Jom Follow.....

Saturday, July 30, 2011

Ku Mengharapkan Ramadhan Kali Ini Penuh Makna

Entah kenapa pada setiap tahu hati penulis amat teruja apabila datangnya Ramadhan jika berbanding datangnya Hari Raya. Mungkin agaknya umur yang semakin meningkat. Jika pada zaman kanak-kanak, hari raya yang paling amat ditunggu. Di zaman penulis semasa kanak-kanak dahulu mana ada pasar Ramadhan. Semuanya terpaksa dibuat sendiri, termasuklah kuih muih dan hidangan ketika bersahur. Penulis tabik "spring" dengan ketabahan ibu penulis yang terpaksa melayan karenah arwah suami dan anak-anaknya dalam bab soal makan. Itu sebabnya ibu-ibu kita dahulu amat cekap dalam menyediakan pelbagai kuih muih dan hidangan.

Yang menjadi salah satu cabaran juga  pada zaman penulis kanak-kanak dahulu ialah, dapurpun pada ketika itu masih menggunakan kayu api. Santan pula, untuk disediakan terpaksa mengikut proses tertentu iaitu dimulakan dengan mencari dan mengopek kelapa, dikukur(orang utara kata quqok la..) dan diperah. Penulis adalah salah seorang yang mengambil tugas berkenaan. Bayangkan ibu pula terpaksa nyalakan api di dapur pada pukul empat pagi. Kami yang kanak-kanak inipun tak susah nak dikejutkan, kerana dah terganggu dek asap dapur yang menusuk hidung ketika masih tidur.

Sekarang zaman makin berubah.Semuanya dah ringkas.Dalam bab semua perkara kebanyakannya dah ringkas. Antaranya cara berpakaianpun dah makin ringkas,bahkan dalam bab terawihpun tak terkecuali dah ringkas iaitu dah jadi lapan rakaat daripada dua puluh rakaat. Tak silap penulis di Selangor sejak dua menjak ini, kebanyakan/semua masjid dan surau dah jadikan rakaat solat sunat terawih sebanyak hanya lapan rakaat sahaja berbanding dua puluh rakaat yang diamalkan oleh rejim pemerintah sebelum ini sebagai mengamalkan dasar konsep negeri berkebajikan. Apa yang lebih diutamakan sekarang ialah tazkirah yang perlu disampaikan. Bahkan pada tahun lepas, timbul isu panas bab tazkirah yang diberikan oleh ahli politik wanita.

Namun penulis menyeru agar dasar ini dikaji semula.Kanapa tak berikan pilihan sahaja kepada masjid-masjid untuk tentukan.Berilah peluang agar amalan ibadat diberi keutamaan di bulan mulia ini. Tazkirah dan ceramah politik dah selalu dengar dah. Lagipun tazkirah ini sebenarnya patut disampaikan kepada orang-orang yang masih belum sampai-sampai ke surau pada bulan Ramadhan, dimana tazkirah/seruan ini adalah untuk mengajak mereka-mereka yang masih diluar sana  bersama-sama mengimarahkan masjid dan surau-surau.

Penulis mengharapkan agar hal berkenaan menjadi kenyataan. Maka barulah rasanya Ramadhan pada kali ini bertambah penuh makna.

Wallahualam

Thursday, July 28, 2011

Ikhtibar Ramadhan

Aku pernah menyambut Ramadhan sebagai anak yatim.
Maka ikhtibarnya, maka bantulah anak-anak yatim yang mungkin serba kekurangan di bulan Ramadhan.

Aku pernah melihat ibuku menangis di bulan Ramadhan disebabkan beban sebagai ibu tunggal yang perlu membesarkan anak-anaknya.
Maka ikhtibarnya, janganlah menyakiti hati mereka(ibu-ibu tunggal), tetapi cubalah bantu mereka sedaya upaya seberapa ikhlas di bulan mulia.

Kita sering melihat bahawa saudara kita di negara-negara tertentu ditindas dan dibunuh dibulan yang penuh keberkatan ini.
Ikhtibarnya, bersatulah agar kita mampu memperkuatkan diri kita dan kita mampu membantu mereka mereka disana.

