia merupakan kesalahan undang-undang.

"Kita juga minta JKM siasat sama ada taska ini beroperasi dengan lesen atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maulidur Rasul anjuran bersama Sekretariat Pembelaan dan Pemeriksaan Wanita Islam (Senada) kementerian itu serta German Malaysian Institute, di sini malam Khamis.

 Sumber- BERNAMA

Komen Penulis:

Manusia semakin tidak rasional...

Wallahualam

Sebar Hadis Palsu Ibarat Pendustaan Terhadap Nabi

9 Rabiulakhir 1433

Bernama pada 27 Feb, 2012 telah melaporkan bahawa sesiapa yang mencipta, mengguna dan menyebarkan hadis "palsu" dianggap telah melakukan pendustaan besar terhadap Nabi Muhammad SAW, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha kepada Bernama.

 "Jika mereka ini berniat jahat, ia boleh menyebabkan umat Islam hilang kepercayaan dan keyakinan terhadap agama mereka," tambah beliau.

Sambil melahirkan rasa bimbang terhadap penggunaan hadis palsu yang kini menular di Internet, beliau berkata ia boleh menyebabkan umat Islam beramal dengan suatu syariat yang salah kerana hadis berkenaan tidak berlandaskan sumber rujukan yang diperakui kesahihannya.

Othman berkata mereka yang terlibat menggunakan hadis daif dan palsu disebarkan melalui blog atau laman sosial peribadi ini, kebanyakannya tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai hadis.

"Ada pula yang tidak dapat membezakan antara kata-kata sahabat atau hukamak (cendekiawan) dengan hadis Nabi. Mereka menganggap semua itu sama sahaja daripada segi statusnya," katanya.

Sumber- BERNAMA

Wallahualam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...