Wednesday, July 27, 2011

Hati Emas

Hari ini penulis terpaksa memenuhi permintaan rakan-rakan pada waktu rehat untuk mendendangkan sebuah lagu bertajuk "Hati Emas" yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Kembara semasa penulis berusia kanak-kanak & remaja. Ianya dipersembahkan secara "unplugged" pada waktu lunch tadi sebagai salah satu aktiviti untuk penceriaan di pejabat. Lagu ini adalah sebuah lagu yang pernah penulis jadikan sebagai siulan dan sumber motivasi. Maklumlah pada ketika itu pakar motivasi di TVpun belum ada lagi. Dr Fadilah Kamsahpun belum popular lagi ketika itu.

Lirik lagu berkenaan,menyentuh suatu usaha untuk mencari hati emas yang semestinya bukan mudah untuk dicari. Bagi penulis, menerusi lirik lagu berkenaan, penulis fahamkan kita perlu mendapatkan hati emas yang murni suci untuk dijadikan sahabat hingga akhir kehidupan kita nanti. Jika hati kita betul, maka betullah anggota kita yang lain.Hati emaslah yang akan menjurus kepada keimanan kepada Yang Maha Esa,beramal kebaikan dan memberi raung mengumpul bekalan kita di alam akhirat. Maka kita perlu berusaha-dan terus berusaha mencari ilmu , beramal kebaikan dan berlapang dada di dunia ini sebagai persinggahan ke alam yang kekal abadi. Wallahualam..

Tuesday, July 26, 2011

Ramadhan Datang Kembali

Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan.. yang mana ianya bakal muncul hanya beberapa hari lagi. Pelbagai kenangan yang dikecapi penulis dari kecil hinggalah dewasa kini apabila tiap kali menempuhi bulan yang penuh berkat ini. Apapun, penulis berharap agar kita semua berpeluang sekali lagi mengecapi kehadiran bulan Ramadhan yang akan datang pada kali ini.

Yang lebih utama ialah Ramadhan kali ini akan memberi peluang kepada kita untuk menggandakan amalan kebaikan kita , berbanding amalan kita pada Ramadhan tahun yang lepas. Sambutlah kedatangan bulan ini semeriah sebagaimana kita menantikan kedatangan Hari Raya.Selamat Menyambut bulan Ramadhan dari saya kepada pembaca semua.

Friday, July 22, 2011

Memakmurkan Masjid-masjid Allah

Menjelang bulan Ramadhan yang bakal tiba tak lama lagi, penulis terkenang akan kontorversi yang pernah melanda negara pada Ramadhan tahun lepas. Ianya melibatkan program mengimarahkan masjid-masjid oleh pihak-pihak yang tertentu. Namun begitu, penulis termenung sejenak bila terbaca sekejap tadi pada terjemahan yang terdapat pada Al-Quran yang agak sudah lama penulis tinggalkan. Namun penulis sentiasa berazam untuk selalu menjenguk Al Quran selepas ini, sebagaimana penulis selalu menjenguk blog-blog yang ada di alam siber ini. Ayat berkenaan bermaksud:

Tidaklah layak orang-orang kafir musyrik itu memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah, sedang mereka menjadi saksi (mengakui) akan kekufuran diri mereka sendiri.Mereka itu ialah orang-orang yang rosak binasa amal-amalnya dan mereka pula kekal di dalam Neraka.

Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

Surah At-Taubah, 17-18.

Penulis tidak berniat menjadikannya bahan polemik. Namun ianya sekadar menjadi pengajaran bagi penulis dan kepada mereka yang mahu berfikir. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati, rujuklah ayat-ayat berkenaan kepada ahli yang muktabar yang berpegang kepada hak (kebenaran) dan menentang akan kebatilan.

Wallahualam.

Renung-renungkan dan selamat beramal.....

Tuesday, July 19, 2011

Terima Kasih Rakan Blogger Dan Pelawat

Setakat artikel ini ditulis, blog ini ,MyBancik telah mempunyai 34 pengikut, manakala blog MyIktisat telah mencatatkan pengikut seramai 31 orang. Dengan itu, penulis ingin mengucapkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada para pengikut dan juga para pengunjung yang telah sudi bertandang ke blog kepunyaan penulis setakat ini.

Ini sedikit sebanyak dapat mengeratkan silaturrahim sesama rakan-rakan "bloggers" dan  kita sama-sama dapat berkongsi pelbagai kisah dan luahan hati, menerusi pelbagai persembahan dan gaya serta mengikut kreativiti masing-masing. Apa yang penting ialah kita perlu bantu membantu dalam memberi dorongan dan motivasi agar kita dan rakan-rakan kita dapat terus berkarya menerusi medium ini di alam siber.

Akhir kata, salam hormat dari saya dan teruslah kunjung mengunjungi antara satu sama lain. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rahmat dari Ilahi.

Sekian.

Monday, July 18, 2011

Kejadian Jenayah Menjadi-jadi, Apa Sumbangan Kita?

Baru baru ini penulis mendapat email yang memohon simpati agar sesiapa yang ternampak seorang, kanak-kanak agar disampaikanmaklumat kepada keluarga atau pihak polis. Kanak-kanak tersebut disyaki diculik. Namun begitu berita ini setahu penulis belum disiarkan di TV lagi. Begitu juga satu kejadian yang telah dilaporkan di akhbar-akhbar yang mana seorang remaja telah dibunuh dan dikerat-kerat anggota badannya. Kes ini juga disifatkan sebagai antara kes yang amat kejam dilakukan selain kes pembunuhan jutawan kosmetik dan beberapa orang rakannya yang lain pada tahun lepas. Begitu juga dengan kes kehilangan kanak-kanak lain sebelum ini yang sehingga kini masih menjadi misteri.


Semua kejadian ini menuntut agar kekuatan anggota polis diperkuatkan bagi membenteras jenayah. Ini disebabkan cabaran dan desakan hidup yang semakin hebat , ianya telah menyebabkan lebih ramai pihak yang sanggup bertindak diluar batas kemanusiaan.Sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab, seharusnya masalah sebegini  tidak hanya dipertanggungjawabkan kepada pihak polis semata-mata. Kita sebagai seorang rakyat biasa juga mempunyai peranan-peranan yang tertentu  walaupun kecil. Antaranya :
1.      Tidak memburukkan dan merosakkan imej anggota polis sewenang-wenangnya dengan menggelarkan mereka dengan gelaran tidak sewajarnya hanya disebabkan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.
2.      Mendesak agar undang-undang anti pencegahan dihapuskan hanya disebabkan undang-undang tersebut menyukarkan kita mencapai objektif politik  ahli politik yang kita sokong.
3.      Cuba menyogokkan rasuah kepada anggota-anggota.
4.      Menayangkan video yang tidak elok yang menyebabkan beban tugas polis bertambah untuk menyiasat.
5.      Menyusahkan mereka dengan menyebabkan cuti mereka dibekukan(termasuk cuti raya nanti) disebabkan kita hendak berdemo yang kononnya hendak membersihkan  negara dari anasir-anasir tertentu dan menuntut pembahruan.
6.      Dan lain-lain lagi lah..
Dengan mengelakkan perkara di atas, sudah tentulah maka sepenuh tenaga dan buah fikiran anggota polis dapat dioptimakan dalam usaha membenteras jenayah di Negara ini . Ini berbanding dengan  bebanan yang terpaksa mereka tanggung disebabkan rata-rata kita sering melakukan perkara yang tidak berfaedah.Wallahualam…

Sunday, July 17, 2011

Teknik Yang Agak Baik Dalam Mengekalkan Trafik Di Blog

Setelah beberapa bulan membebel di blog-blog kepunyaan penulis, pelbagai kaedah yang telah diperkenalkan oleh banyak rakan-rakan bloggers dalam usaha menaikkan jumlah pengunjung.Namun penulis telah menemui , membuat kesimpulan dan cadangan tersendiri dalam mengekalkan pengunjung di blog penulis. Antaranya :

1. Sentiasa melawat rakan-rakan yang telah menjadi pengikut. Macam juga wakil rakyat yang melawat kawasan, pengikut-pengikut blog juga mengharapkan agar blog mereka dikunjungi.Tak tahulah macam mana nak buat jika anda sudah mempunyai beribu-ribu pengikut.

2. Memastikan mengikuti/follow semula jika ada bloggers yang mengikuti blog kita. Bloggers lain juga mengharapkan agar blog mereka diikuti.

3. Menggunakan "shoutbox" untuk menjengah blog-blog lain untuk mencari rakan baru. Begitu juga dengan menggunakan kaedah yang sama untuk membalas kunjungan jika dikunjung.

4.Menekan iklan-iklan pihak yang berkunjung ke blog kita apabila berkunjung balas di blog mereka, sebagai cenderahati  dan sebagai tanda penghargaan. Kalau blog mereka tak ada iklan, maka kita redho ajelah.., nak buat macam mana?

5. Elakkan dari menghina mana-mana pihak ketika berbelog.

Berdasarkan hujah di atas, penulis merasakan lebih berlapang dada jika semua perkara di atas dapat dilakukan oleh penulis. Jika kita mahu dihormati, kita perlu menghormati orang lain dahulu, jika mahu diikuti, kita perlulah mengikuti orang lain juga dan jika mahu dihargai, kita juga perlu menghargai orang lain juga.

Wallahualam..Sekian, selamat beramal....

Saturday, July 16, 2011

Malam Nisfu Syaaban

Di malam Nisfu Syaaban ini, marilah kita bermuhasabah diri. Bagi umat Islam, setelah bermacam-macam peristiwa yang berlaku di tanah air baru-baru ini, marilah kita renung-renungkan sama ada apa yang kita lakukan selaras dengan cara hidup dan ajaran Islam.

Masing-masing ada hak hendak dituntut dan mempunyai hak bersuara. Namun begitu, marilah kita berfikir, adakah cara kita lakukan ini tidak menidakkan hak orang yang lain. Hak orang lain untuk bergerak, mencari rezeki dan bergerak secara aman. Apakah hati kita puas apabila kita berjaya memalukan umat kita sendiri di persada dunia, yang rata-rata memusuhi umat Islam? Adakah kita merasa puas apabila negara yang memusuhi dan membunuh umat Islam di Iraq, Palestine, Libya dan sebagainya, memberikan komen negatif kepada pentadbiran umat Islam di negara ini? Secara peribadi, tak perlulah kita bermegah dengan negara-negara ini. Merekalah sebenarnya yang paling kejam dalam sejarah umat manusia.

Pada malam ini,marilah kita membersih hati kita dari unsur-unsur iri hati, tamak haloba dan sebagainya.Itu yang lebih utama. Apabila hati-hati kita bersih, nescaya segala tindakan yang kita bakal lakukan dibuat secara berhikmah dan bijak. Tak kiralah sama ada kita di pihak mana sekalipun.

Thursday, July 14, 2011

Nikmat Banyak,Syukur Sedikit

Akhir-akhir ini banyak peristiwa yang berlaku yang padaku perlu kita bersama-sama bermuhasabah diri. Antara peristiwa yang terkini ialah perhimpunan yang kononnya bersih tetapi bagiku(maaf... dengan izin, tidak ingin menyakiti rakan-rakan lain yang mungkin menyokong) mempunyai banyak kesamaran tentang tujuan sebenarnya. Ada di antara petunjuk-petunjuk tertentu sudah terang lagi bersuluh bahawa ianya bakal mengundang bencana kepada umat Muhammad di Malaysia jika sahabat-sahabat kita di luar sana tidak berhati-hati. Teringat aku pada ayat Al Quran yang perlu dihafal dan difahami tafsirannya ketika belajar di sekolah menengah dahulu iaitu surah A'li Imraan, ayat 103yang bermaksud :

"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya."

Ayat di atas adalah jelas menuntut agar umat Muhammad bersatu padu. Tetapi apa yang berlaku akhir-akhir ini di tanahair, tempat tumpah darah kita sendiri semakin menuju ke belakang. Kita teruja dengan apa yang berlaku di negara-negara di Timur Tengah yang masih lagi kacau bilau. Kita dahagakan kuasa dengan menyatakan yang sedang berkuasa sekarang sudah tarlalu lama memerintah, sedangkan faktanya dengan jelas bahawa pemimpin di Malaysia sekarang satu penggalpun masih belum habis memerintah. Sedangkan ada pemimpin pembangkang di Malaysia yang tercinta ini juga telah memerintah sebuah negeri lebih daripada 20 tahun dan tidak mahu-mahu berundur lagi. Adakah ini tidak cukup lagi untuk kita bersyukur? Memang, umat Muhammad di Malaysia sejak dari dulu sering terpengaruh dari unsur-unsur luaran sama ada dari segi hiburan, budaya, sampaikan corak politik dari luar dari Malaysia sering dianggap baik untuk dicontohi. Kenapa budaya yang terang-terang dan telah terbukti menunjukkan kemusnahan hendak diikuti?

Ok lah, mungkin agak berilmiah pula hujahku diatas. Kita beralih sebentar kepada satu kisah , yang aku telah terdengar di salah sebuah radio bercorak keislaman pada waktu pagi sekitar minggu lepas, yang telah diceritakan oleh salah seorang pakar motivasi.Ceritanya bergini :

Sepasang suami isteri tinggal di sebuah taman perumaha. Kehidupan mereka, alhamdulillah.., jika dipandang amat sempurna di kalangan masyarakat setempat. Si suaminya seorang yang baik dan mempunyai perwatakan yang menarik, manakala si isteri pula seorang yang cantik dan sempurna dan mempunyai sifat yang "perfectionist" atau mementingkan kesempurnaan dalam melakukan apa jua kerja dan aktiviti. Ini termasuklah dalam hal menguruskan rumah tangga. Rumah pasangan ini sentiasa bersih dan dekorasi dilakukan dengan tertib dan teratur.

Namun, kekurangannya ialah, setelah berkahwin selama 5 tahun, mereka masih belum dikurniakan cahaya mata.Setelah puas berusaha dan berdoa, maka termakbullah doa mereka di mana si isteri telah disahkan mengandung.Masa proses mengandung, si isteri telah menyediakan segala kelengkapan dari awal kelahiran bayi sampailah sehingga anak itu nanti berumur 3 tahun. Ianya dilakukan rentetan sikap isteri yang amat "perfectionist" dalam perancangan dan perlaksanaan aktiviti kehidupan sehariannya.

Apabila tiba sampai masanya maka lahirlah seorang bayi lelaki dalam kehidupan pasangan berkenaan. Namun begitu,dengan kuasa Yang Maha Esa, maka setelah bayi berkenaan berumur 3 tahun, barulah pasangan ini menyedari kelakuan anak lelaki mereka ini adalah bertentangan dengan sikap mereka yang pembersih dan teratur. Seringkali anak itu dimarahi dan dipukul akibat sering menyepah-nyepahkan rumah.Siibu serigkali mengejar si anak yang melarikan diri apabila handak diajar dan dipukul.

Pada suatu hari, si isteri mendapat panggilan telefon dari rakan lama yang hendak berkunjung ke rumah. Maka dengan cemasnya, tergesa-gesalah si isteri mengemaskan rumah yang macam berkeadaan tongkag pecah. Setelah selesai mengemaskan rumah, maka si isteri ke dapur pula untuk menyediakan hidangan kepada tetamu. Si ibu terpaksa lakukan berseorangan kerana pada masa yang sama si suami keluar bekerja.Apabila sudah selesai, si isteri ke ruang tamu semula. Namum , dengan terkejut si isteri mendapati si anak tadi sedang menyepahkan ruang tamu yang telah dikemaskan tadi.

Dengan tangan yang masih memegang pisau, si isteri bertempik marah dan menyebabkan si anak berlari dan si isteri terus mengejar si anak sehingga keluar rumah. Dalam beberapa ketika dalam kejadian kejar mengejar oleh si ibu tadi, tiba-tiba terdengar dentuman kuat dihadapannya. Pada masa yang sama terasa terpercik cecair dimuka si ibu. Rupa-rupanya darah yang menyala terpalit dan mengalir di muka si ibu dan didapati si anak tadi sedang mengelupur kesakitan dijalan raya. Barulah si ibu sedari bahawa anaknya telah dilanggar lari.

Tanpa menghirau apa-apa lagi si ibu memeluk dan memangku si anak tadi dan menahan kenderaan lain untuk dibawa ke hospital. Sedang memangku anaknya yang sedang kesakitan, beliau hanya mampu berdoa tidak putus-putus agar diberikan satu lagi peluang agar Allah S.W.T. memanjangkan umur anaknya.

Hal ini berterusan ketika si anak dimasukkan di unit rawatan rapi dan sedang diberikan rawatan kecemasan yang mana si ibu berada diluar bilik dan tidak putus-putus berdoa sambil menunggu kedatangan si ayah. Selepas beberapa ketika, muncullah doktor keluar dari bilik kecemasan sambil memandang si ibu tadi sambil berkata denga perlahan.., "Anak puan sudah meniggaal dunia..". Maka rasa kesal terpancar dari raut muka si ibu tadi. Baru disedari bahawa, beliau terlalu kurang bersyukur dengan nikmat yang dikurniakanNya , sebaliknya tak tahan sabar dengan ujian yang diberikanNya, jika dibandingkan dengan nikmat kurniaan anak kepada ini yang sebelum ini amat susah diperolehi .

Pengajaran kepada diriku dan para pembaca semua, bersamalah kita mensyukuri apa jua nikmat yang diperolehi. Jika kita gagal bersyukur, maka nescaya azabNya amat pedih.

Tuesday, July 12, 2011

Nyatakanlah Kebenaran Walaupun Pahit Untuk Ditelan

Paparan video di Buletin Utama sebentar tadi menyebabkan aku termenung sejenak. Ianya merujk kepada kenyataan dua presiden parti yang berpakatan di pihak pembangkang. Seorang mendakwa bahawa presiden sebuah parti telah mendapat layanan yang amat buruk oleh pihak polis semasa perhimpunan bersih.

Namun begitu pihak yang empunya diri telah mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi atas bantuanNya maka beliau telah mendapat layanan yang baik dari pihak polis ketika berucap didepan penyokong beliau semasa selamat sampai ke negerinya. Aku juga berasa syukur ke hadrat Ilahi atas pengakuan ikhlas pemimpin ini. Sekurang-kurangnya masih ada dikalangan pemimpin-pemimpin pembangkang berlapang dada menyatakan kebenaran walaupun pahit untuk ditelan oleh rakan seangkatan dan para pengikut mereka .

Ini amat berlainan dengan seorang pemimpin utama seangkatan mereka. Ceritanya dalam paparan video berkenaan, dari segi pemerhatianku penuh dengan permusuhan dan kebencian.Mereka seolah-olah amat gembira jika pihak keselamatan melakukan kesilapan manakala berasa kecewa jika pihak polis bertindak secara baik. Ini secara tidak langsung menjejaskan matlamat politik mereka.Namun aku berharap agar janganlah pula ada dikalangan mereka yang akan mendakwa bahawa video berkenaan telah diubahsuai dan sebagainya.

Aku berdoa agar kita semua diberikan hidayah untuk bersatu padu dan dijauhkan daripada permusuhan sesama insan terutamanya sesama umat Nabi Muhammad s.a.w. di Malaysia. Disudut hati ini aku manasihati diri aku agar ditetapkan di hati dan sanubariku bahawa "nyatakanlah kebenaran walaupun pahit untuk ku telan". Tak kira pihak manapun maka "matlamat tidak menghalalkan cara", seperti yang pernah dipesan oleh guru-guruku semasa di alam kampus. Insyallah, aku tetap aku...


Tuesday, July 5, 2011

Permainan Bolasepak Di Dalam Sawah

Kemaraan pasukan Harimau Malaya ke peringkat berikutnya(ke 2) untuk saringan  kelayakan Piala Dunia 2014 telah mengingatkan aku kembali kenangan ketika bermain bolasepak sewaktu zaman kanak-kanak.Seingat aku di waktu kecil dahulu ,di antara 20 hingga 39tahun yang lampau, bolasepak sudah menjadi salah satu permainan yang amat popular di kampung-kampung. Namun begitu, kemudahan padang yang amat terhad ketika itu membataskan permainan berkenaan dan permainan tersebut hanya akan meriah pada musim menuai padi.

Ini kerana sawah padi yang telah dituai akan kering dan membolehkan padang bola dibentuk di sawah-sawah. Yang istimewanya , tiang gol hanya dibuat daripada sama ada dari pelepah kelapa, pelepah nipah atau daripada batang buloh.

Suasana sekitar sawah amat meriah bila tiap kali permainan bola bermula. Permainan tidak mengira bilangan pemain, bahkan selagi boleh disumbat seberapa banyak pemain, permainan akan diteruskan asalkan bilangannya sama bagi setiap belah pasukan. Tiada masa ditetapkan dan permainan akan diteruskan sehingga sebelum senja menjelang. Walaupun serba kekurangan ketika itu, namun kegembiraan yang dikecapi tidak dapat digambarkan

@MyBancik

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...